Kemantapan
Penghayatan Guru Terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan Asas Membangunkan Guru
Cemerlang
Muhammad
Nurfahmi Mohamed Yusof, Rohana Hamzah Dan Amirmudin Udin
ABSTRAK
Pendidikan
pada masa kini adalah sesuatu yang berharga. Pendidikan yang terbaik mestilah
datang dari pendidik atau guru yang yang terbaik. Namun, kurangnya penghayatan
seseorang guru terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyebabkan sesuatu
pembelajaran itu tidak dapat disampaikan dengan baik di mana ilmu yang
disampaikan itu tidak dapat diberi secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ini turut
mempengaruhi prestasi kerja seseorang guru itu kerana hasil pelajar yang
dididik adalah penentu aras kepada prestasi kerja seseorang guru itu. Ini
kerana apabila anak didiknya itu tidak terdidik secara menyeluruh, maka ilmu
yang disampaikan itu gagal diterima oleh pelajarnya menyebabkan pelajar
tersebut tidak seimbang diantara akademik, emosi, fizikal serta moralnya dan
gagal mematuhi kehendak FPK. Oleh disebabkan demikian, guru-guru yang kurang
memahami FPK haruslah diberi perhatian. Pelbagai tindakan boleh diambil seperti
mengadakan kursus serta penyeliaan berkala.
ABSTRACT
Nowadays,
education is something valuable. The best education must come from great
teachers or educator. However, the lack comprehension of a teacher on the Philosophy
of National Education caused education cannot be served well where knowledge
cannot be delivered comprehensively and integratedly in order to creat a
balanced and harmonious human beings intellectually, spiritually, emotionally
and physically based on the Philosophy of National Education (FPK). This also
affects the teacher’s working performance because the outputs of the educated
students are the indicator of the teacher’s performance. This is because when
the students are not educated as a whole, the knowledge that been delivered are
failed to be received by the students and led the student being unbalanced
between the academic, emotional, physical, moral, and fail to comply to FPK
desire. Because of this, the teachers who less understands of FPK need an
attention. Various actions can be taken such attending courses and a periodic
supervision.
Kata
kunci: Falsafah Pendidikan Kebangsaan, prestasi kerja
Pengenalan
Pendidik
atau guru adalah kerjanya mengajar (Kamus Dewan Edisi Empat, 2007), di mana
secara asasnya guru adalah orang yang bertanggungjawab mendidik pelajar-pelajar
di sekolah dengan ilmu pengetahuan. Guru juga adalah orang yang memberi
inspirasi dan pengaruh melalui kepakaranya serta lebih mengenali pelajarnya.
Guru
merupakan komponen teras yang menentukan kejayaan pelaksanaan kurikulum
tersurat dan tersirat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK), di samping pembentuk wajah pelapis kepimpinan dan pemacu pembangunan
negara (Awang Had, 1998). Ini kerana, guru merupakan komponen utama dalam
sistem pendidikan untuk melaksanakan dan menjayakan FPK.
Menurut
Abu Ajip (1994) dalam Azura (2004), pendidik yang kreatif, cekap, bermotivasi
tinggi dan berhemah mulia diperlukan oleh institusi pendidikan bagi melahirkan
pelajar sebagaimana matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Apabila seseorang
guru itu menjalankan tugasnya berlandaskan ciri-ciri Falsafah Pendidikan
Negara, maka pelajar yang dihasilkan akan seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Oleh yang demikian, ianya dapat meningkatkan kepuasan
bekerja serta prestasi seseorang guru tersebut ini guru tersebut telah dapat
menjayakan FPK.
Vroom
(1964) mendefinisikan kepuasan kerja sebagai suatu kejayaan seseorang individu
itu di dalam membuat penyesuaian diri dengan peranan kerjanya. Sikap positif
terhadap kerjayanya secara konseptual boleh dinyatakan setimpal dengan kepuasan
kerja sebaliknya sikap negatif adalah sama dengan ketidakpuasan. Definisi ini
disokong oleh Smith, Kendall dan Hullin (1969) menyatakan kepuasan kerja
sebagai perasaan seseorang pekerja mengenai kerjanya. Dengan kata lain,
kepuasan kerja berkaitan dengan seseorang sama ada berminat atau tidak terhadap
kerjanya.
Sejarah
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Falsafah
pendidikan Negara adalah asas serta panduan bagi seseorang pendidik mendidik
pelajarnya untuk berjaya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut
sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di
Malaysia. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun
1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996.
Oleh yang demikian, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia
mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia
diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan
mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada di landasan
yang betul.
Menurut
Pusat Perkembangan Kurikulum (1988) dalam laman sesawang Gabungan Persatuan
Guru-guru Cina Malaysia, Falsafah Pendidikan Negara, penggubalannya dilakukan
dengan penuh pertimbangan yang teliti dengan merujuk kepada Penyata Razak 1956,
Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan JK Kabinet 1979,
Rukunegara, Prinsip-prinsip pendidikan, Matlamat pendidikan serta Dasar
Pendidikan Kebangsaan
Berikut
adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan:
“Pendidikan
di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan
kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara. "
Daripada
Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut, dapat dihuraikan bahawa pendidikan di
Malaysia adalah bagi memperkembangkan potensi di dalam individu secara
menyeluruh dan bersepadu. Ini bermaksud, terdapat pelbagai potensi yang berbeza
di dalam diri individu masing-masing yang boleh di gilap. Ini kerana, setiap
makhluk yang diciptakan diatas muka bumi ini mempunyai keistimewaannya
tersendiri. Namun usaha mengembangkan potensi seseorang itu haruslah dilakukan
secara menyeluruh dan tergabung antara satu sama lain. Tujuan pengembangan ini
adalah bertujuan mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani.
Intelek,
rohani, emosi serta jasmani ini haruslah seimbang di dalam diri seseorang
individu. Ini kerana, kepandaian intelektual seseorang itu tidak memadai jika
akhlaknya rosak, emosinya terganggu serta kesihatannya terjejas.
Pendidikan
merupakan satu perjalanan bagi mencari kebenaran di mana guru itulah penyuluh
kepada ilmu yang kabur di dalam nyata. Semasa proses ini, ianya akan membawa
pelajar mengenal mana satu yang betul, mana yang salah. Ianya akan membuat
pelajar serta guru itu faham akan ilmu logikal. Proses ini akan melahirkan rasa
keindahan dikalangan pelajar dan guru dalam mencorak dunia selari dengan tugas
manusia sebagai khalifah. Oleh yang demikian, bagi mencapai keseimbangan
tersebut, manusia haruslah kembali mendampingi kepada Penciptanya serta alam
semester iaitu Tuhan. Kerana kebenaran yang dicari datang daripadaNya.
Apabila
wujud insan yang seimbang intelek, rohani, emosi serta jasmaninya, maka
lahirlah rakyat yang berilmu, bertanggungjawab mencapai kesejahteraan diri
serta dapat menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.
Apabila masyarakat sesebuah Negara berilmu, maka ilmu yang diperolehi itu boleh
dimanfaatkan pada diri sendiri dan masyarakat sekitar sekaligus dapat
mempertahankan kedaulatan dan kemakmuran Negara.
Faktor-faktor
kurang kefahaman FPK
Penghayatan
yang lemah terhadap FPK adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antara
faktor-faktor tersebut adalah ketidaksuaian kerjaya sebagai seorang guru serta
ambil mudah terhadap tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
i.
Pemilihan kerjaya
Pemilihan
kerjaya memainkan peranan yang penting bagi memastikan seseorang individu itu
berjaya mencapai kejayaan di dalam bidang yang diceburinya. Ianya perlulah
bersesuaian dengan karakter diri serta minat yang mendalam sebelum sesuatu
pekerjaan itu dipilih menjadi kerjaya seseorang individu itu, di mana akhirnya
menjamin masa depan yang cemerlang. Proses pemilihan kerjaya adalah bergantung
kepada beberapa faktor dan ianya adalah berbeza bagi setiap individu.
Menurut
Aminah dan Arthur (1994), terdapat pelbagai jenis gaya pemilihan kerjaya yang
diamalkan oleh para pelajar iaitu memilih kerjaya berdasarkan apa yang terdapat
di persekitaran mereka sahaja, terpengaruh dengan keistimewaan sesuatu bidang
kerjaya tanpa meneliti keburukan dan kesulitan yang mungkin ditempuhi, tidak
mempunyai keyakinan untuk meneroka kerjaya yang lebih kompleks, pemilihan
kerjaya dipengaruhi oleh kemahuan atau tekanan ibu bapa atau ahli keluarga,
sistem dan ganjaran gaji yang ditawarkan serta peluang pekerjaan yang cerah.
Guru
merupakan antara kerjaya yang menjadi pilihan pelajar. Menurut Hamidi Jaafar
(1997), motif utama pelajar-pelajar memilih profesion perguruan adalah faktor
idealistik iaitu keinginan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam
mendidik generasi muda akan datang. Namun, ada segelintir pula memilih
profession sebagai guru bukan kerana minat. Menurut Azhar (2007) di dalam Siti
Zafirah (2008), sesetengah individu menganggap kerjaya ini sebagai pilihan
terakhir kepada golongan siswazah terutama bagi mereka yang gagal memperoleh
sebarang pekerjaan.
Gagal
meminati bidang kerjaya sebagai guru tetapi tetap memilih guru sebagai kerjaya
antara penyebab sesetengah guru gagal memahami FPK. Ini kerana, sesetengah
individu hanya memilih guru sebagai kerjaya bukanlah kerana cintanya dalam
bidang pendidikan tetapi disebabkan faktor jaminan pekerjaan selepas graduasi
serta syarat kemasukan yang longgar berbanding bidang Sains dan Kejuruteraan.
Apabila asas pemilihan kerjaya itu bukan kerana minat akan profesion tersebut,
maka proses mempelajari serta memahami intipati kandungan kursus pendidikan
kurang difahami, sebaliknya hanya belajar sekadar untuk peperiksaan.
ii. Tanggungjawab
Tanggungjawab
yang digalas oleh seseorang guru adalah besar kerana proses awal pembentukan
seseorang individu adalah bermula di sekolah di mana gurulah insan yang akan
menjalankan tugas tersebut.
Tugas
sebagai seorang guru tidak semudah yang disangkakan. Pelbagai tanggungjawab
yang digalas oleh guru semasa di sekolah samada berkaitan dengan akademik atau
tidak. Menurut Aishah Bee Binti Ahmad Tajudeen (2004), guru merupakan
"ibu" dan "bapa" kepada para pelajar, lantaran itu menjadi
tanggungjawab ke atas guru itu terhadap keselamatan, disiplin dan pencapaian
akademik pelajar. Dalam kesibukan mengajar, mereka juga menjadi kaunselor
menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang berada di
bawah pengawasan mereka selain menjalankan kerja “perkeranian” seperti mengisi
kad maklumat pelajar, mengisi borang pinjaman buku teks, mengisi kad kesihatan
dan sebagainya.
Tugas
guru yang semakin bertambah boleh dikaitkan dengan faktor kurangnya kefahaman
guru terhadap FPK dalam melaksanakan tugasnya. Apabila tanggungjawab yang
digalas oleh seseorang guru bertambah, maka fokus terhadap proses pengajaran
turut terjejas. Oleh yang demikian, sesetengah guru kurang membuat persediaan
yang secukupnya sebelum memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran. Kurangnya
persediaan yang rapi akan menyebabkan guru tersebut hanya sekadar menyampaikan
ilmu sahaja tanpa cuba memasukkan elemen yang berkaitan dengan kehendak FPK.
Kesan
kefahaman FPK
FPK merupakan
asas yang menjadi panduan bagi sistem pendidikan di Malaysia. Kefahaman
terhadap kandungan FPK semestinya akan memberi kepuasan khususnya kepada warga
pendidik itu sendiri dalam menunaikan amanahnya kepada anak bangsa. Apabila
seseorang pendidik itu memahami kehendak FPK, maka hasilnya adalah bangsa yang
berjaya bukan sahaja dari akademiknya, malah akhlaknya jua.
i.
Kepuasan bekerja
Pekerjaan
yang sesuai memainkan peranan bagi seseorang individu mencapai kepuasan bagi
sesuatu kerja yang dilakukan. Menurut Dinham dan Scott (2000), kepuasan kerja
merupakan satu perasaan yang diperoleh daripada sesuatu tugas sebagai menepati
nilai kerja yang berselarasan dengan keperluan individu. Apabila sesuatu
pekerjaan yang dilakukan menepati kehendak serta keperluan diri, maka tahap
kesukaran sesuatu kerja tidak menjadi masalah dalam mencapai kepuasan bekerja.
Manakala Locke (1976) menyatakan bahawa kepuasan kerja sebagai satu keseronokan
atau emosi positif secara langsung hasil daripada peghormatan atau pengalaman
kerja seseorang.
Sesuatu
pekerjaan yang dilakukan dengan minat secara mendalam yang datang dari hati
akan melahirkan satu perasaan yang dinamakan kepuasan, di mana dari kepuasan
itu akan menzahirkan produk yang berkualiti. Begitulah juga konsepnya dalam
sistem pendidikan, di mana apabila seseorang guru itu melaksanakan tugasnya
dengan penuh komitmen sambil menjadikan FPK sebagai panduan, maka lahirlah
kepuasan di dalam diri seseorang guru itu selepas segala amanah yang digalas
terlaksana. Hasilnya, insan yang berjiwa serta seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek telah berjaya bebas dari kepompong kejahilan.
ii. Hasil
pembelajaran pelajar
Hasil
pembelajaran pelajar dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan yang dijalankan
oleh pihak sekolah atau kementerian di mana ianya juga merupakan keluaran bagi
mutu kerja seseorang guru. Jika tinggi peratusan pelajar yang berjaya dalam
peperiksaan, maka berhasilah usaha yang dijalankan guru tersebut. Jumlah
pencapaian pelajar yang cemerlang atau sebaliknya akan memberi kesan terhadap
kualiti kerja guru tersebut.
Menurut
kajian oleh McClelland (1961) di dalam Sidek Mohd Noah dan Mohd Ali Jaamat
(1998) menunjukkan bahawa pencapaian akademik yang tinggi seringkali dikaitkan
dengan individu yang mempunyai motivasi pencapaian yang tinggi. Guru adalah
medium penting dalam meningkatkan motivasi pelajar terutamanya ketika sesi
pembelajaran dijalankan. Cara menjana motivasi atau semangat pelajar adalah
bergantung kepada kreativiti guru bagi memastikan pencapaian pelajarnya
cemerlang. Apabila seorang guru itu memahami antara kehendak FPK di mana
mewujudkan pelajar yang mempunyai intelek yang tinggi, maka usaha yang
diberikan oleh guru itu bukanlah hanya melepaskan batuk ditangga namun ianya
adalah sebaliknya demi menjalankan amanah yang dipikul oleh guru itu. Oleh yang
sedemikian, hasilnya adalah pelajar yang mempunyai keputusan yang cemerlang.
iii.
Sikap
Bangsa
yang berjaya bukanlah diukur dari segi pencapaian akademi sahaja, malah sikap
turut menjadi elemen penting dalam melahirkan bangsa yang berkualiti bagi
sesebuah Negara. Berdasarkan kepada FPK, hasil daripada usaha memperkembangkan
potensi seseorang individu adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.
Bagi mencapai matlamat tersebut, sikap individu itu adalah penting.
Tanpa
sikap serta sahsiah diri yang cemerlang di dalam diri individu, maka usaha
untuk mencapai kesejahteraan diri sukar untuk dicapai kerana mereka ini
dianggap gagal untuk menjaga sikap atau akhlak terhadap diri sendiri. Apabila
diri gagal dipimpin, maka jauh sekali kepimpinan serta sumbangan terhadap
kemakmuran masyarakat dan Negara dapat disumbangkan. Ini adalah kerana, sikap
memainkan peranan yang penting untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu perkara
yang diusahakan.
Menurut
Azizi Hj. Yahaya, Jamaluddin Ramli dan Yusof Boon (2007), Keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran boleh ditingkatkan sekiranya guru dapat memahami
sikap pelajar terhadap mata pelajaran diajariya. Maklumat yang diperolehi itu
boleh digunakan oleh guru untuk merancangkan strategi pengajaran yang
bersesuaian demi mengubah sikap pelajar dan seterusnya membawa kepada
pencapaian yang cemerlang.
Dapat
dilihat bahawa sikap memainkan peranan penting dalam diri seseorang pelajar di
mana ianya menjadi antara tugas guru bagi memastikan pelajarnya bukan sahaja
hebat di dalam akademik mahupun kokurikulum tetapi sahsiahnya juga penting.
Apabila seimbang intelek, rohani, emosi dan jasmani, maka potensi individu yang
dikembangkan akan seimbang.
Cara
meningkatkan kefahaman FPK
Pelbagai
cara boleh dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran
Negeri mahupun di peringkat Sekolah bagi meningkatkan kefahaman FPK dikalangan
warga pendidik. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah menerusi kursus serta
penyeliaan dari pihak berwajib.
i.
Mengadakan Kursus
Kursus
merupakan latihan yang singkat mengenai sesuatu perkara (Kamus Dewan Edisi
Empat, 2007). Pelbagai kursus sering dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri bagi meningkatkan pengetahuan guru
dalam sesuatu perkara samada berkaitan pentadbiran, ICT atau yang berkaitan
dengan subjek akademik.
Menurut
Abdul Rahin Bin Hamdan (2006), guru-guru sanggup menghadiri kursus dalam
perkhidmatan dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam dunia
pengajaran. Ini dapat dilihat bahawa, melalui kursus seseorang guru itu dapat
meningkatkan lagi potensi yang ada di dalam diri mereka.
Kursus
terhadap penghayatan serta kepentingan FPK turut boleh dianjurkan oleh
kementerian dalam memastikan guru-guru yang sedang berkhidmat dapat mengingati
serta memahami semula kandungan di dalam FPK itu. Ini kerana, kesibukan serta
beban kerja yang ditanggung oleh seseorang guru itu menyebabkan seseorang guru
itu sedikit sebanyak lupa akan kepentingan FPK dalam menjalankan tugas
sehariannya sebagai pendidik. Oleh yang demikian, melalui kursuslah medium yang
terbaik dalam mengingatkan semula para pendidik akan asas yang sering dilupai
ini.
ii. Penyeliaan
Berkala
Penyeliaan
didefinisikan sebagai segala fungsi dan aktiviti yang dilakukan oleh pihak
pengurusan sekolah dalam memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan
mengikut masa yang telah ditetapkan (Al Ramaiah, 1999). Menurut Glickman (1985)
dan Duke (1987) dalam Faridah, Noridah dan Siti Rahmah (2005), penyeliaan
merupakan “the glue of a successful school”. Penyeliaan pengajaran yang
dijalankan secara bersama dengan guru ialah kunci kepada keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan sekolah.
Penyeliaan
terhadap guru di sekolah adalah menjadi tanggungjawab Pengetua ini kerana
penilaian prestasi terhadap guru akan dijalankan oleh pengetua itu sendiri.
Oelh itu, Pengetua haruslah kerap menjalankan penyeliaan terhadap guru di bawah
tadbirannya bagi memastikan penilaian prestasi keatas guru dapat dijalankan
dengan telus, sekaligus dapat memastikan guru-guru tersebut menjalankan tugas
berdasarkan FPK. Selain daripada Pengetua, Guru Kanan Bidang serta Ketua
Panitia turut bertanggungjawab dalam membantu Pengetua menyelia gugu-guru di
bawah bidang masing-masing. Penyeliaan terhadap guru ketika menjalankan tugas
akan mempertingkatkan lagi mutu kerja serta profesionalisme seseorang guru itu.
Penyeliaan
yang dijalankan hendaklah memastikan setiap guru memahami FPK, di mana
pendidikan yang disampaikan mestilah menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan
insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.
Sekiranya penyeliaan terhadap guru dibuat secara sistematik dan berkala,
prestasi pengajaran dapat dipertingkatkan.
Mengikut
pendapat Neidermeyer (1987) dalam Faridah, Noridah dan Siti Rahmah (2005) pula,
penyeliaan yang difokuskan kepada pencapaian pelajar, iaitu hasilan yang telah
ditetapkan dan dipersetujui bersama serta bukan berfokuskan kepada proses,
boleh meningkatkan hasil pembelajaran pelajar, Justeru itu, kesan tingkah laku
guru terhadap pengajaran dan pembelajaran dapat juga dipertingkatkan. Ini
melibatkan kebolehan mengdiagnosis masalah pendidikan serta membantu guru untuk
memajukan kecekapan atau amalan mereka dalam melaksanakan pengajaran.
Dengan
adanya penyeliaan berkala ini, mutu pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan
oleh seseorang guru itu dapat ditingkatkan kerana apabila seseorang guru itu
menyedari dirinya sedang diselia, maka hasil yang diberikan adalah lebih baik.
Hasilnya, lahirlah pelajar yang seimbang hasil daripada didikan guru yang
memahami FPK.
Kesimpulan
Adalah
amat penting seseorang guru itu mengikuti kehendak FPK dalam proses pengajaran
dan pembelajaran yang dijalankan ini kerana FPK itu adalah panduan bagi sistem
pendidikan di Malaysia.
Segala
kelemahan yang dirasai dalam menghayati FPK oleh guru haruslah di atasi segera
bagi membolehkan ilmu yang disampaikan itu telus kepada para pelajar tanpa ada
rasa halangan bagi seseorang pelajar itu menerima ilmu itu sekaligus
mempraktikanya. Seseorang guru yang dapat menghayati FPK dalam melaksanakan
tugasnya sebagai pendidik bakal mewujudkan khalifah yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek di mana mereka ini bakal menerajui dunia
dimasa akan datang dengan hikmah dan jayanya.
Rujukan
Abdul Rahin Bin Hamdan, Ahmad Johari Bin Hj Sihes,Jamaluddin Bin
Ramli dan Rosliza Binti Hamzah. (2006). Persepsi Guru Terhadap Profesion
Perguruan Masa Kini. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Aishah Bee Binti Ahmad Tajudeen. (2004). Kepuasan Kerja Dan Tekanan
Yang Dihadapi Oleh Guru Sekolah Menengah. Tesis Sarjana. Universiti Putra
Malaysia.
Al Ramaiah (1999). Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Masa Kini.
Selangor: IBS Buku Sdn. Bhd.
Aminah Hashim dan Arthur, P.L. (1994). Bimbingan Dan Kaunseling Di
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Awang Had Salleh. (1998). Latihan Perguruan untuk Sekolah
Berkesan, Prosiding Seminar Kebangsaan JPPG, Pendidikan Guru untuk Sekolah
Berkesan, Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Azizi Hj. Yahaya, Jamaluddin Ramli dan Yusof Boon. (2007).
Sumbangan Sikap Terhadap Pencapaian Pelajar Dalam Mata Pelajaran Matematik:
Sejauhmanakah Hubungan Ini Relevan?. Fakulti Pendidikan. UTM Skudai.
Azura Binti Mohd Nor. (2004). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi
Kepuasan Kerja Guru Dalam Bidang Kerja Teknik dan Vokasional Berdasarkan Teori
Maslow di Sekolah Akademik di Daerah Pasir Puteh, Kelantan. Tesis Sarjana Muda.
Universiti teknologi Malaysia.
Dinham, S. & Scott, S. (2000). Enhancing teachers professionalism:
The need to engage with the Third Domain. ACEA International Conference.
September 9-12. Hobart.
Faridah Bte Md. Pungot, Noridah Bte Ramlan @ Rohan dan Siti Rahmah
Bte Mohamed. (2005). Kesan Penyeliaan Pihak Pengurusan Terhadap Kecemerlangan Kerja
Guru Di SM Teknik Kluang. Seminar Pendidikan 2005. Fakulti Pendidikan. UTM
Johor.
Gabungan Persatuan Guru-guru Cina Malaysia, Falsafah pendidikan
Negara. Dicapai pada 10/8/2010(http://web.jiaozong.org.my/doc/2009/rnr/edu_law/falsafah_pendidikan_negara.pdf)
Hamidi Jaafar (1997). Persepsi Pelajar-Pelajar Diploma Pendidikan
Fakulti Pendidikan UTM Terhadap Perguruan Sebagai Satu Profesion – Satu
Tinjauan. UTM: Tesis Sarjana Muda.
Kamus Dewan Edisi Empat. (2007). Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala
Lumpur.
Locke, E. A. (1976). The Nature and Causes of Job Satisfaction:
Handbook of Industrial and Organizational Psychology. Chicago: M.Dunnett dan
Rand McNally.
Sidek Mohd Noah dan Mohd Ali Jaamat. (1998). Keberkesanan Modul
Perkembangan Kerjaya Bersepadu Terhadap Peningkatan Motivasi Pencapaian Pelajar
Sekolah Menengah di Negeri Sembilan. PertanikaJ. Soc. Sci. & Hum. Vol. 6
No.1. Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Siti Zafirah Binti Mohd Ilias. (2008). Faktor-Faktor yang
Mempengaruhi Pemilihan Profesion Perguruan di Kalangan Pelajar Tahun 4 Perdana
Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan, Utm. Tesis
Sarjana Muda. Universiti Teknologi Malaysia. Smith, P-C, Kendall, L. M dan
Hulin C. L (1969). The Measurement of Satisfaction in Work and Retirement.
Chicago, Rand Menally.
Vroora
Victor H. (1964) Work & Motivation. San Francisco : Jossey- Bass
Publishers.
0 Response to "JURNAL KEMANTAPAN PENGHAYATAN GURU TERHADAP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN ASAS MEMBANGUNKAN GURU CEMERLANG"
Posting Komentar