BAB 3
METODOLOGI ANALISIS FALSAFAH
3.0 Pengenalan
Dalam bab ini pengkaji akan menerangkan tentang mengenai reka bentuk kajian, penyelidikan dalam bidang falsafah di antaranya inkuiri sebagai salah satu pendekatan dan metode yang dugunakan dalam penyelidikan falsafah pendidikan. Penyelidikan dalam bidang falsafah menggunakan pelbagai pendekatan dan metode-metode tersendiri dalam menyelesaikan permasalahan pendidikan semasa. Falsafah pendidikan umum mempunyai pendekatan dan metode tersendiri, begitu pula dengan falsafah pendidikan Islam.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Dalam menentukan jawapan terhadap soalan-soalan kajian yang telah dibuat, beberapa cara untuk mencari pendekatan atau metode kajian yang telah diteliti dan diperhatikan. Kajian ini menggunapakai pendekatan yang sesuai untuk menjawab soalan-soalan kajian. Metode yang yang digunakan ialah kaedah analisis falsafah yang merupakan kaedah penyelidikan dalam bidang falsafah.
Metode yang digunapakai adalah bertujuan untuk menganalisis perbezaan dan persamaan konsep dalam perspektif perbandingan merujuk tokoh yang dikaji. Memandang kaedah ini jarang digunakan, maka tidak ramai yang memahami kaedah ini. Oleh itu perbincangan seterusnya tentang kaedah ini.
3.2 Inkuiri Sebagai Kajian Dalam Bidang Falsafah Pendidikan
Pendidikan merupakan suatu tanggungjawab moral, oleh itu praktikal dalam pendidikan mesti terbuka kepada sebuah penyelidikan (Koetting & Malisa, p. 1009). Penyelidikan dalam falsafah pendidikan dalam pandangan Koetting dan Malisa melibatkan inkuiri falsafah. Inkuiri falsafah merupakan kajian falsafah yang bertujuan sama ada untuk menguji teori, menganalisis, mengkritik, bertanya soalan dan menyatakan permasalahan dalam bidang yang dikaji. Suatu teori boleh didapatkan daripada sistem pemikiran, situasi sosial, politik, dan juga situasi ekonomi serta dibina melalui praktikal (p. 1009). Apakah suatu teori berlaku dalam keadaan sosial? Apakah suatu teori atau pemikiran dalam pendidikan mahupun falsafah pendidikan relevan dengan pendidikan semasa? Apakah sistem pemikiran setiap individu mempunyai persamaan mahupun perbezaan? Apakah suatu pemikiran boleh dikritik dan digubal dengan pemikiran yang baru dan lebih baik? Kesemua soalan-soalan itu dapat diperolehi melalui inkuiri falsafah sebagai penyelidikan falsafah.
Inkuiri dipandu oleh falsafah dalam menjawab soalan-soalan daripada isu-isu yang berkembang. Isu-isu yang timbul dalam asas inkuiri falsafah dapat dilihat dalam pelbagai masalah-masalah berikut: (1) Masalah akal (the mind body problem), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin bagi objek yang perlu kepada fikiran. (2) Masalah identiti pribadi (problem of personal identity), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin bagi seseorang untuk berubah dan lagi kekal bagi orang yang sama. (3) Masalah kebebasan (problem of free will), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin untuk tindakan yang ditentukan sebab-akibat yang jelas. (4) Masalah keburukan (probelm of evil), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin untuk kejahatan di dunia yang diciptakan oleh semua yang berkuasa, semua makhluk mengetahui dan semua orang yang baik. (5) Masalah berhubungkait moral (problem of moralrelativism), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana mungkin ia menjadi moral yang berlaku (standards) dan kekal. (6) Masalah pengetahuan (problem of skepticism), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin menjadi pengetahuan (Schick dan Vaughn, 1998; p. 5).
Mereka mengatakan bahawa masalah-masalah falsafah tersebut timbul daripada kesedaran sebahagian individu yang mempunyai asas kepercayaan-kepercayaan seakan-akan tidak konsisten dan selari dengan sesuatu yang lain. Bagi mewujudkan sistem kepercayaan yang konsisten dan selari adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan, ianya tidak boleh hanya pemikiran dan perlakuan individu sahaja tetapi ia bergantung kepada kebenaran dan realiti dalam masyarakat. Inkuiri falsafah mencuba mengasingkan perkara yang tidak konsisten dan selari daripada sistem kepercayaan tersebut.
Koetting dan Malisa mengatakan inkuiri falsafah adalah berkenaan dengan cabang-cabang falsafah mengenai realiti, pengetahuan dan juga nilai (p. 1009). Falsafah tradisional Barat yang telah bergumul dengan pelbagai soalan-soalan, misalnya: apakah realiti itu? (soalan metafizik), Bagaimana kita boleh mengetahui? (soalan epistimology), apakah itu nilai? (soalan aksiologi). Mengetahui dan memahami soalan-soalan tersebut itulah kajian dalam falsafah. Greene (1974) menyebutkan tanggapan inkuri dimulai dengan menggunakan falsafah, daripada inkuiri dalam mengkaji suatu perkara.
Akhirnya dapat dinyatakan bahawa untuk mendapatkan hasil daripada kajian ini maka digunakan inkuiri falsafah sebagai langkah dalam menetapkan, menganalisis, mensintesis pandangan dan pendapat tentang konsep akhlak dalam realiti, pengetahuan dan nilai daripada pandangan dua tokoh falsafah yang dikaji.
3.3 Pendekatan Dalam Inkuiri Sebagai Analisis Falsafah
Dalam menentukan jawapan terhadap permasalahan-permasalahan dalam penyelidikan falsafah dan falsafah pendidikan, ada beberapa cara dengan pelbagai pendekatan yang digunakan. Apabila kita melihat perhubungan falsafah, penyelidikan dan pendidikan sebagai sebuah ujian untuk membezakan pendekatan-pendekatan dalam kajian falsafah. Wingo (1974) menyatakan bahawa kita boleh menggunakan pendekatan dalam kajian falsafah melalui tiga cara: deskriptif, normatif dan analisis. Cara-cara itu boleh juga dilihat sebagai fungsi utama dalam kajian falsafah. Dari pandangan Wingo (1974) tersebut Koetting dan Malisa juga menyebutkan bahawa inkuiri falsafah boleh dengan pendekatan deskriptif, normatif dan analisis, ia boleh juga dengan suatu pentafsiran mahupun kritikal dan inkuiri falsafah juga sebagai penyelidikan dalam falsafah.
Koetting dan Malisa (p. 1012) memberikan kritik kepada Anderson (1990) dalam perbincangannya tentang falsafah dan penyelidikan tetapi mereka mengakui perbincangan Anderson (1990) tepat dan mewakili perbincangan tentang inkuiri falsafah sebagai analisis falsafah. Anderson (1998) menyatakan terdapat beberapa pandangan utama daripada tokoh yang melibatkan diri dalam penyelidikan. Termasuk analisis falsafah, analisis konsep, isu-isu pendidikan dalam falsafah tradisional, menguji pengetahuan dan pandangan dalam aksiologi, kritis dan sebagainya. Ia menekankan pemikiran kritis, dan analisis konsep dan teori sebagai bidang dalam inkuiri falsafah. Proses itulah sebagai model inkuiri falsafah, langkah dalam melakukan penyelidikan falsafah (Koetting dan Malisa, p. 1012).
Penyelidikan falsafah melalui analisis falsafah sebagai satu metode analisis bahasa untuk menjelaskan dan menubuhkan maksudnya. Analisis falsafah sebagai satu gerakan dalam falsafah pendidikan yang berfungsi untuk pengujian dan pembahagian bahasa sama ada dari segi wacana mahupun saintifik (Gutek, 1997). Gutek menjelaskan tokoh-tokoh falsafah pendidikan yang membangunkan asas daripada analisis falsafah iaitu G. E. Moore (1873-1958) dan Bertrand Russel (1872-1970). Kedua-dua mereka telah berfokus dalam analisis bahasa dari segi wacana mahupun saintifik. mereka juga membincangkan persoalan spekulatif metafizik sebagai salah satu pendekatan falsafah.
Pendekatan falsafah ini kemudian dibincangkan oleh Kneller (1971), ia membahagikan pendekatan falsafah kepada tiga cara iaitu: spekulatif, preskriptif (normatif), dan analisis. Abdul Khobir (2007) menambahkan satu pendekatan lain iaitu analisis saintifik terhadap realiti kehidupan. Pendekatan-pendekatan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan dan persoalan dalam falsafah pendidikan. Metode penyelidikan yang digunakan dalam bidang falsafah kerap menggunakan dan dibincangkan melalui metode analisis (Kneller, 1971; Wingo, 1974; Anderson, 1998; & Abdul Khobir, 2007).
Kiranya penting memahami ketiga pendekatan yang digunakan dalam bidang falsafah untuk mencapai langkah-langkah yang baik dan sempurna dalam sesebuah kajian. Pertama, pendekatan spekulatif (speculative approach), yang bererti memikirkan, mempertimbangkan, juga membayangkan dan menggambarkan tentang sesuatu objek untuk mencari hakikat yang sebenar (Abdul Khobir, 2007). Manakala Kneller (1971) menjelaskan pendekatan spekulatif ialah satu cara pemikiran yang sistematik mengenai semua yang wujud. Pandangan kedua-duanya sama-sama bertujuan mengetahui hakekat atau wujud yang sebenarnya. Abdul Rahman Md. Aroff & Zakaria Kasa, (2000) falsafah spekulatif ialah usaha untuk mencari satu kesepaduan bagi semua pemikiran dan pengalaman. Spekulatif merupakan satu proses mencari susunan dan keseluruhan yang tidak hanya kepada sesuatu item atau pengalaman tertentu sahaja, tetapi kepada semua pengetahuan dan pengalaman. Misalnya: apakah hakikat manusia? Bagaimana hakikat kehidupan? apakah hakikat pendidikan itu? Apakah hakikat kebahagiaan? Apakah hakikat akhlak? Dan sebagainya. Dalam melihat dan mengkaji hakikat itu semua tidak melihat satu item sahaja tetapi melihat, mencari, memikirkan, menggambarkan keseluruhan susunan item yang wujud dalam hakikat tersebut.
Kedua, mengikut Kneller (1971) pendekatan normatif (normative approach) ialah menetapkan standard untuk mempertimbangkan nilai etika dan estetika. Abdul Khobir (2007) juga mengertikan sebagai usaha memahami nilai-nilai atau norma-norma yang berlaku dalam kehidupan manusia dan proses pendidikan serta hubungan antara norma dan nilai tersebut dalam pendidikan. Preskriptif atau normatif mengkaji apa yang dikatakan baik dan buruk, betul dan salah, cantik dan hodoh. Apakah kualiti-kualiti tersebut terdapat dalam perkara-perkara itu sendiri atau sama ada ia hanya muncul dalam fikiran manusia sahaja. Pandangan ahli psikologi dan ahli falsafah preskriptif berbeza, ahli psikologi hanya melihat perlakuan manusia sahaja sedangkan ahli falsafah preskriptif mencari untuk menentukan apakah tindakan dan kualiti yang berfaedah dan kenapa ia begitu. (Abdul Rahman Md. Aroff & Zakaria Kasa, 2000).
Ketiga, pendekatan analisis konsep (conceptual analysis), Kneller (1971) berpandangan analisis konsep memberi tumpuan kepada perkataan dan makna perkataan-perkataan tersebut. Pandangan ini selaras dengan pendapat Gutek (1997) tentang analisis falsafah yang mengkaji dari segi bahasa atau perkataan. Sedangkan Abdul Khobir (2007) menjelaskan analisis konsep dimaksudkan untuk memahami konsep para ahli pendidikan dan para pendidik mengenai masalah yang berhubungan dengan pendidikan. Misalnya konsep jiwa, konsep anak, konsep akhlak, dan pelbagai konsep lainnya. Manakala Abdul Rahman Md. Aroff & Zakaria Kasa (2000) analisis falsafah juga menganalisis kenyataan-kenyataan spekulatif dan preskriptif untuk mempertimbangkan makna-maknanya yang berbeza dalam konteks yang berlainan.
Untuk mendapatkan maklumat serta dokumen yang berkaitan dengan penyelidikan ini. Maka, berdasarkan kepada tiga pendekatan yang dikemukakan di atas, kajian ini menggunapakai pendekatan analisis konsep (conceptual analysis) dalam menjawab soalan-soalan kajian. Kemudian data yang didapatkan seperti buku, jurnal, kertas kerja dan lain-lainnya di analisis melalui analisis konsep. Metode analisis falsafah merupakan langkah yang tepat dalam menyelesaikan permasalahan dan persoalan dalam falsafah pendidikan.
0 Response to "Bab III AKHLAK PELAJAR DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI PONDOK"
Posting Komentar