BAB II
PELBAGAI PANDANGAN TENTANG AKHLAK
2.0 Pengenalan
Akhlak dalam Islam sangat penting dan besar pengaruhnya dalam membina dan membentuk manusia. Pendekatan Islam dalam amalan dan pendidikan akhlak amat menekankan kepada penanaman akidah atau rohani yang mantap (Asmawati Suhid, 2009). Kepentingan akidah dalam pendidikan akhlak dapat dilihat menerusi nas-nas al-Quran dan hadith. Al-Quran merupakan wahyu Allah s.w.t. yang mengandungi petunjuk, pembimbing dan pembeza antara yang hak dan yang batil dalam tiga bidang utama iaitu aqidah, syari’ah dan pembentukan akhlak.
Ruang lingkup bidang akhlak dihuraikan secara terperinci, meluas, dan mendalam dalam al-Quran bermatlamatkan keselamatan agama, jiwa, jasmani, keturunan dan harta benda. Hadith sebagai sumber kedua yang menjelaskan amalan-amalan akhlak dalam Islam. Rasulullah s.a.w. sebagai teladan terbaik untuk seluruh umat Islam dan juga seluruh umat manusia. Perbincangan pada bab ini berkaitan dengan pelbagai pandangan tentang akhlak yang berisikan tentang Konsep Akhlak dalam Islam dan Pandangan tentang al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
2.1 Konsep Akhlak Dalam Islam
Islam adalah agama yang menekankan pembinaan dan pembentukan akhlak dan kepribadian mulia di kalangan semua individu. Akhlak membina diri insan agar menjadi seorang yang tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah s.w.t. di samping memiliki sifat dalaman suci dari segi peribadi dan personaliti luaran.
2.1.1 Definisi Akhlak
Akhlak dapat didefinisikan dalam dua bentuk iaitu dari segi bahasa dan istilah.
1) Akhlak Dari Segi Bahasa
Akhlak berasal dari bahasa Arab yang merupakan kata jamak daripada perkataan “al-Khuluq”(Harun Din, 2001; Imran Efendy Hasibuan, 2003; Asmawati Suhid, 2009). Perkataan akhlak pula adalah pecahan daripada “al-Khalq” yang bererti ciptaan seperti yang dibayangkan oleh al-Quran:
Terjemahan: “yang menciptakan tiap-tiap suatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakannya kejadian manusia berasal dari tanah.”
(As-Sajadah 32:7)
Berdasarkan ayat di atas Harun Din (2001) menjelaskan keindahan ciptaan manusia mempunyai dua bentuk iaitu insan Jasmani dan insan Nafsani. Keindahan bentuknya yang lahir atau fizikal termasuk dalam istilah “al-Khalq”. Keindahan bentuknya yang batin diluar alam fizikal termasuk dalam istilah “al-Khuluq”. Keindahan insan Nafsani berhak dijadikan sebagai asas dan matlamat kerana keindahan insan Nafsani adalah keindahan yang kekal abadi (Haron Din, 2001).
Mengikut Asmawati Suhid (2009) akhlak boleh didefinisikan sebagai perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama. Ditakrifkan mengikut Kamus Dewan bahawa akhlak membawa maksud budi pekerti, kelakuan dan tabia’at. Kata akhlak dalam Kamus al-Munawir diertikan sebagai suatu tabia’at dan budi pekerti yang baik (Ahmad Warson Munawwir, 2002).
Daripada definisi yang dikemukakan, dapat dinyatakan bahawa akhlak mempunyai pengertian yang merangkumi empat hubungan iaitu hubungan akhlak terhadap Tuhan, hubungan akhlak terhadap diri sendiri, hubungan akhlak terhadap masyarakat dan hubungan akhlak terhadap persekitaran. Justeru itu pula dapat ditegaskan bahawa pengertian akhlak kalau diertikan dalam konsep yang lebih luas bermakna segala rupa bentuk pendidikan sama ada bersifat praktikal mahupun teori. Akhlak mesti dititikberatkan supaya setiap individu mempunyai tingkah laku yang mulia dalam hubungannya dengan Tuhan, diri sendiri, masyarakat dan dengan persekitaran.
2) Akhlak Dari Segi Istilah
Banyak definisi yang telah dikemukakan oleh sarjana Islam berhubung dengan pengertian dan konsep akhlak. Akhlak bermaksud satu ilmu yang membahaskan tingkah laku manusia sama ada baik dan buruk (Muhammad Sayyed Naim, 1996). Laporan Asmawati Suhid dalam Abdul Rahman Md. Aroff (2004) akhlak mengandungi sifat yang dimiliki oleh individu sejak kelahirannya, yang menerusi latihan, ransangan yang akhirnya menjadi tabiat, dan akhlak juga meliputi dua dimensi iaitu batin dan zahir dalam bentuk perlakuan.
Akhlak juga didefinisikan oleh Haron Din (2001) sebagai dua bentuk iaitu akhlak Islam dan akhlak falsafah. Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumber kepada wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Sementara akhlak falsafah ialah akhlak yang bersumber kepada daya usaha kemampuan pemikiran manusia. Pengertian lain yang didefinisikan oleh Sidi Gazalba (1978) akhlak adalah sikap kepribadian yang melahirkan tingkahlaku perbuatan manusia terhadap Tuhan dan manusia, terhadap diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk al-Quran dan Hadith.
Berdasarkan kutipan di atas dapat difahami bahawa setiap individu muslim haruslah menjaga keindahan budi pekertinya, kepribadian seseorang ditunjukkan oleh keindahan akhlak lahiriahnya bukan keindahan bentuk jasmaninya. Akhlak menunjukkan perangai dan tingkah laku individu (Sidi Gazalba, 1978; Haron Din, 2001; Asmawati Suhid, 2009). Akhlak pula mencakupi semua aspek dan elemen dalam kehidupan kerana hal itu juga merupakan bahagian dari ajaran dan suruhan Islam yang perlu dipelihara, agar sahsiah seseorang muslim dapat terjaga sebagaimana mestinya. Hal ini berhubung kait dengan akhlak yang diterjemahkan oleh Miqdan Yaljan (1973). Dimana akhlak menurut beliau iaitu sebagai suatu sifat thabi’i fitrah kejadian manusia dalam keadaan bebas dan ia terbagi kepada dua iaitu nafsiah (luaran) dan sahsiah diri individu iaitu kualiti dalaman berkenaan.
Kesimpulannya, ilmu akhlak berkait rapat dengan perbuatan manusia ketika ia dalam keadaan sedar atau tidak sedar. Di samping itu perbuatan-perbuatan tersebut boleh di elak sewaktu keadaan sedar. Ringkasnya akhlak itu memainkan peranan untuk melahirkan sifat-sifat individu sama ada yang mulia atau terpuji dan buruk atau jahat. Sifat mulia atau terpuji dapat membawa kepada kebahagian dan kesempurnaan hidup. Sedangkan sifat buruk atau jahat dapat membawa kepada kesengsaraan dan keseksaan hidup.
2.1.2 Sumber dan Komponen Akhlak
1) Sumber Akhlak
Allah s.w.t. tidak membiarkan hamba-Nya menjalani kehidupan di dunia ini tanpa pentunjuk dan bimbingan yang jelas dan sempurna. Dalam kehidupannya manusia mesti mengambil kira dunia dan akhirat, sebagaimana tujuan dan matlamat manusia itu diciptakan. Asmawati Suhid (2009) menjelaskan matlamat manusia sebagai hamba Allah s.w.t. dan sebagai khalifah di muka bumi dengan adanya panduan dan bimbingan daripada Allah s.w.t. baharulah manusia dapat merealisasikan fungsinya dengan baik dan sempurna.
Asmawati Suhid (2009) juga menerangkan sumber utama akhlak dalam Islam ialah al-Quran dan al-Hadith. Kedua-duanya menyediakan manhaj atau kaedah yang jelas dan mantap dalam membentuk serta memelihara akhlak manusia. Sumber ini yang menjelaskan bagaimana cara berbuat baik. Tingkah laku nabi Muhammad merupakan contoh teladan bagi umat manusia semua. Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud :
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (ketibaan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Surah al-Ahzab 33:21)
Hadith Rasulullah mencakupi perkataan dan tingkah laku beliau merupakan sumber akhlak yang kedua setelah al-Qur’an. Segala ucapan dan perilaku beliau sentiasa mendapatkan bimbingan dari Allah s.w.t.Allah berfirman yang bermaksud:
Dan Tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
(Surah An-Najm: 3-4)
Dalam ayat lain pula, Allah memerintahkan untuk selalu mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. dan taat kepada yang dibawa oleh beliau. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
Apa yang diberikan Rasul kepadamu, Maka terimalah. dan apa yang dilarangnya bagimu, Maka tinggalkanlah. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat keras hukumannya.
(Surah Al-Hasyr: 7)
Sebagai sumber akhlak al-Qur’an dan al-Hadith menjelaskan bagaimana cara berbuat baik. Atas dasar ini kemudian keduanya menjadi asas utama sebagai sumber ajaran Islam secara menyeluruh dalam menetapkan baik dan buruk. Al-Qur’an bukan perkataan manusia tetapi ianya adalah firman Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Oleh itu, setiap muslim berkeyakinan bahawa isi al-Qur’an tidak dapat dibuat dengan akal pikiran manusia. Sumber yang kedua sesudah al-Qur’an iaitu al-Hadith. Al-Hadits dinilai sebagai penjelas daripada al-Qur’an terutama dalam persoalan-persoalan yang tersurat kandungan asasnya sahaja (M. Yatimin Abdullah, 2007).
Islam menghormati dan tidak mengabaikan fitrah manusia dengan meletakkan semua tanggung jawab akhlak kepada pilihan dan usaha manusia itu sendiri. Menjadi jelas bahawa al-Qur’an dan al-hadith merupakan petunjuk hidup yang menjadi asas bagi setiap muslim, keduanya merupakan sumber akhlak yang utama dalam Islam. Demikian bahawa akhlak meperhatikan secara menyeluruh, mencakupi semua golongan makhluk yang diciptakan Tuhan. Asas akhlak menjadi lebih sempurna, ia mencakupi hubungan manusia dengan semua makhluk-Nya, juga kepada Tuhannya.
2) Komponen Akhlak
Hasan Langgulung (1988) mengikut Abdullah Darraz, penjenisan nilai-nilai dalam Islam yang berkaitan dengan nilai-nilai Akhlak, ada lima jenis iaitu: Nilai-nilai akhlak perseorangan, Nilai-nilai akhlak dalam keluarga, Nilai-nilai akhlak sosial, Nilai-nilai akhlak dalam negara, dan Nilai-nilai akhlak agama. Itulah secara ringkas nilai-nilai akhlak dalam Islam yang semestinya kaum muslimin, sebagai individu, sebagai anggota keluarga, sebagai anggota masyarakat, sebagai warga Negara, baik sebagai pemimpin maupun rakyat, dan terakhir kali sebagai hamba Allah.
Walaupun nilai-nilai itu terlihat banyak dan dalam pelbagai aspek kehidupan manusia tetapi dapat disimpulkan dalam suatu perkataan iaitu taqwa. Dengan kata lain taqwa itulah kumpulan dari nilai-nilai yang ada dalam Islam dan setiap penganutnya harus menghayati (Hassan Lamgulung, 1988). Selain daripada nilai-nilai di atas akhlak Islam juga mempunyai ciri-ciri yang mendasarinya.
Asmawati Suhid (2009) menyebutkan enam ciri-ciri akhlak Islam iaitu diciptakan oleh Allah s.w.t., tetap dan umum, mudah, lengkap dan menyeluruh, toleransi dan sejagat atau universal. Beliau menjelaskan akhlak diciptakan oleh Allah s.w.t. maka ia bersifat sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia. Akhlak juga bersifat atau mencirikan tetap iaitu apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. adalah tetap dan tidak berubah sejak penurunan al-Quran sehinggalah ke akhir zaman. Manakala ciri yang umum bermaksud bahawa pelaksanaannya berpulang kepada manusia tanpa mengabaikan hukum syariat. Ciri yang bersifat mudah mempunyai makna tidak membebankan seseorang dengan sesuatu yang diluar kemampuannya. Firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak memberatkan seseorangmelainkan sekadar yang termampu dipikul olehnya.”
(Surah al-Baqarah 2:286)
Keistimewaan akhlak Islam boleh dilihat dari segi lengkap dan menyeluruh yang merangkumi setiap aspek keperluan kehidupan manusia termasuklah soal politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, antarabangsa dan sebagainya. Sifat atau ciri seterusnya toleransi yang mengandungi erti yang sama dengan tasamuhdalam bahasa Arab bermaksud bermurah hati dan bermudah-mudahan dalam pergaulan sesama manusia. Dan ciri yang akhir sekali adalah sejagat atau universal yang boleh dilihat daripada sudut masa atau zaman, tempat dan bangsa atau kaum. Akhlak Islam sesuai dilaksanakan di mana-mana tempat dan kawasan asalkan ia tidak bertentangan dengan prinsip Islam.
Dalam Islam secara umumnya ilmu pengetahuan yang terpenting dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu akidah, syariah, dan tasauf (Roslan Ali, 2007). Ketiga-tiganya amat berhubungkait dengan akhlak dan merupakan komponen ilmu dalam pembentukan akhlak. Akidah sebagai ilmu tauhid dalam amalan akhlak kepada Allah, syariah sebagai ilmu sosial dalam amalan dengan sesama manusia dan tasauf merupakan salah satu tingkatan akhlak yang tertinggi dalam Islam. Roslan Ali (2007) pula menjelaskan ketiga ilmu yang berkenaan tidak dapat diamalkan secara satu-satu sahaja tanpa yang lainnya. Mengikut syariah dengan ‘berfiqah’ sahaja atau akidah dengan ‘bertauhid’sahaja atau tasauf dengan ‘berakhlak’ sahaja dalam tingkatan yang tinggi, tentu akan merosak akhlak dan keislaman seseorang. Ketiga-tiga ilmu itu harus selaras dan serentak sama ada dari segi teori ataupun praktikal, atau dari segi ilmiah dan amaliahnya.
Disamping nilai-nilai, ciri-ciri dan komponen ilmu dalam akhlak yang telah dihuraikan tersebut, pada prinsip utamanya akhlak itu ada dua macam, iaitu akhlak yang terpuji (akhlaqul mahmudah ) dan akhlak tercela (akhlaqul mazmumah )
1) Akhlak yang Terpuji (Akhlaqul Mahmudah)
Mengikut Hassan Langgulung (1988) akhlaqul mahmudah ialah akhlak yang baik, yang berupa akhlak yang baik-baik yang harus dianut dan dimiliki oleh setiap individu, khusus yang tergolong akhlak mahmudah diantaranya iaitu mengendalikan hawa nafsu. Nafsu adalah salah satu organ rohani manusia yang disamping akal, sangat besar pengaruhnya dan banyak mengeluarkan dorongan-dorongan kepada jasmani untuk berbuat atau bertindak. Mengendalikan nafsu bukan suatu perkara yang mudah diperlukan latihan-latihan dan banyak berbuat amalan yang baik mengikut agama. Dalam ajaran Islam bahawa mengendalikan nafsu memang pekerjaan yang berat sehingga pekerjaan itu dinilai sebagai jihad akbar atau perang besar, sedangkan perang fizikal melawan musuh betapapun hebatnya hanya diakui sebagai “Jihad Shoghir” atau perang kecil sahaja. (Humaidi Tatapagarsa, 1990).
2) Akhlak Tercela (Akhlaqul Mazmumah)
Akhlak mazmumah ialah akhlak yang buruk yang harus dijauhi dan dihindari oleh setiap orang. Banyak di antara sifat-sifat yang buruk yang berlaku dalam akhlak. Di antara beberapa sifat yang dikategorikan sebagai akhlak tercela (akhlaqul mazmumah).
2.1.3 Asas-asas Akhlak Dalam Islam
Asas akhlak yang baik dan benar bertujuan untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Asas-asas akhlak yang mulia mempunyai tiga tingkatan yang berbeza dan mempunyai ciri-ciri dan matlamat masing-masing. Syaikh Muhammad Ibrahim Bin Abdullah at-Tuwaijiri dalam Ensiklopedi Islam al-Kamil yang diterjemahkan oleh Tim Darus Sunnah (2010) menyebutkan perbezaan antara ketiga tingkatan itu dapat dijelaskan bahawa Islam iaitu amal-amal yang tampak dan mempunyai lima rukun disebut dengan Rukun Islam. Dan yang dimaksud dengan iman adalah amal-amal batin yang memiliki enam rukun disebut dengan Rukun Iman. Hal ini bermakna apabila dinisbahkan secara bersamaan, apabila dinisbahkan secara berdiri sendiri maka masing-masing mempunyai makna dan hukum tersendiri. Ihsan mencakupi hal yang lebih umum dari cakupan iman, dan cakupan iman lebih umum dari cakupan Islam. Individu yang mempunyai ihsan adalah individu yang mukmin dan muslim. Ketiga asas akhlak yang disebutkan di atas, secara terperinci merujuk kepada Syaikh Muhammad Ibrahim Bin Abdullah at-Tuwaijiri dapat dijelaskan sebagai berikut:
1) Islam
Islam adalah menyerlahkan diri seluruhnya kepada Allah dengan mengesakan-Nya dan melaksanakan dengan penuh ketaatan dan melepaskan diri dari kesyirikan dan para pelakunya. Abdul Karim Mustafa (2002) terjemahannya dari buku bahasa Arab yang dikarang oleh Mahmud Mohamad Babeli, menjelaskan maksud Islam adalah menyerlahkan kepatuhan serta penerimaan terhadap ajaran Nabi Muhammad s.a.w. serta penerimaannya. Menerusi Islamlah akhlak dan kehormatan diri terpelihara. Dalam satu hadith dari Ibn Umar r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Islam dibangun di atas lima perkara: Syahadat (persaksian) bahawa tidak ada Tuhan yang hak untuk disembah kecuali Allah, dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan ibadah haji, dan puasa pada bulan Ramadhan.”
Hadith di atas menunjukkan bahawa rukun Islam, sebagaimana kita maklum bersama ada lima perkara yang menjadi kewajipan bagi setiap muslim yang sudah baligh dan berakal sehat.
2) Iman
Dari segi bahasa iman merupakan masdar dari perkataan Arab “amana yu’minu imanan”yang membawa makna kepercayaan dan merupakan lawan kekafiran. (Abdul Karim Mustafa, 2002). Dari segi istilah dijelaskan oleh Syaikh Muhammad Ibrahim Bin Abdullah at-Tuwaijiri, bahawa iman adalah percaya kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari akhir, dan beriman kepada takdir yang baik dan takdir yang buruk. Iman seseorang dapat bertambah dengan ketaatannya kepada Allah dan iman pula dapat berkurang apabila ia melakukan kemaksiatan.
Iman itu mencakupi ucapan dan perbuatan, ucapan hati dan lisan, amalan hati dan amalan lisan serta amalan anggota badan. Iman mempunyai cabang-cabang yang banyak. Hadith dari Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Iman itu mencapai tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang, yang paling utama cabang tersebut adalah ucapan ‘la ilaha illallah’ dan cabang yang paling rendah adalah menyingkirkan sesuatu yang berbahaya dari jalan, dan malu merupakan cabang dari keimanan.”
Apa-apa yang diamalkan seseorang dengan penuh kesedaran imannya dalam hati, terdapat bukti-bukti didalam al-Quran (al-Anfal; 2-4 dan 74. Al-Hujarat; 15) yang menjelaskan bahawa hakikat iman yang terdapat dalam diri seseorang yang memahami hakikat agamanya, berjuang membela agama dengan segala kemampuannya, menjadikannya sebagai ibadah dan dakwah, berhijrah dan menang kerananya, berjihad dan berinfak untuknya.
3) Ihsan
Ihsan dapat diertikan seseorang yang menyembah Allah seolah-olah ia merasakan kewujudan Allah dan jika ia tidak mampu merasakan kewujudan Allah dalam dirinya maka ia yakin bahawa Allah melihat dan mengawasi dirinya (Abdul Karim Mustafa, 2002). Definisi tersebut mengandung dua tahapan ihsan dalam tingkatan yang berbeza. Tingkatan pertama, seseorang beribadah kepada Allah seakan-akan ia melihat-Nya. Sebagai bentuk permohonan, kerinduan, keinginan, dan kecintaan. Dia memohon kepada zat yang ia cintai iaitu Allah, juga yang dituju serta disembah seakan-akan ia melihat-Nya, inilah tahapan ihsan tertinggi. Tingkatan kedua, jika seseorang tidak mampu beribadah kepada Allah seakan-akan ia melihat-Nya dan mencari-Nya, maka orang itu beribadah kepada Allah seakan-akan Allah yang melihat dirinya. Sebagai bentuk ibadah orang yang takut kepada-Nya, orang yang lari dari azab dan seksaan-Nya, serta merendahkan diri kepada-Nya.
2.2 Pandangan Tentang al-Ghazali dan Ibn Miskawayh
Perbincangan tentang kedua-dua tokoh dalam kajian ini kerap dibincangkan dalam Islam dan juga dalam pendidikan. Al-Ghazali dan Ibn Miskawayh hidup dalam masa yang berbeza, al-Ghazali hidup pada tahun 1058-1111 Masihi. Manakala Ibn Miskawayh hidup pada tahun 932-1030 Masihi. Untuk lebih jelas pandangan tentang kedua tokoh tersebut, seterusnya akan dibincangkan menelusuri pelbagai pandangan dan pendapat.
2.2.1 Pandangan Tentang al-Ghazali
Merujuk Ensiklopedi Islam 1994, nama lengkap beliau adalah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad at-Thusi al-Ghazali, dalam sejarah pemikiran agama dan falsafah Islam beliau menduduki tampat yang istimewa. Beliau di isytiharkan sebagai Bukti Islam (hujjat al-Islam), Perhiasan Agama (zain al-din) dan mujaddid(M. M. Syariff, 1994). Beliau lahir pada tahun 450 H atau 1058 M di kampong kecil bernama Ghazalah Thabaran, bagian dari bandar Thus wilayah Khurasan (Iran). Ibu bapanya bekerja sebagai pemintal wol yang dalam bahasa Arab disebut ghazzal. Penisbahan nama al-Ghazali terdapat dua pendapat iaitu al-Ghazali dengan menggunakan satu huruf zdinisbahkan kepada tempat kelahirannya, sedangkan al-Ghazali dengan menggunakan dua huruf z dinisbahkan dengan pekerjaan ibu bapanya sebagai pemintal wol. Kerana itu sebutan “al-Ghazzali” adalah panggilan penduduk Khurasan kepadanya (Abdul kholik, dkk, 1999).
M. Saeed Syeikh dalam tulisannya al-Ghazali: Metafizik, mengatakan selama hidupnya Al-Ghazali telah mengumpulkan didalam dirinya semua gerakan intelektual dan agama yang penting pada zamannya dan menghayati dalam jiwanya pelbagai tahap rohaniah yang telah dikembangkan dalam Islam. Al-Ghazali adalah sebagai seorang peguam syariah dan ahli skolastik, seorang ahli falsafah dan seorang skeptik, seorang zahid dan seorang ahli teologi, seorang ahli hadis dan seorang moralis. Beliau mempunyai sikap terhadap falsafah menunjukkan keasliannya yang menakjubkan, walaupun beliau lebih banyak kritik kepada falsafah daripada membina. Sebenarnya al-Ghazali menjadi pencabar kepada falsafah Aristotle dan Platinus dan wakil muslim mereka sebelum beliau. Aliran utama pemikiran agama dan falsafah al-Ghazali menghampiri kecenderungan fikiran moden (M. M. Syarif, 1994).
Abdul Khaliq seorang Profesor Falsafah Kolej Islamiah Lahore, dalam sejarah Islam dari segi falsafah terjemahan M. M. Syarif (1994), membincangkan al-Ghazali sebagai seorang penulis Islam tentang akhlak yang paling masyhur. Menurut beliau sesetengah pengkritik mencuba memperkecil kepentingan teori etika al-Ghazali. Mereka cuba menunjukkan bahawa teori al-Ghazali berasal daripada doktrin Aritoteliah dan Neo-Platoniah. Walaupun pemikiran al-Ghazali turut dipengaruhi oleh etika orang Yunani, pada dasarnya pemikiran beliau bergantung kepada inspirasi dirinya sendiri. Dalam semua tulisan beliau, al-Ghazali berpegang teguh kepada ajaran Islam untuk menyokong pandangannya. Menurut ajaran al-Quran umpamanya beliau meletakkan penekanan terhadap nilai rohaniah seperti bersyukur, taubat, tawakkal, takut (khauf) kepada Allah dan lain-lain yang tidak diketahui langsung oleh orang Yunani. Al-Ghazali juga mengikut ajaran Islam sepenuhnya dengan mengambil contoh teladan Rasulullah sebagai contoh teladan yang sempurna, yang diakui oleh Allah s.w.t memiliki akhlak yang paling tinggi.
Walaupun pemikiran al-Ghazali cenderung menekankan penyucian hati setelah seseorang memutuskan hubungan dengan dunia, tetapi tidak disarankan bahawa menjauhi dunia sebagai tujuan hidup. Ia diberi penekanan lebih oleh al-Ghazali semata-mata untuk meredakan kecenderungan ke arah maksiat, kemewahan dan keangkuhan yang lumrah berlaku pada zaman beliau. Selanjutnya pemikiran al-Ghazali dalam konsep akhlak akan diperbincangkan pada bab IV dengan jelas dalam pelbagai aspek yang dikaji.
2.2.2 Pandangan Tentang Ibn Miskawayh
Nama lengkapnya adalah Abu Ali al-Khazim Ahmad Ibn Muhammad Ibn Ya’qub Ibn Miskawayh. Ia lahir di Ray (sekarang Teheran) pada tahun 320 H/932 M, dan meninggal di Isfahan pada tarikh 9 Shafar tahun 412 H/16 Februari 1030 M. Ibn Miskawayh hidup pada masa pemerintahan Dinasti Buwaih (320-450 H/932-1062 M) yang sebagian besar pemukanya bermazhab Syi’ah (Abuddin Nata, 2003).
Abdurrahman Badawi dalam Sejarah Islam dari Segi Falsafah terjemahan M. M. Syariff (1994) menggolongkan Ibn Miskawayh sebagai ahli falsafah, dalam huraiannya beliau menjelaskan pada dasarnya Ibn Miskawayh adalah seorang ahli sejarah dan moralis. Bahagian terpenting terpenting dalam aktiviti falsafah Miskawayh ditumpukan kepada etika. Beliau seorang moralis dalam erti sebenar kerana beliau mengamalkan banyak daripada yang ditulisnya tentang etika. Tiga karya beliau yang paling penting tentang etika: (1) Tartib al-Sa’adah, (2) Tahdhib al-Akhlaq, (3) Jawidan Khirad.
Falsafah moral Ibn Miskawayh amat berkait rapat dengan psikologi, beliau memulakan huraian yang panjang lebar mengenai etika dalam kitab Tahdhib al-Akhlaq, dengan menerangkan doktrin beliau tentang roh. Menurut beliau roh mempunyai tiga keupayaan: rasional, berani dan bernafsu, ketiga keupayaan itu sepadan dengan tiga nilai iaitu kebijaksanaan, keberanian dan kesederhanaan. Kesepaduan dan keselarasan tiga nilai tersebut wujudlah nilai yang keempat iaitu keadilan (M. M. Syariff, 1994).
Huraian Abdurrahman Badawi tentang pemikiran Ibn Miskawayh lebih cenderung kepada ajaran Plato dan ajaran Aristotle. Beliau mentafsirkan kebaikan sebagai suatu kesederhanaan antara dua kejahatan. Beliau menggunakan doktrin kesederhanaan ke atas kebaikan utama daripada empat nilai yang tersebut di atas (M. M. Syariff). Dalam kitab Tahdhib al-Akhlaq banyak persoalan yang dibincangkan Ibn Miskawayh, beliau menghuraikan tentang sifat manusia dan keadaan asalnya, kesempurnaan dan kebahagiaan, keadilan, persahabatan dan cinta dan sebagainya. Selanjutnya untuk lebih memahami corak pemikiran Ibn Miskawayh dalam huraiannya tentang konsep akhlak akan diperbincangkan pada bab V dengan jelas dalam pelbagai aspek yang dikaji.
0 Response to "Bab II Akhlak pelajar Dalam Sistem Belajar di Pondok"
Posting Komentar