Guru PTV Masa Hadapan: Kefahaman Falsafah Yang Lebih Baik
Nor Aidah Binti Mohamad Ariff, Rohana Hamzah, Amirmudin Udin
ABSTRAK
Artikel ini membincangkan kemantapan pemahaman guru Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) terhadap falsafah yang ada kalanya diabaikan dan langsung tidak diberi penekanan akan kepentingannya. Sekiranya kepincangan ini berterusan, guru PTV masa hadapan tidak akan mampu melahirkan insan yang seimbang seiring dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Usaha murni untuk menerapkan kefahaman falsafah yang lebih baik perlu dimulai dengan menjelaskan dengan lebih mendalam maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik FPK. Lima nilai falsafah yang terkandung dalam FPK mampu menjadi kata kunci kepada penjelasan maksud tersebut. Seterusnya, artikel ini menjelaskan kembali kaedah asas dalam penerapan falsafah dalam bilik darjah yang boleh diaplikasikan oleh seorang guru PTV dalam menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka lebih kreatif dan kritis. Akhir sekali bagi seorang bakal guru PTV, artikel ini mampu menjadi satu platform yang baik bagi mereka meneroka dan membina kefahaman falsafah yang lebih mantap.
ABSTRACT
This article discuss the adequacy of Technical and Vocational Education (TVE) teachers' understanding on the philosophy that is sometimes overlooked and not given emphasis to its importance. If this situation continues, future TVE teachers will not be able to produce a balanced student inline with the aims of National Education Philosophy (NEP). Sincere effort to implement a better understanding of the philosophy should begin by explained the deeper meaning behind the letter and spirit of NEP. Five elements of philosophy contained in the NEP could become the keyword for the purposes of clarification. Next, this article explained back about the basic rules to apply philosophy in the classroom that can be applied by a TVE teacher to perform more creative and critical teaching and learning (P&P). Finally, this article can be a good platform for future TVE teachers to explore and develop a stronger understanding of philosophy.
Kata kunci: Falsafah, Penghayatan dan Kefahaman, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Falsafah dalam bilik darjah
Pengenalan
Menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru pada hari ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Khususnya, guru Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) di Malaysia menjadi salah satu tulang belakang negara dalam melahirkan insan yang serba boleh dalam bidang kerjanya serta berupaya menjadi seorang pemimpin dalam kelompok masyarakat yang didepaninya. Tugas tersebut tidak semudah yang dilihat. Hari ini, sesetengah guru PTV masih tidak jelas dengan matlamat serta cita-cita yang didukung dalam sistem pendidikan di Malaysia. Bahkan, adakala guru yang berada di alam keguruan pada hari ini hanyalah sekadar mengisi kekosongan jawatan serta sekadar mengisi periuk nasi yang menjadi punca pencarian rezeki mereka. Warnoh dan Norasmah (2003) menyarankan agar negara melatih dan membekalkan pendidik secukupnya. Selain daripada mencukupi, pendidik ini juga hendaklah memiliki ciri-ciri yang diperlukan bagi membolehkan mereka melahirkan sumber manusia yang berpengetahuan, berketrampilan, bersahsiah, berahklak mulia, bersikap positif, dedikasi dan berdisplin.
Melahirkan seorang pendidik bagi masa hadapan memerlukan kefahaman matlamat pendidikan yang jelas dengan bertonggakkan kepada penghayatan terhadap kefahaman falsafah yang baik. Situasi sama terjadi bagi seorang guru PTV. Era globalisasi pada abad ke 21 ini banyak mendedahkan guru PTV dengan pelbagai cabaran yang dapat dihadapi dan diatasi segara melalui penghayatan falsafah yang baik. Bahkan, rasional untuk menggabungkan falsafah ke dalam program latihan perguruan adalah untuk mempersiapkan guru berkualiti untuk abad ke 21 (Spooner-Lane, Curtis, dan Mergler, 2010). Oleh sebab itu, guru PTV di Malaysia dituntut untuk memiliki penghayatan dan kefahaman falsafah yang lebih baik serta berupaya menterjemahkan kefahaman tersebut melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang lebih kreatif dan kritis bagi mencapai matlamat pendidikan seperti yang dicitrakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Turan Akman Erkilic (2008) sendiri menyatakan falsafah mampu membantu pembangun kurikulum dan juga para guru dalam pelbagai perkara. Ada sesetengah dari tujuan falsafah tersebut adalah untuk menjelaskan tujuan pendidikan, menjelaskan objektif dan aktiviti pembelajaran di sekolah, menjelaskan peranan seseorang yang berkerja di sekolah dan membimbing dalam pemilihan strategi pembelajaran dan taktik di dalam bilik darjah.
Dalam situasi lain, penghayatan falsafah oleh guru PTV khususnya guru PTV di Malaysia kadang kala terlalu berorientasikan kepada falsafah pendidikan barat yang lebih bersifat sekularisme. Hal ini dapat dikesan terjadi semasa peringkat awal bakal-bakal guru didedahkan kepada bidang falsafah pendidikan, pendedahan yang berlebihan terhadap falsafah pendidikan barat telah mendorong golongan guru seperti guru PTV untuk berpegang kepada falsafah pendidikan barat yang bersifat sekular. Lantaran sekularisme mereka, kini dijadikan acuan kepada negara dan kebudayaan kita. Kepercayaan kepada Tuhan dipisahkan dari proses kognitif dalam pendidikan formal yang berasaskan sekularisme (Tajul Ariffin, 1988). Tanpa disedari situasi ini telah menular lama dalam sistem pendidikan negara. Suatu perkara yang jelas sekarang, masyarakat moden sedang berusaha untuk mencari dan membina suatu paradigma ilmu yang baru sebagai pengganti kepada konsep ilmu sekarang (Tajul Ariffin, 1988). Paradigma tersebut mampu direalisasikan melalui penghayatan falsafah yang lebih baik di kalangan guru termasuklah guru PTV yang berada dalam bidang ilmu mereka.
Matlamat pendidikan inspirasi dari Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Guru adalah tunjang kepada sistem pendidikan. Mereka merupakan golongan pelaksana segala dasar dan matlamat yang telah di tetapkan oleh pihak kerajaaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (Warnoh dan Norasmah, 2003). Melaksanakan matlamat tersebut sebenarnya bermula dengan kefahaman matlamat itu sendiri. Pada dasarnya, matlamat pendidikan di Malaysia adalah berpaksikan kepada FPK yang telah diperkenalkan di dalam sistem pendidikan di Malaysia bagi mendokong aspirasi serta falsafah negara. Melalui falsafah pendidikan negara ini, tujuan pendidikan di Malaysia telah dinyatakan dengan jelas di mana falsafah tersebut mencerminkan cita-cita yang didukung oleh guru dan pelajar yang banyak terlibat di dalam proses pendidikan. Pernyataan FPK tersebut adalah seperti berikut:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
(Sumber: Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, 2001)
Pernyataan FPK yang penuh dengan maksud tersirat dan tersurat kadang kala dengan mudah telah disalahertikan dan disalahtafsirkan. Guru PTV yang profesional seharusnya mampu menjelaskan FPK dengan mudah agar matlamat pendidikan yang hendak dicapai tidak berada di landasan yang salah yang boleh mengundang kepada pelbagai permasalahan dalam bidang PTV. Standard profesional ada menerangkan pelajar lulusan bidang pendidikan adalah diharapkan untuk mengetahui dan menunjukkan dalam hal profesional mereka pengetahuan dan amalan apabila memasuki profesion mereka (Watson, 2005). Bagi guru PTV yang profesional pula, kegagalan mereka mentafsir FPK merupakan kegagalan awal guru PTV tersebut menginspirasikan matlamat pendidikan.
Nilai-nilai serta setiap elemen yang terkandung dalam FPK adalah kunci kepada pentafsiran FPK yang betul. FPK yang mengandungi pelbagai dimensi nilai falsafah menjadi salah satu asas kepada pembangunan matlamat pendidikan yang sebenar. Rajah 1 dengan jelas menunjukkan lima nilai falsafah yang terkandung dalam FPK yang mesti disedari oleh setiap insan yang bergelar guru termasuklah guru dalam bidang PTV yang akan menghala guru ke arah matlamat pendidikan sebenar yang boleh diterjemahkan melalui proses P&P mereka. Nilai pertama iaitu nilai epistemologi menyentuh kepada persoalan apa yang benar? Apa yang benar (what is true) telah disampaikan dengan jelas kepada guru iaitu memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Penghayatan guru PTV terhadap nilai epistemologi yang terkandung dalam FPK akan dapat membantu pelajar menyedari potensi tersembunyi yang wujud dalam diri mereka. Apabila segala potensi seseorang individu itu telah berjaya dibangunkan secara menyeluruh maka barulah kebenaran itu dapat dikenalpasti dan diperolehi. Nilai kedua adalah nilai metafizik (what is real) yang membawa guru PTV mengetahui persoalan mengenai di mana kebenaran itu berakhir? Dimana kebenaran itu berakhir turut dinyatakan dalam FPK dengan jelas iaitu berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Tuhan yang mempunyai Kuasa Infiniti adalah tempat dimana kebenaran itu berakhir. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan mampu membebaskan guru PTV dari dibelenggu falsafah barat yang terlalu bersifat sekularisme sehingga kadangkala mereka menidakkan kewujudan kuasa Tuhan yang benar. Nilai etika (what is right or wrong) membawa kepada mengenal mana yang betul dan mana yang salah. Apa yang betul itu telah dinyatakan dengan jelas dalam FPK iaitu rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Nilai-nilai seperti berakhlak mulia, bertanggungjawab serta nilai-nilai yang baik itu adalah yang betul yang mseti disedari oleh guru PTV dan diterapkan guru dalam proses P&P. Nilai logik pula (intellectual knowledge) membuatkan manusia faham ilmu logikal selain dengan ilmu logik akal. Untuk membuatkan guru PTV faham ilmu logikal adalah dengan mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Apabila guru PTV seimbang dari setiap aspek maka barulah guru PTV dapat berfikir secara logik. Akhir sekali, nilai estetika (menyatakan tujuan hidup manusia sebagai seorang pemimpin iaitu khalifah) iaitu melibatkan keindahan dan keadilan amalan manusia dalam mencorak dan mengubah dunia. Amalan bagi mengubah dunia adalah dengan memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Dunia dalam konteks FPK disini adalah dalam ruang lingkup negara Malaysia itu sendiri.

Rajah 1: Lima Nilai Falsafah yang Terkandung dalam FPK
Menerapkan Falsafah dalam Bilik Darjah
Salah satu pendekatan untuk melatih guru pada masa depan adalah dengan memberikan nilai-nilai pendidikan dalam satu pendekatan yang terancang dan sistematik (DEST, 2005). Di Australia, bagi mempersiapkan para guru dengan nilai-nilai pendidikan Spooner-Lane, Curtis dan Mergler (2010) sendiri telah menyokong idea pendedahan mata pelajaran wajib „falsafah dalam bilik darjah‟ kepada pelajar tahun ketiga dari program Sarjana Pendidikan selama empat tahun. Falsafah dalam bilik darjah adalah program yang dirancang untuk mempromosikan pemikiran secara kritis dan kemahiran berhujah dan sebagai satu konteks untuk membina pemahaman masyarakat muda dari pelbagai isu peribadi, moral, dan sosial (Fisher, 1998). Lovat et.al (2009) turut menyokong dengan menyatakan falsafah dalam bilik darjah melibatkan eksplorasi gagasan idea-idea atau satu set idea yang membawa kepada kepada persoalan, penilitian konsep-konsep serta nilai-nilai dan pengutaraan masalah. Di Malaysia, mata pelajaran falsafah telah diwajibkan diberikan kepada bakal-bakal guru yang berada di dalam kursus pendidikan bagi mempersiapkan mereka dengan nilai-nilai pendidikan untuk diparktikan semasa proses P&P dalam bilik darjah apabila berada di sekolah nanti. Sebagai contoh di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelajar di dalam kursus PTV turut didedahkan kepada mata pelajaran falsafah. Namun begitu, perkara yang sering menjadi persoalan adalah berkaitan penghayatan serta kefahaman bakal-bakal guru PTV ini terhadap falsafah yang perlu dipraktikkan mereka apabila berada di dalam bilik darjah kelak.
Falsafah dalam bilik darjah bermula dengan tindak balas pelajar terhadap bahan stimulus seperti sebuah cerita pendek atau puisi yang diberikan guru. Bahan stimulus melahirkan rasa ingin tahu pelajar dengan menumpukan kepada isu besar yang relevan dengan kehidupan mereka, seperti isu semasa yang melibatkan masyarakat setempat atau global (Lovat et.al 2009). Guru PTV seharusnya berupaya memilih dan menggunakan bahan atau alatan yang betul bagi membangkitkan rasa ingin tahu pelajar terhadap subjek yang dipelajari. ini kerana Hayness (2008) menyatakan falsafah digambarkan dengan persoalan yang berkaitan dengan masalah minda, pemikiran, pengetahuan, imaginasi, khayalan, kesedaran dan ineteraksi di antara minda. Mewujudkan persoalan di kalangan pelajar adalah salah satu cara bagaimana falsafah dipraktikan di dalam bilik darjah. Guru PTV dalam menunjukcara bagaimana kemahiran diaplikasikan seperti kemahiran memateri seharusnya mendorong rasa ingin tahu pelajar yang akan merangsang minda pelajar untuk berfikir dan mengutarakan persoalan yang mungkin timbul dari kotak pemikiran mereka. Persoalan yang wujud membawa pelajar untuk berfikir untuk mencari kebenaran. Hal ini kerana menurut Lovat et.al (2009) falsafah akan mendorong pemikiran sehingga ke peringkat kesedaran dan mendorong kepada pencarian terhadap pilihan yang kreatif, pandangan yang berbeza dan membawa kepada berfikir.
Ketika mengaplikasikan falsafah dalam bilik darjah, guru perlu menumpukan perhatian terhadap kandungan serta proses yang membawa kepada pembentukan masyarakat yang rajin untuk berfikir. Ini kerana menurut Beyer (1990) dalam Hinton (2003) fokus falsafah dalam bilik darjah bukan pada apa yang harus difikir, tapi tentang cara berfikir. Bagi membentuk pelajar menjadi masyarkat sedemikian rupa guru PTV boleh mengaplkasikan aktiviti pembelajaran yang melibatkan perbincangan dalam kumpulan bagi mendorong pelajar untuk berfikir dan berdebat dalam mencari kebenaran. Melalui aktiviti tersebut cara berfikir pelajar dapat diasah dan dibentuk. Antara kaedah berfikir seperti yang disarankan dalam falsafah bagi mendorong pelajar berfikir secara kritis telah dinyatakan oleh Cam, (1995) seperti mendefinisikan istilah, mengelompokkan benda, mengenalpasti hubungan logik, menarik kesimpulan deduktif, menganalisa kenyataan bersyarat, dan membina analogi.
Falsafah dan Guru PTV Masa Hadapan
Selain mengetahui kaedah untuk mengaplikasikan falasafah dalam bilik darjah seseorang bakal guru yang didedahkan dengan bidang falsafah juga sering diasak dengan persoalan yang timbul dalam diri mereka sendiri. Apabila berbincang mengenai falsafah, persoalan yang sering ditimbulkan bakal guru PTV adalah adalah berkenaan apakah yang boleh disumbangkan oleh falsafah kepada mereka?. Persoalan ini timbul disebabkan pada hari ini terdapat guru yang mengabaikan falsafah kerana mereka berpendapat falsafah tidak banyak memberi sumbangan dalam kehidupan mereka sebagai seorang guru. Persoalan ini timbul mungkin disebabakan situasi pendidikan seperti yang diterangkan Kedermen (2001) hal ini sukar kerana situasi praktikal menyebabkan kita selalu menghadapi masalah yang asing, berbeza, atau baru. Jadi untuk membuat keputusan yang bijaksana sehubungan dengan tujuan pendidikan, guru harus mengakui bahawa situasi mungkin tidak sesuai dengan harapan mereka. Lantaraan daripada itu, guru pada hari ini lebih senang bertindak mengikut logik akal semata-mata apabila berdepan pelajar atau menghadapi sebarang masalah di dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengabaikan falsafah pendidikan yang seharusnya menjadi panduan kepada mereka dalam membuat seseuatu keputusan. Oleh sebab itu, bahagian ini adalah bahagian terpenting di dalam penulisan kerta kerja ini bagi mengembalikan kesedaran guru akan kepentingan falsafah pendidikan.
Bagi mengembalikan kesedaran guru akan kepentingan falsafah pendidikan terdapat beberapa strategi yang boleh dilaksanakan. Strategi ini seharusnya diberi perhatian dan dilaksanakan bagi menyediakan serta melengkapkan guru pada hari esok terutamanya guru PTV dengan kefahaman falsafah yang lebih baik. Strategi ini turut melibatkan bakal-bakal guru yang masih menerima latihan dan pendidikan bagi melayakkan mereka bergelar seorang guru. Pertama sekali, falsafah dan guru adalah komponen terpenting yang harus diberi perhatian dalam sebarang proses latihan pengajaran. Hal ini kerana menurut Turan Akman Erkilic (2008) falsafah pendidikan mempunyai beberapa sifat seperti kepraktisan, pelaksanaan, dan pengunaannya seharusnya telah diketahui dan diajarkan di lembaga latihan guru. Melalui strategi ini, guru-guru yang berada di dalam proses latihan mengajar boleh menghayati falsafah pendidikan dengan memfokuskan pengajaran mereka kepada dua persoalan iaitu:
a. Apakah objektif asas dan matlamat spesifik pendidikan sesebuah sekolah?
b. Apakah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan objektif tersebut?
Persoalan ini hanya dapat dijawab dengan baik apabila guru menghayati serta mengaplikasikan falsafah dalam kehidupan mereka. Sebarang permasalahan yang ditemui semasa mencari jawapan kepada persolan tersebut boleh diselesaikan dengan mengaplikasikan falsafah.
Seterusnya, dalam melengkapi seseorang guru PTV bagi masa hadapan adalah penting bagi mereka memahami diri mereka dengan lebih baik. Adalah menjadi tanggungjawab institusi yang memberi pendidikan dan latihan kepada guru untuk melatih bakal-bakal guru dengan merangsang latihan intelektual mereka. latihan ini boleh dijalankan dengan melatih dan membiasakan bakal-bakal guru untuk menjawab persoalan-persoalan seperti yang diutarakan oleh Huffod (2008) mengenai persoalan seperti siapa aku? siapa aku sebagai guru, dan secara peribadi? kenapa aku ingin menjadi guru? mengapa kita mendidik? Persoalan-persoalan yang ditimbulkan mampu merangsang intelektual guru untuk sentiasa berfikir secara kreatif dan kritis. Proses mencari jawapan kepada persoalan tersebut turut membawa guru-guru mendekati dan menghayati falsafah.
Kesimpulan
Menjadi seorang guru yang baik bukanlah suatu tugas yang mudah, kerana seorang guru yang baik diperlukan bagi menghasilkan manusia pada masa hadapan yang akan menentukan naik turun sesebuah negara bangsa. Bagi menjadi seorang guru PTV yang baik, tidak cukup bagi mereka jika hanya mempunyai pengetahuan dalam bidang kepakaran mereka sahaja. Tidak cukup juga jika guru PTV hanya memiliki tekad untuk mengajar para pelajar dengan baik, ini kerana bagi menjadi seorang guru PTV yang baik, pelbagai aspek perlu dimiliki mereka. Banyak aspek guru PTV yang baik perlu diisi agar mereka dapat memenuhi tujuan tujuan sebenar pendidikan. Salah satu aspek penting tersebut adalah kefahaman guru terhadap falsafah. Oleh sebab itu, artikel ini dapat berperanan menjadi pencetus terbaik bagi guru PTV masa hadapan untuk membina kefahaman falsafah yang lebih baik.
Rujukan
Abd Rahim Abd Rashid. (2001). Nilai Nilai Murni dalam Pendidikan Menghadapi Perubahan dan Cabaran Alaf Baru. Siri Pengajian dan Pendidikan Utusan.
Abdul Rahman Md. Aroff dan Zakaria Kasa. (1986). Falsafah dan Konsep Pendidikan. Edisi Kedua. Universiti Pertanian Malaysia: Serdang.
Cam, P. (1995). Thinking together: Philosophical inquiry for The Classroom. Alexandria, NSW: Hale and Iremonger.
Connell, W.F. (1981). Asas Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur.
DEST. (2005). National framework for Values Education in Australian Schools. Canberra: Australian Government Department of Education, Science and Training (DEST).
Fisher, R. (1998). Teaching Thinking: Philosophical enquiry for The Classroom. London: Cassell
Hasseler, T. (2006). Fomenting Dissent on Campus. Academe.
Haynes, J. (2008). Children as Philosophers: Learning through Enquiry and Dialogue in The Primary Classroom (2nd ed.). London: RoutledgeFalmer.
Hinton, L. (2003). Reinventing a School. Critical and Creative Thinking.
Hufford. D. (2008). Teacher Education, Transformation, and an Education for Discontent. Journal of Philosophy and History of Education Volume 58, 2008. Newman University
Kamarudin Hj. Kahar. (1989). Strategi Penerapan Nilai-nilai Islam di institusi Pendidikan (Dari Persepktif Pengurusan). Siri Pengurusan Pendidikan. Kuala Lumpur.
Kamarudin Hj. Kahar. (1989). Roles in The Administration of Schools in Malaysia. Educational Management Series. Kuala Lumpur.
Kerdeman, Deborah. (2001). Exposure and Expertise: Philosophy for Teacher Education. Philosophy of Education. University of Washington
Langford. G. (1985) Education, Persons and Society: A Philosophical Enquiry. Macmillan.
Lovat, T. (2009). Values education and quality teaching: Two sides of the learning coin. In T. Lovat & R. Toomey (Eds.), Values education and quality teaching: The double helix effect (International ed., pp. 1–12). Dordrecht, The Netherlands: Springer.
Mohamed Nor Che‟Noh. (1990). Asas-asas Pendidikan Satu Pengenalan. Selangor
Turan Akman Erkilic. (2008). Importance of Educational Philsophy in Teaher Training for Educational Sustainable Development. Turkey: Andalou University.
Mok Soon Sang. (2010). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Siri Pengajian Profesional.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi. Kementerian Pendidikan Malaysia
School of Graduate Studies. (2007). UTM Thesis Manual. Universiti Teknologi Malaysia.
Spooner-Lane. R, Curtis. E, and Mergler. A. (2010) Embracing Philosophy and Raising the Standard of Pre-service Teacher Education Programs.
Tajul Ariffin. (1988). Konsep Asas Pendidikan Sepadu. Fakulti Pendidikan : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Thompson, Keith. (1972). Education adn Philosophy A Practical Approach. Oxford Basil Blackwell.
Turan Akman Erkilic. (2008). Importance of Educational Philosophy in Teacher Training for Educational Sustainable Development. Middle-East Journal of Scientifis Research. Faculty of Education : Andalou University, Turkey.
Unit Perancang Ekonomi. (2010). Rancangan Malysia kesepuluh. Jabatan Perdana Menteri. Putrajaya
Warnoh Katiman dan Norasmah Hj. Othman. (2003). Program Pendidikan Guru Teknik Dan
Vokasional Yang Cemerlang. Fakulti Pendidikan : Universiti Kebangsaan Malaysia
Watson, L. (2005). Quality teaching and school leadership: A scan of research findings. Canberra, ACT: Australian Institute for Teaching and School Leadership.
0 Response to "Jurnal Guru PTV Masa Hadapan: Kefahaman Falsafah Yang Lebih Baik"
Posting Komentar