Ilmuan Islam dan Kepentingan Kajian Masa Hadapan
(Future Studies)
Idris Zakaria & Wan Fariza Alyati Wan Zakaria
Abstrak
Tulisan ini membahaskan tentang Kajian Masa Hadapan (Future Studies) sebagai a new field of inquiry dalam pemikiran Islam. Setakat ini ilmuan Islam dalam pelbagai bidang ilmu terlalu sedikit memberi perhatian kepada persoalan Kajian Masa Hadapan ini berbanding dengan Barat. Ilmuan pengetahuan yang ada kekal dalam paradigma lama iaitu ilmu-ilmu doktrinal, bahasa, sejarah (masa lalu), teknikal dan sebagainya. Penyelididkan ilmiah tentang dekad-dekad akan datang belum diteroka secara serius. Kini terdapat segelintir sarjana kontemporari seperti Prof. Ziuddin Sardar dan beberapa orang sahabat akademiknya yang memberi komitmen terhadap kajian Masa Hadapan ini. Jika kajian ini di abaikan, kemungkinan Islam dan umat Islam akan menghadapi dua masalah serentak iaitu penguasaan Barat ke atas dunia Islam secara berterusan dan survival Islam serta umat Islam
akan menghadapi masalah
Pendahuluan
Kajian mengenai Masa Hadapan atau lebih dikenali sebagai futures studies merupakan suatu bidang ilmu yang agak asing di kalangan sebilangan besar umat Islam. Ia merupakan suatu bidang ilmu yang lahir di Barat, dalam suasana budaya dan keperluan masyarakat Barat. Walau bagaimanapun, sejak awal tahun 1970an, beberapa orang pemikir Islam telah mula memberi perhatian yang serius terhadap perkembangan ilmu ini secara khusus, serta membincangkan dalam konteks masyarakat Islam hari ini.
Diantara pemikir Islam yang terkehadapan dalam memperkenalkan bidang kajian masa hadapan dan pemikiran futuristik ini ialah Prof. Ziauddin Sardar, seorang sarjana jurnalis dan penyiar Muslim yang berasal dari Pakistan iaitu tokoh yang menjadi fokus dalam tulisan ini.
Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku yang menarik berkait dengan bidang tersebut seperti buku The Future of Muslim Civilization, Islamis Futures; The Shape of Ideas to Come
dan lain-lain lagi. Kemunculan Sardar serta beberapa orang rakannya seperti Manzoor, M A Anees, Zaki Kirmani dan beberapa orang yang lain telah membuka dimensi perbincangan dan
perbahasan baru dalam pemikiran Islam masa kini.
Konsep Kajian Masa Hadapan
Apabila membincangkan persoalan yang berkait dengan Kajian Masa Hadapan, perkara utama yang perlu difahami ialah konsep masa hadapan itu sendiri. Para pengkaji masa hadapan atau futuris menganggap bahawa masa hadapan itu adalah sekarang (now) – saat ini, waktu ini. Dalam ertikata yang lebih jelas, masa hadapan adalah ruang masa yang membolehkan manusia bergerak dan bertindak. Manusia tidak mampu mengubah atau mengembalikan semula masa lalunya. Ruang waktu yang mempunyai potensi untuk dikawal manusia ialah masa hadapan, yang mana titik mulanya adalah pada saat dan waktu ini, atau masa kini.
Walaupun demikian, bidang Kajian Masa Hadapan bukan bertujuan untuk meramal masa hadapan – ia adalah suatu disiplin ilmu yang bertujuan untuk meneroka pelbagai altenatif masa hadapan yang timbul hasil daripada keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang diambil pada masa kini. Justeru ia lebih bersifat suatu ilmu alat untuk memahami perubahan-perubahan (changes) yang berlaku dalam sesuatu masyarakat serta memberi panduan dalam merencana kaedah penyesuaian diri yang perlu dilaksanakan untuk menangani perubahan tersebut.
Menurut analisa Alvin Toffler dalam bukunya yang terkenal, Future Shock, perubahan zaman sejak tiga dekad kebelakangan ini berlaku dengan kadar yang terlalu pantas sehingga menimbulkan gejala kejutan masa hadapan (future shock). Akibatnya, jutaan manusia akan mengalami perasaan kehilangan orientasi diri, serta ketidakmampuan menghadapi lingkungan secara rasional. Justeru perlunya manusia bersedia menghadapi perubahan-perubahan tersebut
melalui proses memahami fenomena perubahan, tingkat kelajuan perubahan itu sendiri serta penyesuaian terhadapnya. (Toffler. 1973. 5)
Objektif dan Eleman Penting Masa Hadapan
Hwarz et.al telah memetik pandangan Bertrand de Jouvenel, seorang futuris Perancis yang terkenal bahawa peranan Kajian Masa Hadapan adalah untuk memperjelaskan bentuk-bentuk masa hadapan yang mungkin dan mencipta imej-imej masa hadapan yang boleh dicapai dan dikehendaki (Shwarz et.al. 1982. 110). Menurut Bell pula, matlamat kajian futuris ialah untuk mengetahui sebab-sebab berlakunya sesuatu perubahan, mengkaji proses-proses dinamik yang menjadi asas pembangunan dan teknologi dan perubahan-perubahan dalam politik, ekonomi, sosial dan budaya, selain menentukan ciri-ciri perubahan yang mesti di terima oleh manusia kerana sifatnya yang di luar kawalan dan mengenalpasti ciri-ciri yang boleh di kawal oleh manusia.
Roy Amara (1998) dalam hal ini telah menggariskan enam objektif utama Kajian Masa Hadapan iaitu : -
· Mengenal pasti dan mengkaji altenatif-alternatif bagi masa hadapan.
· Mengkarekterkan tahap ketidakpastian (uncertainty) yang wujud bersama-sama dengan setiap kemungkinan atau alternatif masa hadapan.
· Mengenalpasti key areas yang menjadi signal amaran bagi masa hadapan tertentu.
· Mengkaji pelbagai rentetan kalau ----- kemudian
· Mendapat kefahaman tentang proses-proses asas dalam perubahan.
· Untuk mempertajamkan pengetahuan dan kefahaman tentang apa-apa yang kita ingini.
Kesimpulannya, Kajian Masa Hadapan adalah suatu bidang yang menjadikan masa hadapan sebagai tujuan kajian, dengan mengambilkira apa yang berlaku masa kini sebagai titik berpijak, melalui penelitian dan pemahaman terhadap fenomena-fenomena dan proses-proses perubahan yang sedang berlaku pada masa kini dan yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan. Pengkajian ini seterusnya akan membantu proses membuat keputusan dan menyediakan informasi-informasi yang relevan dalam perspektif jangka panjang yang akhirnya akan membantu seseorang individu, organisasi dan sebagainya membuat perancangan, merangka alternatif-laternatif yang sesuai untuk kebaikan dan kesejahteraan dalam kehidupan mereka pada masa hadapan. Secara ringkasnya, elemen-elemen penting dalam Kajian Masa Hadapan dapat disimpulkan sebagaimana berikut : -
• Unsur masa – iaitu masa hadapan sebagai tujuan kajian dan masa kini sebagai titik berpijak.
• Proses dan fenomena perubahan (charges) serta tingkat kelajuannya sebagai objek penelitian.
• Implikasi perubahan dari aspek positif dan negatifnya.
• Alternatif-alternatif yang perlu diwujudkan melalui perancangan dan pelan tindakan serta persediaan menghadapi risiko-risiko yang bakal timbul.
Kaedah Kajian
Dalam perkembangan bidang Kajian Masa Hadapan yang selanjutnya, pembinaan metode atau kaedah-kaedah tertentu telah dilakukan untuk memahami fenomena perubahan dan unjurannya pada masa hadapan. Justeru lahirlah pelbagai metodologi yang dicipta oleh para pengkaji masa hadapan atau futuris untuk memahami fenomena-fenomena perubahan seperti teknik Delphi, Trend Extrapolation, Simulation, Scenario-writing dan lain-lain lagi. Pembinaan metodologi ini adalah sebagai suatu garisan asas untuk membantu para futuris dalam memastikan seabsahan atau validity sesuatu ramalan (forecasting) yang di lakukan. Walau bagaimanapun, berbeza dengan disiplin ilmu yang lain, kriteria utama dalam menentukan kebaikan sesuatu usaha ramalan tersebut bukan terletak pada nilai accuracy atau keupayaannya meramal secara tepat, tetapi penekanan terhadap ‘kebergunaannya’ dalam proses membuat keputusan (decision making).
Kajian Terdahulu
Sebagai sebuah kajian yang masih baru sifatnya, bilangan penulisan yang berkait dengan Kajian Masa Hadapan dalam konteks pemikiran Islam masa kini secara khusus, relatifnya masih kecil atau sedikit. Karya paling awal yang dapat ditemui oleh penulis dalam membahaskan perspektif masa hadapan umat Islam ialah sebuah buku himpunan esei-esei yang ditulis oleh Wilfrid Scawen Blunt alam Fortnightly Review (1975) dan diberi judul The Future of Islam. Buku ini diterbitkan pada 1882 dan diulangcetak pada 1975. Ia lebih menonjolkan permasalahan dunia Islam ketika itu yang menjadi mangsa percaturan politik penjajah Barat, terutama British dan Perancis. Walaupun ditulis oleh seorang Non-Muslim, Blunt secara jelas dinyatakan bahawa umat Islam ketika itu tidak perlu takut kepada kemusnahan politik yang mereka alami, bahkan perlu menghadapinya sehingga tiba masa depan yang lebih baik bagi mereka. Blunt bagaimanapun tidak menggariskan kaedah untuk umat Islam dapat mencapai masa depan yang lebih baik.
Kalim Siddiqui dalam bukunya Towards A New Destiny (1974) walaupun tidak secara jelas, telah menunjukkan wujudnya tendensi menggunakan orientasi pemikiran futuristik dalam menangani permasalahan umat Islam masa kini. Beliau menekankan bahawa umat Islam perlu bergerak ke hadapan dan menggera para intelektual Muslim supaya menghasilkan blueiprint suatu program bagi menggaris kerangka konseptual dan operasional secara tindakan untuk membentuk dan membina kembali sistem politik dan sosio-ekonomi dalam masyarakat Islam.
Penulis yang dikenalpasti benar-benar autoritatif dengan outline dan kandungan yang jelas mengintegrasikan Kajian Masa Hadapan dengan pemikiran Islam semasa ialah karya Sardar sendiri iaitu The Future of Muslim Civilization dan Islamic Futures: The Shape of Ideas to Come, yang masing-masing telah diterbitkan pada 1979 dan 1985. Setelah proses memahami dan menerima idealisme futuristik ini berlaku di kalangan beberapa pemikir Islam yang lain, kelihatan muncul lebih banyak penghuraian dan perbahasan yang mengintegrasikan bidang Kajian Masa Hadapan ini dengan pemikiran Islam semasa.
Dalam The Future of Muslim Civillization (1988), Sardar telah menggariskan kepentingan pemikiran futuristik sebagai suatu alat membangunkan paradigma dan metodologi baru dalam memahami dan mengimplementasi ajaran Islam secara kontekstual dan praktikal untuk menjana kembali kegemilangan tamadun umat Islam. Beliau telah mengemukakan suatu model projek pembangunan semula tamadun Islam yang dinamakan Projek Umran, serta beberapa pelan tindakan yang perlu diambil oleh umat Islam, khususnya golongan intelektual.
Dalam Islamic Futures : The Shape of Ideas to Come pula, beliau menekankan secara lebih khusus matlamat utama bagi masa hadapan Islam ialah untuk menempa satu sintesis yang membawa kepada pengiktirafan bahawa Islam sebagai pandangan hidup yang lengkap boleh mewujudkan suatu suasana yang menyeluruh tentang jalan alternatif yang boleh diambil bagi kebangkitan semula tamadun Islam yang lebih dinamik dan maju (1985). Beliau telah membincangkan bentuk-bentuk pemikiran yang akan datang dalam konteks yang perlu diambil tindakan oleh umat Islam pada masa kini iaitu membina semula epistemologi Islam, menjadikan syariah sebagai kaedah menyelesaikan masalah, bentuk negara Islam dalam era pasca-industri, pengembangan teknologi yang Islamik, pendekatan dalam ekonomi Islam dan teori persekitaran Islam (Ibid).
Pada asasnya, kedua-dua karya ini boleh dianggap sebagai formulasi awal kepada suatu kerangka konseptual yang mengintegrasikan bidang Kajian Masa Hadapan dengan pemikiran Islam masa kini. Karya-karya yang muncul selepas itu disifatkan sebagai pengembangan, penghuraian dan pemantapan idea untuk mencapai tasawwur ilmu yang lebih jelas.
Dalam buku An Early Crescent: The Future of Knowledge and The Environment in Islam (1989), para penulisnya seperti Sardar dan M A Anees cuba menilai pemikiran Islam semasa dari sudut epistemologi; Sardar misalnya mengkritik program Islamisasi ilmu yang diperkenalkan oleh Faruqi kerana dianggap tidak menyelesaikan permasalahan epistemologi ilmu Islam dari akar umbinya – ia masih dibina dalam kerangka ilmu berdasarkan epistemologi Barat. Manakala Manzoor pula membahaskan tentang krisis pemikiran umat Islam yang memisahkan antara idea dengan tindakan; sementara S H Nasr, M Zaki Kirmani, Ateshin dan Ayyub Malik berusaha untuk membuka paradigma baru bersifat futuristik dalam membincangkan permasalahan Sains Moden, urbanisasi, persekitaran dan perbandaran dari perspektif Islam. Buku ini boleh dianggap menepati judulnya sebagai An Early Crescent dalam menilai kemunculan pemikiran bersifat futurisrik dalam pemikiran Islam masa kini.
Gagasan penubuhan kesatuan Negara-negara Islam kelihatannya amat futuristik dan dikongsi bersama oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi (1996) dan Siddiqui (t.t). Kedua-duanya menganggap bahawa penyelesaian masalah ummah akan dapat dicapai melalui kesatuan seluruh negara-negara Islam. Walau bagaimanapun, baik Qardhawi, mahupun Siddiqui gagal menjelaskan metodologi dan kaedah untuk mencapai gagasan tersebut secara analisis yang saintifik dan praktikal. Idea yang dilontarkan dalam kedua-dua hasil penulisan ini baik untuk direnungi, tetapi memerlukan formulasi metodologi yang lebih praktikal – jika tidak ia hanya akan tinggal angan-angan sahaja. Walaupun agak idealistik, sekurangkurangnya idea futuristik ini membuka ruang perbincangan ke arah mencari penyelesaian terhadap permasalahan umat Islam sejak kehilangan siStem khilafah yang berfungsi sebagai tunggak kesatuan ummah masa silam.
Kemunculan perbincangan mengenai kajian Masa Hadapan dalam konteks pemikiran Islam semasa di sebelah Timur Tengah banyak dipelopori oleh beberapa orang intelektual Islam seperti Al-Mahdi Al-Munjirah, Ismail Sabri ‘Abdullah, ‘Ali Nasar, Samir Amin, Sayyid Yasin, Sa’dudin Ibrahim, Hamid ‘Ammar dan lain-lain. Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Dr. Muhsin Khadr (1999), beliau menekankan kepentingan Kajian Masa Hadapan dalam memperbaiki masa depan umat Arab.
Kajian Masa Hadapan dalam Tradisi Ilmu Islam
Menilai perspektif Kajian Masa Hadapan dalam konteks pemikiran Islam masa kini, penulis berpandangan bahawa terdapat tendensi baru yang muncul di kalangan segelintir pemikir Islam sepertimana yang dinyatakan di atas untuk membuka gelanggang perbincangan baru sebagai suara alternatif kepada bentuk pendekatan atau approach dalam program Islamisasi yang bersifat konvensional – samaada kaedah yang digunakan oleh golongan tradisionalis, modernis mahupun reformis – dalam memahami dan mengimplementasikan prinsip-prinsip Islam bersesuaian dengan konteks masyarakat Islam masa kini.
Dengan perkataan lain, pendekatan yang mengintegrasikan Kajian Masa Hadapan dengan pemikiran Islam kini cuba menjana semula nilai-nilai strategis dan operasional yang terdapat kandungan ajaran Islam, dalam kerangka usaha untuk menjana kembali kegemilangan tamadun Islam yang pernah di capai oleh ummah pada masa lalu.
Proses untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam sebagai sesuatu yang tetap dan pragmatis, bersifat operasional, hidup dan dinamik bukan suatu usaha yang mudah; ia memerlukan suatu kefahaman Islam yang segar, evolusi kepada metodologi baru dan perancangan jangka panjang yang konkrit dan realistik. Peranan syariah sebagai jalan atau the way untuk mengetahui dan melaksanakan Islam – iaitu asas atau core kepada pandangan dunia Islam (world-veiw of Islam) – bukan semata-mata sebagai suatu bentuk perundangan, tetapi juga etika dan metodologi.
Bertolak daripada premis ini, Sarjana Islam kontemporari Prof. Ziauddin Sardar menganggap bahawa pemahaman semula syariah sebagai suatu sistem etika dan metodologi penyelesaian permasalahan masa kini ke arah mentansformasi masyarakat Muslim masa kini secara struktur dan intelektualnya memerlukan suatu studi yang sistematik, berdasarkan perspektif yang bersifat futuristik (1998. kata pengantar). Hal tersebut telah diperbahas oleh beliau dalam beberapa buah bukunya, sepertimana yang telah dinyatakan di atas.
Dalam hal ini, penulis melihat terdapat evolusi perkembangan dalam pemikiran Islam yang menarik untuk dikaji. Dari segi sejarahnya, perkembangan pemikiran Islam telah mengalami pelbagai tahap – sehingga pada suatu masa, ia dianggap mengalami era kejumudan dan kebekuan. Permasalahan ini telah menjadi objek kajian dan perbahasan para intelektual dan pemikir Islam mutakhir, seperti Abduh, Iqbal, Shari’ati, Muttahri, Bennabi, Faruqi dan sebagainya berdasarkan perspektif dan interpretasi mereka yang tersendiri.
Pada pandangan penulis, kupasan dan perbahasan yang telah dilakukan oleh para intelektual dan pemikir Islam tersebut secara umumnya dianggap penting bagi zaman, situasi dan lingkungan yang mereka hadapi. Upaya yang telah mereka lakukan dalam membongkar permasalahan yang menimpa umat Islam setelah berlakunya kejatuhan pemerintahan khilafah Uthmaniyyah tersebut cukup signifikan dalam proses mengenalpasti permasalahan tersebut hingga ke akar umbi, serta usaha-usaha untuk mengatasinya dalam konteks yang bersesuaian dengan zaman, situasi dan lingkungan mereka.
Walau bagaimanapun, dalam menghadapi proses transisi menuju alaf baru, dengan keragaman bentuk cabaran dan permasalahan baru yang timbul hasil perkembangan era globalisasi tanpa sempadan dan kemunculan suatu bentuk penjajahan baru yang dinamakan virtual colonialisme. (Sardar. 1998), umat Islam memerlukan paradigma pemikiran serta metodologi penyelesaian masalah yang baru dan berupaya memenuhi keperluan untuk survival mereka dalam zaman, situasi dan lingkungan yang lebih mencabar.
Berdasarkan analisa Malik Bennabi, umat Islam telah mengalami proses kemerosotan atau degeneration selepas zaman Al-Muwahhid di Andalus. Punca utama kemerosotan ini terletak pada pemikiran umat Islam dalam memahami ajaran agamanya. Justeru menurut penilai Bennabi, fungsi sosial agama telah kehilangan signifikannya. Dalam ertikata lain, penghayatan agama tidak memberi implikasi yang besar dalam membangunkan nilai intelektual, kehidupan dan ketamadunan umat Islam. (Bennabi. 1990)
Menurut penilaian penulis, pokok permasalahan yang di bincangkan oleh Bennabi masih kelihatan releven dengan situasi umat Islam hari ini. Justeru, walaupun kuantiti umat islam mencapai satu billion, sementara negara-negara mereka pula rata-ratanya kaya dengan pelbagai sumber semulajadi, umat Islam masih mundur dan jauh terkebelakang berbanding umat-umat lain. Hal ini sebahagian besarnya berpunca daripada ketidakupayaan umat Islam memahami dan mengimplementasi nilai-nilai dinamis dan operasional dalam ajaran Islam, di samping tidak pula berusaha menguasai keperluan-keperluan kehidupan zaman pascamoden seperti pembangunan teknologi, penyelidikan, komunikasi media dan sebagainya. Kelemahan umat Islam menguasai bidang-bidang strategis ini menjadikan mereka mangsa yang berterusan kepada peradaban Barat.
Kajian Masa Hadapan Di Asia Tenggara
Dalam konteks rantau Asia Tenggara pula, kelihatan perbincangan mengenai masa depan telah mendapat perhatian para sarjana dan ilmuan Islam di Indonesia. Hal ini dapat dikesan melalui beberapa penulisan yang dihasilkan oleh intelektual seperti Dr. Fuad Amsyari berjudul Masa Depan Umat Islam Indonesia: Peluang dan Tantangan serta himpunan artikel yang disunting oleh Muntaha Azhari dan Abd. Mun’im Saleh berjudul Islam Indonesia Menatap Masa Depan. Amsyari dalam bukunya Masa Depan Umat Islam Indonesia: Peluang dan Tantangan (1993) telah membincangkan persoalan masa depan umat Islam Indonesia dalam kehidupan sosial dan politiknya, di samping mengemukakan model masyarakat ideal bagi Indonesia pada masa hadapan. Beliau juga turut membincangkan rintangan-rintangan yang dihadapi serta prioriti-prioriti yang perlu diambil perhatian oleh umat Islam Indonesia ke arah masa depan yang lebih cerah, termasuk peranan ukhuwwah Islamiyyah dan gerakan dakwah dalam mencapai cita-cita tersebut. Secara keseluruhannya, aspek perbincangan yang dibawa oleh Amsyari sangat menarik dan mencabar serta mampu membuka ruang perbincangan yang segar dalam mengintegrasi pemikiran futuristik dan Kajian Masa Hadapan dalam pemikiran Islam semasa secara kontekstual dan praktikal.
Perbahasan yang dikemukakan oleh pelbagai penulis seperti Arief Budiman, Muchtar Buchori, Masdar F. Mas’udi, Sudirman Tebba dan lain-lain dalam buku Islam Indonesia Menatap Masa Depan (1989) juga dianggap menarik, cuma lebih bersifat menghuraikan beberapa konsep umum dalam Islam seperti ekonomi, keadilan sosial, epistemologi, pendidikan dan lain-lain dari perspektif Islam, berdasarkan konteks masyarakat Islam Indonesia serta beberapa alternatif yang perlu diteroka untuk mencapai masa hadapan yang lebih baik. Berbanding karya Amsyari, buku ini dianggap lebih bersifat perbincangan awal terhadap persoalan berkait masa hadapan umat Islam Indonesia, justeru formulasi ideanya diperingkat penerokaan asas-asas dalam konsep umum Islam berdasarkan perspektif yang cuba meraikan paradigma alternatif yang baru. Sementara di Malaysia pula, perbincangan hal ini kelihatan masih terlalu minimum. Penyebutan tentang masa hadapan hanya sekadar memenuhi kehendak psikologi masyarakat dalam agenda memajukan diri, masyarakat dan negara. Tidak ada lagi kajian-kajian khusus yang konprehensif mengenai masa hadapan. Namun perencanaan asas sudah ada. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memulakan dengan Wawasan 2020. Kini wawasan itu diterima oleh rakyat Malaysia dan di tiru oleh negara-negara lain di dunia Islam.
Penutup
Penulis berpandangan bahawa kajian ini cukup signifikan dan relevan bersandarkan beberapa alasan penting iaitu : -
Kurangnya perbincangan dan pengkajian tentang bidang Kajian Masa Hadapan dan pemikiran futuristik dalam jurus pandangan ilmu-ilmu Islam, sedangkan para intelektual Barat telah mula meneroka, membina epistemologi bidang ilmu ini dan mengaplikasikannya dalam bentuk perancangan untuk terus mendominasi negara-negara umat Islam secara khusus dan dunia ini secara umum. Keadaan yang wujud ini menyebabkan umat Islam akan terus menjadi mangsa kepada suatu peradaban yang paling rakus dalam sejarah umat manusia iaitu peradaban Barat. Untuk keluar daripada cengkaman tersebut, umat Islam perlu kepada metodologi baru dalam memahami permasalahan dunia pascamoden dan mencari penyelesaian yang sesuai dan berkesan untuk kesinambungan survival ummah pada masa akan datang.
Penerokaan terhadap bidang Kajian Masa Hadapan dan pemikiran futuristik dalam pemikiran Islam masa kini secara lebih serius diharapkan dapat memberi suatu paradigma alternatif yang akan membantu umat Islam merangka dan merancang seterusnya membuat pelan tindakan untuk menjana semula kegemilangan tamadun Islam.
Pendekatan lama dalam memahami ajaran Islam memerlukan penilaian semula, dalam ertikata bukan untuk ditolak sepenuhnya, tetapi dengan menyuntik input-input serta metodologi baru yang lebih signifikan dan relevan dengan perkembangan semasa.
Analisis perkembangan pemikiran Islam semasa dari perspektif futuristik mempunyai kepentingan jangka panjang, kerana ia membantu memahami permasalahan dalam pemikiran Islam masa kini secara lebih holistik kerana perancangan terhadap masa hadapan perlu mengambilkira faktor masa lalu dan masa kini.
Bibliografi
Al-Qardawi, Yusuf Abdullah. 1996. Wawasan Islam Antara Keaslian dan Kemodenan. (Terj.) Ahmad Nuryadi Asmawi. Thinker’s Library. Selangor.
Al-Qardawi, Yusuf Abdullah. 1996. Membangun Ummah: Suatu Kenyataan Bukan Khayalan. (Terj.) Ahmad Nuryadi Asmawi. Thinker’s Library. Selangor.
Al-Qardawi, Yusuf Abdullah. 1999. Tamadun Islam: Alternatif Masa Depan. (Terj.) Juanda Jaya. Maktabah al-Qardawi. Selangor
Amsyari, Fuad Dr. 1993. Masa Depan Umat Islam Indonesia. Penerbit Al-Bayan. Bandung.
Amara, Roy. 1974. The Future Field: Functions, Forms and Critical Issues. Futures Vol. 6 No. 4. IPC Science Technology Press, UK.
Bennabi, Malik. 1994. The Problems of Ideals in the Muslim World. (Trans.) Angkatan Belia Islam Malaysia. Kuala Lumpur.
Bennabi, Malik. 1998. On The Origins of Human Society. (Trans.) Mohamed Tahir El-Mesawi. The Open Press Kuala Lumpur.
Blunt, Wilfrid Scawen. 1975. (Edisi Ulang Cetak) 1882 (Cetakan Pertama). The Future of Islam. Sind Sagar Academy. Lahore.
Sardar, Ziauddin. 1990. Masa Hadapan Islam: Bentuk Idea Yang Akan Datang. (Terj.) Mohd Sidin Ahmad Ishak. Dewan bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Sardar, Ziauddin. 1989. Explorations in Islamic Science. Mansall Publishing Limited. London.
Sardar, Ziauddin. 1988. The Future of Muslim Civilization. Pelanduk Publications. Selangor.
Sardar, Ziauddin. (ed). 1989. An Early Crecent: The Future of Knowledge and Environment in Islam. Mansell Ltd. London.
Sardar, Ziauddin. 1985. Argument for Islamic Science. Centre for Science Studies, Aligarh.
Sardar, Ziauddin. Sains, Teknologi dan Pembangunan di Dunia Islam (Terj.) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur.
Sardar, “Islamic Science or Science in Islamic Polity: What is the Difference? “MAAS Journal of Islamic Science, 1 (1) Jan. 1985 dalam munawar Ahmad Anees dan Merryl Wyn Davis “Islamic Science; Current Thinking and Future Directions”, The Revenge of Athena: Science, Exploitation and The Third World, p.256, sardar (ed.) Mansell Publishing Ltd. London & New York 1988.
Sardar Ziauddin. 1982. Why Islam Needs Islamic Science? New Scientist, 94, 25-8.
Schwarz, Brita et.al 1982. Methods in Futures Studies: Problems and Application. Westview ress. Colorado.
Siddiqui, Jawaed Ul-Haq. T.t. 21st Century and The Birth of The United Nations of Islam. USI Publications. Karachi.
Siddiqui, Kalim. 1974. Towards A New Destiny. The Open Press. England.
Stevenson, Tom dan Inayatullah, Sohail. Futures-Oriented Writing and Research. Futures Vol. 30. No.1. 1988. Elsevier Science Ltd. UK.
Toffler, Alvin. 1970. Future Shock. Bantam Books. New York.
Toffler, Alvin. 1980. The Third Wave. Bantam Books. New York.
Toffler, Alvin. 1990. Powershift. Bantam Books. New York.
Toffler, Alvin and Heidi. 1993. War and Anti War. Warner Books. USA.
Prof. Madya Dr. Idris Zakaria
Wan Fariza Alyati Wan Zakaria
Jabatan Usuludin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi
Selangor
0 Response to "JURNAL ILMUWAN ISLAM DAN KEPENTINGAN KAJIAN MASALAH MASA DEPAN"
Posting Komentar