SHOPEE AFFILIATES

SHOPEE AFFILIATES
KLIK GAMBAR GABUNG SEKARANG JUGA

Penyelidikan Dalam Pendidikan Analisis Perbandingan Pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh Dalam Konsep Akhlak



Tugasan  PXGZ 6101: Penyelidikan Dalam Pendidikan


Proposal Kajian



Tajuk :
“Analisis Perbandingan Pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh Dalam Konsep Akhlak”

Disediakan oleh : Zulfahmi (PGZ110002)




Pensyarah :
Dr. Zawawi Bin Ismail


                                                                                                       



Mei, 2012
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya





KANDUNGAN

                                                                                                                        Muka Surat
KANDUNGAN......................................................................................................        i
BAB 1 PENDAHULUAN.....................................................................................        1
1.0              Pengenalan...................................................................................................        1
1.1              Latarbelakang Masalah................................................................................        2
1.2              Pernyataan Masalah.....................................................................................        3
1.3              Objektif Kajian............................................................................................        6
1.4              Soalan Kajian...............................................................................................        7
1.5              Kepentingan Kajian ....................................................................................        7
1.6              Limitasi Kajian.............................................................................................        8
1.7              Definisi Istilah..............................................................................................        9

BAB 2 SOROTAN KAJIAN TENTANG AKHLAK...........................................        11
2.0              Pengenalan...................................................................................................        11
2.1              Konsep Akhlak Dalam Islam.......................................................................        11
2.1.1             Definisi Akhlak..............................................................................        12
2.1.2             Sumber dan Komponen Akhlak....................................................        14
2.1.3             Asas-asas Akhlak Dalam Islam......................................................        18
2.2      Pandangan Tentang al-Ghazali dan Ibn Miskawayh....................................        21
2.2.1..... Pandangan Tentang al-Ghazali......................................................        21
2.2.2..... Pandangan Tentang Ibn Miskawayh.............................................        23

BAB 3 METODOLOGI ANALISIS FALSAFAH...............................................        25
3.0              Pengenalan...................................................................................................        25
3.1              Reka Bentuk Kajian.....................................................................................        25
3.2              Inkuiri Sebagai Kajian Dalam Bidang Falsafah Pendidikan........................        25
3.3              Pendekatan Dalam Inkuiri Sebagai Analisis Falsafah..................................        27




BAB 1
PENDAHULUAN

1.0              Pengenalan
Melalui pendidikan manusia dapat mempelajari semua konsep dan pelbagai aspek dalam kehidupan  demi menjaga kelangsungan hidup manusia. Manusia dapat membentuk sebuah peradaban yang mantap dan sempurna melalui akhlak yang mulia. Sejarah telah menyaksikan bahawa antara sebab yang membawa kemusnahan dan kehancuran sesuatu bangsa ialah akibat daripada kerakusan manusia dan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan serta akhlak dalam kehidupan (Asmawati Suhid, 2009). Hal ini menjadi sebuah pemikiran bahawa pendidikan akhlak mesti berlaku sepanjang perjalanan hidup manusia agar tamadun dapat menjaga kelestarian akhlak manusia seutuhnya.
Dalam era globalisasi sekarang ini terjadi pelbagai isu akhlak dan moral dalam semua kalangan sebagaimana yang diperkatakan oleh Ismail Ibrahim (1996). Menurut Ismail Ibrahim (1996) pula bahawa isu peradaban dan akhlak tidaklah merupakan persoalan dalam kalangan remaja sahaja, persoalan ini sebenarnya merupakan persoalan yang menyeluruh yang melibatkan hampir semua golongan dan kategori sosial. Melalui media terlihat jelas akhbar-akhbar tentang praktik rasuah, jenayah, unsur-unsur pergolakan nafsu seksual, salah laku pendidik dan pelajar di sekolah yang berlaku di Malaysia, Indonesia dan di pelbagai negara-negara Islam lainnya. Sebenarnya agama institusi pendidikan dan lingkungan memainkan peranan penting mengatasi persoalan dan isu akhlak yang meresahkan semua pihak (Imran Effendy, 2003).
Sejak awal peradaban Islam sehingga sekarang persoalan dan isu akhlak terus diperbincangkan dari semasa ke semasa, oleh itu kajian ini juga berhasrat mengkaji pemikiran-pemikiran mengenai konsep akhlak secara integrasi untuk mencapai sebuah maklumat dan konsep yang menyeluruh dan sesuai dengan isu-isu semasa.

1.1              Latar Belakang Masalah
Salah satu misi utama agama Islam adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Akhlak yang mulia dalam Islam merupakan sikap punca yang harus dimiliki oleh setiap muslim. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya saya diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” Seseorang yang hendak memperoleh kebahagian yang sebenar (al-sa’adah al-haqiqiyah), mesti menjadikan akhlak sebagai asas dalam bertindak dan berperilaku. Namun sebaliknya orang yang tidak memperdulikan pembentukan akhlak ialah orang yang tidak memiliki erti dan tujuan hidup.
Di era moden seperti sekarang ini, sekurang-kurangnya terdapat tiga fungsi akhlak dalam kehidupan manusia. Ketiga fungsi akhlak menurut Franz Magnis Suseno (1987) Pertama, ia dapat dijadikan sebagai panduan dalam memilih apa yang boleh diubah pakai dan apa pula yang harus dikekalkan. Kedua, dapat dijadikan sebagai ubat penawar dalam menghadapi pelbagai idea moden (seperti materialisme, hedonisme, radikalisme, marxisme sekularisme dan lain-lain). Ketiga, dapat dijadikan sebagai penghalang dalam menghadapi perilaku salah laku daripada pengaruh globalisasi.
Untuk melahirkan seorang individu yang mempunyai akhlak yang sempurna dan seimbang dari segi rohani, emosi, akal, dan jasmani memerlukan kepada usaha-usaha yang bertungkus lumus dari semua pihak yang terlibat dalam pendidikan akhlak. Pembentukan akhlak dan budi pekerti, bukanlah masalah yang baru muncul saat ini. Dalam sejarah perkembangan pemikiran Islam, ditemukan beberapa tokoh yang melibatkan diri dalam bidang ini. Di antara tokoh-tokoh yang membincangkan tentang akhlak iaitu al-Kindi, al-Farabi, Ikhwan al-Shafa, Ibn Sina, al-Ghazali, Ibn Miskawayh dan lain-lain. Al-Ghazali dan Ibn Miskawayh adalah dua tokoh yang sangat kerap membincangkan dan mengembangkan wacana etika dalam Islam.
Perbincangan tentang akhlak dapat ditelusuri melalui karya-karya mereka dalam pelbagai buku karangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh. Dalam buku Dialektika Islam karangan Fuad Moh. Fachruddin (1970) beliau mengatakan pandangan Ibn Miskawayh bahawa tujuan utama daripada agama ialah membangkitkan budi pekerti yang luhur. Beliau menambahkan tidak dapat sempurna melainkan dengan kepercayaan, bahawa agama adalah satu latihan budi pekerti bagi jiwa. Al-Ghazali t.t. dalam bukunya Ihya Ulumuddin, mentakrifkan bahawa khuluq ialah suatu sifat yang tetap pada jiwa, yang daripadanya muncul perbuatan-perbuatan dengan mudah, dengan tidak membutuhkan kepada fikiran. Perbandingan beberapa konsep akhlak antara kedua-dua tokoh ini dikemukakan, yang akhirnya dapat melihat persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya yang menjadi asas pemikiran konsep akhlak mereka. Oleh itu, suatu penyelidikan dan kajian yang berhubungkait dengan akhlak amat diperlukan untuk mencari suatu kaedah yang terbaik dalam pendidikan akhlak.

1.2       Pernyataan Masalah
Kajianini cuba membandingkan dan menganalisis pemikiran tentang konsep akhlak menurut al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani. Perbandingan tersebut mengambil kira asas, falsafah dan pandangan agama antara kedua-dua mereka tentang masalah yang dikaji. Anderson (1998) mengatakan untuk mengembangkan kefahaman pendidikan dengan menjelaskan konsep pendidikan, kepercayaan, pendapat, andaian (p. 7). Sebagai contoh analisis falsafah pendidikan mencuba untuk memahami soalan-soalan seperti: apakah konsep akhlak? Bagaimana kefahaman tentang konsep akhlak? Apakah persamaan konsep akhlak daripada pandangan mereka? Apakah perbezaan konsep itu pula? Daripada soalan-soalan tersebut pengkaji dapat melihat perbezaan dan persamaan pemikiran tentang konsep akhlak yang dipraktikkan oleh al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Antara kajian lepas ialah seperti kajian yang dikaji oleh Azizah Binti Zakaria (2004) terhadap beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali, dalam kajian ini pengkaji merumuskan bahawa etika al-Ghazali adalah suatu etika yang komprehensif. Seterusnya pengkaji hanya melihat dan mengkaji etika al-Ghazali dalam aspek keilmuan (intelek) dan tidak menyentuh aspek yang lain. Mohd Rusli Bin Hussain (2003), kajiannya tentang pembangunan insan melalui perbandingan pemikiran antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun. Dalam kajian ini penulis menyimpulkan bahawa al-Ghazali dengan terperinci dan spesifik membincangkan pembangunan aspek dalaman amat sesuai untuk dijadikan sebagai asas yang penting dalam merangka dan menjalankan program pembangunan insan dari pelbagai aspek seperti aspek rohani, hati, jiwa, dan akal. Kekurangan dan kelemahan al-Ghazali berbanding Ibn Khaldun dalam mengaitkan manusia dengan unsur luaran kerana unsur luaran merupakan unsur sampingan yang hanya sesuai digunakan mengikut kesesuaian sesuatu kelompok, ianya bukan perkara dasar yang menjadi kemestian dalam pembangunan insan. Bagaimana persamaan dan perbezaan itu boleh berlaku? Apakah punca persamaan dan perbezaan itu? Apakah persamaan dan perbezaan juga berlaku dalam pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh?
Mohd Jais Anuar Bin Ahmad (2003) yang mengkhususkan kajian kepada pembinaan sahsiah diri terhadap pemikiran falsafah akhlak Ibn Miskawayh menerusi kitab Tahdhibul Al-Akhlaq. Kajian ini membincangkan pemikiran Ibn Miskawayh mengenai ketokohannya dalam menghuraikan falsafah akhlak secara terperinci. Pemikiran falsafah akhlak telah dicorakkan melalui gabungan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang pernah beliau lalui. Terdapat juga kajian yang dilakukan oleh Mohd Sullah (2010) yang membandingkan konsep pendidikan akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibn Miskawayh, memfokuskan kepada pendidikan akhlak dari aspek karya, hakikat manusia dan konsep pendidikan akhlak daripada kedua-dua tokoh.
Berdasarkan kajian lepas yang telah dilakukan terlihat jelas bahawa al-Ghazali dan Ibn Miskawayh kerap membincangkan konsep akhlak dalam pelbagai perspektif. Abubakar Aceh (1982) dalam Sejarah Filsafat Islam mengkategorikan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aliran moral dan akhlak. Antara kajian lepas yang tersebut di atas terdapat tajuk yang hampir sama dengan kajian penulis, namun sudut fokus dan penumpuan kajian berbeza. Kajian ini penulis lebih berfokus kepada perbandingan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam beberapa aspek kajian.
Al-Ghazali adalah seorang tokoh falsafah jalan tengah dan juga ahli tasawuf, serta ulama Islam yang tersohor dan amat kerap dibincangkan dalam pelbagai penyelidikan ilmiah. Beliau juga dikenal dengan Hujjatul Islam dengan karyanya yang paling popular Ihya al-Din dan banyak karya-karya beliau yang lain yang membincangkan tentang akhlak dalam pelbagai dimensi kehidupan. Pemikiran al-Ghazali berasaskan kepada al-Quran dan al-Hadith dan perjalanan hidupnya yang mencari kebenaran melalui akal (falsafah) sehingga pemikiran al-Ghazali banyak yang bertentangan dengan pemikiran-pemikiran failasuf Yunani. Justeru itu penulis merasa terpanggil meneroka dan mengkaji pemikiran beliau dalam konsep akhlak.
Ibn Miskawayh adalah seorang tokoh falsafah yang kerap membincangkan tentang etika dalam Islam. Karyanya yang paling popular iaitu Tahdhibul Akhlaq dan beberapa karya yang lain juga berhubungkait dengan akhlak. Ia adalah seorang Parsi, yang mula-mula beragama Majusi, kemudian masuk Islam dan menjadi seorang pemikir dalam pelbagai bidang khasnya dalam etika Islam. Pemikiran Ibn Miskawayh banyak dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran failasuf Yunani seperti Plato, Aristotle, Sokrates dan lainnya. Hal ini yang mendorong penulis untuk mengkaji lebih mendalam pemikiran Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak.
Pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh sama-sama berasaskan al-Quran dan al-Hadith dan juga dipengaruhi oleh corak pemikiran dari sudut yang berbeza. Mengapa pemikiran al-Ghazali bertentangan dengan failasuf Yunani? Mengapa pemikiran Ibn Miskawayh dipengaruhi oleh pemikiran failasuf Yunani? Apakah punca terjadi perbezaan pemikiran? Apakah pemikiran kedua-dua tokoh hanya dipengaruhi oleh agama atau pemikiran failasuf Yunani sahaja? Oleh itu, kajian ini dapat memastikan titik persamaan dan perbezaan dalam menghuraikan dan menjelaskan konsep akhlak antara kedua-dua tokoh dalam kajian tersebut. Apakah yang menyebabkan berbeza dan mengapa perbezaan itu wujud? Apakah yang menyebabkan wujudnya persamaan dan mengapa hal ini berlaku? Kesemua ini akan cuba dikaji dengan mendapatkan data-data sebagai bukti kukuh dalam menjelaskan masalah ini. Persoalan-persoalan yang dikemukakan itu adalah penting untuk melihat aspek-aspek yang perlu diperbaiki atau disokong tambah bagi memunculkan suatu dimensi baru dalam menbentuk konsep akhlak yang sesuai kehendak fitrah, manusia dan Tuhan.

1.3       Objektif Kajian
Berdasarkan pernyataan masalah yang dikemukakan di atas, maka objektif kajian dalam penyelidikan ini adalah untuk:
i.                    Meneroka perbezaan konsep akhlak antara al-Ghazali dan Ibn Miskawayh daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani.
ii.                  Mengkaji persamaan konsep akhlak antara kedua-dua tokoh tersebut daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani.
iii.                Melihat cabaran dalam meletakkan atau melaksanakan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam.
iv.                Mencadangkan bentuk konsep akhlak daripada integrasi pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam.

1.4       Soalan Kajian
Berdasarkan objektif kajian dalam penyelidikan ini, terdapat soalan-soalan yang akan dikaji untuk memperjelas masalah kajian. Kajian ini berhasrat untuk menjawab empat persoalan iaitu :
1.                  Apakah perbezaan konsep akhlak antara al-Ghazali dan Ibn Miskawayh daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani?
2.                  Apakah persamaan konsep akhlak antara kedua-dua tokoh tersebut daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani?
3.                  Apakah cabaran dalam meletakkan atau melaksanakan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam?
4.                  Apakah cadangan bentuk konsep akhlak sebagai integrasi pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam?

1.5       Kepentingan Kajian
Kajian ini menumpukan kepada analisis perbandingan antara pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak yang mencakupi aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani. Kajian ini memberikan beberapa kepentingan kajian di antaranya sebagai rujukan bagi pengkaji dan pembaca yang berminat mengenai kedua-dua tokoh dalam konsep akhlak. Niat dan minat yang besar dari kalangan pengkaji dan pembaca merupakan salah satu kepentingan yang memberikan pengetahuan bagi mereka dan membantu menyelesaikan persoalan-persoalan akhlak yang berlaku di persekitaran pengkaji dan pembaca.
Krisis sosial yang membimbangkan masyarakat daripada kerosakan akhlak dan moral, kiranya dapat membantu memberikan contoh konsep akhlak yang integrasi daripada pembentukan dan pembinaan akhlak. Daripada konsep akhlak yang komprehensif dapat dijadikan sebagai langkah-langkah untuk menyelesaikan isu-isu akhlak sebagai pertimbangan moral menolak budaya-budaya yang tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam.
Dalam dunia pendidikan para guru sebagai pendidik dapat dijadikan sebagai role model dalam pembentukan dan pembinaan akhlak di kalangan pelajar. Mendidik dan membina pelajar melalui konsep akhlak yang integrasi daripada pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh merupakan satu bentuk cadangan dalam pendidikan Islam semasa.
Kajian ini juga berguna bagi menentukan hala tuju pendidikan Islam sesuai dengan nilai-nilai keislaman sebagai khalifah di muka bumi. Khalifah yang menjadi teladan yang mulia kepada individu yang lain sesuai dengan tuntunan al-Quran dan al-Hadith. Akhirnya kajian ini mempunyai satu rumusan kepentingan iaitu membina insan yang berakhlakul karimah bermanfaat bagi dunia dan amalan bagi akhirat.

1.6       Limitasi Kajian
Untuk memfokuskan penyelidikan kajian ini, penyelidik membatasi kajian ini agar tidak memperluas skop perbincangan. Skop perbincangan berfokus kepada perbandingan pemikiran Imam al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak yang mencakupi etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani. Kajian ini hanya terhad antara pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh sahaja. Walaupun demikian terdapat sedikit banyak dimuatkan dalam kajian ini pandangan-pandangan daripada sarjana-sarjana yang dipilih tentang persoalan kajian yang dilakukan.


1.7       Definisi Istilah
Definisi istilah perlu dijelaskan agar makna yang dikaji tidak salah pengertian berhubung satu ayat mempunyai pengertian yang banyak. Dalam kajian ini penyelidik menjelaskan beberapa istilah penting yang berhubungkait iaitu:
i.          Konsep Akhlak
Istilah “konsep” mengikut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka (2000), bererti pendapat yang terbentuk dalam fikiran mengenai sesuatu gagasan atau tanggapan. Mengikut Jujun S. Sumantri (2009) konsep adalah merupakan suatu teori atau pemikiran yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh falsafah. Jadi yang dimaksud dengan konsep akhlak dalam kajian ini adalah suatu teori atau pemikiran yang dikemukakan oleh tokoh falsafah yang merujuk kepada al-Ghazali dan Ibn Miskawayh mengenai pendapat mereka tentang akhlak dan aspek-aspek yang berhubungkait dalam dimensi akhlak.
ii.        Etika Rohani dan Emosi
Dalam falsafah pendidikan Negara yang dihuraikan oleh Abdullah Sani Yahaya (2003) unsur-unsur rohani dan emosi merangkumi aspek-aspek berikut: kepercayaan kepada Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa, pengahayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat, berbudi pekerti mulia dan berbakti serta berkorban. Aspek-aspek yang dihuraikan merupakan amalan-amalan akhlak dan etika yang baik.
Yang pengkaji maksud dengan etika rohani dalam penyelidikan ini ialah akhlak seseorang individu terhadap keyakinan, kepercayaan dan ketaatannya kepada Allah mana-mana tempat dan kapanpun ia amalkan kabajikan itu. Adapun etika emosi adalah akhlak seseorang individu terhadap sahsiah dirinya sendiri, bagaimana ia mengelola diri dalam berbuat, bertindak dan bertingkah laku sama ada menyendiri mahupun dalam kalangan ramai dengan orang lain.
iii.      Etika Intelek
Huraian Abdullah Sani Yahaya (2003) pula dalam falsafah pendidikan Negara menyebutkan unsur intelek mengambil kira aspek-aspek berikut: hikmah iaitu ilmu yang boleh membawa kepada kebenaran, daya pemikiran yang logik, analisis, kreatif, dan inovatif serta ilmu yang bermanfaat.
Maksud pengkaji daripada etika intelek adalah amalan akhlak seseorang terhadap ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya dalam mengelola akal agar dapat mengalahkan nafsunya dan memberikan impak kepada masyarakat dalam aktiviti sosial.
iv.      Etika Jasmani
Sebagaimana yang dihuraikan oleh Abdullah Sani Yahaya (2003) tentang unsur jasmani yang mempunyai ciri-ciri berikut: kcergasan fizikal dan kesehatan diri, pemanfaatan anggota dan tenaga fizikal untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.
Etika jasmani dalam kajian ini adalah amalan akhlak individu dalam mengelola fizikalnya yang sihat terhadap interaksi dengan persekitaran dan masyarakat mahupun makhluk hidup lainnya sebagai kebutuhan fizikalnya. Singkatnya etika jasmani adalah hubungan jasmani individu dengan persekitaran dan makhluk lainnya.

BAB II
PELBAGAI PANDANGAN TENTANG AKHLAK

2.0       Pengenalan
Akhlak dalam Islam sangat penting dan besar pengaruhnya dalam membina dan membentuk manusia. Pendekatan Islam dalam amalan dan pendidikan akhlak amat menekankan kepada penanaman akidah atau rohani yang mantap (Asmawati Suhid, 2009). Kepentingan akidah dalam pendidikan akhlak dapat dilihat menerusi nas-nas al-Quran dan hadith. Al-Quran merupakan wahyu Allah s.w.t. yang mengandungi petunjuk, pembimbing dan pembeza antara yang hak dan yang batil dalam tiga bidang utama iaitu aqidah, syari’ah dan pembentukan akhlak.
Ruang lingkup bidang akhlak dihuraikan secara terperinci, meluas, dan mendalam dalam al-Quran bermatlamatkan keselamatan agama, jiwa, jasmani, keturunan dan harta benda. Hadith sebagai sumber kedua yang menjelaskan amalan-amalan akhlak dalam Islam. Rasulullah s.a.w. sebagai teladan terbaik untuk seluruh umat Islam dan juga seluruh umat manusia. Perbincangan pada bab ini berkaitan dengan pelbagai pandangan tentang akhlak yang berisikan tentang Konsep Akhlak dalam Islam dan Pandangan tentang al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.

2.1       Konsep Akhlak Dalam Islam
Islam adalah agama yang menekankan pembinaan dan pembentukan akhlak dan kepribadian mulia di kalangan semua individu. Akhlak membina diri insan agar menjadi seorang yang tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah s.w.t. di samping memiliki sifat dalaman suci dari segi peribadi dan personaliti luaran.


2.1.1        Definisi Akhlak
Akhlak dapat didefinisikan dalam dua bentuk iaitu dari segi bahasa dan istilah.
1)      Akhlak Dari Segi Bahasa
Akhlak berasal dari bahasa Arab yang merupakan kata jamak daripada perkataan “al-Khuluq”(Harun Din, 2001; Imran Efendy Hasibuan, 2003; Asmawati Suhid, 2009). Perkataan akhlak pula adalah pecahan daripada “al-Khalq” yang bererti ciptaan seperti yang dibayangkan oleh al-Quran:
Terjemahan: “yang menciptakan tiap-tiap suatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakannya kejadian manusia berasal dari tanah.”
                                                                                    (As-Sajadah 32:7)
Berdasarkan ayat di atas Harun Din (2001) menjelaskan keindahan ciptaan manusia mempunyai dua bentuk iaitu insan Jasmani dan insan Nafsani. Keindahan bentuknya yang lahir atau fizikal termasuk dalam istilah “al-Khalq”. Keindahan bentuknya yang batin diluar alam fizikal termasuk dalam istilah “al-Khuluq”. Keindahan insan Nafsani berhak dijadikan sebagai asas dan matlamat kerana keindahan insan Nafsani adalah keindahan yang kekal abadi (Haron Din, 2001).
 Mengikut Asmawati Suhid (2009) akhlak boleh didefinisikan sebagai perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama. Ditakrifkan mengikut Kamus Dewan bahawa akhlak membawa maksud budi pekerti, kelakuan dan tabia’at. Kata akhlak dalam Kamus al-Munawir diertikan sebagai suatu tabia’at dan budi pekerti yang baik (Ahmad Warson Munawwir, 2002).
Daripada definisi yang dikemukakan, dapat dinyatakan bahawa akhlak mempunyai pengertian yang merangkumi empat hubungan iaitu hubungan akhlak terhadap Tuhan, hubungan akhlak terhadap diri sendiri, hubungan akhlak terhadap masyarakat dan hubungan akhlak terhadap persekitaran. Justeru itu pula dapat ditegaskan bahawa pengertian akhlak kalau diertikan dalam konsep yang lebih luas bermakna segala rupa bentuk pendidikan sama ada bersifat praktikal mahupun teori. Akhlak mesti dititikberatkan supaya setiap individu mempunyai tingkah laku yang mulia dalam hubungannya dengan Tuhan, diri sendiri, masyarakat dan dengan persekitaran.
2)      Akhlak Dari Segi Istilah
Banyak definisi yang telah dikemukakan oleh sarjana Islam berhubung dengan pengertian dan konsep akhlak. Akhlak bermaksud satu ilmu yang membahaskan tingkah laku manusia sama ada baik dan buruk (Muhammad Sayyed Naim, 1996). Laporan Asmawati Suhid dalam Abdul Rahman Md. Aroff (2004) akhlak mengandungi sifat yang dimiliki oleh individu sejak kelahirannya, yang menerusi latihan, ransangan yang akhirnya menjadi tabiat, dan akhlak juga meliputi dua dimensi iaitu batin dan zahir dalam bentuk perlakuan.
Akhlak juga didefinisikan oleh Haron Din (2001) sebagai dua bentuk iaitu akhlak Islam dan akhlak falsafah. Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumber kepada wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Sementara akhlak falsafah ialah akhlak yang bersumber kepada daya usaha kemampuan pemikiran manusia. Pengertian lain yang didefinisikan oleh Sidi Gazalba (1978) akhlak adalah sikap kepribadian yang melahirkan tingkahlaku perbuatan manusia terhadap Tuhan dan manusia, terhadap diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk al-Quran dan Hadith.
Berdasarkan kutipan di atas dapat difahami bahawa setiap individu muslim haruslah menjaga keindahan budi pekertinya, kepribadian seseorang ditunjukkan oleh keindahan akhlak lahiriahnya bukan keindahan bentuk jasmaninya. Akhlak menunjukkan perangai dan tingkah laku individu (Sidi Gazalba, 1978; Haron Din, 2001; Asmawati Suhid, 2009). Akhlak pula mencakupi semua aspek dan elemen dalam kehidupan kerana hal itu juga merupakan bahagian dari ajaran dan suruhan Islam yang perlu dipelihara, agar sahsiah seseorang muslim dapat terjaga sebagaimana mestinya. Hal ini berhubung kait dengan akhlak yang diterjemahkan oleh Miqdan Yaljan (1973). Dimana akhlak menurut beliau iaitu sebagai suatu sifat thabi’i fitrah kejadian manusia dalam keadaan bebas dan ia terbagi kepada dua iaitu nafsiah (luaran) dan sahsiah diri individu iaitu kualiti dalaman berkenaan.
Kesimpulannya, ilmu akhlak berkait rapat dengan perbuatan manusia ketika ia dalam keadaan sedar atau tidak sedar. Di samping itu perbuatan-perbuatan tersebut boleh di elak sewaktu keadaan sedar. Ringkasnya akhlak itu memainkan peranan untuk melahirkan sifat-sifat individu sama ada yang mulia atau terpuji dan buruk atau jahat. Sifat mulia atau terpuji dapat membawa kepada kebahagian dan kesempurnaan hidup. Sedangkan sifat buruk atau jahat dapat membawa kepada kesengsaraan dan keseksaan hidup.

2.1.2        Sumber dan Komponen Akhlak
1)      Sumber Akhlak
Allah s.w.t. tidak membiarkan hamba-Nya menjalani kehidupan di dunia ini tanpa pentunjuk dan bimbingan yang jelas dan sempurna. Dalam kehidupannya manusia mesti mengambil kira dunia dan akhirat, sebagaimana tujuan dan matlamat manusia itu diciptakan. Asmawati Suhid (2009) menjelaskan matlamat manusia sebagai hamba Allah s.w.t. dan sebagai khalifah di muka bumi dengan adanya panduan dan bimbingan daripada Allah s.w.t. baharulah manusia dapat merealisasikan fungsinya dengan baik dan sempurna.
Asmawati Suhid (2009) juga menerangkan sumber utama akhlak dalam Islam ialah al-Quran dan al-Hadith. Kedua-duanya menyediakan manhaj atau kaedah yang jelas dan mantap dalam membentuk serta memelihara akhlak manusia. Sumber ini yang menjelaskan bagaimana cara berbuat baik. Tingkah laku nabi Muhammad merupakan contoh teladan bagi umat manusia semua. Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud :
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (ketibaan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Surah al-Ahzab 33:21)
Hadith Rasulullah mencakupi perkataan dan tingkah laku beliau merupakan sumber akhlak yang kedua setelah al-Qur’an. Segala ucapan dan perilaku beliau sentiasa mendapatkan bimbingan dari Allah s.w.t.Allah berfirman yang bermaksud:
Dan Tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
(Surah An-Najm: 3-4)

Dalam ayat lain pula, Allah memerintahkan untuk selalu mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. dan taat kepada yang dibawa oleh beliau. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
Apa yang diberikan Rasul kepadamu, Maka terimalah. dan apa yang dilarangnya bagimu, Maka tinggalkanlah. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat keras hukumannya.
(Surah Al-Hasyr: 7)
Sebagai sumber akhlak al-Qur’an dan al-Hadith menjelaskan bagaimana cara berbuat baik. Atas dasar ini kemudian keduanya menjadi asas utama sebagai sumber ajaran Islam secara menyeluruh dalam menetapkan baik dan buruk. Al-Qur’an bukan perkataan manusia tetapi ianya adalah firman Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Oleh itu, setiap muslim berkeyakinan bahawa isi al-Qur’an tidak dapat dibuat dengan akal pikiran manusia. Sumber yang kedua sesudah al-Qur’an iaitu al-Hadith. Al-Hadits dinilai sebagai penjelas daripada al-Qur’an terutama dalam persoalan-persoalan yang tersurat kandungan asasnya sahaja (M. Yatimin Abdullah, 2007).
Islam menghormati dan tidak mengabaikan fitrah manusia dengan meletakkan semua tanggung jawab akhlak kepada pilihan dan usaha manusia itu sendiri. Menjadi jelas bahawa al-Qur’an dan al-hadith merupakan petunjuk hidup yang menjadi asas bagi setiap muslim, keduanya merupakan sumber akhlak yang utama dalam Islam. Demikian bahawa akhlak meperhatikan secara menyeluruh, mencakupi semua golongan makhluk yang diciptakan Tuhan. Asas akhlak menjadi lebih sempurna, ia mencakupi hubungan manusia dengan semua makhluk-Nya, juga kepada Tuhannya.
2)      Komponen Akhlak
Hasan Langgulung (1988) mengikut Abdullah Darraz, penjenisan nilai-nilai dalam Islam yang berkaitan dengan nilai-nilai Akhlak, ada lima jenis iaitu: Nilai-nilai akhlak perseorangan, Nilai-nilai akhlak dalam keluarga, Nilai-nilai akhlak sosial, Nilai-nilai akhlak dalam negara, dan Nilai-nilai akhlak agama. Itulah secara ringkas nilai-nilai akhlak dalam Islam yang semestinya kaum muslimin, sebagai individu, sebagai anggota keluarga, sebagai anggota masyarakat, sebagai warga Negara, baik sebagai pemimpin maupun rakyat, dan terakhir kali sebagai hamba Allah.
Walaupun nilai-nilai itu terlihat banyak dan dalam pelbagai aspek kehidupan manusia tetapi dapat disimpulkan dalam suatu perkataan iaitu taqwa. Dengan kata lain taqwa itulah kumpulan dari nilai-nilai yang ada dalam Islam dan setiap penganutnya harus menghayati (Hassan Lamgulung, 1988). Selain daripada nilai-nilai di atas akhlak Islam juga mempunyai ciri-ciri yang mendasarinya.
Asmawati Suhid (2009) menyebutkan enam ciri-ciri akhlak Islam iaitu diciptakan oleh Allah s.w.t., tetap dan umum, mudah, lengkap dan menyeluruh, toleransi dan sejagat atau universal. Beliau menjelaskan akhlak diciptakan oleh Allah s.w.t. maka ia bersifat sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia. Akhlak juga bersifat atau mencirikan tetap iaitu apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. adalah tetap dan tidak berubah sejak penurunan al-Quran sehinggalah ke akhir zaman. Manakala ciri yang umum bermaksud bahawa pelaksanaannya berpulang kepada manusia tanpa mengabaikan hukum syariat. Ciri yang bersifat mudah mempunyai makna tidak membebankan seseorang dengan sesuatu yang diluar kemampuannya. Firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak memberatkan seseorangmelainkan sekadar yang termampu dipikul olehnya.”
(Surah al-Baqarah 2:286)
Keistimewaan akhlak Islam boleh dilihat dari segi lengkap dan menyeluruh yang merangkumi setiap aspek keperluan kehidupan manusia termasuklah soal politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, antarabangsa dan sebagainya. Sifat atau ciri seterusnya toleransi yang mengandungi erti yang sama dengan tasamuhdalam bahasa Arab bermaksud bermurah hati dan bermudah-mudahan dalam pergaulan sesama manusia. Dan ciri yang akhir sekali adalah sejagat atau universal yang boleh dilihat daripada sudut masa atau zaman, tempat dan bangsa atau kaum. Akhlak Islam sesuai dilaksanakan di mana-mana tempat dan kawasan asalkan ia tidak bertentangan dengan prinsip Islam.
Dalam Islam secara umumnya ilmu pengetahuan yang terpenting dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu akidah, syariah, dan tasauf (Roslan Ali, 2007). Ketiga-tiganya amat berhubungkait dengan akhlak dan merupakan komponen ilmu dalam pembentukan akhlak. Akidah sebagai ilmu tauhid dalam amalan akhlak kepada Allah, syariah sebagai ilmu sosial dalam amalan dengan sesama manusia dan tasauf merupakan salah satu tingkatan akhlak yang tertinggi dalam Islam. Roslan Ali (2007) pula menjelaskan ketiga ilmu yang berkenaan tidak dapat diamalkan secara satu-satu sahaja tanpa yang lainnya. Mengikut syariah dengan ‘berfiqah’ sahaja atau akidah dengan ‘bertauhid’sahaja atau tasauf dengan ‘berakhlak’ sahaja dalam tingkatan yang tinggi, tentu akan merosak akhlak dan keislaman seseorang. Ketiga-tiga ilmu itu harus selaras dan serentak sama ada dari segi teori ataupun praktikal, atau dari segi ilmiah dan amaliahnya.
Disamping nilai-nilai, ciri-ciri dan komponen ilmu dalam akhlak yang telah dihuraikan tersebut, pada prinsip utamanya akhlak itu ada dua macam, iaitu akhlak yang terpuji (akhlaqul mahmudah ) dan akhlak tercela (akhlaqul mazmumah )
1)      Akhlak yang Terpuji (Akhlaqul Mahmudah)
Mengikut Hassan Langgulung (1988) akhlaqul mahmudah ialah akhlak yang baik, yang berupa akhlak yang baik-baik yang harus dianut dan dimiliki oleh setiap individu, khusus yang tergolong akhlak mahmudah diantaranya iaitu mengendalikan hawa nafsu. Nafsu adalah salah satu organ rohani manusia yang disamping akal, sangat besar pengaruhnya dan banyak mengeluarkan dorongan-dorongan kepada jasmani untuk berbuat atau bertindak. Mengendalikan nafsu bukan suatu perkara yang mudah diperlukan latihan-latihan dan banyak berbuat amalan yang baik mengikut agama. Dalam ajaran Islam bahawa mengendalikan nafsu memang pekerjaan yang berat sehingga pekerjaan itu dinilai sebagai jihad akbar atau perang besar, sedangkan perang fizikal melawan musuh betapapun hebatnya hanya diakui sebagai “Jihad Shoghir” atau perang kecil sahaja. (Humaidi Tatapagarsa, 1990).
2)      Akhlak Tercela (Akhlaqul Mazmumah)
Akhlak mazmumah ialah akhlak yang buruk yang harus dijauhi dan dihindari oleh setiap orang. Banyak di antara sifat-sifat yang buruk yang berlaku dalam akhlak. Di antara beberapa sifat yang dikategorikan sebagai akhlak tercela (akhlaqul mazmumah).

2.1.3        Asas-asas Akhlak Dalam Islam
Asas akhlak yang baik dan benar bertujuan untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Asas-asas akhlak yang mulia mempunyai tiga tingkatan yang berbeza dan mempunyai ciri-ciri dan matlamat masing-masing. Syaikh Muhammad Ibrahim Bin Abdullah at-Tuwaijiri dalam Ensiklopedi Islam al-Kamil yang diterjemahkan oleh Tim Darus Sunnah (2010) menyebutkan perbezaan antara ketiga tingkatan itu dapat dijelaskan bahawa Islam iaitu amal-amal yang tampak dan mempunyai lima rukun disebut dengan Rukun Islam. Dan yang dimaksud dengan iman adalah amal-amal batin yang memiliki enam rukun disebut dengan Rukun Iman. Hal ini bermakna apabila dinisbahkan secara bersamaan, apabila dinisbahkan secara berdiri sendiri maka masing-masing mempunyai makna dan hukum tersendiri. Ihsan mencakupi hal yang lebih umum dari cakupan iman, dan cakupan iman lebih umum dari cakupan Islam. Individu yang mempunyai ihsan adalah individu yang mukmin dan muslim. Ketiga asas akhlak yang disebutkan di atas, secara terperinci merujuk kepada Syaikh Muhammad Ibrahim Bin Abdullah at-Tuwaijiri dapat dijelaskan sebagai berikut:
1)      Islam
Islam adalah menyerlahkan diri seluruhnya kepada Allah dengan mengesakan-Nya dan melaksanakan dengan penuh ketaatan dan melepaskan diri dari kesyirikan dan para pelakunya. Abdul Karim Mustafa (2002) terjemahannya dari buku bahasa Arab yang dikarang oleh Mahmud Mohamad Babeli, menjelaskan maksud Islam adalah menyerlahkan kepatuhan serta penerimaan terhadap ajaran Nabi Muhammad s.a.w. serta penerimaannya. Menerusi Islamlah akhlak dan kehormatan diri terpelihara. Dalam satu hadith dari Ibn Umar r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Islam dibangun di atas lima perkara: Syahadat (persaksian) bahawa tidak ada Tuhan yang hak untuk disembah kecuali Allah, dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan ibadah haji, dan puasa pada bulan Ramadhan.”
Hadith di atas menunjukkan bahawa rukun Islam, sebagaimana kita maklum bersama ada lima perkara yang menjadi kewajipan bagi setiap muslim yang sudah baligh dan berakal sehat.
2)      Iman
Dari segi bahasa iman merupakan masdar dari perkataan Arab “amana yu’minu imanan”yang membawa makna kepercayaan dan merupakan lawan kekafiran. (Abdul Karim Mustafa, 2002). Dari segi istilah dijelaskan oleh Syaikh Muhammad Ibrahim Bin Abdullah at-Tuwaijiri, bahawa iman adalah percaya kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari akhir, dan beriman kepada takdir yang baik dan takdir yang buruk. Iman seseorang dapat bertambah dengan ketaatannya kepada Allah dan iman pula dapat berkurang apabila ia melakukan kemaksiatan.
Iman itu mencakupi ucapan dan perbuatan, ucapan hati dan lisan, amalan hati dan amalan lisan serta amalan anggota badan. Iman mempunyai cabang-cabang yang banyak. Hadith dari Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Iman itu mencapai tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang, yang paling utama cabang tersebut adalah ucapan ‘la ilaha illallah’ dan cabang yang paling rendah adalah menyingkirkan sesuatu yang berbahaya dari jalan, dan malu merupakan cabang dari keimanan.”
Apa-apa yang diamalkan seseorang dengan penuh kesedaran imannya dalam hati, terdapat bukti-bukti didalam al-Quran (al-Anfal; 2-4 dan 74. Al-Hujarat; 15) yang menjelaskan bahawa hakikat iman yang terdapat dalam diri seseorang yang memahami hakikat agamanya, berjuang membela agama dengan segala kemampuannya, menjadikannya sebagai ibadah dan dakwah, berhijrah dan menang kerananya, berjihad dan berinfak untuknya.
3)      Ihsan
Ihsan dapat diertikan seseorang yang menyembah Allah seolah-olah ia merasakan kewujudan Allah dan jika ia tidak mampu merasakan kewujudan Allah dalam dirinya maka ia yakin bahawa Allah melihat dan mengawasi dirinya (Abdul Karim Mustafa, 2002). Definisi tersebut mengandung dua tahapan ihsan dalam tingkatan yang berbeza. Tingkatan pertama, seseorang beribadah kepada Allah seakan-akan ia melihat-Nya. Sebagai bentuk permohonan, kerinduan, keinginan, dan kecintaan. Dia memohon kepada zat yang ia cintai iaitu Allah, juga yang dituju serta disembah seakan-akan ia melihat-Nya, inilah tahapan ihsan tertinggi. Tingkatan kedua, jika seseorang tidak mampu beribadah kepada Allah seakan-akan ia melihat-Nya dan mencari-Nya, maka orang itu beribadah kepada Allah seakan-akan Allah yang melihat dirinya. Sebagai bentuk ibadah orang yang takut kepada-Nya, orang yang lari dari azab dan seksaan-Nya, serta merendahkan diri kepada-Nya.

2.2              Pandangan Tentang al-Ghazali dan Ibn Miskawayh
Perbincangan tentang kedua-dua tokoh dalam kajian ini kerap dibincangkan dalam Islam dan juga dalam pendidikan. Al-Ghazali dan Ibn Miskawayh hidup dalam masa yang berbeza, al-Ghazali hidup pada tahun 1058-1111 Masihi. Manakala Ibn Miskawayh hidup pada tahun 932-1030 Masihi. Untuk lebih jelas pandangan tentang kedua tokoh tersebut, seterusnya akan dibincangkan menelusuri pelbagai pandangan dan pendapat.

2.2.1        Pandangan Tentang al-Ghazali
Merujuk Ensiklopedi Islam 1994, nama lengkap beliau adalah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad at-Thusi al-Ghazali, dalam sejarah pemikiran agama dan falsafah Islam beliau menduduki tampat yang istimewa. Beliau di isytiharkan sebagai Bukti Islam (hujjat al-Islam), Perhiasan Agama (zain al-din) dan mujaddid(M. M. Syariff, 1994). Beliau lahir pada tahun 450 H atau 1058 M di kampong kecil bernama Ghazalah  Thabaran, bagian dari bandar Thus wilayah Khurasan (Iran). Ibu bapanya bekerja sebagai pemintal wol yang dalam bahasa Arab disebut ghazzal. Penisbahan nama al-Ghazali terdapat dua pendapat iaitu al-Ghazali dengan menggunakan satu huruf zdinisbahkan kepada tempat kelahirannya, sedangkan al-Ghazali dengan menggunakan dua huruf  z dinisbahkan dengan pekerjaan ibu bapanya sebagai pemintal wol. Kerana itu sebutan “al-Ghazzali” adalah panggilan penduduk Khurasan kepadanya (Abdul kholik, dkk, 1999).
M. Saeed Syeikh dalam tulisannya al-Ghazali: Metafizik, mengatakan selama hidupnya Al-Ghazali telah mengumpulkan didalam dirinya semua gerakan intelektual dan agama yang penting pada zamannya dan menghayati dalam jiwanya pelbagai tahap rohaniah yang telah dikembangkan dalam Islam. Al-Ghazali adalah sebagai seorang peguam syariah dan ahli skolastik, seorang ahli falsafah dan seorang skeptik, seorang zahid dan seorang ahli teologi, seorang ahli hadis dan seorang moralis. Beliau mempunyai sikap terhadap falsafah menunjukkan keasliannya yang menakjubkan, walaupun beliau lebih banyak kritik kepada falsafah daripada membina. Sebenarnya al-Ghazali menjadi pencabar kepada falsafah Aristotle dan Platinus dan wakil muslim mereka sebelum beliau. Aliran utama pemikiran agama dan falsafah al-Ghazali menghampiri kecenderungan fikiran moden (M. M. Syarif, 1994).
Abdul Khaliq seorang Profesor Falsafah Kolej Islamiah Lahore, dalam sejarah Islam dari segi falsafah terjemahan M. M. Syarif (1994), membincangkan al-Ghazali sebagai seorang penulis Islam tentang akhlak yang paling masyhur. Menurut beliau sesetengah pengkritik mencuba memperkecil kepentingan teori etika al-Ghazali. Mereka cuba menunjukkan bahawa teori al-Ghazali berasal daripada doktrin Aritoteliah dan Neo-Platoniah. Walaupun pemikiran al-Ghazali turut dipengaruhi oleh etika orang Yunani, pada dasarnya pemikiran beliau bergantung kepada inspirasi dirinya sendiri. Dalam semua tulisan beliau, al-Ghazali berpegang teguh kepada ajaran Islam untuk menyokong pandangannya. Menurut ajaran al-Quran umpamanya beliau meletakkan penekanan terhadap nilai rohaniah seperti bersyukur, taubat, tawakkal, takut (khauf) kepada Allah dan lain-lain yang tidak diketahui langsung oleh orang Yunani. Al-Ghazali juga mengikut ajaran Islam sepenuhnya dengan mengambil contoh teladan Rasulullah sebagai contoh teladan yang sempurna, yang diakui oleh Allah s.w.t memiliki akhlak yang paling tinggi.
Walaupun pemikiran al-Ghazali cenderung menekankan penyucian hati setelah seseorang memutuskan hubungan dengan dunia, tetapi tidak disarankan bahawa menjauhi dunia sebagai tujuan hidup. Ia diberi penekanan lebih oleh al-Ghazali semata-mata untuk meredakan kecenderungan ke arah maksiat, kemewahan dan keangkuhan yang lumrah berlaku pada zaman beliau. Selanjutnya pemikiran al-Ghazali dalam konsep akhlak akan diperbincangkan pada bab IV dengan jelas dalam pelbagai aspek yang dikaji.

2.2.2        Pandangan Tentang Ibn Miskawayh
Nama lengkapnya adalah Abu Ali al-Khazim Ahmad Ibn Muhammad Ibn Ya’qub Ibn Miskawayh. Ia lahir di Ray (sekarang Teheran) pada tahun 320 H/932 M, dan meninggal di Isfahan pada tarikh 9 Shafar tahun 412 H/16 Februari 1030 M. Ibn Miskawayh hidup pada masa pemerintahan Dinasti Buwaih (320-450 H/932-1062 M) yang sebagian besar pemukanya bermazhab Syi’ah (Abuddin Nata, 2003).
Abdurrahman Badawi dalam Sejarah Islam dari Segi Falsafah terjemahan M. M. Syariff (1994) menggolongkan Ibn Miskawayh sebagai ahli falsafah, dalam huraiannya beliau menjelaskan pada dasarnya Ibn Miskawayh adalah seorang ahli sejarah dan moralis. Bahagian terpenting terpenting dalam aktiviti falsafah Miskawayh ditumpukan kepada etika. Beliau seorang moralis dalam erti sebenar kerana beliau mengamalkan banyak daripada yang ditulisnya tentang etika. Tiga karya beliau yang paling penting tentang etika: (1) Tartib al-Sa’adah, (2) Tahdhib al-Akhlaq, (3) Jawidan Khirad.
Falsafah moral Ibn Miskawayh amat berkait rapat dengan psikologi, beliau memulakan huraian yang panjang lebar mengenai etika dalam kitab Tahdhib al-Akhlaq, dengan menerangkan doktrin beliau tentang roh. Menurut beliau roh mempunyai tiga keupayaan: rasional, berani dan bernafsu, ketiga keupayaan itu sepadan dengan tiga nilai iaitu kebijaksanaan, keberanian dan kesederhanaan. Kesepaduan dan keselarasan tiga nilai tersebut wujudlah nilai yang keempat iaitu keadilan (M. M. Syariff, 1994).
Huraian Abdurrahman Badawi tentang pemikiran Ibn Miskawayh lebih cenderung kepada ajaran Plato dan ajaran Aristotle. Beliau mentafsirkan kebaikan sebagai suatu kesederhanaan antara dua kejahatan. Beliau menggunakan doktrin kesederhanaan ke atas kebaikan utama daripada empat nilai yang tersebut di atas (M. M. Syariff). Dalam kitab Tahdhib al-Akhlaq banyak persoalan yang dibincangkan Ibn Miskawayh, beliau menghuraikan tentang sifat manusia dan keadaan asalnya, kesempurnaan dan kebahagiaan, keadilan, persahabatan dan cinta dan sebagainya. Selanjutnya untuk lebih memahami corak pemikiran Ibn Miskawayh dalam huraiannya tentang konsep akhlak akan diperbincangkan pada bab V dengan jelas dalam pelbagai aspek yang dikaji.


BAB 3
METODOLOGI ANALISIS FALSAFAH

3.0       Pengenalan
Dalam bab ini pengkaji akan menerangkan tentang mengenai reka bentuk kajian, penyelidikan dalam bidang falsafah di antaranya inkuiri sebagai salah satu pendekatan dan metode yang dugunakan dalam penyelidikan falsafah pendidikan. Penyelidikan dalam bidang falsafah menggunakan pelbagai pendekatan dan metode-metode tersendiri dalam menyelesaikan permasalahan pendidikan semasa. Falsafah pendidikan umum mempunyai pendekatan dan metode tersendiri, begitu pula dengan falsafah pendidikan Islam.

3.1       Reka Bentuk Kajian
Dalam menentukan jawapan terhadap soalan-soalan kajian yang telah dibuat, beberapa cara untuk mencari pendekatan atau metode kajian yang telah diteliti dan diperhatikan. Kajian ini menggunapakai pendekatan yang sesuai untuk menjawab soalan-soalan kajian. Metode yang yang digunakan ialah kaedah analisis falsafah yang merupakan kaedah penyelidikan dalam bidang falsafah.
Metode yang digunapakai adalah bertujuan untuk menganalisis perbezaan dan persamaan konsep dalam perspektif perbandingan merujuk tokoh yang dikaji. Memandang kaedah ini jarang digunakan, maka tidak ramai yang memahami kaedah ini. Oleh itu perbincangan seterusnya tentang kaedah ini.

3.2       Inkuiri Sebagai Kajian Dalam Bidang Falsafah Pendidikan
Pendidikan merupakan suatu tanggungjawab moral, oleh itu praktikal dalam pendidikan mesti terbuka kepada  sebuah penyelidikan (Koetting & Malisa, p. 1009). Penyelidikan dalam falsafah pendidikan dalam pandangan Koetting dan Malisa  melibatkan inkuiri falsafah. Inkuiri falsafah merupakan kajian falsafah yang bertujuan sama ada untuk menguji teori, menganalisis, mengkritik, bertanya soalan dan menyatakan permasalahan dalam bidang yang dikaji. Suatu teori boleh didapatkan daripada sistem pemikiran, situasi sosial, politik, dan juga situasi ekonomi serta dibina melalui praktikal (p. 1009). Apakah suatu teori berlaku dalam keadaan sosial? Apakah suatu teori atau pemikiran dalam pendidikan mahupun falsafah pendidikan relevan dengan pendidikan semasa? Apakah sistem pemikiran setiap individu mempunyai persamaan mahupun perbezaan? Apakah suatu pemikiran boleh dikritik dan digubal dengan pemikiran yang baru dan lebih baik? Kesemua soalan-soalan itu dapat diperolehi melalui inkuiri falsafah sebagai penyelidikan falsafah.
Inkuiri dipandu oleh falsafah dalam menjawab soalan-soalan daripada isu-isu yang berkembang. Isu-isu yang timbul dalam asas inkuiri falsafah dapat dilihat dalam pelbagai masalah-masalah berikut: (1) Masalah akal (the mind body problem), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin bagi objek yang perlu kepada fikiran. (2) Masalah identiti pribadi (problem of personal identity), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin bagi seseorang untuk berubah dan lagi kekal bagi orang yang sama. (3) Masalah kebebasan (problem of free will), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin untuk tindakan yang ditentukan sebab-akibat yang jelas. (4) Masalah keburukan (probelm of evil), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin untuk kejahatan di dunia yang diciptakan oleh semua yang berkuasa, semua makhluk mengetahui dan semua orang yang baik. (5) Masalah berhubungkait moral (problem of moralrelativism), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana mungkin ia menjadi moral yang berlaku (standards) dan kekal. (6) Masalah pengetahuan (problem of skepticism), masalah falsafah yang menjelaskan bagaimana ia mungkin menjadi pengetahuan (Schick dan Vaughn, 1998; p. 5).
Mereka mengatakan bahawa masalah-masalah falsafah tersebut timbul daripada kesedaran sebahagian individu yang mempunyai asas kepercayaan-kepercayaan seakan-akan tidak konsisten dan selari dengan sesuatu yang lain. Bagi mewujudkan sistem kepercayaan yang konsisten dan selari adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan, ianya tidak boleh hanya pemikiran dan perlakuan individu sahaja tetapi ia bergantung kepada kebenaran dan realiti dalam masyarakat. Inkuiri falsafah mencuba mengasingkan perkara yang tidak konsisten dan selari daripada sistem kepercayaan tersebut.
Koetting dan Malisa mengatakan inkuiri falsafah adalah berkenaan dengan cabang-cabang falsafah mengenai realiti, pengetahuan dan juga nilai (p. 1009). Falsafah tradisional Barat yang telah bergumul dengan pelbagai soalan-soalan, misalnya: apakah realiti itu? (soalan metafizik), Bagaimana kita boleh mengetahui? (soalan epistimology), apakah itu nilai? (soalan aksiologi). Mengetahui dan memahami soalan-soalan tersebut itulah kajian dalam falsafah. Greene (1974) menyebutkan tanggapan inkuri dimulai dengan menggunakan falsafah, daripada inkuiri dalam mengkaji suatu perkara.
Akhirnya dapat dinyatakan bahawa untuk mendapatkan hasil daripada kajian ini maka digunakan inkuiri falsafah sebagai langkah dalam menetapkan, menganalisis, mensintesis pandangan dan pendapat tentang konsep akhlak dalam realiti, pengetahuan dan nilai daripada pandangan dua tokoh falsafah yang dikaji.

3.3       Pendekatan Dalam Inkuiri Sebagai Analisis Falsafah
Dalam menentukan jawapan terhadap permasalahan-permasalahan dalam penyelidikan falsafah dan falsafah pendidikan, ada beberapa cara dengan pelbagai pendekatan yang digunakan. Apabila kita melihat perhubungan falsafah, penyelidikan dan pendidikan sebagai sebuah ujian untuk membezakan pendekatan-pendekatan dalam kajian falsafah. Wingo (1974) menyatakan bahawa kita boleh menggunakan pendekatan dalam kajian falsafah melalui tiga cara: deskriptif, normatif dan analisis. Cara-cara itu boleh juga dilihat sebagai fungsi utama dalam kajian falsafah.  Dari pandangan Wingo (1974) tersebut Koetting dan Malisa juga menyebutkan bahawa inkuiri falsafah boleh dengan pendekatan deskriptif, normatif dan analisis, ia boleh juga dengan suatu pentafsiran mahupun kritikal dan inkuiri falsafah juga sebagai penyelidikan dalam falsafah.
Koetting dan Malisa (p. 1012) memberikan kritik kepada Anderson (1990) dalam perbincangannya tentang falsafah dan penyelidikan tetapi mereka mengakui perbincangan  Anderson (1990) tepat dan mewakili perbincangan tentang inkuiri falsafah sebagai analisis falsafah. Anderson (1998) menyatakan terdapat beberapa pandangan utama daripada tokoh yang melibatkan diri dalam penyelidikan. Termasuk analisis falsafah, analisis konsep, isu-isu pendidikan dalam falsafah tradisional, menguji pengetahuan dan pandangan dalam aksiologi, kritis dan sebagainya. Ia menekankan pemikiran kritis, dan analisis konsep dan teori sebagai bidang dalam inkuiri falsafah. Proses itulah sebagai model inkuiri falsafah, langkah dalam melakukan penyelidikan falsafah (Koetting dan Malisa, p. 1012).
Penyelidikan falsafah melalui analisis falsafah sebagai satu metode analisis bahasa untuk menjelaskan dan menubuhkan maksudnya. Analisis falsafah sebagai satu gerakan dalam falsafah pendidikan yang berfungsi untuk pengujian dan pembahagian bahasa sama ada dari segi wacana mahupun saintifik (Gutek, 1997). Gutek menjelaskan tokoh-tokoh falsafah pendidikan yang membangunkan asas daripada analisis falsafah iaitu G. E. Moore (1873-1958) dan Bertrand Russel (1872-1970). Kedua-dua mereka telah berfokus dalam analisis bahasa dari segi wacana mahupun saintifik. mereka juga membincangkan persoalan spekulatif metafizik sebagai salah satu pendekatan falsafah.
Pendekatan falsafah ini kemudian dibincangkan oleh Kneller (1971), ia membahagikan pendekatan falsafah kepada tiga cara iaitu: spekulatif, preskriptif (normatif), dan analisis. Abdul Khobir (2007) menambahkan satu pendekatan lain iaitu analisis saintifik terhadap realiti kehidupan. Pendekatan-pendekatan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan dan persoalan dalam falsafah pendidikan. Metode penyelidikan yang digunakan dalam bidang falsafah kerap menggunakan dan dibincangkan melalui metode analisis (Kneller, 1971; Wingo, 1974; Anderson, 1998; & Abdul Khobir, 2007).
Kiranya penting memahami ketiga pendekatan yang digunakan dalam bidang falsafah untuk mencapai langkah-langkah yang baik dan sempurna dalam sesebuah kajian. Pertama, pendekatan spekulatif (speculative approach), yang bererti memikirkan, mempertimbangkan, juga membayangkan dan menggambarkan tentang sesuatu objek untuk mencari hakikat yang sebenar (Abdul Khobir, 2007). Manakala Kneller (1971) menjelaskan pendekatan spekulatif ialah satu cara pemikiran yang sistematik mengenai semua yang wujud. Pandangan kedua-duanya sama-sama bertujuan mengetahui hakekat atau wujud yang sebenarnya. Abdul Rahman Md. Aroff & Zakaria Kasa, (2000) falsafah spekulatif ialah usaha untuk mencari satu kesepaduan bagi semua pemikiran dan pengalaman. Spekulatif merupakan satu proses mencari susunan dan keseluruhan yang tidak hanya kepada sesuatu item atau pengalaman tertentu sahaja, tetapi kepada semua pengetahuan dan pengalaman. Misalnya:  apakah hakikat manusia? Bagaimana hakikat kehidupan? apakah hakikat pendidikan itu? Apakah hakikat kebahagiaan? Apakah hakikat akhlak? Dan sebagainya. Dalam melihat dan mengkaji hakikat itu semua tidak melihat satu item sahaja tetapi melihat, mencari, memikirkan, menggambarkan keseluruhan susunan item yang wujud dalam hakikat tersebut.
Kedua, mengikut Kneller (1971) pendekatan normatif (normative approach) ialah menetapkan standard untuk mempertimbangkan nilai etika dan estetika. Abdul Khobir (2007) juga mengertikan sebagai usaha memahami nilai-nilai atau norma-norma yang berlaku dalam kehidupan manusia dan proses pendidikan serta hubungan antara norma dan nilai tersebut dalam pendidikan. Preskriptif atau normatif mengkaji apa yang dikatakan baik dan buruk, betul dan salah, cantik dan hodoh. Apakah kualiti-kualiti tersebut terdapat dalam perkara-perkara itu sendiri atau sama ada ia hanya muncul dalam fikiran manusia sahaja. Pandangan ahli psikologi dan ahli falsafah preskriptif berbeza, ahli psikologi hanya melihat perlakuan manusia sahaja sedangkan ahli falsafah preskriptif mencari untuk menentukan apakah tindakan dan kualiti yang berfaedah dan kenapa ia begitu. (Abdul Rahman Md. Aroff & Zakaria Kasa, 2000).
Ketiga, pendekatan analisis konsep (conceptual analysis), Kneller (1971) berpandangan analisis konsep memberi tumpuan kepada perkataan dan makna perkataan-perkataan tersebut. Pandangan ini selaras dengan pendapat Gutek (1997) tentang analisis falsafah yang mengkaji dari segi bahasa atau perkataan. Sedangkan Abdul Khobir (2007) menjelaskan analisis konsep dimaksudkan untuk memahami konsep para ahli pendidikan dan para pendidik mengenai masalah yang berhubungan dengan pendidikan. Misalnya konsep jiwa, konsep anak, konsep akhlak, dan pelbagai konsep lainnya. Manakala Abdul Rahman Md. Aroff & Zakaria Kasa (2000) analisis falsafah juga menganalisis kenyataan-kenyataan spekulatif dan preskriptif untuk mempertimbangkan makna-maknanya yang berbeza dalam konteks yang berlainan.
Untuk mendapatkan maklumat serta dokumen yang berkaitan dengan penyelidikan ini. Maka, berdasarkan kepada tiga pendekatan yang dikemukakan di atas, kajian ini menggunapakai pendekatan analisis konsep (conceptual analysis) dalam menjawab soalan-soalan kajian. Kemudian data yang didapatkan seperti buku, jurnal, kertas kerja dan lain-lainnya di analisis melalui analisis konsep. Metode analisis falsafah merupakan langkah yang tepat dalam menyelesaikan permasalahan dan persoalan dalam falsafah pendidikan.


Rujukan :

A.    Buku
Abubakar Aceh (1970). Sejarah Filsafat Islam. Jakarta: Ramadhani Sala.
Abdul Khobir (2007). Filsafat Pendidikan Islam Landasan Teoritis dan Praktis. Pekalongan: STAIN Press.
Abdul Kholik, dkk. (1999). Pemikiran Pendidikan Islam, Semarang: Pustaka Pelajar.
Abuddin Nata (2003). Pemikiran Para Tokoh Pendidikan Islam: Seri Kajian Filsafat Pendidikan Islam. Jakarta: PT Raja Grafindo Persada.
Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ahmad Warson Munawwir (2002). Kamus al-Munawwir Arab-Indonesia. Yogyakarta: Pustaka Progressif.
Asmawati Suhid (2009). Pendidikan Akhlak dan Adab Islam Konsep dan Amalan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Anderson, G. (1990). Fundamentals of educational research. New York: Falmer Press.
Fuad Moh. Fachruddin (1970). Dialektika Islam: Alam Pikiran Islam. Bandung: Diponegoro.
Franz Magnis Suseno, (1987), Etika Dasar : Masalah-Masalah Pokok Filsafat Moral, Yogyakarta: Kanisius.
Gutek, G.L. (1997). Philosophical and ideological perspective on education (2nd Ed.). Boston: Allyn and Bacon.
Greene, M. (1974). Teacher as stranger: Educational philosophy for the modern age. Belmont, CA: Wadsworth.
Harun Din (2001). Manusia dan Islam. Jilid 2. Selangor Darul Ehsan: Dewan Pustaka dan Bahasa.
Hasan Langgulung (1991). Asas-Asas Pendidikan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka dan Bahasa.
Imran Effendy Hasibuan (2003). Pemikiran Akhlak Syekh Abdurrahman Shiddiq al-Banjari. Pekanbaru: LPNU Press.
Ibn Miskawayh (1398). Tahzib al-Akhlaq wa Tathhir al-A’raq. Beirut: Mansyurah Dar al-Maktabah al-Hayat.
Imam al-Ghazali (t.t). Ihya Ulumuddin. Juz 5, Beirut, Libanon: Dar al-Maárif.
Ismail bin Haji Ibrahim (1996). Isu Akhlak: Tanggungjawab Bersama. Disunting oleh Siti fatimah Abdul Rahman, Membangun Fitrah Kehidupan. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Jujun S. Suriamantri (2009). Filasat Ilmu Sebuah Pengantar Populer. Jakarta: Pustaka Sinar Harapan.
Kneller, G.F. (1971). Foundations of educations. New York: John Wiley and Sons, Inc.
Koetting J. R. & Malisa, Philosophy, Research, and Education. Reno: University of Nevada.
 Mahmud Mohammad Babeli. Persaudaraan Islam dan Pembangunan Sosial. Terj. Abdul Karim Mustafa (2002). Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
M. M. Syariff (1994). Sejarah Islam dari Segi Falsafah. Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhammad Sayyed Naim (1996). fi ilmi al-Akhlaq, Syirkah al-Tibaáh al-Fanniyah al-Muttahiddah.
Miqdad Yaljan, (1973), Al-Hijah al-Akhlak fi al-Islam, Cet I, Mesir: al-Khamaji.
M Yatimin Abdullah (2007). Studi Akhlak dalam Perspektif Al Qur’an. Jakarta: Amzah.
Roslan Ali dan Nosiah Fauzan (2007). Pembangunan Kerohanian dan Refleksi Budaya Masyarakat Melayu. Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak.
Sidi Gazalba (1978). Ilmu Islam III. Kuala Lumpur: Offset Bumikita.
Syaikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullah at-Tuwaijiri, Ensiklopedi Islam al-Kamil, (7th ed.) Terj. Achmad Munir Badjeber, Futuhal Arifin, Ibnu Muhammad, dan M Rasyikh (2010). Jakarta: Darus Sunnah.
Schick, Jr. T. & Vaughn, L. (1998). Doing Philosophy: an introduction through thought experiments. London: Mayfield Publishing Company.
Wingo, M. (1974). Philosophy of education: An intoduction. Lexington, MA: D. C. Heath.

B.     Disertasi dan Kertas Projek
Azizah Zakaria (2004). Penghayatan terhadap beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali: Kajian di kalangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Disertasi.Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd Jais Anuar Bin Ahmad (2003). Metod Pembinaan Sahsiah Diri: Satu Analisis Terhadap Pemikiran Falsafah Akhlak Ibn Miskawayh Menerusi Kitab Tahdhibul Al-Akhlaq. Disertasi. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd. Hussain Rusli (2003). Pembangunan Insan: Kajian Perbandingan Antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun. Disertasi.Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd. Sullah (2010). Studi Komparasi Konsep Pendidikan Akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibnu Miskawaih. Kertas Projek. Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim. Malang.






Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Penyelidikan Dalam Pendidikan Analisis Perbandingan Pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh Dalam Konsep Akhlak"

Posting Komentar