PERBANDINGAN PEMIKIRAN KONSEP
AKHLAK AL-GHAZALI
DAN IBN MISKAWAYH DALAM ASPEK
ROHANI
Zulfahmi Syamsuddin*
zulfahmi@siswa.um.edu.my
Wan Hasmah Wan Mamat*
wanhasmah@um.edu.my
*Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya, Malaysia
Abstrak
Kerosakan akhlak dan nilai-nilai moral amat
mempengaruhi perkembangan dan kemerosotan tamadun sesebuah Negara. Oleh itu,
mengkaji dan meneroka suatu konsep akhlak dari tamadun masa lalu untuk
pembangunan masa depan adalah sangat penting. Terutama dalam aspek rohani untuk
membentuk akhlak batiniah
yang mulia.Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pemikiran
al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak.Kajian ini pula menganalisa
persamaan dan perbezaan kedua-dua konsep akhlak dalam aspek rohani. Metodologi
yang digunakan dalam kajian ini adalah pendekatan inkuiri melalui analisis
falsafah menggunakan analisis interpretasi, induktif-deduktif dan
perbandingan.Analisis aspek rohani ditelusuri menggunakan panduan senarai semak
yang telah dirancang.Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara umum pemikiran
al-Ghazali dan Ibn Miskawayh membincangkan tentang keutamaan akhlak (ummahatal-akhlaq).Dari
segi persamaan,
kedua-dua tokoh memandang bahawa rohani (ruh) memainkan peranan dalam
mengawal akal, nafsu dan fizikal agar kesucian jiwa (batiniah) tetap terjaga.
Sedangkan dari segi perbezaan, Al-Ghazali memandang sempurna rohani dengan
wujud lima kebajikan: ukhrawiyah, jiwa, badaniyah, urusan luaran dan taufiq
daripada Allah. Manakala menurut Miskawayh sempurna rohani diperoleh dari segi
ilmu dan mengamalkan ilmu itu.Berdasarkan perbandingan kedua-dua tokoh
tersebut, konsep akhlak merangkumi aspek rohani yang membolehkan manusia
mencapai hakikat kesempurnaan.
Kata kunci: Akhlak, al-Ghazali,
Miskawayh, Rohani
PENGENALAN
Melalui
pendidikan manusia dapat mempelajari semua konsep dan pelbagai aspek dalam
kehidupan demi menjaga kelangsungan hidup.Manusia boleh membentuk satu tamadun
yang stabil dan sempurna melalui akhlak mulia.Sejarah telah menyaksikan bahawa
antara sebab yang membawa kemusnahan dan kehancuran sesuatu bangsa ialah akibat
daripada kerakusan manusia dan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan serta akhlak
dalam kehidupan (Asmawati Suhid, 2009).Ianya menjadi satu idea pemikiran bahawa
pendidikan akhlak perlu sepanjang kehidupan manusia agar tamadun dapat menjaga
kelestarian akhlak manusia seutuhnya.Pada hakikatnya pandangan tentang akhlak
(Sembodo Ardi Widodo, 2003) tidak terhad pada susunan hubungan manusia dengan
manusia lainnya, tetapi ianya mengawal hubungan manusia dengan segala perkara
yang terkandung dalam kehidupan dan lebih dalam lagi mengatur hubungan antara
manusia dengan Tuhannya.
Fadlil
Yani Ainusyam (2007) menyatakan pula bahawa pendidikan akhlak merupakan
bahagian penting dalam pembinaan peribadi individu dan moral bangsa.Akhlak itu
sendiri tidak bisa dipisahkan dari ajaran Islam namun dalam pelaksanaan pendidikannya
harus diarahkan untuk membina tingkah laku yang luhur dan membina moral
bangsa.Pandangan di atas diperkuatkan oleh Al-Jamil (1992) yang menyatakan
“Islam mengajarkan kehidupan yang dinamik dan progresif, menghargai akal
fikiran melalui pengembangan ilmu pengetahuan, bersikap seimbang dalam memenuhi
keperluan jasmani dan rohani, sentiasa mengembangkan kepedulian sosial,
berakhlak mulia dan sikap-sikap positif yang lainnya” (hlm. 11-12).Namun, dalam
amalan umat Islam hanya berlaku untuk membayar kewajipan dan menjadi simbol
ketaqwaan.Implikasi daripada ibadah yang bertujuan untuk kepedulian sosial
kurang diberi penekanan.Fadlil Yani Ainusyam (2007) menegaskan pula bahawa masyarakat
telah salah memahami simbol-simbol agama, agama lebih dimaknai sebagai
penyelamat individu dan bukan keberkahan sosial secara bersama.
Dalam
era globalisasi sekarang ini terjadi pelbagai isu akhlak dan moral dalam semua
kalangan sebagaimana yang diperkatakan oleh Ismail Ibrahim (1996).Menurut
beliau isu peradaban dan akhlak tidaklah merupakan persoalan dalam kalangan
remaja sahaja, persoalan ini sebenarnya merupakan persoalan yang menyeluruh
yang melibatkan hampir semua golongan dan kategori sosial.Apatah lagi melalui
media yang begitu jelas diterangkan berita rasuah, perilaku seksual, salah laku
pendidik dan pelajar di sekolah-sekolah yang berlaku di Malaysia, Indonesia dan
di pelbagai negara-negara Islam lainnya.Sebenarnya agama dan institusi
pendidikan serta persekitaran menurut Imran Effendy (2003)adalah amat memainkan
peranan penting bagi mengatasi persoalan dan isu akhlak yang meresahkan semua
pihak.
Huraian
di atas menjadi sesebuah pemikiran yang mesti diperbincangkan untuk
perkembangan ilmu dan mencari jalan yang sesuai dengan perkembangan manusia
dalam era globalisasi yang sangat berpengaruh kepada tingkah laku, etika dan
akhlak.Tingkah laku, etika dan akhlak pada amnya adalah sebagai modal dalam
pembangunan moral bangsa.Justeru, akhlak pada khasnya adalah sebagai jatidiri
amalan Islam yang murni untuk menunjukkan pribadi yang mulia dalam erti
sebenarnya.Perbincangan di atas menjelaskan bahawa sejak awal peradaban Islam
mahupun peradaban manusia sehingga sekarang persoalan dan isu akhlak terus dibincangkan
dari semasa ke semasa, oleh itu kajian ini juga berhasrat mengkaji
pemikiran-pemikiran mengenai konsep akhlak secara integrasi untuk mencapai
sebuah maklumat dan konsep yang menyeluruh dan sesuai dengan isu-isu semasa.
Pernyataan
Masalah
Berdasarkan
pengenalan di atas telah menunjukkan pentingnya akhlak dalam pembinaan modal
insan.Oleh itu, kajianini coba meneroka, membandingkan dan menganalisis
pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh tentang konsep akhlak dalam aspek rohani.
Pelbagai
kajian yang telah dijalankan untuk melihat perbandingan pemikiran al-Ghazali
dan Ibn Miskawayh dalam bidang akhlak.Azizah Zakaria (2004) mengkaji tentang
beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali, beliau merumuskan bahawa etika
al-Ghazali adalah suatu etika yang komprehensif.Mohd Rusli Hussain (2003) pula
mengkaji perbandingan pemikiran antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun dari segi
pembangunan insan secara terperinci dan spesifik.Mengikut beliau kelemahan al-Ghazali
berbanding Ibn Khaldun adalah dalammengaitkan manusia dengan unsur luaran
kerana unsur luaran merupakan unsur sampingan yang hanya sesuai digunakan
mengikut kesesuaian sesuatu kelompok dan bukan perkara dasar yang menjadi
kemestian dalam pembangunan insan.Justeru, wujud unsur-unsur itu boleh diteroka
juga wujud persamaan dan perbezaan antara pemikiran al-Ghazali dan Ibn
Miskawayh.
Pemikiran
falsafah akhlak Ibn Miskwayh juga dibincangkan oleh Mohd Jais Anuar Ahmad
(2003).Beliau membincangkan tentang pemikiran Ibn Miskawayh mengenai
ketokohannya dalam menghuraikan falsafah akhlak secara terperinci.Pemikiran
falsafah akhlak telah dicorakkan melalui gabungan ilmu pengetahuan dan
pengalaman yang pernah beliau lalui. Selain itu, terdapat juga kajian yang dilakukan
oleh Mohd Sullah (2010) yang membandingkan konsep pendidikan akhlak Syed
Muhammad Naquib al-Attas dan Ibn Miskawayh yang memfokuskan kepada pendidikan
akhlak dari aspek karya, hakikat manusia dan konsep pendidikan akhlak daripada
kedua-dua tokoh.
Perbincangan
terhadap beberapa kajian yang telah dijalankan di atas menunjukkan al-Ghazali
dan Ibn Miskawayh kerap membincangkan tentang konsep akhlak daripada pelbagai perspektif.Abubakar
Aceh (1982) mengkategorikan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aliran moral dan
akhlak.Oleh itu, kajian ini melihat dari sudut fokus yang berbeza dari
kajian-kajian di atas.Kajian ini lebih berfokus kepada perbandingan konsep
akhlak menurut pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dari segi rohani sebagai
keindahan batin.
Dalam
sejarah pemikiran Islam, pemikiran al-Ghazali kurang dipengaruhi oleh pemikiran
falsafah Yunani bahkaniamenentang pemikiran ahli falsafah Yunani dalam bukunya
Tahafut al-Falasifah. Sementara Ibn Miskawayh, pemikirannya dipengaruhi oleh
pemikiran falsafah Yunani. Justeru itu, bagaimanakah pemikiran kedua-dua tokoh ini?Apakah
intipati pemikiran kedua-dua tokoh dalam konsep akhlak?Apakah wujud persamaan
dan perbezaan pemikiran antara kedua-dua tokoh?Oleh itu, kajian ini dapat
memastikan titik persamaan dan perbezaan dalam konsep akhlak antara kedua-dua
tokoh.Persoalan-persoalan itu adalah penting untuk melihat aspek yang perlu
diperbaiki atau disokong tambah dalam membentuk konsep akhlak yang sesuai
kehendak fitrah manusia dan Tuhan.
Kerangka
Konseptual Kajian
Dalammenentukan
hala tuju kajian yang jelas berikut dirumuskan konseptual kajian agar
memudahkan analisis dan pengolahan data.
Rajah 1
Kerangka Konseptual Kajian
PENDEKATAN
INKUIRI
|
ANALISIS
FALSAFAH:
INTERPRETASI, INDUKTIF & DEDUKTIF,
PERBANDINGAN
|
KONSEP
AKHLAK
AL-GHAZALI
|
KONSEP
AKHLAK
IBN
MISKAWAYH
|
PERSAMAAN
DAN PERBEZAAN
DARIPADA
ASPEK ROHANI
|
Kerangka
konseptual di atas menjelaskan bahawa pemikiran konsep akhlak al-Ghazali dan
Ibn Miskawayh dikaji dengan mengunakan pendekatan inkuiri. Seterusnya
pendekatan inkuiri dijalankan melalui perbandingan pemikiran kedua tokoh secara
analisis falsafah dengan menggunapakai tiga caraiaitu: interpretasi, induktif
dan deduktif, serta perbandingan. Data yang diperoleh dianalisis untuk melihat persamaan
dan perbezaan konsep dari aspek rohani.Akhirnya dirumuskan konsep akhlak
daripada integrasi pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Tujuan
Kajian
Kajian
ini dijalankan untuk mengenalpasti pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh tentang
konsep akhlak dalam aspek rohani serta melihat persamaan dan perbezaan konsep
akhlak kedua-dua tokoh dalam aspek ini.
Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan untuk mencapai beberapa objektif berikut:
a)
Meneroka
pandangan al-Ghazali tentang konsep akhlak dalam aspek rohani.
b)
Menelaah
pandangan Ibn Miskawayh tentang konsep akhlak dalam aspek rohani.
c)
Menganalisa
persamaan dan perbezaan konsep akhlak antara al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam
aspek rohani.
KAJIAN LITERATUR
Akhlak
dalam Islam sangat penting dan besar pengaruhnya dalam membina dan membentuk
manusia.Pendekatan Islam dalam amalan dan pendidikan akhlak amat menekankan
kepada penanaman akidah atau rohani yang mantap (Asmawati Suhid,
2009).Kepentingan akidah dalam pendidikan akhlak dapat dilihat menerusi
nash-nash al-Quran dan Hadith.Al-Quran adalah wahyu Allah s.w.t.yang mengandungi
petunjuk, arahan dan perbezaan antara hak dan batil terutama dalam tiga bidang
iaitu aqidah, syari’ah dan akhlak. Allah s.w.t. menegaskan dalam al-Quran yang
bermaksud:
Sesungguhnya telah ada pada (diri)
Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu bagi orang yang mengharapkan
(rahmat) Allah dan (ketibaan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Surah al-Ahzab 33:21)
Ayat
di atas menjelaskan perilaku Baginda Rasulullah s.a.w. sebagai
contoh teladan untuk seluruh umat Muslim dan juga seluruh umat manusia.
Konsep
Akhlak Dalam Islam
Islam
adalah agama yang menekankan pembinaan dan pembentukan akhlak dan keperibadian mulia
di semua kalangan.Akhlak membina diri insan agar menjadi seorang yang tunduk
dan patuh kepada perintah dan larangan Allah s.w.t. di samping memiliki sifat
dalaman suci dari segi peribadi dan personaliti luaran.Oleh itu, untuk
menentukan secara terperinci konsep akhlak mestilah memahami definisi akhlak
secara bahasa dan istilah terlebih dahulu.
Akhlak
dapat didefinisikan dalam dua bentuk iaitu dari segi bahasa dan istilah. Dari
segi bahasa Arab menurut Abd al-Latif (1985), akhlak adalah bentuk jamak dari khuluq
yang bererti kebiasaan, perilaku, tabi’at, marwah dan din (agama).
Manakala Bugha (1997) memberikan takrif akhlak iaitu sifat yang menetap dalam
jiwa, baik secara semulajadi (fitrah) ataupun yang diusahakan, yang memberikan
pengaruh dalam sikap yang baik dan buruk.Pengertian yang sama juga dibincangkan
oleh Nasir Omar (1986), Abdur Rahman Md Aroff (1999), Harun Din (2001), Imran
Efendy Hasibuan (2003)dan Asmawati Suhid (2009). Mereka memandang bahawa
perkataan akhlak merupakan bentuk jamak dari kata ‘khuluq’ (tingkah
laku).Mengikut Harun Din (2001), beliau membezakan istilah al-khalq
dan al-khuluq dengan perbezaan yang amat jauh antara akhlak yang
bermakna keindahan fizik dengan akhlak yang berkekalan.
Akhlak
juga boleh didefinisikan sebagai sifat semulajadi, marwah, tingkah laku,
tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama (Nasir Omar, 1986; Abdur Rahman Md
Aroff, 1999; &Asmawati Suhid, 2009).Ditakrifkan mengikut Kamus Mu’jamWajiz
(2000) bahawa akhlak adalah ilmu yang berhubungan dengan hukum-hukum nilai yang
berkaitan dengan perbuatan yang bersifat baik dan buruk.
Daripada
beberapa definisi yang dikemukakan di atas, meskipun berbeza-beza perkataan
tetapi dalam pengertian yang sama. Oleh itu, akhlak dapat dinyatakan mempunyai
pengertian yang merangkumi empat hubungan iaitu hubungan akhlak terhadap Tuhan,
hubungan akhlak terhadap diri sendiri, hubungan akhlak terhadap masyarakat dan
hubungan akhlak terhadap alam sekitar.
Akhlak
dari segi istilah banyak diberikan definisi oleh sarjana Islam berkaitan dengan
pengertian dan konsep akhlak.Akhlak merupakan sifat yang muncul dari jiwa yang
melahirkan perbuatan dengan mudah tanpa perlu difikirkan mahupun diusahakan
(Abd al-Latif, 1985). Pandangan lain yang menjelaskan bahawa akhlak adalah satu
ilmu yang membahaskan tingkah laku manusia sama ada baik dan buruk. Islam
menyeru kepada akhlak yang baik dan melarang berbuat keburukan (Sayyed Naim,
1996; Bugha, 1997).Mengikut Asmawati Suhid (2009) akhlak mengandungi sifat yang
dimiliki oleh individu sejak kelahirannya, yang menerusi latihan, rangsangan
yang akhirnya menjadi tabiat dan akhlak juga meliputi dua dimensi iaitu batin
dan zahir dalam bentuk perlakuan.Pengertian ini selaras dengan huraian Nasir Omar
(1986).
Akhlak
juga didefinisikan oleh Haron Din (2001) sebagai dua bentuk iaitu akhlak Islam
dan akhlak falsafah.Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumber kepada wahyu
al-Quran dan al-Sunnah.Sementara akhlak falsafah ialah akhlak yang bersumber
kepada daya usaha kemampuan pemikiran manusia. Kedua bentuk akhlak di atas
selaras dengan pendapat Nasir Omar (1986), tentang kriteria nilai-nilai etika
Islam iaitu nilai-nilai dari Allah yang dimanifestasikan melalui wahyu dan
nilai-nilai buatan manusia hasil dari penggunaan kapasiti yang diberikan Allah
kepada mereka, seperti akal, deria, dan lain-lain. Sidi Gazalba (1978) dan Abdur Rahman Md. Aroff (1999)
mendefinisikan akhlak sebagai sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku
perbuatan manusia terhadap Sang Khalik dan manusia lain, terhadap diri sendiri,
haiwan dan alam sekitar mengikut perintah dan larangan serta petunjuk al-Quran
dan al-Hadith.
Berdasarkan pandangan diatas dapat difahami bahawa setiap
individu muslim haruslah menjaga keindahan budi pekertinya, keperibadian
seseorang ditunjukkan oleh keindahan akhlak lahiriah bukan bentuk jasmaniah. Akhlak
menunjukkan perangai dan tingkah laku individu sama ada baik atau buruk. Akhlak
pula mencakupi semua aspek dan elemen dalam kehidupan kerana hal itu juga
merupakan sebahagian dari ajaran dan suruhan Islam yang perlu dipelihara, agar
sahsiah seseorang muslim dapat terjaga sebagaimana mestinya. Hal ini
berhubungkait dengan akhlak yang diringkaskan oleh Miqdad Yaljan (1973). Beliau
mendefinisikan dalam tiga aspek iaitu: 1) Sifat tabi’i atau semulajadi dari
fitrah manusia. 2) Sifat yang dimiliki seseorang melalui latihan yang akhirnya
diterima sebagai adat atau tabiat. 3) Akhlak terbagi kepada dua iaitu batin
(jiwa) dan zahir iaitu kelakuan.
Kesimpulannya,
akhlak berkait rapat dengan perbuatan atau perlakuan manusia ketika berada dalam
keadaan sedar atau tidak sedar.Di samping itu perbuatan atau perlakuan buruk boleh
di elak sewaktu keadaan sedar menerusi latihan-latihan.Manusia yang mempunyai
personaliti yang baik menunjukkan ia adalah individu yang berakhlak baik.
Sebaliknya manusia yang mempunyai personaliti yang buruk menunjukkan ia adalah
individu yang berakhlak buruk. Sifat yang mulia dapat membawa kepada kebahagiaan
dan kesempurnaan hidup.Sedangkan sifat yang buruk boleh membawa kepada
kesengsaraan dan keseksaan hidup.
METODOLOGI
KAJIAN
Kesesuaian kaedah yang digunapakai dalam pengumpulan data
dapat menghasilkan dapatan yang benar, oleh itu penjelasan kaedah yang
digunapakai adalah penting untuk menganalisis konsep akhlak menurut al-Ghazali
dan Ibn Miskawayh dalam kajian ini. Penyelidikan ini menggunapakai pendekatan
inkuiri dengan cara analisis falsafah(Kneller, 1971; Wingo, 1974; Anderson,
1998; Koetting & Malisa, 2004; & Abdul Khobir; 2007).Data dikumpul
dengan buku-buku yang berhubungkait dengan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Analisis
terhadap pemikiran kedua-dua tokoh menggunakan analisis falsafah dengan
mengikuti tiga cara analisis berikut:
1.
Interpretasi
2.
Induktif
dan deduktif
3.
Perbandingan
(Anton Bakker & Achmad Charris Zubair, 1989).
Dalam menjalankan interpretasi penyelidik menelusuri
pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh untuk mendapatkan konsep dan maklumat
yang dimaksudkan oleh kedua tokoh tersebut secara khas. Pandangan
kedua-dua tokoh dibandingkan dan difahami menurut keunikannya dan juga
diberikan penekanan pada segi-segi tertentu.Hasil interpretasi dirumuskan
secara induktif dan deduktif bagi memperjelas fikiran utama yang ingin dicapai
sebagai rumusan konsep akhlak dalam aspek rohani.Hasil interpretasi juga dianalisis
secara induktif dan deduktif untuk mendapatkan intipati daripada maksud yang
dikemukan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.Kemudian intipati itu diketengahkan
secara perbandingan bagi merumuskan konsep akhlak dalam aspek rohanidaripada
perspektif persamaan dan perbezaan.
Data
kajian tentang konsep akhlak al-Ghazali hanya melibatkan kepada tiga karya
beliau yang berkaitan dengan akhlak iaitu Ihya’ Ulum al-Din, Ayyuha
al-Walad, dan Mizan al-Amal.Ketiga karya itu dianalisis kandungan
yang berkaitan dengan konsep akhlak.Manakala pemikiran konsep akhlak Ibn
Miskawayh merujuk kepada salah
satu karangannya iaitu Tahdhib al-Akhlaq dan dua buku karangan sarjana
awal tentang Miskawayh iaitu The Refinement of Character dan The
Ethical Philosophy of Miskawayh.Apa sahaja yang terkandung di dalam karya
tersebut yang berkaitan dengan konsep akhlak dianalisis secara mendalam.
Setiap
isi kandungan dikaji berdasarkan unsur atau elemen yang terkandung dalam
senarai semak. Senarai ini merupakan instrumen utama yang menjadi pedoman dalam
menjalankan proses penganalisisan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam
konsep akhlak. Unsur atau elemen yang terkandung dalam senarai semak sebagai
berikut:
1.
Aql (akal)
2.
Nafs (jiwa)
3.
Qalb (hati)
4.
Roh (ruh)
Semua unsur tersebut berkaitan dalam proses pembinaan
aspek rohani dan sebagai pedoman untuk mengkategorikan pemikiran al-Ghazali dan
Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak.
DAPATAN KAJIAN
Al-Ghazali dalam dunia Islam dikenal sebagai Hujjatul
Islam dengan karyanya yang paling popular Ihya Ulum al-Din dan
banyak karya-karya beliau yang lain yang membincangkan tentang akhlak dalam
pelbagai dimensi kehidupan.Berbanding dengan Ibn Miskawayh yang dikenal
sebagai bapa etika Islam yang pertama. Karyanya yang paling popular iaitu Tahdhib
al-Akhlaq dan beberapa karya yang lain juga berkaitan dengan akhlak.
Pemikiran
Al-Ghazali Dalam Konsep Akhlak
Sebahagian
besar pemikiran ahli falsafah Islam oleh pemikiran failasuf Yunani dan
Neo-Platonisme, namun al-Ghazali adalah sebaliknya (Helmi Hidayat, 1994).Beliau
menjadikan pengalaman hidup kerohaniannya sebagai pengetahuan terpenting dan
sebagai hujah yang benar dari ruh agama.Pengalaman kerohanian dalam agama
adalah sebagai landasan teori akhlak.Beliau meletakkan matlamat dan prinsip
yang benar sesuai dengan nilai-nilai Islam setelah melalui pelbagai cubaan dan
keragu-raguan dalam hatinya.
Matlamat
yang ingin dicapai dalam pembentukan akhlak adalah pembersihan jiwa dari
kekotoran jiwa (al-Ghazali, 1967; 12).Aspek rohani sebagai elemen jiwa yang
berbeza dari badan,maka pembentukan akhlak harus diberikan tumpuan pada
pembersihan rohani agar menjadi suci.Namun, apabila akhlak buruk maka dapat
merosak hati dan menyakiti jiwa (rohani).
Pembahasan aspek rohani hanya menitikberatkan beberapa
tumpuan ajaran yang berkaitan dengan asas pembentukan akhlak dari aspek rohanimenerusi
beberapa perkara di bawah ini:
(a)
Ajaran Tentang
Kebahagiaan (al-sa’adah)
Dalam membicarakan tentang kebahagiaan al-Ghazali (1964)
berpandangan bahawa manusia dapat memperoleh kebahagiaan yang kekal tanpa ada
kehancuran, kelazatan tanpa kesulitan, kegembiraan tanpa kesusahan, kekayaan
tanpa kefakiran, kesempurnaan tanpa cacat, kemuliaan tanpa kehinaan iaitu
dengan mencari kebahagiaan akhirat. Kelemahan makhluk untuk
menempuh jalan kebahagiaan adalah kerana kelemahan iman mereka terhadap hari
akhirat.
Kelemahan
iman termasuk dalam kebodohan aspek rohani, lemah yang disebabkan kelalaian
untuk menempuh jalan-jalan kebahagiaan.Kenikmatan akhirat adalah kebahagiaan
yang berkekalan. Al-Ghazali (1964) menggariskan empat golongan manusia dalam
menghadapi akhirat:Pertama, golongan orang-orang yang berkeyakinan adanya
padang mahsyar, syurga dan neraka. Kedua, golongan teologi Islam daripada ahli
falsafah yang berkeyakinan realiti kelazatan adalah tidak wujud kecuali boleh
dikesan wujud benda yang nyata.Ketiga, golongan yang mengingkari adanya
kelazatan yang dapat dirasai oleh deria samada dengan jalan yang nyata atau
jalan khayalan.Keempat, golongan majoriti orang-orang hodoh dan kurang akal
serta tidak tergolong dalam kelompok orang-orang yang berfikir (1964; 182-185).
Interpretasi
daripada empat golongan ini adalah memberikan tumpuan fikiran pada alam akhirat
(rohani) dalam bentuk dan pemahaman yang berbeza-beza berasaskan ilmu pada diri
masing-masing untuk mencapai kebahagiaan.Usaha yang sungguh-sungguh (mujahadah)
merupakan usaha mengubati jiwa (rohani) dengan tujuan membersihkannya, untuk
memperolehi kebahagiaan.Sehingga sampailah kesucian jiwa pada ‘sa’adah’ atau
kebahagiaan dapat diperolehi.Justeru itu, yang menolong untuk mencapai
kebahagiaan adalah ‘amal sholeh’ (al-Ghazali, 1964; 196).Tumpuan aspek rohani
dalam ajaran kebahagiaan mengikut al-Ghazali adalah pada kesucian jiwa sehingga
membentuk akhlak batiniah yang mulia.
(b)
Ajaran Tentang
Keutamaan (al-fadhail)
Kebahagiaan
dapat dicapai dengan mensucikan jiwa dan menyempurnakannya.Manakala
menyempurnakan jiwa mestilah dengan usaha untuk mencapai seluruh keutamaan.Al-Ghazali
mengemukakan keutamaan yang penting menerusi akhlak, yang dirumuskan dalam empat
kuasa atau kekuatan asas.
Kebijaksanaan
(hikmah) adalah keutamaan kekuatan akal.Kebaikan ilmu tercapai melalui
kekuatannya untuk mengetahui dan membezakan antara dua perkara, seperti benar
dan bohong dalam perkataan (al-Ghazali, 1964;233, 1967;69).Beliau menekankan kekuatan
ini sebagai punca utama akhlak yang baik. Apabila kekuatan ilmu itu baik maka
ia akan meningkat kepada peringkat ‘hikmah’. Kekuatan ini pula menuntut jiwa (rohani)
menemukan kebaikan-kebaikan amal perbuatan (al-Ghazali, 1964;265, 1967;11).Tumpuan
aspek rohani dalam keutamaan ini adalah berusaha mendapatkan kebaikan bagi mengelak
keburukan akhlak.
Berdasarkan
analisis interpretasi adalah didapati keutamaan keberanian.Al-Ghazali berpandangan
bahawa keberanian iaitu keutamaan kuasa‘marah’.Kebaikan marah ialah apabila
mengecut dan mengembang selaras dengan kehendak hikmah.Kebolehan mengurus marah
dikatakan baik dan berani. Apabila marah melampaui had dikatakan pengacau,
tetapi apabila marahitu lemah dikatakan penakut (1964;266, 1967;69). Kuasa
marah berada dalam emosi individu, tetapi hakikatnya dikawal oleh rohani agar
tidak berakhlak buruk.
Selain dua kekuatan di atas, terdapat kekuatan ‘nafsu’iaitu
iffah atau kawalan diri. Kebaikannya apabila berada di bawah arahanhikmah
(akal). Kebolehan mengurus nafsu dikatakan
baik dan suci. Apabila nafsu melampau dikatakan jahat, tetapi jika nafsu kurang(lemah)
dikatakan beku (al-Ghazali, 1964;269, 1967;80).Nafsu boleh dikawal dengan
membersihkan jiwa, mensucikan peribadi dan menjauhi hawa nafsu yang merosak akhlak
(al-Ghazali, 1980;45-46).Aspek rohanimemainkan peranan yang selaras dengan kekuatan
iffah,bertumpumengawal nafsu ke arah yang baik.
Berasaskan tiga keutamaan tersebut terdapat satu lagi keutamaan
iaitu ‘adil’ sebagai titik tengah untuk menjaga keseimbangan antara seluruh
keutamaan. Kuasa adil iaitu mengawalselia nafsu dan marah dibawah arahan akal
dan syarak. Jika berlaku perbuatan melampau maka ia dikatakan zalim. Al-Ghazali
menggariskan bahawa keutamaan adilmerupakan suatu keadaan yang teratur sesuai
dengan ketentraman yang sebenar (1964;272, 1967;70). Beliau mengetengahkan
keempat kekuatan dengan empat keutamaan yang merupakan punca akhlak (ummahat
al-akhlaq) (1964; 286, 1967; 80).
Kekuatan-kekuatan itu membolehkan manusia untuk sedia
mengamalkan perilaku yang terpuji.Disamping itu keutamaannyamemiliki dua hujung
dan satu sifat pertengahan. Manusia diperintahkan untuk melakukan yang
pertengahan, yang lurus antara dua hujung.Kuasa adil sebagai cerminan aspek
rohani bagi mengawalselia kekuatan yang lain. Apabila rohani seimbang maka
memberikan kekuatan bagi emosi, intelek dan jasmani.
(c)
Ajaran Tentang
Kebaikan (al-khairat)
Jalan
mendapatkan kebahagiaan dan keutamaan seperti pembahasan sebelumnya adalah
melalui perbuatan yang baik.Kebaikan selalu baik, tetap dan tidak berubah.Al-Ghazali
menerangkan bahawa terdapat tiga penggerak kebaikan duniawi:
a)
Al-targhib
dan al-tarhib(Dorongan dan pencegahan)
b)
Raja’
al-mahmudah(Harapan pujian yang baik)
c)
Thalab
al-fadhilah wa kamal al-nafs(Keinginan
mencapai keutamaan dan kesempurnaan jiwa)
(al-Ghazali, 1964;287)
Ketiga penggerak ini dapat dilalui manusia dengan
berbeza-beza untuk mencapai kebaikan. Justeru itu, tidak ada perbezaan antara kebaikan
duniawi dan kebaikan ukhrawi kecuali cepat atau lambat mencapai kebaikan itu
(al-Ghazali, 1964;289). Analisis induktif mendapati bahawa tiga penggerak
kebaikan itu bertujuan untuk mencapai kecerdasan rohani.Rohani yang cerdas akan
menggerakkan jiwauntuk mencari kebaikan dan kesempurnaan diri sendiri.
(d)
Ajaran Tentang
Kesempurnaan (al-kamal)
Setiap manusia menginginkan kesempurnaan dalam hidupnya,
sama ada sempurna fizikal mahupun sempurna rohani. Apabila kesempurnaan diperolehi
oleh seseorang individu makaindividu tersebut memperoleh kebahagiaan yang
hakiki. Al-Ghazali menggariskan kesempurnaan itu secara
menyeluruh dalam lima bahagian.
Kesempurnaan
yang paling utama mengikut al-Ghazali adalah kesempurnaan mendapatkan
kebahagiaan akhirat.Kesempurnaan itu tidak dapat dicapai kecuali dengan adanya
kesempurnaan kedua.Al-Ghazali menyebutnya dengan kesempurnaan bagi keutamaan
jiwa (1964;294).Seperti yang telah disebutkan sebelumnya iaitu keutamaan akal,
keutamaan kawalan diri, keutamaan berani dan keutamaan adil.
Kesempurnaan
ketigaiaitu keutamaan yang ada pada badan iaitu kesihatan badan, kekuatan
badan, keelokan badan dan panjang umur.Keempat adalah kesempurnaan luaran pada
manusia iaitu harta, keluarga, kemuliaan, dan keluarga mulia.Semuanya
dilengkapi oleh kesempurnaan kelima iaitu taufiq dari Allah, melalui hidayah
Allah, pimpinan Allah, kebaikan dari Allah, dan kekuatan dari Allah (1964;294).
Analisis induktif dan deduktif mendapati bahawa pemikiran al-Ghazali tentang kesempurnaan
adalah wujud dari aspek rohani sehingga membolehkan manusia mencapai
kesempurnaan hakiki.Kebahagiaan dan kelazatan rohani diperoleh apabila manusia
dekat dengan Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi
larangan-Nya.
Pemikiran
Ibn Miskawayh Dalam Konsep Akhlak
Pemikiran
Miskawayh tentang teori metafizik iaitu tentang Tuhan, alam dan jiwa manusia memberikan
hubung kait kepada idea-idea yang diutarakan berkaitan akhlak. Pandangan beliau
lebih merujuk kepada etika Aristotle dan Neo-Platonik sehingga terjadi
perbezaan dan cabaran dalam membuat kesepaduan antara keduanya yang selaras dengan
pandangan Islam. Berdasarkan analisis interpretasi mendapati beberapa ajaran
asas pemikiran Miskawayh yang bertumpu dalam konsep akhlak.
Kebahagiaan
merupakan kebaikan yang amat berkaitan dengan pemiliknya dan merupakan
kesempurnaan bagi pemiliknya. Kebahagiaan adalah kebaikan yang berhubungkait
dengan seseorang atau orang lain, ia relatif dan esensinya tak pasti. Berbeza
mengikut orang yang mengusahakannya, tetapi kebaikan mutlak tidak ada
perbezaannya (Miskawayh, 1961;78, Ansari, 1964;70, & Zurayk, 1968;69).
Kebahagiaan
sangat bergantung kepada usaha individu ertinya kebahagiaan yang dirasakan
seseorang dengan orang lain adalah berbeza mengikut usahanya. Analisis
mendapati bahawa Miskawayh dalam merumuskan pembahagiaan tentang kebahagiaan
merujuk kepada pandangan Aristotle yang membahagi kebahagiaan menjadi lima:
Pertama,
kebahagiaan yang merujuk kepada kesihatan badan dan kelembutan deria yang
mencakup pendengaran, penglihatan, bau, rasa dan sentuhan yang baik.Kedua,
kebahagiaan yang berdasarkan dengan memperolehi keberuntungan.Ketiga, kebahagiaan
kerana termasyhur di kalangan orang-orang yang memiliki keutamaan dan mendapat
pujian orang-orang tersebut kerana sentiasa berbuat kebajikan.Keempat,
kebahagiaan pada seseorang yang sukses dalam segala hal, sehinggalah ia dapat
mewujudkan cita-citanya dengan sempurna. Manakala perkara yang kelima,
kebahagiaan dapat diperolehi apabila seseorang cerdas dan cermat dalam berfikir
dan memberikan pendapat serta lurus keyakinannya (Miskawayh, 1961;83, Ansari,
1964;72, & Zurayk, 1968; 72).Mencapai kebahagiaan adalah salah satu
ketenangan rohani yang menggerakkan fikiran untuk sentiasa berbuat baik.Sebaliknya
keresahan rohani boleh membawa kepada kerosakan akhlak.
Miskawayh
berpandangan juga bahawa manusia memiliki kebajikan rohani, yang diibaratkan
dengan ruh yang baik atau disebut malaikat.Manusia juga mempunyai kebajikan
jasmaniyang diibaratkan dengan haiwan.Kedua-dua kebajikan ini terletak dalam
dua alam yang berbeza, kebajikan rohani terdapat di alam yang tinggi, sementara
kebajikan jasmani terdapat di alam yang rendah (Miskawayh, 1961;86, &
Ansari, 1964;80, Zurayk, 1968;75).Mencapai kebahagiaan adalah dengan caramengekang
keinginan jasmani dan memberi penekanan pada hakikat aspek rohani.
(b)
Ajaran Tentang
Keutamaan (al-fadhail)
Mengikut Miskawayh bahawa jiwa manusia mempunyai tiga
fakulti yang menjadikan manusia boleh mencapai kebajikan dan keutamaan (al-fadhail).
Fakulti yang pertama adalah fakulti berfikir (rasional), Miskawayh menyatakan
apabila aktiviti jiwa berfikirtidak keluar dari laluan dirinya dan mencari
pengetahuan yang benarmaka jiwa berfikir dapat mencapai keutamaan sikap
bijaksana (al-hikmah) (Miskawayh, 1961; 20, Ansari, 1964;88 &
Zurayk, 1968;15). Muhammad Wahyuni Nafis (2006) pula menyatakan bahawa jiwa
peribadi yang seimbang akan membimbing kebaikan dan menyediakan kecerdasan,
inilah pandangan Miskawayh dalam konteks jiwa berfikir untuk kesucian rohani.
Fakulti yang kedua iaitu fakulti nafsu, Miskawayh
menjelaskan apabila aktiviti jiwa haiwan dikendalikan oleh jiwa berfikir, tidak
berlawanan dengannya dan tidak lemah dalam melawan kehendak hawa nafsu maka
jiwa berfikir akan mencapai keutamaan kawalan diri (al-iffah)
(Miskawayh, 1961;20, Ansari, 1964;88, & Zurayk, 1968;15). Apabila nafsu
tidak dikawal dengan baik maka boleh merosak batiniah, oleh itu rohani mengawal
nafsu agar tidak merosak akhlak batiniah.
Analisis juga mendapati pandangan Miskawayh tentang jiwa
amarah. Beliau merumuskan apabila aktiviti jiwa amarah mematuhi arahan jiwa berfikir
dan tidak bangkit lagi pada masa yang tidak sesuai atau terlalu bergelora, maka
akan mencapai keutamaan sikap berani (al-syaja’ah) (Miskawayh, 1961;20,
Ansari, 1964;88& Zurayk, 1968;15). Analisis senarai semak menunjukkan bahawa
Muhammad Wahyuni Nafis (2006) menghuraikan unsur emosi dicetuskan oleh fikiran
rasional dan akal dapat membaca realiti emosi serta membuat penilaian secara
naluri terhadap realiti emosi.Pendapat ini selari dengan pandangan Miskawayh.Justeru
itu, rohani menjaga keseimbangan jiwa amarah agar tetap tenang dan selalu
berada dalam arahan jiwa berfikir.
Ketiga
keutamaan tersebut saling berhubungkait sehingga wujudkeutamaan lainmenyempurnakannyaiaitu
keutamaan sifat adil (al-adl) (Miskawayh, 1961;20, Ansari, 1964; 88
& Zurayk, 1968; 16). Interpretasinya bahawa keutamaan adil adalah sebagai
perilaku rohani dalam diri setiap insan.Rohani yang bijak, berbuat dan menilai
secara adil kepada Allah dan manusia serta makhluk lainnya.Miskawayh juga menghuraikan
empat unsur berlawanan daripada empat keutamaan iaitu kebodohan (al-jahl),
kerakusan (al-Syirh), pengecut (al-jubn) dan kezaliman (al-jawr).Empat
perilaku hina tersebut merupakan penyakit jiwa dan menimbulkan banyak kepedihan
dan kesengsaraan.Justeru itu, manusia mesti mengawal empat keutamaan untuk
menolak empat keburukan menerusi hakikat kecerdasanrohani.
(c)
Ajaran
Tentang Kebaikan (al-khairat)
Pandangan
Miskawayh tentang kebaikan juga merujuk kepada pandangan Aristotle. Menurut
Miskawayh, kebaikan adalah berhubungan dengan tujuan tiap sesuatu perkara dan
kebaikan merupakan tujuan terakhir (Miskawayh, 1961;78, Ansari, 1964; 71&
Zurayk, 1968;69). Namun sesuatu yang bermanfaat untuk mencapai tujuan itu
disebut juga dengan kebaikan.Kebaikan bersifat mutlak benar, kerana akal tidak
mungkin menerima usaha atau gerak yang tidak ada akhirnya.Tujuan berhujung pada
kebaikan merupakan kenikmatan rohani kerana tujuannya adalah menuju kepada
Allah.
Berdasarkan
analisis didapati bahawa Miskawayh membahagi kebaikan sepertimana pembahagian
oleh Aristotle. Miskawayh merumuskan kebaikan sebagai berikut:
a)
Al-syarifah iaitu kebaikan kerana zatnya yang diperolehi
melalui hikmah dan akal.
b)
Al-mamduhah
iaitu keutamaan dan perbuatan yang diusahakan
dengan baik dan dipersiapkan untuk mendapatkan sesuatu yang akan berlaku.
c)
Al-nafi’ah iaitu segala sesuatu yang diinginkan bukan
untuk zatnya tetapi alat untuk mewujudkan kebaikan itu.
(Miskawayh, 1961;80, &
Zurayk, 1968;70).
Analisis
juga menunjukkan bahawa kebaikan mutlak adalah kebaikan rohani.Kebaikan
sementara dinamakan kebaikan nafsu syahwat.Sedangkan kebaikan yang disepakati
manusia adalah kebaikan akal.Apabila kebaikan rohani selari dengan kebaikan
akal maka melahirkan individu yang berakhlak mulia.
(d)
Ajaran Tentang
Kesempurnaan (al-kamal)
Manusia
dapat menentukan arah penciptaannya sebagai khalifah.Dengan kewujudan substansi
inilah manusia dapat memperoleh tingkatan yang tinggi. Analisis interpretasi
mendapati bahawa pembahasan Miskawayh dalam wacana kedua (al-makalah
al-tsaniah) menyatakan:
Kesempurnaan
manusia ada dua macam, kerana dua kekuatan yang dimilikinya: fakulti teoritikal
(‘alimah) dan fakulti praktikal (‘amilah). Fakulti yang pertama
manusia cenderung kepada berbagai macam ilmu dan pengetahuan dan yang satu lagi
cenderung kepada mengatur perkara-perkara (Miskawayh, 1961;43).
Berdasarkan
petikan di atas bahawa kesempurnaan manusia itu terdapat dalam dua perkara
iaitu teoritikal (al-‘alimah) dan praktikal (al-‘amilah).Kesempurnaan
teoritikal merupakan kecenderungan manusia yang berpunca kepada pelbagai ilmu
dan pengetahuan.Manakala kesempurnaan praktikal adalah kecenderungan manusia
dalam mengamalkan ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya secara bersepadu
(Miskawayh, 1961;43, Ansari, 1964; 79& Zurayk, 1968;36).Interpretasinya
kedua-dua kesempurnaan itu adalah berhujung pada sempurna rohaniuntuk memperoleh
darjah yang tinggi dan mulia.
Majoriti
manusia memikirkan tentang kesempurnaan dengan memperolehi kenikmatan deria
yang berupa kenikmatan jasmani sebagai punca dari tujuan dan kebahagiaan
terakhir.Padahal hakikat kesempurnaan manusia adalah kenikmatan spiritual
(rohani) iaitu manusia meninggalkan kesenangan materi yang fana, demi
mendapatkan kesenangan yang berkekalan.
Persamaan
Dan Perbezaan Konsep Akhlak Dalam Aspek Rohani
Berdasarkan analisis perbandingan, kajian ini telah
mengenalpasti pemikiran konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aspek rohanidaripada
perspektif persamaan dan perbezaan. Analisis terhadap pemikiran al-Ghazali dan Ibn
Miskawayh merumuskan pandangannya tentang ajaran dan asas pembentukan akhlak dalam
aspek rohani.
Pandangan
al-Ghazali dan Miskawayh dalam ajaran keutamaan (al-fadhail)menunjukkan
persamaan dari segi pengertian tentang kekuatan adil (al-quwwah al-‘adalah).
Kedua-duanya berpandangan bahawa kekuatan adil dapat mengawal kekuatan lain
sehingga terwujud keseimbangan dalam perilaku mahupun tindakan seseorang.
Kekuatan adil melahirkan sikap yang selaras terhadap kesucian rohani dan keutamaan
jiwa manusia.Perbuatan yang dilaksanakan dengan adil sesuai petunjuk syarak
boleh meluruskan hubungan sesama manusia dan membentuk kebaikan yang sempurna.
Justeru itu, terbentuklah hubungan akhlak yang adil terhadap diri sendiri, keluarga,
masyarakat, persekitaran dan akhlak terhadap Allah secara batiniah (rohani),
sebagaimana pandangan Yusuf al-Qaradawi (1977) tentang kesyumulan etika Islam.
Dari segi persamaan pemikiran al-Ghazali dan Miskawayh
dalam aspek rohani mendapatipula bahawa unsur jiwa (rohani) sebagai elemen
pembentukan akhlak yang mengawal setiap kekuatan dalam jiwa. Aspek rohani
merupakan sumber bagi ilmu dan mencari ilmu untuk menjadikan jiwa mulia.Sementara
dari segi matlamat kedua-dua tokoh menekankan pembersihan jiwa dari kekotoran
atau kerosakan jiwa.Begitupun dalam prinsip utama akhlak adalah untuk kebaikan
dan kesempurnaan hakiki.
Sedangkan
dari segi perbezaan konsep akhlak dalam aspek rohani bahawa pandangan
al-Ghazali daripada unsur ruh dihuraikan secara ‘dalaman’ dan mendalam baik
dari segi pengertian, sumber dan bahagiannya. Manakala Miskawayh hanya
menghuraikan unsur ruh hanya dari segi hakikatnya sahaja.Al-Ghazali juga
berpendapat bahawa jiwa dengan kuasa Allah dapat dihancurkan tetapi Allah tidak melakukannya.Sementara
Miskawayh menyatakan bahawa jiwa tidak hancur apabila berpisah dengan jasad.
Beliau juga menyebutkan bahawa dalam jiwa wujud penggerak kebaikan iaitu: Al-Syarifah
(kebaikan), Al-Mamduhah (keutamaan), dan Al-Nafi’ah (manfaat).
Berbeza dengan wujud penggerak yang disebutkan al-Ghazali, beliau menyebutkan
penggerak kebaikan iaitu: al-Targhib dan al-Tarhib (Dorongan dan
pencegah), Raja’ al-Mahmudah (Harapan pujian), dan Thalab al-Fadhilah
wa Kamal al-Nafs (Keinginan mencapai keutamaan dan kesempurnaan jiwa).Penggerak
kebaikan ini wujud dalam aspek rohani bagi mengawal kesucian akhlak batiniah
secara berterusan.
Mengikut
al-Ghazali pula bahawa jiwa rohani menjadi sempurna apabila mendapatkan lima
kebajikan: kebajikan ukhrawiyah, kebajikan jiwa, kebajikan badaniyah, kebajikan
urusan luar dan kebajikan taufiq dari-Nya. Sedangkan menurut Miskawayh bahawa
kesempurnaan jiwa rohani diperoleh segi ilmu dan mengamalkan ilmu itu.Kesempurnaan
jiwa adalah wujud dari ketenangan rohani bagi melahirkan akhlak batiniah yang
mulia.
Prinsip
akhlak adalah untuk kebaikan dan kesempurnaan hakiki.Justeru itu, aspek rohani sebagai penyeimbang kepada aspek emosi, intelek
dan jasmanisesuai petunjuk syarak.Berdasarkan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn
Miskawayh dalam aspek rohani maka dirumuskan perkaitannya sebagai berikut:
Rajah 2
Hubungan aspek rohani
Analisis konsep akhlak dalam aspek rohani
menunjukkan kesepaduan antara unsur-unsur dalam diri manusia.Berdasarkan rajah
2menunjukkan bahawa empat unsur tersebut berfungsi secara selaras dan sepadu
dalam diri manusia untuk melahirkan kecerdasan rohani.Ruh dalam diri manusia
berhubungkait kepada pembinaan aspek rohani untuk menyeimbangkan antara
kekuatan ilmu, amarah dan nafsusyahwat.
Dari ketiga-tiga kekuatan itu, melahirkan
kekuatan adil sebagai penyeimbang antara ketiga-tiganya.Adil bukanlah
sebahagian daripada keutamaan bijaksana (hikmah), keutamaan berani (syajaah),
keutamaan kawalan diri (iffah) tetapi adil merupakan keutamaan daripada
seluruh keutamaan tersebut.Justeru itu, keutamaan adil merupakan kumpulan
hukum-hukum syariat yang mulia, kesucian jiwa dan kemuliaan akhlak.
Penerapan konsep akhlak dalam aspek rohani
terlebih dahulu mengukuhkan akhlak dalam aspek intelek, emosi dan jasmani
sehingga elemen-elemen yang terdapat dalam jiwa dengan mudah boleh mengenal
hakikat kerohanian.Substansi jiwa (rohani) sebagai sumber bagi ilmu dan mencari
ilmu untuk menjadikan rohani suci dan mulia.Oleh itu, pengajaran dan
pembelajaran diberi tumpuan untuk menggariskan dan mencapai matlamat
pembersihan rohani dari kekotoran atau kerosakan jiwa.
Al-Ghazali dan Miskawayh telah menggariskan
bahagian yang terdapat dalam kekuatan adil.Penerapan konsep akhlak dalam aspek
rohanimesti diambilkira dalam pengubalan sistem pengajaran dan pembelajaran
untuk mencapai matlamat dan prinsip keadilan yang benar.Mengajar, mendidik,
membangun dan membina nilai-nilai akhlak bagi keadilan kepada jiwa individu,
masyarakat dan yang paling utama adalah adil kepada hak-hak Allah.Pembinaan
akhlak mestilah dengan pembiasaan, latihan dan amalan terhadap nilai-nilai
tersebut secara kukuh untuk mencapai kebaikan dan kesempurnaan dalam aspek
rohani sesuai dengan tujuan penciptaannya kembali kepada Allah dengan jiwa yang
tenang (nafs al-muthmainnah).
Pembentukan dan pembinaan kekuatan adil (al-quwwah
al-‘adalah) boleh mengawal kekuatan-kekuatan lain untuk membersihkan dan
mensucikan aspek rohani.Keutamaan adil boleh mengawalselia kekuatan ilmu,kekuatan
amarah dan kekuatan nafsu syahwat.Penerapan konsep akhlak dalam aspek rohani
bertujuan mencapai kecerdasan rohani supaya boleh membezakan hak-hak kepada
manusia dan hak kepada Allah s.w.t.
PERBINCANGAN
DAN PENUTUP
Pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan
Islam telah mengetengahkan sama ada ilmu dunia atau akhirat tetapi juga
mendapati pelbagai cabaran. Analisis perbincangan al-Ghazali dan Miskawayh
tentang konsep akhlak bahawa kedua-dua tokoh menekankan tujuan akhir kehidupan
manusia adalah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, oleh itu manusia mesti
mempraktikkan amalan-amalan kebaikan untuk mencapai matlamat itu.
Manakala dari segi pembentukkan akhlak
al-Ghazali dan Miskawayh sama-sama membincangkan tentang kebaikan (al-khair),
keutamaan (al-fadhail), kebahagiaan (al-sa’adah) dan kesempurnaan
(al-kamal).Keempat teori (ajaran) ini mesti diambilkira secara sepadu
dan berterusan dalam mewujudkan pendidikan Islam yang berkesan.Analisis juga
menunjukkan bahawa empat teori tersebut sangat berhubungkait dengan aspek rohani.Perbincangan
al-Ghazali dan Miskawayh tidak menghuraikan secara spesifik tentang aspek rohani
dalam ajaran kebaikan, keutamaan, kebahagiaan dan kesempurnaan.Justeru itu,
secara tersirat perbincangan kedua-dua tokoh menunjukkan ajaran tentang akhlak
untuk membentuk dan membina aspek rohani yang kukuh.
Penerapan konsep akhlak daripada pemikiran
al-Ghazali dan Miskawayh tentunya mendapati cabaran yang besar apabila
orang-orang Islam malas dan tidak mau mendidik diri dan keluarga untuk menuntut
pengetahuan agama (ilmu fardhu ain).Sebab pengetahuan agama membentuk rohani
dan daya fikir yang kukuh.Akal dan agama merupakan perkara yang selaras dalam
pendidikan Islam.Al-Ghazali dan Miskawayh telah menekankan pembersihan jiwa
untuk mencapai kesempurnaan rohani.
Kesimpulannya bahawa konsep
akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh mendapati bahawa secara umum mereka
membincangkan tentang keutamaan,
kebaikan, kebahagiaan dan kesempurnaan yang berhubungkait dengan aspek rohani.Persamaan pemikiran kedua-dua
tokoh bahawa dalam jiwa insan terdapat kekuatan adilsebagai keseimbangan
rohani yang mengawal kekuatan ilmu, amarah dan nafsu syawat. Sedangkan
dari segi perbezaan, Al-Ghazali membincangkan tentang
akhlak secara ‘dalaman’ dan mendalam dengan fungsi dan tugas setiap
aspek.Sementara Ibn Miskawayh menjelaskan secara ‘luaran’ dan perilaku yang
muncul dari aspek tersebut.
RUJUKAN
Abubakar Aceh.(1982). Sejarah Filsafat
Islam. Jakarta: Ramadhani Sala.
Abdul Fatah Hasan.(1998). Pemikiran
Keseluruhan Otak; dalam pengurusan pendidikan dan kaitannya dengan kecerdasan
emosi.Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Abdul Khobir.(2007). Filsafat Pendidikan
Islam Landasan Teoritis dan Praktis. Pekalongan: STAIN Press.
Abdul Rahman Md. Aroff. (1999). Pendidikan
Moral: Teori Etika dan Amalan Moral. Selangor: Universiti Putra Malaysia.
Abd al-Latif Muhammad Abd.(1985). Akhlaq fi
al-Islam.Kahirah: Maktabah Dar al-Thaum.
Aisyah Syati.(1969). Maqal fi al-Insan,
Dirasah Qur’aniyah.Kairo: Darul Ma’arif. Terj.oleh Ali Zawawi (1999). Manusia
Dalam Perspektif Al-Quran.Jakarta: Pustaka Firdaus.
Ali Abdul Halim Mahmud.(1995). Akhlak Mulia.Terj.oleh
Abdul Hayyie al-Kattani et. al. (2004). Jakarta: Gema Insani Press.
Al-Ghazali.(t.t.).Ihya Ulum al-Din. Juz
5, Beirut, Libanon: Dar al-Ma’arif.
Al-Ghazali.(1967). Ihya ulum al-Din.Juz
1, Qahirah: Mu’assah al-Halabi wa Syarikah li al Nasyri wa at-Tauzi’.
Al-Ghazali.(1967). Ihya ulum al-Din.Juz
3, Qahirah: Mu’assah al-Halabi wa Syarikah li al Nasyri wa at-Tauzi’.
Al-Ghazali. (1964). Mizan
al-Amal. Oleh Sulaiman Dunya. Kaherah: Dar al-Ma’arif.
Al-Ghazali. (1980). Ayyuha
al-Walad al-Muhib. Oleh Abdullah Ahmad Abu
Zinah. Dar al-Syuruq.
Anton Bakker & Achmad Charris Zubair.
(1989). Metodologi Penelitian Filsafat.Yogyakarta: Kanisius.
Anderson, G. (1998). Fundamentals of
Educational Research. New York: Falmer Press.
Asmawati Suhid.(2009). Pendidikan Akhlak dan
Adab Islam Konsep dan Amalan.Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Azizah Zakaria. (2004). Penghayatan terhadap
beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali: Kajian di kalangan pelajar
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Disertasi.
Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Franz Magnis Suseno. (1987). Etika Dasar:
Masalah-Masalah Pokok Filsafat Moral, Yogyakarta: Kanisius.
Fuad Moh. Fachruddin. (1970). Dialektika
Islam: Alam Pikiran Islam. Bandung: Diponegoro.
Harun Din.(2001). Manusia dan Islam.Jilid
2. Selangor Darul Ehsan: Dewan Pustaka dan Bahasa.
Ibn Miskawayh. (1398). Tadhib al-Akhlaq wa
Tathhir al-A’raq. Beirut: Mansyurah Dar al-Maktabah al-Hayat.
Ibn Miskawayh. (1398). The Refinement of
Character. Terj.oleh Constantine K. Zurayk (1968). Beirut: American
University of Beirut.
Imran Effendy Hasibuan.(2003). Pemikiran
Akhlak Syekh Abdurrahman Shiddiq al-Banjari. Pekanbaru: LPNU Press.
Kneller, G.F. (1971). Foundations of
educations.New York: John Wiley and Sons, Inc.
Koetting, J. R., & Malisa, M.
(2004).Philosophy, research, and education.In D. H. Jonassen (Ed.), Handbook
ofresearch in educational communications and technology (2nd ed., pp.
1009-1020). Mahwah, NJ: Lawrence Erlbaum Associates.
M Abdul Haq Ansari. (1964). The Ethical
Philosophy of Miskawaih. India: The Aligarh Muslim University Press.
Mustafa Dib Bugha.(1997). Nidham al-Islami
fi al-‘Aqidah wa al-Akhlaq wa al-Tashri’.Damsyik: Dar al-Mustafa.
Mu’jam Wajiz. (2000).Mesir: Kementerian
Pendidikan dan Pengajaran.
Mohd. Hussain Rusli. (2003). Pembangunan Insan:
Kajian Perbandingan Antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun. Disertasi.
Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd Jais Anuar Bin Ahmad. (2003). Metod
Pembinaan Sahsiah Diri: Satu Analisis Terhadap Pemikiran Falsafah Akhlak Ibn
Miskawayh Menerusi Kitab Tahdhibul Al-Akhlaq. Disertasi. Universiti
Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd. Nasir Omar. (1986). Falsafah Etika:
Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal
Pelajar Jabatan Perdana Menteri.
Muhammad Sayyed Naim.(1996). Fi al-Ilmi
al-Akhlaq, Syirkah al-Tibaáh al-Fanniyah al-Muttahiddah.
Mohd.Sullah.(2010). Studi Komparasi Konsep
Pendidikan Akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibnu Miskawaih.Kertas
Projek.Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim. Malang.
Muhammad Wahyuni Nafis.(2006). Yakin Diri 9
Jalan Cerdas Emosi dan Cerdas Spiritual.Jakarta: Hikmah.
Miqdad Yaljan. (1973). Al-Ittijah al-Akhlaqi
fi al-Islam, Kaherah: Maktabah al-Khanaji.
Sidi Gazalba.(1978). Ilmu Islam III.
Kuala Lumpur: Offset Bumikita.
Wingo,
M. (1974).Philosophy of education: An intoduction. Lexington, MA: D. C.
Heath.
0 Response to "JURNAL PERBANDINGAN PEMIKIRAN KONSEP AKHLAK FALSAFAH ISLAM DAN BARAT DALAM ASPEK ROHANI"
Posting Komentar