BAB 1
PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan
Melalui pendidikan manusia dapat mempelajari semua konsep dan pelbagai aspek dalam kehidupan demi menjaga kelangsungan hidup manusia. Manusia dapat membentuk sebuah peradaban yang mantap dan sempurna melalui akhlak yang mulia. Sejarah telah menyaksikan bahawa antara sebab yang membawa kemusnahan dan kehancuran sesuatu bangsa ialah akibat daripada kerakusan manusia dan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan serta akhlak dalam kehidupan (Asmawati Suhid, 2009). Hal ini menjadi sebuah pemikiran bahawa pendidikan akhlak mesti berlaku sepanjang perjalanan hidup manusia agar tamadun dapat menjaga kelestarian akhlak manusia seutuhnya.
Dalam era globalisasi sekarang ini terjadi pelbagai isu akhlak dan moral dalam semua kalangan sebagaimana yang diperkatakan oleh Ismail Ibrahim (1996). Menurut Ismail Ibrahim (1996) pula bahawa isu peradaban dan akhlak tidaklah merupakan persoalan dalam kalangan remaja sahaja, persoalan ini sebenarnya merupakan persoalan yang menyeluruh yang melibatkan hampir semua golongan dan kategori sosial. Melalui media terlihat jelas akhbar-akhbar tentang praktik rasuah, jenayah, unsur-unsur pergolakan nafsu seksual, salah laku pendidik dan pelajar di sekolah yang berlaku di Malaysia, Indonesia dan di pelbagai negara-negara Islam lainnya. Sebenarnya agama institusi pendidikan dan lingkungan memainkan peranan penting mengatasi persoalan dan isu akhlak yang meresahkan semua pihak (Imran Effendy, 2003).
Sejak awal peradaban Islam sehingga sekarang persoalan dan isu akhlak terus diperbincangkan dari semasa ke semasa, oleh itu kajian ini juga berhasrat mengkaji pemikiran-pemikiran mengenai konsep akhlak secara integrasi untuk mencapai sebuah maklumat dan konsep yang menyeluruh dan sesuai dengan isu-isu semasa.
1.1 Latar Belakang Masalah
Salah satu misi utama agama Islam adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Akhlak yang mulia dalam Islam merupakan sikap punca yang harus dimiliki oleh setiap muslim. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya saya diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” Seseorang yang hendak memperoleh kebahagian yang sebenar (al-sa’adah al-haqiqiyah), mesti menjadikan akhlak sebagai asas dalam bertindak dan berperilaku. Namun sebaliknya orang yang tidak memperdulikan pembentukan akhlak ialah orang yang tidak memiliki erti dan tujuan hidup.
Di era moden seperti sekarang ini, sekurang-kurangnya terdapat tiga fungsi akhlak dalam kehidupan manusia. Ketiga fungsi akhlak menurut Franz Magnis Suseno (1987) Pertama, ia dapat dijadikan sebagai panduan dalam memilih apa yang boleh diubah pakai dan apa pula yang harus dikekalkan. Kedua, dapat dijadikan sebagai ubat penawar dalam menghadapi pelbagai idea moden (seperti materialisme, hedonisme, radikalisme, marxisme sekularisme dan lain-lain). Ketiga, dapat dijadikan sebagai penghalang dalam menghadapi perilaku salah laku daripada pengaruh globalisasi.
Untuk melahirkan seorang individu yang mempunyai akhlak yang sempurna dan seimbang dari segi rohani, emosi, akal, dan jasmani memerlukan kepada usaha-usaha yang bertungkus lumus dari semua pihak yang terlibat dalam pendidikan akhlak. Pembentukan akhlak dan budi pekerti, bukanlah masalah yang baru muncul saat ini. Dalam sejarah perkembangan pemikiran Islam, ditemukan beberapa tokoh yang melibatkan diri dalam bidang ini. Di antara tokoh-tokoh yang membincangkan tentang akhlak iaitu al-Kindi, al-Farabi, Ikhwan al-Shafa, Ibn Sina, al-Ghazali, Ibn Miskawayh dan lain-lain. Al-Ghazali dan Ibn Miskawayh adalah dua tokoh yang sangat kerap membincangkan dan mengembangkan wacana etika dalam Islam.
Perbincangan tentang akhlak dapat ditelusuri melalui karya-karya mereka dalam pelbagai buku karangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh. Dalam buku Dialektika Islam karangan Fuad Moh. Fachruddin (1970) beliau mengatakan pandangan Ibn Miskawayh bahawa tujuan utama daripada agama ialah membangkitkan budi pekerti yang luhur. Beliau menambahkan tidak dapat sempurna melainkan dengan kepercayaan, bahawa agama adalah satu latihan budi pekerti bagi jiwa. Al-Ghazali t.t. dalam bukunya Ihya Ulumuddin, mentakrifkan bahawa khuluq ialah suatu sifat yang tetap pada jiwa, yang daripadanya muncul perbuatan-perbuatan dengan mudah, dengan tidak membutuhkan kepada fikiran. Perbandingan beberapa konsep akhlak antara kedua-dua tokoh ini dikemukakan, yang akhirnya dapat melihat persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya yang menjadi asas pemikiran konsep akhlak mereka. Oleh itu, suatu penyelidikan dan kajian yang berhubungkait dengan akhlak amat diperlukan untuk mencari suatu kaedah yang terbaik dalam pendidikan akhlak.
1.2 Pernyataan Masalah
Kajianini cuba membandingkan dan menganalisis pemikiran tentang konsep akhlak menurut al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani. Perbandingan tersebut mengambil kira asas, falsafah dan pandangan agama antara kedua-dua mereka tentang masalah yang dikaji. Anderson (1998) mengatakan untuk mengembangkan kefahaman pendidikan dengan menjelaskan konsep pendidikan, kepercayaan, pendapat, andaian (p. 7). Sebagai contoh analisis falsafah pendidikan mencuba untuk memahami soalan-soalan seperti: apakah konsep akhlak? Bagaimana kefahaman tentang konsep akhlak? Apakah persamaan konsep akhlak daripada pandangan mereka? Apakah perbezaan konsep itu pula? Daripada soalan-soalan tersebut pengkaji dapat melihat perbezaan dan persamaan pemikiran tentang konsep akhlak yang dipraktikkan oleh al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Antara kajian lepas ialah seperti kajian yang dikaji oleh Azizah Binti Zakaria (2004) terhadap beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali, dalam kajian ini pengkaji merumuskan bahawa etika al-Ghazali adalah suatu etika yang komprehensif. Seterusnya pengkaji hanya melihat dan mengkaji etika al-Ghazali dalam aspek keilmuan (intelek) dan tidak menyentuh aspek yang lain. Mohd Rusli Bin Hussain (2003), kajiannya tentang pembangunan insan melalui perbandingan pemikiran antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun. Dalam kajian ini penulis menyimpulkan bahawa al-Ghazali dengan terperinci dan spesifik membincangkan pembangunan aspek dalaman amat sesuai untuk dijadikan sebagai asas yang penting dalam merangka dan menjalankan program pembangunan insan dari pelbagai aspek seperti aspek rohani, hati, jiwa, dan akal. Kekurangan dan kelemahan al-Ghazali berbanding Ibn Khaldun dalam mengaitkan manusia dengan unsur luaran kerana unsur luaran merupakan unsur sampingan yang hanya sesuai digunakan mengikut kesesuaian sesuatu kelompok, ianya bukan perkara dasar yang menjadi kemestian dalam pembangunan insan. Bagaimana persamaan dan perbezaan itu boleh berlaku? Apakah punca persamaan dan perbezaan itu? Apakah persamaan dan perbezaan juga berlaku dalam pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh?
Mohd Jais Anuar Bin Ahmad (2003) yang mengkhususkan kajian kepada pembinaan sahsiah diri terhadap pemikiran falsafah akhlak Ibn Miskawayh menerusi kitab Tahdhibul Al-Akhlaq. Kajian ini membincangkan pemikiran Ibn Miskawayh mengenai ketokohannya dalam menghuraikan falsafah akhlak secara terperinci. Pemikiran falsafah akhlak telah dicorakkan melalui gabungan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang pernah beliau lalui. Terdapat juga kajian yang dilakukan oleh Mohd Sullah (2010) yang membandingkan konsep pendidikan akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibn Miskawayh, memfokuskan kepada pendidikan akhlak dari aspek karya, hakikat manusia dan konsep pendidikan akhlak daripada kedua-dua tokoh.
Berdasarkan kajian lepas yang telah dilakukan terlihat jelas bahawa al-Ghazali dan Ibn Miskawayh kerap membincangkan konsep akhlak dalam pelbagai perspektif. Abubakar Aceh (1982) dalam Sejarah Filsafat Islam mengkategorikan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aliran moral dan akhlak. Antara kajian lepas yang tersebut di atas terdapat tajuk yang hampir sama dengan kajian penulis, namun sudut fokus dan penumpuan kajian berbeza. Kajian ini penulis lebih berfokus kepada perbandingan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam beberapa aspek kajian.
Al-Ghazali adalah seorang tokoh falsafah jalan tengah dan juga ahli tasawuf, serta ulama Islam yang tersohor dan amat kerap dibincangkan dalam pelbagai penyelidikan ilmiah. Beliau juga dikenal dengan Hujjatul Islam dengan karyanya yang paling popular Ihya al-Din dan banyak karya-karya beliau yang lain yang membincangkan tentang akhlak dalam pelbagai dimensi kehidupan. Pemikiran al-Ghazali berasaskan kepada al-Quran dan al-Hadith dan perjalanan hidupnya yang mencari kebenaran melalui akal (falsafah) sehingga pemikiran al-Ghazali banyak yang bertentangan dengan pemikiran-pemikiran failasuf Yunani. Justeru itu penulis merasa terpanggil meneroka dan mengkaji pemikiran beliau dalam konsep akhlak.
Ibn Miskawayh adalah seorang tokoh falsafah yang kerap membincangkan tentang etika dalam Islam. Karyanya yang paling popular iaitu Tahdhibul Akhlaq dan beberapa karya yang lain juga berhubungkait dengan akhlak. Ia adalah seorang Parsi, yang mula-mula beragama Majusi, kemudian masuk Islam dan menjadi seorang pemikir dalam pelbagai bidang khasnya dalam etika Islam. Pemikiran Ibn Miskawayh banyak dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran failasuf Yunani seperti Plato, Aristotle, Sokrates dan lainnya. Hal ini yang mendorong penulis untuk mengkaji lebih mendalam pemikiran Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak.
Pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh sama-sama berasaskan al-Quran dan al-Hadith dan juga dipengaruhi oleh corak pemikiran dari sudut yang berbeza. Mengapa pemikiran al-Ghazali bertentangan dengan failasuf Yunani? Mengapa pemikiran Ibn Miskawayh dipengaruhi oleh pemikiran failasuf Yunani? Apakah punca terjadi perbezaan pemikiran? Apakah pemikiran kedua-dua tokoh hanya dipengaruhi oleh agama atau pemikiran failasuf Yunani sahaja? Oleh itu, kajian ini dapat memastikan titik persamaan dan perbezaan dalam menghuraikan dan menjelaskan konsep akhlak antara kedua-dua tokoh dalam kajian tersebut. Apakah yang menyebabkan berbeza dan mengapa perbezaan itu wujud? Apakah yang menyebabkan wujudnya persamaan dan mengapa hal ini berlaku? Kesemua ini akan cuba dikaji dengan mendapatkan data-data sebagai bukti kukuh dalam menjelaskan masalah ini. Persoalan-persoalan yang dikemukakan itu adalah penting untuk melihat aspek-aspek yang perlu diperbaiki atau disokong tambah bagi memunculkan suatu dimensi baru dalam menbentuk konsep akhlak yang sesuai kehendak fitrah, manusia dan Tuhan.
1.3 Objektif Kajian
Berdasarkan pernyataan masalah yang dikemukakan di atas, maka objektif kajian dalam penyelidikan ini adalah untuk:
i. Meneroka perbezaan konsep akhlak antara al-Ghazali dan Ibn Miskawayh daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani.
ii. Mengkaji persamaan konsep akhlak antara kedua-dua tokoh tersebut daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani.
iii. Melihat cabaran dalam meletakkan atau melaksanakan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam.
iv. Mencadangkan bentuk konsep akhlak daripada integrasi pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam.
1.4 Soalan Kajian
Berdasarkan objektif kajian dalam penyelidikan ini, terdapat soalan-soalan yang akan dikaji untuk memperjelas masalah kajian. Kajian ini berhasrat untuk menjawab empat persoalan iaitu :
1. Apakah perbezaan konsep akhlak antara al-Ghazali dan Ibn Miskawayh daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani?
2. Apakah persamaan konsep akhlak antara kedua-dua tokoh tersebut daripada aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani?
3. Apakah cabaran dalam meletakkan atau melaksanakan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam?
4. Apakah cadangan bentuk konsep akhlak sebagai integrasi pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan Islam?
1.5 Kepentingan Kajian
Kajian ini menumpukan kepada analisis perbandingan antara pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak yang mencakupi aspek etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani. Kajian ini memberikan beberapa kepentingan kajian di antaranya sebagai rujukan bagi pengkaji dan pembaca yang berminat mengenai kedua-dua tokoh dalam konsep akhlak. Niat dan minat yang besar dari kalangan pengkaji dan pembaca merupakan salah satu kepentingan yang memberikan pengetahuan bagi mereka dan membantu menyelesaikan persoalan-persoalan akhlak yang berlaku di persekitaran pengkaji dan pembaca.
Krisis sosial yang membimbangkan masyarakat daripada kerosakan akhlak dan moral, kiranya dapat membantu memberikan contoh konsep akhlak yang integrasi daripada pembentukan dan pembinaan akhlak. Daripada konsep akhlak yang komprehensif dapat dijadikan sebagai langkah-langkah untuk menyelesaikan isu-isu akhlak sebagai pertimbangan moral menolak budaya-budaya yang tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam.
Dalam dunia pendidikan para guru sebagai pendidik dapat dijadikan sebagai role model dalam pembentukan dan pembinaan akhlak di kalangan pelajar. Mendidik dan membina pelajar melalui konsep akhlak yang integrasi daripada pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh merupakan satu bentuk cadangan dalam pendidikan Islam semasa.
Kajian ini juga berguna bagi menentukan hala tuju pendidikan Islam sesuai dengan nilai-nilai keislaman sebagai khalifah di muka bumi. Khalifah yang menjadi teladan yang mulia kepada individu yang lain sesuai dengan tuntunan al-Quran dan al-Hadith. Akhirnya kajian ini mempunyai satu rumusan kepentingan iaitu membina insan yang berakhlakul karimah bermanfaat bagi dunia dan amalan bagi akhirat.
1.6 Limitasi Kajian
Untuk memfokuskan penyelidikan kajian ini, penyelidik membatasi kajian ini agar tidak memperluas skop perbincangan. Skop perbincangan berfokus kepada perbandingan pemikiran Imam al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak yang mencakupi etika rohani, etika emosi, etika intelek, dan etika jasmani. Kajian ini hanya terhad antara pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh sahaja. Walaupun demikian terdapat sedikit banyak dimuatkan dalam kajian ini pandangan-pandangan daripada sarjana-sarjana yang dipilih tentang persoalan kajian yang dilakukan.
1.7 Definisi Istilah
Definisi istilah perlu dijelaskan agar makna yang dikaji tidak salah pengertian berhubung satu ayat mempunyai pengertian yang banyak. Dalam kajian ini penyelidik menjelaskan beberapa istilah penting yang berhubungkait iaitu:
i. Konsep Akhlak
Istilah “konsep” mengikut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka (2000), bererti pendapat yang terbentuk dalam fikiran mengenai sesuatu gagasan atau tanggapan. Mengikut Jujun S. Sumantri (2009) konsep adalah merupakan suatu teori atau pemikiran yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh falsafah. Jadi yang dimaksud dengan konsep akhlak dalam kajian ini adalah suatu teori atau pemikiran yang dikemukakan oleh tokoh falsafah yang merujuk kepada al-Ghazali dan Ibn Miskawayh mengenai pendapat mereka tentang akhlak dan aspek-aspek yang berhubungkait dalam dimensi akhlak.
ii. Etika Rohani dan Emosi
Dalam falsafah pendidikan Negara yang dihuraikan oleh Abdullah Sani Yahaya (2003) unsur-unsur rohani dan emosi merangkumi aspek-aspek berikut: kepercayaan kepada Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa, pengahayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat, berbudi pekerti mulia dan berbakti serta berkorban. Aspek-aspek yang dihuraikan merupakan amalan-amalan akhlak dan etika yang baik.
Yang pengkaji maksud dengan etika rohani dalam penyelidikan ini ialah akhlak seseorang individu terhadap keyakinan, kepercayaan dan ketaatannya kepada Allah mana-mana tempat dan kapanpun ia amalkan kabajikan itu. Adapun etika emosi adalah akhlak seseorang individu terhadap sahsiah dirinya sendiri, bagaimana ia mengelola diri dalam berbuat, bertindak dan bertingkah laku sama ada menyendiri mahupun dalam kalangan ramai dengan orang lain.
iii. Etika Intelek
Huraian Abdullah Sani Yahaya (2003) pula dalam falsafah pendidikan Negara menyebutkan unsur intelek mengambil kira aspek-aspek berikut: hikmah iaitu ilmu yang boleh membawa kepada kebenaran, daya pemikiran yang logik, analisis, kreatif, dan inovatif serta ilmu yang bermanfaat.
Maksud pengkaji daripada etika intelek adalah amalan akhlak seseorang terhadap ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya dalam mengelola akal agar dapat mengalahkan nafsunya dan memberikan impak kepada masyarakat dalam aktiviti sosial.
iv. Etika Jasmani
Sebagaimana yang dihuraikan oleh Abdullah Sani Yahaya (2003) tentang unsur jasmani yang mempunyai ciri-ciri berikut: kcergasan fizikal dan kesehatan diri, pemanfaatan anggota dan tenaga fizikal untuk berdikari dan hidup bermasyarakat.
Etika jasmani dalam kajian ini adalah amalan akhlak individu dalam mengelola fizikalnya yang sihat terhadap interaksi dengan persekitaran dan masyarakat mahupun makhluk hidup lainnya sebagai kebutuhan fizikalnya. Singkatnya etika jasmani adalah hubungan jasmani individu dengan persekitaran dan makhluk lainnya.
0 Response to "Bab I Akhlak pelajar Dalam Sistem Pendidikan di Pondok"
Posting Komentar