AKHLAK PELAJAR DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI PONDOK
Latar belakang Kajian
Perkembangan masyarakat masa kini berkait rapat dengan pendidikan. Pendidikan dan kehidupan berkait rapat dengan keperibadian seseorang itu dalam menentukan kualiti kehidupan manusia supaya pendidikan berupaya melahirkan bangsa yang kuat dan berakhlak mulia. Pendidikan merupakan gagasan yang tersusun dengan baik dan menjadi milik suatu bangsa dan umat (Halim, 1989). Al-Ghazali berpendapat bahawa pendidikan sesuai dengan tujuan hidup dan nilai-nilai yang terkandung didalamnya sesuai dengan falsafah pendidikan yang memberi panduan hidup berdasarkan agama dan akhlak dimana kedua-dua aspek tersebut merupakan perkara yang paling penting dalam pendidikan (Fathiyah, 1986).
Pendidikan Islam dibina berasaskan al-Quran dan al-Hadith untuk kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. Bagi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, individu harus diterapkan dengan akhlak mulia. Mendidik akhlak mulia berasaskan pendidikan Islam merupakan salah satu cara menangani masalah akhlak yang berlaku di sekolah. Pendidikan Islam berperanan membentuk akhlak yang baik kepada diri sendiri, masyarakat dan generasi seterusnya.
Untuk merealisasikan matlamat kewujudan manusia, ilmu di dalam Islam dibahagi kepada dua kategori iaitu ilmu wahyu yang diperolehi dari Allah dan ilmu akal yang dihasilkan oleh usaha manusia itu sendiri (Abu Bakar Nordin, 2003). Mengajarkan ilmu adalah untuk mendidik manusia supaya mempunyai akhlak dan tingkah laku yang baik serta mendapat kebahagiaan hidup didunia dan akhirat.
Sabri (1983) dan Abdullah (1990) menyatakan bahawa perkembangan pendidikan Islam di Malaysia telah dirumuskan kepada empat peringkat iaitu;
1. Sistem belajar dirumah guru
2. Sistem belajar di pondok
3. Sistem belajar di madrasah
4. Dasar pelajaran kebangsaan
Pondok adalah salah satu lembaga pendidikan Islam sebagai tempat membina dan membentuk individu yang berakhlak mulia. Tugas utama pendidikan di pondok pada asasnya adalah mewujudkan manusia dan masyarakat muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Dalam kalangan masyarakat ramai yang menaruh harapan bahawa pondok dapat mendidik dan membina pelajar menjadi teladan yang baik dalam masyarakat.
Pernyataan Masalah
Sebagai lembaga pendidikan Islam, pondok telah memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan kecerdasan dan martabat manusia (Azra, 2000). Membentuk akhlak yang mulia dalam kalangan pelajar di sekolah bukan suatu hal yang mudah. Kerosakan akhlak dan salah laku pelajar di sekolah amat serius dan mencapai tahap yang membimbangkan. Keadaan ini menurut kenyataan Media Online “Dari 48 kes-kes penyalahgunaan dadah, sepanjang tahun 2010 di Kabupaten Garut, sebahagian besar pelakunya adalah pelajar, termasuk kalangan pelajar pondok” (www.tubasmedia.com). Dalam surat khabar yang lain melaporkan bahawa 90 peratus kes kecelakaan lalulintas dan kes dadah telah ditangani polis daerah Galus pada tahun 2011 melibatkan anak-anak usia pelajar dimana 14 kes penyalahgunaan dadah dan 10 kes kecelakaan lalulintas (Serambi Indonesia, 12 Februari 2012). Walaupun pendidikan di pondok mendidik dan membentuk akhlak, namun fenomena dan isu-isu seperti ini masih berlaku.
Kemerosotan akhlak dan nilai-nilai moral pelajar pondok memberi kesan buruk terhadap reputasi pondok dalam pandangan masyarakat. Hal ini dapat menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap pondok sebagai salah satu institusi pendidikan Islam. Pada hakikatnya sistem pendidikan Islam di pondok mendidik dan membina akhlak pelajar melalui pelbagai pendidikan formal dan non-formal selama 24 jam. Dalam peringkat inilah pelajar diterapkan dengan pendidikan bagi membentuk identiti dengan pembentukan fizikal, emosi dan psikologi. Pada peringkat ini peranan guru amat penting dalam mendidik dan membina pelajar agar terhindar daripada pelbagai kemerosotan akhlak yang membimbangkan semua pihak.
Objektif Kajian
Objektif kajian ini umumnya melihat sejauhmana pendidikan di pondok dapat menangani fenomena dan masalah akhlak dalam kalangan pelajar. Objektif khusus pula adalah:
i. Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi akhlak pelajar dalam proses pendidikan di pondok.
ii. Mengenalpasti peranan dan tanggungjawab guru dalam membentuk akhlak pelajar.
iii. Mengenalpasti model dan metod yang digunakan di pondok dalam membentuk akhlak pelajar.
iv. Mengenalpasti sistem pendidikan pondok yang dapat diimplikasikan untuk membentuk akhlak pelajar dalam pendidikan secara umum.
Soalan Kajian
Berdasarkan objektif kajian dalam penyelidikan ini, terdapat soalan-soalan yang akan dikaji untuk memperjelas masalah kajian ini. Kajian ini berhasrat untuk menjawab empat persoalan iaitu :
1. Adakah faktor-faktor yang mempengaruhi akhlak pelajar dalam proses pendidikan di pondok.
2. Apakah peranan dan tanggungjawab guru dalam membentuk akhlak pelajar.
3. Bagaimanakah model dan metod yang digunakan di pondok dalam membentuk akhlak pelajar.
4. Bagaimanakah sistem pendidikan pondok yang dapat diimplikasikan untuk membentuk akhlak pelajar dalam pendidikan secara umum.
Kepentingan Kajian
Hasil kajian ini diharapkan dapat membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat agar reputasi pondok dapat ditingkatkan dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap pendidikan di pondok. Kajian ini juga dapat diharapkan membantu guru sebagai pendidik di pondok untuk lebih memainkan peranan dan tanggungjawab terhadap pembangunan akhlak pelajar. Selain itu, kajian ini diharap dapat mengetahui model dan metod yang sesuai dan menarik untuk membentuk akhlak pelajar.
Peningkatan sistem pendidikan di pondok amat penting dalam usaha menangani kemerosotan akhlak pelajar pondok pada saat pelajar berada diluar pondok. Sehingga dapat dimplikasikan untuk membentuk akhlak pelajar dengan menggubal sistem yang sesuai dengan kurikulum dalam menentukan aspek-aspek penting yang perlu diberi penekanan berdasarkan fenomena yang dihadapi di kalangan pelajar. Akhirnya hasil kajian ini dapat mengenalpasti faktor-faktor masalah yang timbul dan cara mengatasinya.
Limitasi Kajian
Untuk memfokuskan penyelidikan kajian ini, penyelidik membatasi kajian ini agar tidak memperluas skop perbincangan. Skop perbincangan berfokus di Pondok Moden Tengku Chiek Oemar Diyan sebagai salah satu lembaga pendidikan Islam di Aceh, Indonesia. Pengkaji memilih sampel di pondok ini kerana melihat pelbagai permasalahan akhlak pelajar di pondok ini yang dibuktikan dengan penurunan kualiti dan kuantiti pelajar selama dua tahun ini.
Definisi Operasional
Definisi istilah perlu dijelaskan agar makna yang dikaji tidak salah pengertian berhubung satu ayat mempunyai pengertian yang banyak. Dalam proposal ini, penyelidik menjelaskan beberapa istilah-istilah penting yang berhubungan dengan tajuk ini.
i. Akhlak
Al-Ghazali t.t dalam bukunya Ihya Ulumuddin, mentakrifkan bahawa khuluq ialah suatu sifat yang tetap pada jiwa, yang daripadanya muncul perbuatan-perbuatan dengan mudah, dengan tidak membutuhkan kepada fikiran. Pengertian lain daripada akhlak adalah sikap kepribadian yang melahirkan tingkahlaku perbuatan manusia terhadap Tuhan dan manusia, terhadap diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk al-Quran dan hadith (Sidi Gazalba, 1978).
Jadi kesimpulan yang dapat kita ambil bahawa akhlak adalah tingkah laku yang dilakukan tanpa disedari, oleh kerana ia boleh berubah jika dilakukan dengan sedar. Orang dewasa melakukan sesuatu berdasarkan kesedaran berbanding dengan remaja atau kanak-kanak yang berbuat tanpa sedar. Ini bermakna akhlak orang dewasa mempunyai pengaruh dalam mendidik remaja atau kanak-kanak.
ii. Pelajar
Pelajar adalah salah satu komponen dalam pengajaran disamping faktor guru, tujuan dan metod pengajaran (Oemar Hamalik, 2007). Pelajar dalam kajian ini merujuk kepada pelajar yang mempelajari ilmu agama dan umum serta tinggal di pondok dengan sistem berasrama penuh.
iii. Pendidikan
Pendidikan mempunyai difenisis yang banyak, ramai tokoh yang memberikan definisi yang berbeza tentang pendidikan. Salah satu pengertiannya bahawa pendidikan terdapat tiga sifat penting iaitu pendidikan mengandungi nilai dan memberikan pertimbangan nilai, pendidikan ditujukan kepada kehidupan dalam masyarakat, dan pelaksanaan pendidikan dipengaruhi dan didukung oleh lingkungan masyarakat. (Sukmadinata, 2006). Mengikut Syed Muhammad Naquib al-Attas, (1979) Pendidikan adalah satu proses menitiskan sesuatu kedalam diri manusia. Definisi lain daripada pendidikan ialah sebagai proses sosial, iaitu nilai sosial, pengetahuan, sikap, dan keterampilan (Gunawan, 2000). Nilai-nilai yang harus diwarisi kepada anak adalah nilai-nilai yang sepadu dengan kepentingan masyarakat, bangsa, dan negara. Hal ini sesuai mengikut pandangan Dewantara (1962) yang memberikan makna bahawa pendidikan sebagai usaha untuk memajukan budi pekerti, fikiran, dan jasmani anak agar dapat memajukan kesempurnaan hidup dan menghidupkan anak yang sepadu dengan persekitaran dan masyarakatnya.
Kesimpulan yang dapat kita ambil bahawa pendidikan merupakan proses mendidik seluruh aspek nilai pada individu secara bersepadu dan berterusan mengikut persekitaran dan masyarakat. Begitu pun proses pendidikan ini menjadi amalan dalam kehidupan di pondok.
iv. Pondok
Istilah pondok diertikan sebagai tempat sederhana yang merupakan tempat tinggal guru bersama para pelajarnya (Hasbullah, 1999). Di Aceh, besarnya pondok tergantung pada jumlah pelajarnya. Adanya pondok yang sangat kecil dengan jumlah pelajar kurang dari seratus sampai pondok yang mempunyai tanah yang luas dengan jumlah pelajar lebih dari lima ratus. Tanpa memperhatikan berapa jumlah pelajar, asrama pelajar perempuan selalu dipisahkan dengan asrama pelajar lelaki.
0 Response to "AKHLAK PELAJAR DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI PONDOK Bab I"
Posting Komentar