ANALISIS KONSEP DAN FALSAFAH IQRA DALAM PENDIDIKAN ISLAM DI INSTITUT AGAMA ISLAM NEGERI AR-RANIRY BANDA ACEH
1.1 Latar Belakang Masalah
Perkembangan masyarakat semasa kini berkait rapat dengan pendidikan. Pendidikan dan kehidupan berkait rapat dengan harmoni dalam menentukan mutu kehidupan manusia supaya pendidikan berupaya melahirkan bangsa yang kuat dan mulia. Dalam mengembangkan individu yang mempunyai pengetahuan yang luas dari aspek dalaman mahupun luaran iaitu melalui pendidikan. Di zaman moden kini terlihat bahawa pendidikan Islam tertinggal amat jauh berbanding pendidikan Barat. Apabila dilihat dari perkembangan falsafah pendidikan Barat, mereka lebih mahir dalam pemikiran dan mempunyai kaedah-kaedah falsafah pendidikan yang baik dan kaedah tersebut dipelajari dipengajian tinggi Islam. Sebagai bukti bahawa sejak awal masehi sehingga zaman moden kini para tokoh-tokoh Barat yang lahir dengan kepakaran ilmunya khas dalam bidang falsafah pendidikan sangat ramai berbanding tokoh-tokoh Islam.
Salah satu cara memperkembangkan pendidikan iaitu melalui konsep falsafah Iqra’ untuk membangun masyarakat yang madani, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t dalam ayat yang pertama kali diturunkan melalui Rasul-Nya Muhammad s.a.w yang berbunyi “iqra’” yang bermaksud bacalah. Dalam bahasa Arab iqra’ merupakan fiil amryang berarti perintah iaitu perintah untuk membaca apa sahaja di alam ini. Iqra’ dapat berarti meneliti, menelaah, menyelidiki, mengamati. Manakala ada satu golongan meninggalkan perintah ini maka ia akan tertinggal dengan satu golongan lain yang mengamalkan perintah iqra’ .
BACA : KONSEP FALSAFAH ISLAM
Konsep falsafah dari iqra' dalam pembangunan masyarakat merupakan suatu penghayatan dan penimbaan ilmu pengetahuan untuk membangunkan sesuatu bangsa melalui konsep pembacaan. Frasa “konsep” menurut kamus dewan terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) didefinisikan sebagai pendapat yang terbentuk dalam fikiran manakala istilah “iqra’” ini diambil sejarah peristiwa turunnya wahyu al-Quran yang pertama keatas Baginda Rasulullah s.a.w di Gua Hira' dalam surah Al-Alaq.
Meninggalkan konsepfalsafah dari iqra’ merupakan kemunduran dalam pendidikan yang merupakan proses mencari ilmu pengetahuan untuk pembangunan masyarakat yang madani. Mengikut Sulaiman Nordin (1997) ilmu dilihat teramat penting oleh ajaran Islam sehingga terdapat lebih kurang 800 rujukan berkaitan dengan ilmu dalam al-Quran. Malah ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah s.a.w bermaksud “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan”(al-Alaq 96:1.) istilah membaca berkait secara langsung dengan ilmu pengetahuan. Kemunduran dan kejatuhan yang dialami oleh umat Islam kini merujuk kepada konsep falsafah iqra’, sama ada dari segi pengamalan konsep falsafah iqra’ ataupun dari segi penyelidikan konsep falsafah iqra’. Kerana konsep falsafah iqra’ pada hakikatnya mempunyai kandungan falsafah hidup Islam yang bersumber dari yang Maha Kuasa. Meninggalkan perintah yang Maha Kuasa berarti suatu kepincangan bagi umat Islam dalam pembangunan masyarakat yang madani.
1.2 Permasalahan Kajian
Kajian dalam penyelidikan ini menumpukkan kepada beberapa permasalahan yang timbul kerana kesedaran individu-individu dalam mengamalkan perintah Allah yang kurang memaknai dan memahami konsep falsafah iqra’ dalam pendidikan. Di berbagai universiti pelajar-pelajar yang sudah menyelesaikan belajarnya di peringkat sarjana muda tetapi tidak tahu apa yang mereka dapatkan dari universiti tersebut, padahal mereka telah belajar empat tahun di universiti. Maka penyelidik ingin menyelidik sejauh mana konsep falsafah dari iqra’ memainkan peranan dalam mengembangkan aspek epistimologi yang berkebolehan dan berkeupayaan yang baik dari setiap individu. Apakah konsep ini dilakukan dengan sebenarnya mengikut sesuai perintah Allah s.w.t didalam surah Al-Alaq ayat pertama. Disamping itu untuk memahami apakah konsep falsafah iqra’hanya bertumpu kepada membaca sahaja atau mempunyai makna yang ramai mengikut pandangan falsafah dalam pendidikan baik pendidikan amnya dan pendidikan Islam khasnya.
Hakikatnya setiap individu mempunyai kesedaran yang berbeza-beza dalam memaknai dan memahami konsep falsafah iqra’, oleh demikian penyelidikan ini tidak mengambil kira semua individu akan dikaji kerana kekurangan masa dan biaya. Penyelidik hanya menyelidik beberapa pelajar sahaja dipersekitaran Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry mengikut tehnik pengambilan sampel dari populasi yang ada.
1.3 Kepentingan Kajian
Kepentingan kajian ini adalah kepada golongan pelajar di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry. Dengan mengetahui apakah yang dimaksud konsep falsafah iqra’ dan bagaimana amalannya dalam pendidikan Islam, maka mereka dapat memainkan peranan yang sewajarnya sebagai pelajar dalam berusaha mengembangkan ilmu dirinya sendiri. Untuk kalangan pensyarah juga berkebolehan memotivasi pelajar dalam belajar dan berkebolehan juga memainkan peranan dalam mengembangkan ilmunya serta mendidik para pelajar mengamalkan konsep falsafah iqra’ yang sebenarnya.
Selain itu, berdasarkan konsep falsafah iqra’yang sebenarnya, pelajar diharapkan dapat memikirkan teknik-teknik belajar yang sesuai dalam mengembangkan pengetahuannya agar konsep falsafah iqra’dalam pendidikan Islam berkebolehan untuk dilaksanakan dengan sebenarnya.
Kalangan pentadbir, pensyarah dan pengurusi pengajian tinggi Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry khasnya dan pengajian tinggi yang lain amnya akan mendapat mendapat faedah dari konsep falsafah iqra’yang sebenar dalam pendidikan Islam dalam usaha untuk membanding dan mempertingkatkan lagi kandungan pengetahuan dalam pendidikan agar menepati kehendak dan keperluan bangsa dan agama.
Kepentingan tersebut dapat dilihat dari beberapa sudut misalnya mengamati dan mengkaji semula matlamat pendidikan Islam sedia ada serta menilai dan menggubal semula kaedah yang digunakan dalam menerapkan konsep falsafah iqra’ dalam sistem pendidikan yang dilaksanakan dipengajian tinggi.
1.4 Soalan Kajian
Berdasarkan kepentingan kajian dalam penyelidikan ini. Maka penyelidikan terdapat soalan-soalan yang akan dikaji untuk memperjelas masalah kajian ini. Kajian ini berhasrat untuk menjawab dua persoalan iaitu :
1. Apakah sebenarnya yang dimaksud dengan konsep falsafah iqra’dalam pendidikan Islam?
2. Sejauh mana konsep falsafah iqra’diamalkan dalam kalangan pelajar di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh?
3. Apakah kesepaduan konsep falsafah iqra’dalam pendidikan Islam dengan amalan pelajar di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh.
1.5 Rekabentuk Kajian
Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini adalah pendekatan kualitatif. Dalam penyelidikan kualitatif, penyelidik adalah sebagai instrumen utama sama ada dalam pengumpulan mahupun dalam penganalisisan data. Mengikut Lofland and Lofland (1995) bahawa kajian kualitatif adalah suatu proses membuka tirai kerumitan dan selok belok interaksi manusia melalui pemerhatian keadaan persekitaran semula jadi, yang kebanyakan menggunakan tehnik pemerhatian yang mendalam dan temu bual yang intensif.
Kajian kualitatif bertujuan untuk memperolehi pemahaman yang autentik (dijadikan pengajaran) mengenai pengalaman orang seperti nama yang dirasai oleh orang tersebut. Pemerhatian yang ikut serta (participant observation) dan temu bual yang mendalam (in-depth interview) (Schloss dan Smith, 1999). merupakan kaedah utama dalam kajian ini. Oleh itu, salah satu ciri kaedah kajian kualitatif adalah tidak ada hipotesis yang khas pada waktu penyelidikan mula dilakukan. Hipotesis dikembangkan semasa tahap-tahap penyelidikan, setelah diuji dan dibincangkan dengan data yang diperolehi penyelidik semasa penyelidikan berlangsung (Silverman, 1993).
Pendekatan kualitatif yang dijalankan ini bertujuan untuk mengetahui kesepaduan konsep falsafah iqra’ yang sebenar dalam pendidikan Islam dengan amalan pelajar di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh. Sejauh mana amalan konsep falsafah iqra’ di kalangan pelajar Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry diamalkan.
Guy et. al (1987) mengutarakan pendapatnya bahawa kajian kualitatif adalah suatu kajian yang ingin mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh orang, proses apa yang sedang berlangsung, makna apa yangsedang ditafsirkan, apa maksud dan tujuan yang dihasilkan oleh tindakan-tindakan responden, dan apa sahaja perkara-perkara, cabaran-cabaran, dan kemungkinan-kemungkinan yang mereka hadapi di sesebuah lokasi.
Tehnik pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini adalah pemerhatian (pencerahan), menjalankan temu bual yang mendalam dan menganalisis dokumen. Dalam kajian kualitatif ini, penyelidik sebagai instrumen utama dalam mengumpulkan data sesuai dengan apa yang diperkatakan oleh Merriam (1998).
1.6 Batasan Kajian
Untuk memfokuskan penyelidikan kajian ini penyelidik akan membatasi kajian ini agar tidak memperluas skop perbincangan. Bagaimanapun memandang skop perbincangan ini terlalu luas, maka penyelidik memfokuskan penyelidikan ini di Fakulti Tarbiyah Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh dari kalangan pelajar sarjana muda tahun 2012. Kerana Fakulti Tarbiyah merupakan fakulti yang mengembangkan dan memajukan pendidikan di institusi ini dan Fakulti Tarbiyah juga salah satu fakulti yang paling ramai pelajar berbanding dengan fakulti-fakulti yang lain di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh. Jadi batasan kajian ini menghadkan beberapa batasan kajian yang berfokus kepada:
i. Kajian menyelidik beberapa pemikiran dan pandangan tentang konsep falsafah iqra’ sebagaimana dinyatakan sebelum ini iaitu menganalisis konsep falsafah iqra’ dalam ayat yang pertama turun dengan merujuk al-Quran dan Hadist sebagai sumber asas pendidikan Islam.
ii. Kajian ini menyelidik amalan daripada pelajar sarjana muda, bagaimana amalan mereka tentang konsep falsafah iqra’ di Fakulti Tarbiyah Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh. Kemudian di analisis apakah kesepaduan dengan konsep falsafah iqra’ yang sebenar dalam pendidikan Islam.
1.7 Sampel Kajian
Sampel yang akan digunakan untuk kajian ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar Fakulti Tarbiyah Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry Tahun 2012 yang mempunyai bilangan pelajar seramai 540 orang. Mengingat jumlah populasi ramai sangat, maka penyelidik tidak mengambil kira semua populasi yang ada. Maka sampel dalam penyelidikan ini yang di ambil secara acak sehingga penyelidikan ini disebut penyelidikan bersifat acak (random sampling).
Penetapan ini berdasarkan kepada pendapat Suharsimi Arikunto yang mengatakan “Jika jumlah subjek melebihi dari 100 maka dapat di ambil 10 – 15 % atau lebih, tergantung dari kemampuan penyelidik dari segi keterbatasan waktu dan tenaga, sehingga penyelidik dapat mengambil sampel banyak”. Mengikut Suharsimi Arikunto maka dalam penyelidikan ini penyelidik mengambil 15% dari jumlah populasi atau sekitar 81 orang.
1.8 Analisis Data
Bagi menjalankan kajian ini, pengumpulan data dan maklumat akan dibuat oleh penyelidik sendiri. Memandangkan semua respoden adalah daripada sebuah institusi yang merupakan institusi ditempat asal penyelidik sendiri. Maka data untuk kajian ini akan dikumpulkan oleh penyelidik sendiri. Data untuk kajian ini adalah berdasarkan kepada perkara berikut iaitu :
i. Daripada maklumat tentang konsep fasafah iqra’ yang penyelidik kumpulkan dari perpustakaan untuk mendapatkan data dan maklumat serta lain-lain dokumen berkaitan seperti buku, jurnal, majalah, kertas kerja dan lain-lain. Untuk mengetahui dengan sebenar apakah konsep iqra dalam pendidikan Islam.
ii. Daripada soal selidik yang akan diedarkan kepada pelajar sarjana muda tahun 2012 yang menjadi sampel dalam kajian ini untuk mengetahui bagaimana pemahaman pelajar tentang konsep falsafah iqra’ dan amalan yang mereka dalam mengembangkan pengetahuan sebagai pelajar.
Data yang diperolehi dari perpustakaan dalam kajian ini akan dianalisis menggunakan analisis konsep dan falsafah. Analisis falsafah adalah usaha memahami dan menyelidik istilah-istilah, konsep-konsep serta pendekatan-pendekatan yang digunakan dalam pelbagai bidang seperti politik dan pendidikan (Ozmon & Craver, 1999).
Sedangkan data yang diperolehi dari soal selidik akan dianalisis menggunakan perisian SPSS untuk memperoleh nilai statistik yang diperlukan. Data-data yang diperolehi akan dikodkan dan kod-kod petikan akan digunakan untuk menjawab soalan kajian. Penganalisisan data dalam kajian ini akan dilakukan dengan menggunakan 2 jenis statistik iaitu statistik deskriptif dan inferensi. Statistik deskriptif yang digunakan adalah berbentuk min, sisihan piawai dan peratus. Manakala statistik inferensi pula berbentuk ujian taburan t (t-test).
baca : DEFINISI FALSAFAH
1.9 Definisi Istilah
Definisi istilah perlu dijelaskan agar makna yang dikaji tidak salah pengertian berhubung satu ayat mempunyai pengertian yang banyak. Dalam proposal penyelidikan ini penyelidik menjelaskan beberapa istilah-istilah penting yang berhubung dengan tajuk ini.
Istilah “konsep” mengikut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka (2000), bererti pendapat yang terbentuk dalam fikiran mengenai sesuatu gagasan atau tanggapan. Mengikut Jujun S. Sumantri (2009) buku Filsafat Ilmu Sebuah Pengantar Populer, Konsep adalah merupakan suatu teori atau pemikiran yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh falsafah.
Perkataan falsafah itu berasal daripada perkataan Yunani tua yang berbunyi ‘philosophia’ yang bermaksud cinta kepada pengetahuan atau hikmah. Perkataan ini boleh dibahagi kepada dua, iatu ‘philos’ yang bererti cinta, suak atau menghargai dan ‘sophia’ bererti kebijaksanaan, kebenaran atau hikmah. Oleh itu, falsafah ialah satu usaha mencari sesuatu kebenaran atau keyakinan yang berhubung dengan sesuatu perkara menggunakan kekuatan akal fikiran (Abdul Rahim Hamdan, 2011: 2).
Dalam kamus Arab Indonesia Mahmud Yunus (2010) Iqra’ dapat diertikan membaca, menghimpun, menelaah, atau menyampaikan. Syekh Al-Azhar bernama Abdul Halim Mahmud dalam bukunya berjudul Al-Qur’an fii Syahril Qur’an menyatakan bahawa makna ‘Iqra bis mirabbik’ adalah lambang dari semua aktiviti manusia baik aktif maupun pasif senantiasa dalam koridor (selalu dihubungkan dengan) Allah s.w.t. Duduknya manusia kerana Allah, berjalannya kerana Allah, bekerjanya kerana Allah, tidurnya kerana Allah. Dan inilah yang semestinya menjadi falsafah dalam hidup kita, bahawa semua yang kita lakukan hanyalah kerana Allah.
Pendidikan Islam adalah usaha mengubah tingkah laku individu dalam kehidupan pribadi atau kehidupan masyarakat dan kehidupan alam sekitar melalui proses pendidikan. Perubahan tersebut berasaskan oleh nilai-nilai Islam (Omar Moh. Al-Toumy al-Syaibany, 1979: 399).
IAIN Ar-Raniry adalah singkatan dari Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry yang merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai peranan dalam mengembangkan dan memajukan pendidikan Islam khasnya pendidikan Islam di Aceh. Institusi ini terletak di Banda Aceh sebagai ibukota Provinsi Aceh yang merupakan salah satu provinsi di ujung barat Republik Indonesia. Selanjutnya dalam penyelidikan ini penyelidik menulis dengan singkatan IAIN Ar-Raniry Banda Aceh sesuai dengan tajuk penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik.
Rujukan :
Abdul Khobir. (2007). Filsafat Pendidikan Islam: Landasan Teoritis dan Praktis. Gama Media Offset. Yogyakarta.
Abdul Rahim Hamdan. (2011). Flsafah dan Pemikiran Pendidikan. UTM Press. Johor Bahru.
Guy, F. Rebecca, Edgley, Charles E., Ibtihaj Arafat, and Allen, Donald E. (1987). Social Research Methods: Puzzles and Solutions, Boston: Allyn and Bacon Inc.
Jujun S. Sumantri. (2009). Filsafat Ilmu Sebuah Pengantar Populer. Pustaka Sinar Harapan. Jakarta.
Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, (2000). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lofland, J. And Lofland, L.H. (1995). Analizing Social Settings: A Guide to Qualitative Observation Analysis. (3rd Edition). Belmont: Wadsworth Publishing Company.
Mahmud Yunus. (2010). Kamus Arab Indonesia. Mahmud Yunus Wa Dzurriyyah, Jakarta.
Suharsimi Arikunto, (1996). Prosedur Penelitian suatu Pendekatan Praktek, Rineka Cipta, Jakarta.
Silverman, David. (1993). Interpreting Qualitatif Data: Method for Analizing Talk, Text and Interaction. London: Sage.
Schloss, Patrick J., and Smith, Maureen A. (1999). Conducting Reseacrh. New Jersey: Prentice Hall
Ozmon, H. A. And Craver, S. M. (1995). Philoshophical Foundations of education (5th ed.). New Jersey: Prentice Hall.
0 Response to "CONTOH SKRIPSI ANALISIS KONSEP DAN FALSAFAH IQRA DALAM PENDIDIKAN ISLAM DI IAIN AR-RANIRY"
Posting Komentar