SHOPEE AFFILIATES

SHOPEE AFFILIATES
KLIK GAMBAR GABUNG SEKARANG JUGA

JURNAL PERBANDINGAN PEMIKIRAN KONSEP AKHLAK FALSAFAH ISLAM DAN BARAT DALAM ASPEK ROHANI

PERBANDINGAN PEMIKIRAN KONSEP AKHLAK AL-GHAZALI
DAN IBN MISKAWAYH DALAM ASPEK ROHANI

Zulfahmi Syamsuddin*
zulfahmi@siswa.um.edu.my

Wan Hasmah Wan Mamat*
wanhasmah@um.edu.my

*Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya, Malaysia


Abstrak
Kerosakan akhlak dan nilai-nilai moral amat mempengaruhi perkembangan dan kemerosotan tamadun sesebuah Negara. Oleh itu, mengkaji dan meneroka suatu konsep akhlak dari tamadun masa lalu untuk pembangunan masa depan adalah sangat penting. Terutama dalam aspek rohani untuk membentuk akhlak batiniah yang mulia.Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak.Kajian ini pula menganalisa persamaan dan perbezaan kedua-dua konsep akhlak dalam aspek rohani. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini adalah pendekatan inkuiri melalui analisis falsafah menggunakan analisis interpretasi, induktif-deduktif dan perbandingan.Analisis aspek rohani ditelusuri menggunakan panduan senarai semak yang telah dirancang.Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara umum pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh membincangkan tentang keutamaan akhlak (ummahatal-akhlaq).Dari segi persamaan, kedua-dua tokoh memandang bahawa rohani (ruh) memainkan peranan dalam mengawal akal, nafsu dan fizikal agar kesucian jiwa (batiniah) tetap terjaga. Sedangkan dari segi perbezaan, Al-Ghazali memandang sempurna rohani dengan wujud lima kebajikan: ukhrawiyah, jiwa, badaniyah, urusan luaran dan taufiq daripada Allah. Manakala menurut Miskawayh sempurna rohani diperoleh dari segi ilmu dan mengamalkan ilmu itu.Berdasarkan perbandingan kedua-dua tokoh tersebut, konsep akhlak merangkumi aspek rohani yang membolehkan manusia mencapai hakikat kesempurnaan.

Kata kunci: Akhlak, al-Ghazali, Miskawayh, Rohani








PENGENALAN
Melalui pendidikan manusia dapat mempelajari semua konsep dan pelbagai aspek dalam kehidupan demi menjaga kelangsungan hidup.Manusia boleh membentuk satu tamadun yang stabil dan sempurna melalui akhlak mulia.Sejarah telah menyaksikan bahawa antara sebab yang membawa kemusnahan dan kehancuran sesuatu bangsa ialah akibat daripada kerakusan manusia dan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan serta akhlak dalam kehidupan (Asmawati Suhid, 2009).Ianya menjadi satu idea pemikiran bahawa pendidikan akhlak perlu sepanjang kehidupan manusia agar tamadun dapat menjaga kelestarian akhlak manusia seutuhnya.Pada hakikatnya pandangan tentang akhlak (Sembodo Ardi Widodo, 2003) tidak terhad pada susunan hubungan manusia dengan manusia lainnya, tetapi ianya mengawal hubungan manusia dengan segala perkara yang terkandung dalam kehidupan dan lebih dalam lagi mengatur hubungan antara manusia dengan Tuhannya.
Fadlil Yani Ainusyam (2007) menyatakan pula bahawa pendidikan akhlak merupakan bahagian penting dalam pembinaan peribadi individu dan moral bangsa.Akhlak itu sendiri tidak bisa dipisahkan dari ajaran Islam namun dalam pelaksanaan pendidikannya harus diarahkan untuk membina tingkah laku yang luhur dan membina moral bangsa.Pandangan di atas diperkuatkan oleh Al-Jamil (1992) yang menyatakan “Islam mengajarkan kehidupan yang dinamik dan progresif, menghargai akal fikiran melalui pengembangan ilmu pengetahuan, bersikap seimbang dalam memenuhi keperluan jasmani dan rohani, sentiasa mengembangkan kepedulian sosial, berakhlak mulia dan sikap-sikap positif yang lainnya” (hlm. 11-12).Namun, dalam amalan umat Islam hanya berlaku untuk membayar kewajipan dan menjadi simbol ketaqwaan.Implikasi daripada ibadah yang bertujuan untuk kepedulian sosial kurang diberi penekanan.Fadlil Yani Ainusyam (2007) menegaskan pula bahawa masyarakat telah salah memahami simbol-simbol agama, agama lebih dimaknai sebagai penyelamat individu dan bukan keberkahan sosial secara bersama.
Dalam era globalisasi sekarang ini terjadi pelbagai isu akhlak dan moral dalam semua kalangan sebagaimana yang diperkatakan oleh Ismail Ibrahim (1996).Menurut beliau isu peradaban dan akhlak tidaklah merupakan persoalan dalam kalangan remaja sahaja, persoalan ini sebenarnya merupakan persoalan yang menyeluruh yang melibatkan hampir semua golongan dan kategori sosial.Apatah lagi melalui media yang begitu jelas diterangkan berita rasuah, perilaku seksual, salah laku pendidik dan pelajar di sekolah-sekolah yang berlaku di Malaysia, Indonesia dan di pelbagai negara-negara Islam lainnya.Sebenarnya agama dan institusi pendidikan serta persekitaran menurut Imran Effendy (2003)adalah amat memainkan peranan penting bagi mengatasi persoalan dan isu akhlak yang meresahkan semua pihak.
Huraian di atas menjadi sesebuah pemikiran yang mesti diperbincangkan untuk perkembangan ilmu dan mencari jalan yang sesuai dengan perkembangan manusia dalam era globalisasi yang sangat berpengaruh kepada tingkah laku, etika dan akhlak.Tingkah laku, etika dan akhlak pada amnya adalah sebagai modal dalam pembangunan moral bangsa.Justeru, akhlak pada khasnya adalah sebagai jatidiri amalan Islam yang murni untuk menunjukkan pribadi yang mulia dalam erti sebenarnya.Perbincangan di atas menjelaskan bahawa sejak awal peradaban Islam mahupun peradaban manusia sehingga sekarang persoalan dan isu akhlak terus dibincangkan dari semasa ke semasa, oleh itu kajian ini juga berhasrat mengkaji pemikiran-pemikiran mengenai konsep akhlak secara integrasi untuk mencapai sebuah maklumat dan konsep yang menyeluruh dan sesuai dengan isu-isu semasa.
Pernyataan Masalah
Berdasarkan pengenalan di atas telah menunjukkan pentingnya akhlak dalam pembinaan modal insan.Oleh itu, kajianini coba meneroka, membandingkan dan menganalisis pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh tentang konsep akhlak dalam aspek rohani.
Pelbagai kajian yang telah dijalankan untuk melihat perbandingan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam bidang akhlak.Azizah Zakaria (2004) mengkaji tentang beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali, beliau merumuskan bahawa etika al-Ghazali adalah suatu etika yang komprehensif.Mohd Rusli Hussain (2003) pula mengkaji perbandingan pemikiran antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun dari segi pembangunan insan secara terperinci dan spesifik.Mengikut beliau kelemahan al-Ghazali berbanding Ibn Khaldun adalah dalammengaitkan manusia dengan unsur luaran kerana unsur luaran merupakan unsur sampingan yang hanya sesuai digunakan mengikut kesesuaian sesuatu kelompok dan bukan perkara dasar yang menjadi kemestian dalam pembangunan insan.Justeru, wujud unsur-unsur itu boleh diteroka juga wujud persamaan dan perbezaan antara pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Pemikiran falsafah akhlak Ibn Miskwayh juga dibincangkan oleh Mohd Jais Anuar Ahmad (2003).Beliau membincangkan tentang pemikiran Ibn Miskawayh mengenai ketokohannya dalam menghuraikan falsafah akhlak secara terperinci.Pemikiran falsafah akhlak telah dicorakkan melalui gabungan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang pernah beliau lalui. Selain itu, terdapat juga kajian yang dilakukan oleh Mohd Sullah (2010) yang membandingkan konsep pendidikan akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibn Miskawayh yang memfokuskan kepada pendidikan akhlak dari aspek karya, hakikat manusia dan konsep pendidikan akhlak daripada kedua-dua tokoh.
Perbincangan terhadap beberapa kajian yang telah dijalankan di atas menunjukkan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh kerap membincangkan tentang konsep akhlak daripada pelbagai perspektif.Abubakar Aceh (1982) mengkategorikan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aliran moral dan akhlak.Oleh itu, kajian ini melihat dari sudut fokus yang berbeza dari kajian-kajian di atas.Kajian ini lebih berfokus kepada perbandingan konsep akhlak menurut pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dari segi rohani sebagai keindahan batin.
Dalam sejarah pemikiran Islam, pemikiran al-Ghazali kurang dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Yunani bahkaniamenentang pemikiran ahli falsafah Yunani dalam bukunya Tahafut al-Falasifah. Sementara Ibn Miskawayh, pemikirannya dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Yunani. Justeru itu, bagaimanakah pemikiran kedua-dua tokoh ini?Apakah intipati pemikiran kedua-dua tokoh dalam konsep akhlak?Apakah wujud persamaan dan perbezaan pemikiran antara kedua-dua tokoh?Oleh itu, kajian ini dapat memastikan titik persamaan dan perbezaan dalam konsep akhlak antara kedua-dua tokoh.Persoalan-persoalan itu adalah penting untuk melihat aspek yang perlu diperbaiki atau disokong tambah dalam membentuk konsep akhlak yang sesuai kehendak fitrah manusia dan Tuhan.
Kerangka Konseptual Kajian
Dalammenentukan hala tuju kajian yang jelas berikut dirumuskan konseptual kajian agar memudahkan analisis dan pengolahan data.
Rajah 1
Kerangka Konseptual Kajian

PENDEKATAN INKUIRI







ANALISIS FALSAFAH:
INTERPRETASI, INDUKTIF & DEDUKTIF, PERBANDINGAN
KONSEP AKHLAK
AL-GHAZALI
KONSEP AKHLAK
IBN MISKAWAYH
PERSAMAAN DAN PERBEZAAN
DARIPADA ASPEK ROHANI
 


















Kerangka konseptual di atas menjelaskan bahawa pemikiran konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dikaji dengan mengunakan pendekatan inkuiri. Seterusnya pendekatan inkuiri dijalankan melalui perbandingan pemikiran kedua tokoh secara analisis falsafah dengan menggunapakai tiga caraiaitu: interpretasi, induktif dan deduktif, serta perbandingan. Data yang diperoleh dianalisis untuk melihat persamaan dan perbezaan konsep dari aspek rohani.Akhirnya dirumuskan konsep akhlak daripada integrasi pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Tujuan Kajian
Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh tentang konsep akhlak dalam aspek rohani serta melihat persamaan dan perbezaan konsep akhlak kedua-dua tokoh dalam aspek ini.
Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan untuk mencapai beberapa objektif berikut:
a)        Meneroka pandangan al-Ghazali tentang konsep akhlak dalam aspek rohani.
b)        Menelaah pandangan Ibn Miskawayh tentang konsep akhlak dalam aspek rohani.
c)        Menganalisa persamaan dan perbezaan konsep akhlak antara al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aspek rohani.

KAJIAN LITERATUR
Akhlak dalam Islam sangat penting dan besar pengaruhnya dalam membina dan membentuk manusia.Pendekatan Islam dalam amalan dan pendidikan akhlak amat menekankan kepada penanaman akidah atau rohani yang mantap (Asmawati Suhid, 2009).Kepentingan akidah dalam pendidikan akhlak dapat dilihat menerusi nash-nash al-Quran dan Hadith.Al-Quran adalah wahyu Allah s.w.t.yang mengandungi petunjuk, arahan dan perbezaan antara hak dan batil terutama dalam tiga bidang iaitu aqidah, syari’ah dan akhlak. Allah s.w.t. menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud:
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (ketibaan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Surah al-Ahzab 33:21)
Ayat di atas menjelaskan perilaku Baginda Rasulullah s.a.w. sebagai contoh teladan untuk seluruh umat Muslim dan juga seluruh umat manusia.
Konsep Akhlak Dalam Islam
Islam adalah agama yang menekankan pembinaan dan pembentukan akhlak dan keperibadian mulia di semua kalangan.Akhlak membina diri insan agar menjadi seorang yang tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah s.w.t. di samping memiliki sifat dalaman suci dari segi peribadi dan personaliti luaran.Oleh itu, untuk menentukan secara terperinci konsep akhlak mestilah memahami definisi akhlak secara bahasa dan istilah terlebih dahulu.
Akhlak dapat didefinisikan dalam dua bentuk iaitu dari segi bahasa dan istilah. Dari segi bahasa Arab menurut Abd al-Latif (1985), akhlak adalah bentuk jamak dari khuluq yang bererti kebiasaan, perilaku, tabi’at, marwah dan din (agama). Manakala Bugha (1997) memberikan takrif akhlak iaitu sifat yang menetap dalam jiwa, baik secara semulajadi (fitrah) ataupun yang diusahakan, yang memberikan pengaruh dalam sikap yang baik dan buruk.Pengertian yang sama juga dibincangkan oleh Nasir Omar (1986), Abdur Rahman Md Aroff (1999), Harun Din (2001), Imran Efendy Hasibuan (2003)dan Asmawati Suhid (2009). Mereka memandang bahawa perkataan akhlak merupakan bentuk jamak dari kata ‘khuluq’ (tingkah laku).Mengikut Harun Din (2001), beliau membezakan istilah al-khalq dan al-khuluq dengan perbezaan yang amat jauh antara akhlak yang bermakna keindahan fizik dengan akhlak yang berkekalan.
Akhlak juga boleh didefinisikan sebagai sifat semulajadi, marwah, tingkah laku, tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama (Nasir Omar, 1986; Abdur Rahman Md Aroff, 1999; &Asmawati Suhid, 2009).Ditakrifkan mengikut Kamus Mu’jamWajiz (2000) bahawa akhlak adalah ilmu yang berhubungan dengan hukum-hukum nilai yang berkaitan dengan perbuatan yang bersifat baik dan buruk.
Daripada beberapa definisi yang dikemukakan di atas, meskipun berbeza-beza perkataan tetapi dalam pengertian yang sama. Oleh itu, akhlak dapat dinyatakan mempunyai pengertian yang merangkumi empat hubungan iaitu hubungan akhlak terhadap Tuhan, hubungan akhlak terhadap diri sendiri, hubungan akhlak terhadap masyarakat dan hubungan akhlak terhadap alam sekitar.
Akhlak dari segi istilah banyak diberikan definisi oleh sarjana Islam berkaitan dengan pengertian dan konsep akhlak.Akhlak merupakan sifat yang muncul dari jiwa yang melahirkan perbuatan dengan mudah tanpa perlu difikirkan mahupun diusahakan (Abd al-Latif, 1985). Pandangan lain yang menjelaskan bahawa akhlak adalah satu ilmu yang membahaskan tingkah laku manusia sama ada baik dan buruk. Islam menyeru kepada akhlak yang baik dan melarang berbuat keburukan (Sayyed Naim, 1996; Bugha, 1997).Mengikut Asmawati Suhid (2009) akhlak mengandungi sifat yang dimiliki oleh individu sejak kelahirannya, yang menerusi latihan, rangsangan yang akhirnya menjadi tabiat dan akhlak juga meliputi dua dimensi iaitu batin dan zahir dalam bentuk perlakuan.Pengertian ini selaras dengan huraian Nasir Omar (1986).
Akhlak juga didefinisikan oleh Haron Din (2001) sebagai dua bentuk iaitu akhlak Islam dan akhlak falsafah.Akhlak Islam ialah akhlak yang bersumber kepada wahyu al-Quran dan al-Sunnah.Sementara akhlak falsafah ialah akhlak yang bersumber kepada daya usaha kemampuan pemikiran manusia. Kedua bentuk akhlak di atas selaras dengan pendapat Nasir Omar (1986), tentang kriteria nilai-nilai etika Islam iaitu nilai-nilai dari Allah yang dimanifestasikan melalui wahyu dan nilai-nilai buatan manusia hasil dari penggunaan kapasiti yang diberikan Allah kepada mereka, seperti akal, deria, dan lain-lain. Sidi Gazalba (1978) dan Abdur Rahman Md. Aroff (1999) mendefinisikan akhlak sebagai sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia terhadap Sang Khalik dan manusia lain, terhadap diri sendiri, haiwan dan alam sekitar mengikut perintah dan larangan serta petunjuk al-Quran dan al-Hadith.
Berdasarkan pandangan diatas dapat difahami bahawa setiap individu muslim haruslah menjaga keindahan budi pekertinya, keperibadian seseorang ditunjukkan oleh keindahan akhlak lahiriah bukan bentuk jasmaniah. Akhlak menunjukkan perangai dan tingkah laku individu sama ada baik atau buruk. Akhlak pula mencakupi semua aspek dan elemen dalam kehidupan kerana hal itu juga merupakan sebahagian dari ajaran dan suruhan Islam yang perlu dipelihara, agar sahsiah seseorang muslim dapat terjaga sebagaimana mestinya. Hal ini berhubungkait dengan akhlak yang diringkaskan oleh Miqdad Yaljan (1973). Beliau mendefinisikan dalam tiga aspek iaitu: 1) Sifat tabi’i atau semulajadi dari fitrah manusia. 2) Sifat yang dimiliki seseorang melalui latihan yang akhirnya diterima sebagai adat atau tabiat. 3) Akhlak terbagi kepada dua iaitu batin (jiwa) dan zahir iaitu kelakuan.
Kesimpulannya, akhlak berkait rapat dengan perbuatan atau perlakuan manusia ketika berada dalam keadaan sedar atau tidak sedar.Di samping itu perbuatan atau perlakuan buruk boleh di elak sewaktu keadaan sedar menerusi latihan-latihan.Manusia yang mempunyai personaliti yang baik menunjukkan ia adalah individu yang berakhlak baik. Sebaliknya manusia yang mempunyai personaliti yang buruk menunjukkan ia adalah individu yang berakhlak buruk. Sifat yang mulia dapat membawa kepada kebahagiaan dan kesempurnaan hidup.Sedangkan sifat yang buruk boleh membawa kepada kesengsaraan dan keseksaan hidup.

METODOLOGI KAJIAN
Kesesuaian kaedah yang digunapakai dalam pengumpulan data dapat menghasilkan dapatan yang benar, oleh itu penjelasan kaedah yang digunapakai adalah penting untuk menganalisis konsep akhlak menurut al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam kajian ini. Penyelidikan ini menggunapakai pendekatan inkuiri dengan cara analisis falsafah(Kneller, 1971; Wingo, 1974; Anderson, 1998; Koetting & Malisa, 2004; & Abdul Khobir; 2007).Data dikumpul dengan buku-buku yang berhubungkait dengan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh. Analisis terhadap pemikiran kedua-dua tokoh menggunakan analisis falsafah dengan mengikuti tiga cara analisis berikut:
1.      Interpretasi
2.      Induktif dan deduktif
3.      Perbandingan
(Anton Bakker & Achmad Charris Zubair, 1989).
Dalam menjalankan interpretasi penyelidik menelusuri pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh untuk mendapatkan konsep dan maklumat yang dimaksudkan oleh kedua tokoh tersebut secara khas. Pandangan kedua-dua tokoh dibandingkan dan difahami menurut keunikannya dan juga diberikan penekanan pada segi-segi tertentu.Hasil interpretasi dirumuskan secara induktif dan deduktif bagi memperjelas fikiran utama yang ingin dicapai sebagai rumusan konsep akhlak dalam aspek rohani.Hasil interpretasi juga dianalisis secara induktif dan deduktif untuk mendapatkan intipati daripada maksud yang dikemukan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.Kemudian intipati itu diketengahkan secara perbandingan bagi merumuskan konsep akhlak dalam aspek rohanidaripada perspektif persamaan dan perbezaan.
Data kajian tentang konsep akhlak al-Ghazali hanya melibatkan kepada tiga karya beliau yang berkaitan dengan akhlak iaitu Ihya’ Ulum al-Din, Ayyuha al-Walad, dan Mizan al-Amal.Ketiga karya itu dianalisis kandungan yang berkaitan dengan konsep akhlak.Manakala pemikiran konsep akhlak Ibn Miskawayh merujuk kepada salah satu karangannya iaitu Tahdhib al-Akhlaq dan dua buku karangan sarjana awal tentang Miskawayh iaitu The Refinement of Character dan The Ethical Philosophy of Miskawayh.Apa sahaja yang terkandung di dalam karya tersebut yang berkaitan dengan konsep akhlak dianalisis secara mendalam.
Setiap isi kandungan dikaji berdasarkan unsur atau elemen yang terkandung dalam senarai semak. Senarai ini merupakan instrumen utama yang menjadi pedoman dalam menjalankan proses penganalisisan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak. Unsur atau elemen yang terkandung dalam senarai semak sebagai berikut:
1.      Aql (akal)
2.      Nafs (jiwa)
3.      Qalb (hati)
4.      Roh (ruh)
Semua unsur tersebut berkaitan dalam proses pembinaan aspek rohani dan sebagai pedoman untuk mengkategorikan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam konsep akhlak.

DAPATAN KAJIAN
Al-Ghazali dalam dunia Islam dikenal sebagai Hujjatul Islam dengan karyanya yang paling popular Ihya Ulum al-Din dan banyak karya-karya beliau yang lain yang membincangkan tentang akhlak dalam pelbagai dimensi kehidupan.Berbanding dengan Ibn Miskawayh yang dikenal sebagai bapa etika Islam yang pertama. Karyanya yang paling popular iaitu Tahdhib al-Akhlaq dan beberapa karya yang lain juga berkaitan dengan akhlak.
Pemikiran Al-Ghazali Dalam Konsep Akhlak
Sebahagian besar pemikiran ahli falsafah Islam oleh pemikiran failasuf Yunani dan Neo-Platonisme, namun al-Ghazali adalah sebaliknya (Helmi Hidayat, 1994).Beliau menjadikan pengalaman hidup kerohaniannya sebagai pengetahuan terpenting dan sebagai hujah yang benar dari ruh agama.Pengalaman kerohanian dalam agama adalah sebagai landasan teori akhlak.Beliau meletakkan matlamat dan prinsip yang benar sesuai dengan nilai-nilai Islam setelah melalui pelbagai cubaan dan keragu-raguan dalam hatinya.
Matlamat yang ingin dicapai dalam pembentukan akhlak adalah pembersihan jiwa dari kekotoran jiwa (al-Ghazali, 1967; 12).Aspek rohani sebagai elemen jiwa yang berbeza dari badan,maka pembentukan akhlak harus diberikan tumpuan pada pembersihan rohani agar menjadi suci.Namun, apabila akhlak buruk maka dapat merosak hati dan menyakiti jiwa (rohani).
Pembahasan aspek rohani hanya menitikberatkan beberapa tumpuan ajaran yang berkaitan dengan asas pembentukan akhlak dari aspek rohanimenerusi beberapa perkara di bawah ini:
(a)               Ajaran Tentang Kebahagiaan (al-sa’adah)
Dalam membicarakan tentang kebahagiaan al-Ghazali (1964) berpandangan bahawa manusia dapat memperoleh kebahagiaan yang kekal tanpa ada kehancuran, kelazatan tanpa kesulitan, kegembiraan tanpa kesusahan, kekayaan tanpa kefakiran, kesempurnaan tanpa cacat, kemuliaan tanpa kehinaan iaitu dengan mencari kebahagiaan akhirat. Kelemahan makhluk untuk menempuh jalan kebahagiaan adalah kerana kelemahan iman mereka terhadap hari akhirat.
Kelemahan iman termasuk dalam kebodohan aspek rohani, lemah yang disebabkan kelalaian untuk menempuh jalan-jalan kebahagiaan.Kenikmatan akhirat adalah kebahagiaan yang berkekalan. Al-Ghazali (1964) menggariskan empat golongan manusia dalam menghadapi akhirat:Pertama, golongan orang-orang yang berkeyakinan adanya padang mahsyar, syurga dan neraka. Kedua, golongan teologi Islam daripada ahli falsafah yang berkeyakinan realiti kelazatan adalah tidak wujud kecuali boleh dikesan wujud benda yang nyata.Ketiga, golongan yang mengingkari adanya kelazatan yang dapat dirasai oleh deria samada dengan jalan yang nyata atau jalan khayalan.Keempat, golongan majoriti orang-orang hodoh dan kurang akal serta tidak tergolong dalam kelompok orang-orang yang berfikir (1964; 182-185).
Interpretasi daripada empat golongan ini adalah memberikan tumpuan fikiran pada alam akhirat (rohani) dalam bentuk dan pemahaman yang berbeza-beza berasaskan ilmu pada diri masing-masing untuk mencapai kebahagiaan.Usaha yang sungguh-sungguh (mujahadah) merupakan usaha mengubati jiwa (rohani) dengan tujuan membersihkannya, untuk memperolehi kebahagiaan.Sehingga sampailah kesucian jiwa pada ‘sa’adah’ atau kebahagiaan dapat diperolehi.Justeru itu, yang menolong untuk mencapai kebahagiaan adalah ‘amal sholeh’ (al-Ghazali, 1964; 196).Tumpuan aspek rohani dalam ajaran kebahagiaan mengikut al-Ghazali adalah pada kesucian jiwa sehingga membentuk akhlak batiniah yang mulia.
(b)               Ajaran Tentang Keutamaan (al-fadhail)
Kebahagiaan dapat dicapai dengan mensucikan jiwa dan menyempurnakannya.Manakala menyempurnakan jiwa mestilah dengan usaha untuk mencapai seluruh keutamaan.Al-Ghazali mengemukakan keutamaan yang penting menerusi akhlak, yang dirumuskan dalam empat kuasa atau kekuatan asas.
Kebijaksanaan (hikmah) adalah keutamaan kekuatan akal.Kebaikan ilmu tercapai melalui kekuatannya untuk mengetahui dan membezakan antara dua perkara, seperti benar dan bohong dalam perkataan (al-Ghazali, 1964;233, 1967;69).Beliau menekankan kekuatan ini sebagai punca utama akhlak yang baik. Apabila kekuatan ilmu itu baik maka ia akan meningkat kepada peringkat ‘hikmah’. Kekuatan ini pula menuntut jiwa (rohani) menemukan kebaikan-kebaikan amal perbuatan (al-Ghazali, 1964;265, 1967;11).Tumpuan aspek rohani dalam keutamaan ini adalah berusaha mendapatkan kebaikan bagi mengelak keburukan akhlak.
Berdasarkan analisis interpretasi adalah didapati keutamaan keberanian.Al-Ghazali berpandangan bahawa keberanian iaitu keutamaan kuasa‘marah’.Kebaikan marah ialah apabila mengecut dan mengembang selaras dengan kehendak hikmah.Kebolehan mengurus marah dikatakan baik dan berani. Apabila marah melampaui had dikatakan pengacau, tetapi apabila marahitu lemah dikatakan penakut (1964;266, 1967;69). Kuasa marah berada dalam emosi individu, tetapi hakikatnya dikawal oleh rohani agar tidak berakhlak buruk.
Selain dua kekuatan di atas, terdapat kekuatan ‘nafsu’iaitu iffah atau kawalan diri. Kebaikannya apabila berada di bawah arahanhikmah (akal).  Kebolehan mengurus nafsu dikatakan baik dan suci. Apabila nafsu melampau dikatakan jahat, tetapi jika nafsu kurang(lemah) dikatakan beku (al-Ghazali, 1964;269, 1967;80).Nafsu boleh dikawal dengan membersihkan jiwa, mensucikan peribadi dan menjauhi hawa nafsu yang merosak akhlak (al-Ghazali, 1980;45-46).Aspek rohanimemainkan peranan yang selaras dengan kekuatan iffah,bertumpumengawal nafsu ke arah yang baik.
Berasaskan tiga keutamaan tersebut terdapat satu lagi keutamaan iaitu ‘adil’ sebagai titik tengah untuk menjaga keseimbangan antara seluruh keutamaan. Kuasa adil iaitu mengawalselia nafsu dan marah dibawah arahan akal dan syarak. Jika berlaku perbuatan melampau maka ia dikatakan zalim. Al-Ghazali menggariskan bahawa keutamaan adilmerupakan suatu keadaan yang teratur sesuai dengan ketentraman yang sebenar (1964;272, 1967;70). Beliau mengetengahkan keempat kekuatan dengan empat keutamaan yang merupakan punca akhlak (ummahat al-akhlaq) (1964; 286, 1967; 80).
Kekuatan-kekuatan itu membolehkan manusia untuk sedia mengamalkan perilaku yang terpuji.Disamping itu keutamaannyamemiliki dua hujung dan satu sifat pertengahan. Manusia diperintahkan untuk melakukan yang pertengahan, yang lurus antara dua hujung.Kuasa adil sebagai cerminan aspek rohani bagi mengawalselia kekuatan yang lain. Apabila rohani seimbang maka memberikan kekuatan bagi emosi, intelek dan jasmani.

(c)                Ajaran Tentang Kebaikan (al-khairat)
Jalan mendapatkan kebahagiaan dan keutamaan seperti pembahasan sebelumnya adalah melalui perbuatan yang baik.Kebaikan selalu baik, tetap dan tidak berubah.Al-Ghazali menerangkan bahawa terdapat tiga penggerak kebaikan duniawi:
a)        Al-targhib dan al-tarhib(Dorongan dan pencegahan)
b)        Raja’ al-mahmudah(Harapan pujian yang baik)
c)        Thalab al-fadhilah wa kamal al-nafs(Keinginan mencapai keutamaan dan kesempurnaan jiwa)
(al-Ghazali, 1964;287)
Ketiga penggerak ini dapat dilalui manusia dengan berbeza-beza untuk mencapai kebaikan. Justeru itu, tidak ada perbezaan antara kebaikan duniawi dan kebaikan ukhrawi kecuali cepat atau lambat mencapai kebaikan itu (al-Ghazali, 1964;289). Analisis induktif mendapati bahawa tiga penggerak kebaikan itu bertujuan untuk mencapai kecerdasan rohani.Rohani yang cerdas akan menggerakkan jiwauntuk mencari kebaikan dan kesempurnaan diri sendiri.
(d)               Ajaran Tentang Kesempurnaan (al-kamal)
Setiap manusia menginginkan kesempurnaan dalam hidupnya, sama ada sempurna fizikal mahupun sempurna rohani. Apabila kesempurnaan diperolehi oleh seseorang individu makaindividu tersebut memperoleh kebahagiaan yang hakiki. Al-Ghazali menggariskan kesempurnaan itu secara menyeluruh dalam lima bahagian.
Kesempurnaan yang paling utama mengikut al-Ghazali adalah kesempurnaan mendapatkan kebahagiaan akhirat.Kesempurnaan itu tidak dapat dicapai kecuali dengan adanya kesempurnaan kedua.Al-Ghazali menyebutnya dengan kesempurnaan bagi keutamaan jiwa (1964;294).Seperti yang telah disebutkan sebelumnya iaitu keutamaan akal, keutamaan kawalan diri, keutamaan berani dan keutamaan adil.
Kesempurnaan ketigaiaitu keutamaan yang ada pada badan iaitu kesihatan badan, kekuatan badan, keelokan badan dan panjang umur.Keempat adalah kesempurnaan luaran pada manusia iaitu harta, keluarga, kemuliaan, dan keluarga mulia.Semuanya dilengkapi oleh kesempurnaan kelima iaitu taufiq dari Allah, melalui hidayah Allah, pimpinan Allah, kebaikan dari Allah, dan kekuatan dari Allah (1964;294). Analisis induktif dan deduktif mendapati bahawa pemikiran al-Ghazali tentang kesempurnaan adalah wujud dari aspek rohani sehingga membolehkan manusia mencapai kesempurnaan hakiki.Kebahagiaan dan kelazatan rohani diperoleh apabila manusia dekat dengan Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Pemikiran Ibn Miskawayh Dalam Konsep Akhlak
Pemikiran Miskawayh tentang teori metafizik iaitu tentang Tuhan, alam dan jiwa manusia memberikan hubung kait kepada idea-idea yang diutarakan berkaitan akhlak. Pandangan beliau lebih merujuk kepada etika Aristotle dan Neo-Platonik sehingga terjadi perbezaan dan cabaran dalam membuat kesepaduan antara keduanya yang selaras dengan pandangan Islam. Berdasarkan analisis interpretasi mendapati beberapa ajaran asas pemikiran Miskawayh yang bertumpu dalam konsep akhlak.
(a)               Ajaran tentang kebahagiaan (al-sa’adah)
Kebahagiaan merupakan kebaikan yang amat berkaitan dengan pemiliknya dan merupakan kesempurnaan bagi pemiliknya. Kebahagiaan adalah kebaikan yang berhubungkait dengan seseorang atau orang lain, ia relatif dan esensinya tak pasti. Berbeza mengikut orang yang mengusahakannya, tetapi kebaikan mutlak tidak ada perbezaannya (Miskawayh, 1961;78, Ansari, 1964;70, & Zurayk, 1968;69).
Kebahagiaan sangat bergantung kepada usaha individu ertinya kebahagiaan yang dirasakan seseorang dengan orang lain adalah berbeza mengikut usahanya. Analisis mendapati bahawa Miskawayh dalam merumuskan pembahagiaan tentang kebahagiaan merujuk kepada pandangan Aristotle yang membahagi kebahagiaan menjadi lima:
Pertama, kebahagiaan yang merujuk kepada kesihatan badan dan kelembutan deria yang mencakup pendengaran, penglihatan, bau, rasa dan sentuhan yang baik.Kedua, kebahagiaan yang berdasarkan dengan memperolehi keberuntungan.Ketiga, kebahagiaan kerana termasyhur di kalangan orang-orang yang memiliki keutamaan dan mendapat pujian orang-orang tersebut kerana sentiasa berbuat kebajikan.Keempat, kebahagiaan pada seseorang yang sukses dalam segala hal, sehinggalah ia dapat mewujudkan cita-citanya dengan sempurna. Manakala perkara yang kelima, kebahagiaan dapat diperolehi apabila seseorang cerdas dan cermat dalam berfikir dan memberikan pendapat serta lurus keyakinannya (Miskawayh, 1961;83, Ansari, 1964;72, & Zurayk, 1968; 72).Mencapai kebahagiaan adalah salah satu ketenangan rohani yang menggerakkan fikiran untuk sentiasa berbuat baik.Sebaliknya keresahan rohani boleh membawa kepada kerosakan akhlak.
Miskawayh berpandangan juga bahawa manusia memiliki kebajikan rohani, yang diibaratkan dengan ruh yang baik atau disebut malaikat.Manusia juga mempunyai kebajikan jasmaniyang diibaratkan dengan haiwan.Kedua-dua kebajikan ini terletak dalam dua alam yang berbeza, kebajikan rohani terdapat di alam yang tinggi, sementara kebajikan jasmani terdapat di alam yang rendah (Miskawayh, 1961;86, & Ansari, 1964;80, Zurayk, 1968;75).Mencapai kebahagiaan adalah dengan caramengekang keinginan jasmani dan memberi penekanan pada hakikat aspek rohani.
(b)               Ajaran Tentang Keutamaan (al-fadhail)
Mengikut Miskawayh bahawa jiwa manusia mempunyai tiga fakulti yang menjadikan manusia boleh mencapai kebajikan dan keutamaan (al-fadhail). Fakulti yang pertama adalah fakulti berfikir (rasional), Miskawayh menyatakan apabila aktiviti jiwa berfikirtidak keluar dari laluan dirinya dan mencari pengetahuan yang benarmaka jiwa berfikir dapat mencapai keutamaan sikap bijaksana (al-hikmah) (Miskawayh, 1961; 20, Ansari, 1964;88 & Zurayk, 1968;15). Muhammad Wahyuni Nafis (2006) pula menyatakan bahawa jiwa peribadi yang seimbang akan membimbing kebaikan dan menyediakan kecerdasan, inilah pandangan Miskawayh dalam konteks jiwa berfikir untuk kesucian rohani.
Fakulti yang kedua iaitu fakulti nafsu, Miskawayh menjelaskan apabila aktiviti jiwa haiwan dikendalikan oleh jiwa berfikir, tidak berlawanan dengannya dan tidak lemah dalam melawan kehendak hawa nafsu maka jiwa berfikir akan mencapai keutamaan kawalan diri (al-iffah) (Miskawayh, 1961;20, Ansari, 1964;88, & Zurayk, 1968;15). Apabila nafsu tidak dikawal dengan baik maka boleh merosak batiniah, oleh itu rohani mengawal nafsu agar tidak merosak akhlak batiniah.
Analisis juga mendapati pandangan Miskawayh tentang jiwa amarah. Beliau merumuskan apabila aktiviti jiwa amarah mematuhi arahan jiwa berfikir dan tidak bangkit lagi pada masa yang tidak sesuai atau terlalu bergelora, maka akan mencapai keutamaan sikap berani (al-syaja’ah) (Miskawayh, 1961;20, Ansari, 1964;88& Zurayk, 1968;15). Analisis senarai semak menunjukkan bahawa Muhammad Wahyuni Nafis (2006) menghuraikan unsur emosi dicetuskan oleh fikiran rasional dan akal dapat membaca realiti emosi serta membuat penilaian secara naluri terhadap realiti emosi.Pendapat ini selari dengan pandangan Miskawayh.Justeru itu, rohani menjaga keseimbangan jiwa amarah agar tetap tenang dan selalu berada dalam arahan jiwa berfikir.
Ketiga keutamaan tersebut saling berhubungkait sehingga wujudkeutamaan lainmenyempurnakannyaiaitu keutamaan sifat adil (al-adl) (Miskawayh, 1961;20, Ansari, 1964; 88 & Zurayk, 1968; 16). Interpretasinya bahawa keutamaan adil adalah sebagai perilaku rohani dalam diri setiap insan.Rohani yang bijak, berbuat dan menilai secara adil kepada Allah dan manusia serta makhluk lainnya.Miskawayh juga menghuraikan empat unsur berlawanan daripada empat keutamaan iaitu kebodohan (al-jahl), kerakusan (al-Syirh), pengecut (al-jubn) dan kezaliman (al-jawr).Empat perilaku hina tersebut merupakan penyakit jiwa dan menimbulkan banyak kepedihan dan kesengsaraan.Justeru itu, manusia mesti mengawal empat keutamaan untuk menolak empat keburukan menerusi hakikat kecerdasanrohani.
(c)                Ajaran Tentang Kebaikan (al-khairat)
Pandangan Miskawayh tentang kebaikan juga merujuk kepada pandangan Aristotle. Menurut Miskawayh, kebaikan adalah berhubungan dengan tujuan tiap sesuatu perkara dan kebaikan merupakan tujuan terakhir (Miskawayh, 1961;78, Ansari, 1964; 71& Zurayk, 1968;69). Namun sesuatu yang bermanfaat untuk mencapai tujuan itu disebut juga dengan kebaikan.Kebaikan bersifat mutlak benar, kerana akal tidak mungkin menerima usaha atau gerak yang tidak ada akhirnya.Tujuan berhujung pada kebaikan merupakan kenikmatan rohani kerana tujuannya adalah menuju kepada Allah.
Berdasarkan analisis didapati bahawa Miskawayh membahagi kebaikan sepertimana pembahagian oleh Aristotle. Miskawayh merumuskan kebaikan sebagai berikut:
a)        Al-syarifah iaitu kebaikan kerana zatnya yang diperolehi melalui hikmah dan akal.
b)        Al-mamduhah iaitu keutamaan dan perbuatan yang diusahakan dengan baik dan dipersiapkan untuk mendapatkan sesuatu yang akan berlaku.
c)        Al-nafi’ah iaitu segala sesuatu yang diinginkan bukan untuk zatnya tetapi alat untuk mewujudkan kebaikan itu.
(Miskawayh, 1961;80, & Zurayk, 1968;70).
Analisis juga menunjukkan bahawa kebaikan mutlak adalah kebaikan rohani.Kebaikan sementara dinamakan kebaikan nafsu syahwat.Sedangkan kebaikan yang disepakati manusia adalah kebaikan akal.Apabila kebaikan rohani selari dengan kebaikan akal maka melahirkan individu yang berakhlak mulia.
(d)               Ajaran Tentang Kesempurnaan (al-kamal)
Manusia dapat menentukan arah penciptaannya sebagai khalifah.Dengan kewujudan substansi inilah manusia dapat memperoleh tingkatan yang tinggi. Analisis interpretasi mendapati bahawa pembahasan Miskawayh dalam wacana kedua (al-makalah al-tsaniah) menyatakan:
Kesempurnaan manusia ada dua macam, kerana dua kekuatan yang dimilikinya: fakulti teoritikal (‘alimah) dan fakulti praktikal (‘amilah). Fakulti yang pertama manusia cenderung kepada berbagai macam ilmu dan pengetahuan dan yang satu lagi cenderung kepada mengatur perkara-perkara (Miskawayh, 1961;43).
Berdasarkan petikan di atas bahawa kesempurnaan manusia itu terdapat dalam dua perkara iaitu teoritikal (al-‘alimah) dan praktikal (al-‘amilah).Kesempurnaan teoritikal merupakan kecenderungan manusia yang berpunca kepada pelbagai ilmu dan pengetahuan.Manakala kesempurnaan praktikal adalah kecenderungan manusia dalam mengamalkan ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya secara bersepadu (Miskawayh, 1961;43, Ansari, 1964; 79& Zurayk, 1968;36).Interpretasinya kedua-dua kesempurnaan itu adalah berhujung pada sempurna rohaniuntuk memperoleh darjah yang tinggi dan mulia.
Majoriti manusia memikirkan tentang kesempurnaan dengan memperolehi kenikmatan deria yang berupa kenikmatan jasmani sebagai punca dari tujuan dan kebahagiaan terakhir.Padahal hakikat kesempurnaan manusia adalah kenikmatan spiritual (rohani) iaitu manusia meninggalkan kesenangan materi yang fana, demi mendapatkan kesenangan yang berkekalan.
Persamaan Dan Perbezaan Konsep Akhlak Dalam Aspek Rohani
Berdasarkan analisis perbandingan, kajian ini telah mengenalpasti pemikiran konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aspek rohanidaripada perspektif persamaan dan perbezaan. Analisis terhadap pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh merumuskan pandangannya tentang ajaran dan asas pembentukan akhlak dalam aspek rohani.
Pandangan al-Ghazali dan Miskawayh dalam ajaran keutamaan (al-fadhail)menunjukkan persamaan dari segi pengertian tentang kekuatan adil (al-quwwah al-‘adalah). Kedua-duanya berpandangan bahawa kekuatan adil dapat mengawal kekuatan lain sehingga terwujud keseimbangan dalam perilaku mahupun tindakan seseorang. Kekuatan adil melahirkan sikap yang selaras terhadap kesucian rohani dan keutamaan jiwa manusia.Perbuatan yang dilaksanakan dengan adil sesuai petunjuk syarak boleh meluruskan hubungan sesama manusia dan membentuk kebaikan yang sempurna. Justeru itu, terbentuklah hubungan akhlak yang adil terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, persekitaran dan akhlak terhadap Allah secara batiniah (rohani), sebagaimana pandangan Yusuf al-Qaradawi (1977) tentang kesyumulan etika Islam.
Dari segi persamaan pemikiran al-Ghazali dan Miskawayh dalam aspek rohani mendapatipula bahawa unsur jiwa (rohani) sebagai elemen pembentukan akhlak yang mengawal setiap kekuatan dalam jiwa. Aspek rohani merupakan sumber bagi ilmu dan mencari ilmu untuk menjadikan jiwa mulia.Sementara dari segi matlamat kedua-dua tokoh menekankan pembersihan jiwa dari kekotoran atau kerosakan jiwa.Begitupun dalam prinsip utama akhlak adalah untuk kebaikan dan kesempurnaan hakiki.
Sedangkan dari segi perbezaan konsep akhlak dalam aspek rohani bahawa pandangan al-Ghazali daripada unsur ruh dihuraikan secara ‘dalaman’ dan mendalam baik dari segi pengertian, sumber dan bahagiannya. Manakala Miskawayh hanya menghuraikan unsur ruh hanya dari segi hakikatnya sahaja.Al-Ghazali juga berpendapat bahawa jiwa dengan kuasa Allah dapat dihancurkan tetapi Allah tidak melakukannya.Sementara Miskawayh menyatakan bahawa jiwa tidak hancur apabila berpisah dengan jasad. Beliau juga menyebutkan bahawa dalam jiwa wujud penggerak kebaikan iaitu: Al-Syarifah (kebaikan), Al-Mamduhah (keutamaan), dan Al-Nafi’ah (manfaat). Berbeza dengan wujud penggerak yang disebutkan al-Ghazali, beliau menyebutkan penggerak kebaikan iaitu: al-Targhib dan al-Tarhib (Dorongan dan pencegah), Raja’ al-Mahmudah (Harapan pujian), dan Thalab al-Fadhilah wa Kamal al-Nafs (Keinginan mencapai keutamaan dan kesempurnaan jiwa).Penggerak kebaikan ini wujud dalam aspek rohani bagi mengawal kesucian akhlak batiniah secara berterusan.
Mengikut al-Ghazali pula bahawa jiwa rohani menjadi sempurna apabila mendapatkan lima kebajikan: kebajikan ukhrawiyah, kebajikan jiwa, kebajikan badaniyah, kebajikan urusan luar dan kebajikan taufiq dari-Nya. Sedangkan menurut Miskawayh bahawa kesempurnaan jiwa rohani diperoleh segi ilmu dan mengamalkan ilmu itu.Kesempurnaan jiwa adalah wujud dari ketenangan rohani bagi melahirkan akhlak batiniah yang mulia.
Prinsip akhlak adalah untuk kebaikan dan kesempurnaan hakiki.Justeru itu, aspek rohani sebagai penyeimbang kepada aspek emosi, intelek dan jasmanisesuai petunjuk syarak.Berdasarkan konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aspek rohani maka dirumuskan perkaitannya sebagai berikut:
Rajah 2
Hubungan aspek rohani

Analisis konsep akhlak dalam aspek rohani menunjukkan kesepaduan antara unsur-unsur dalam diri manusia.Berdasarkan rajah 2menunjukkan bahawa empat unsur tersebut berfungsi secara selaras dan sepadu dalam diri manusia untuk melahirkan kecerdasan rohani.Ruh dalam diri manusia berhubungkait kepada pembinaan aspek rohani untuk menyeimbangkan antara kekuatan ilmu, amarah dan nafsusyahwat.
Dari ketiga-tiga kekuatan itu, melahirkan kekuatan adil sebagai penyeimbang antara ketiga-tiganya.Adil bukanlah sebahagian daripada keutamaan bijaksana (hikmah), keutamaan berani (syajaah), keutamaan kawalan diri (iffah) tetapi adil merupakan keutamaan daripada seluruh keutamaan tersebut.Justeru itu, keutamaan adil merupakan kumpulan hukum-hukum syariat yang mulia, kesucian jiwa dan kemuliaan akhlak.
Penerapan konsep akhlak dalam aspek rohani terlebih dahulu mengukuhkan akhlak dalam aspek intelek, emosi dan jasmani sehingga elemen-elemen yang terdapat dalam jiwa dengan mudah boleh mengenal hakikat kerohanian.Substansi jiwa (rohani) sebagai sumber bagi ilmu dan mencari ilmu untuk menjadikan rohani suci dan mulia.Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran diberi tumpuan untuk menggariskan dan mencapai matlamat pembersihan rohani dari kekotoran atau kerosakan jiwa.
Al-Ghazali dan Miskawayh telah menggariskan bahagian yang terdapat dalam kekuatan adil.Penerapan konsep akhlak dalam aspek rohanimesti diambilkira dalam pengubalan sistem pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai matlamat dan prinsip keadilan yang benar.Mengajar, mendidik, membangun dan membina nilai-nilai akhlak bagi keadilan kepada jiwa individu, masyarakat dan yang paling utama adalah adil kepada hak-hak Allah.Pembinaan akhlak mestilah dengan pembiasaan, latihan dan amalan terhadap nilai-nilai tersebut secara kukuh untuk mencapai kebaikan dan kesempurnaan dalam aspek rohani sesuai dengan tujuan penciptaannya kembali kepada Allah dengan jiwa yang tenang (nafs al-muthmainnah).
Pembentukan dan pembinaan kekuatan adil (al-quwwah al-‘adalah) boleh mengawal kekuatan-kekuatan lain untuk membersihkan dan mensucikan aspek rohani.Keutamaan adil boleh mengawalselia kekuatan ilmu,kekuatan amarah dan kekuatan nafsu syahwat.Penerapan konsep akhlak dalam aspek rohani bertujuan mencapai kecerdasan rohani supaya boleh membezakan hak-hak kepada manusia dan hak kepada Allah s.w.t.
PERBINCANGAN DAN PENUTUP
Pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Islam telah mengetengahkan sama ada ilmu dunia atau akhirat tetapi juga mendapati pelbagai cabaran. Analisis perbincangan al-Ghazali dan Miskawayh tentang konsep akhlak bahawa kedua-dua tokoh menekankan tujuan akhir kehidupan manusia adalah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, oleh itu manusia mesti mempraktikkan amalan-amalan kebaikan untuk mencapai matlamat itu.
Manakala dari segi pembentukkan akhlak al-Ghazali dan Miskawayh sama-sama membincangkan tentang kebaikan (al-khair), keutamaan (al-fadhail), kebahagiaan (al-sa’adah) dan kesempurnaan (al-kamal).Keempat teori (ajaran) ini mesti diambilkira secara sepadu dan berterusan dalam mewujudkan pendidikan Islam yang berkesan.Analisis juga menunjukkan bahawa empat teori tersebut sangat berhubungkait dengan aspek rohani.Perbincangan al-Ghazali dan Miskawayh tidak menghuraikan secara spesifik tentang aspek rohani dalam ajaran kebaikan, keutamaan, kebahagiaan dan kesempurnaan.Justeru itu, secara tersirat perbincangan kedua-dua tokoh menunjukkan ajaran tentang akhlak untuk membentuk dan membina aspek rohani yang kukuh.
Penerapan konsep akhlak daripada pemikiran al-Ghazali dan Miskawayh tentunya mendapati cabaran yang besar apabila orang-orang Islam malas dan tidak mau mendidik diri dan keluarga untuk menuntut pengetahuan agama (ilmu fardhu ain).Sebab pengetahuan agama membentuk rohani dan daya fikir yang kukuh.Akal dan agama merupakan perkara yang selaras dalam pendidikan Islam.Al-Ghazali dan Miskawayh telah menekankan pembersihan jiwa untuk mencapai kesempurnaan rohani.
Kesimpulannya bahawa konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh mendapati bahawa secara umum mereka membincangkan tentang keutamaan, kebaikan, kebahagiaan dan kesempurnaan yang berhubungkait dengan aspek rohani.Persamaan pemikiran kedua-dua tokoh bahawa dalam jiwa insan terdapat kekuatan adilsebagai keseimbangan rohani yang mengawal kekuatan ilmu, amarah dan nafsu syawat. Sedangkan dari segi perbezaan, Al-Ghazali membincangkan tentang akhlak secara ‘dalaman’ dan mendalam dengan fungsi dan tugas setiap aspek.Sementara Ibn Miskawayh menjelaskan secara ‘luaran’ dan perilaku yang muncul dari aspek tersebut.

RUJUKAN
Abubakar Aceh.(1982). Sejarah Filsafat Islam. Jakarta: Ramadhani Sala.
Abdul Fatah Hasan.(1998). Pemikiran Keseluruhan Otak; dalam pengurusan pendidikan dan kaitannya dengan kecerdasan emosi.Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Abdul Khobir.(2007). Filsafat Pendidikan Islam Landasan Teoritis dan Praktis. Pekalongan: STAIN Press.
Abdul Rahman Md. Aroff. (1999). Pendidikan Moral: Teori Etika dan Amalan Moral. Selangor: Universiti Putra Malaysia.
Abd al-Latif Muhammad Abd.(1985). Akhlaq fi al-Islam.Kahirah: Maktabah Dar al-Thaum.
Aisyah Syati.(1969). Maqal fi al-Insan, Dirasah Qur’aniyah.Kairo: Darul Ma’arif. Terj.oleh Ali Zawawi (1999). Manusia Dalam Perspektif Al-Quran.Jakarta: Pustaka Firdaus.
Ali Abdul Halim Mahmud.(1995). Akhlak Mulia.Terj.oleh Abdul Hayyie al-Kattani et. al. (2004). Jakarta: Gema Insani Press.
Al-Ghazali.(t.t.).Ihya Ulum al-Din. Juz 5, Beirut, Libanon: Dar al-Ma’arif.
Al-Ghazali.(1967). Ihya ulum al-Din.Juz 1, Qahirah: Mu’assah al-Halabi wa Syarikah li al Nasyri wa at-Tauzi’.
Al-Ghazali.(1967). Ihya ulum al-Din.Juz 3, Qahirah: Mu’assah al-Halabi wa Syarikah li al Nasyri wa at-Tauzi’.
Al-Ghazali. (1964). Mizan al-Amal. Oleh Sulaiman Dunya. Kaherah: Dar al-Ma’arif.
Al-Ghazali. (1980). Ayyuha al-Walad al-Muhib. Oleh Abdullah Ahmad Abu Zinah. Dar al-Syuruq.
Anton Bakker & Achmad Charris Zubair. (1989). Metodologi Penelitian Filsafat.Yogyakarta: Kanisius.
Anderson, G. (1998). Fundamentals of Educational Research. New York: Falmer Press.
Asmawati Suhid.(2009). Pendidikan Akhlak dan Adab Islam Konsep dan Amalan.Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Azizah Zakaria. (2004). Penghayatan terhadap beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali: Kajian di kalangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Disertasi. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Franz Magnis Suseno. (1987). Etika Dasar: Masalah-Masalah Pokok Filsafat Moral, Yogyakarta: Kanisius.
Fuad Moh. Fachruddin. (1970). Dialektika Islam: Alam Pikiran Islam. Bandung: Diponegoro.
Harun Din.(2001). Manusia dan Islam.Jilid 2. Selangor Darul Ehsan: Dewan Pustaka dan Bahasa.
Ibn Miskawayh. (1398). Tadhib al-Akhlaq wa Tathhir al-A’raq. Beirut: Mansyurah Dar al-Maktabah al-Hayat.
Ibn Miskawayh. (1398). The Refinement of Character. Terj.oleh Constantine K. Zurayk (1968). Beirut: American University of Beirut.
Imran Effendy Hasibuan.(2003). Pemikiran Akhlak Syekh Abdurrahman Shiddiq al-Banjari. Pekanbaru: LPNU Press.
Kneller, G.F. (1971). Foundations of educations.New York: John Wiley and Sons, Inc.
Koetting, J. R., & Malisa, M. (2004).Philosophy, research, and education.In D. H. Jonassen (Ed.), Handbook ofresearch in educational communications and technology (2nd ed., pp. 1009-1020). Mahwah, NJ: Lawrence Erlbaum Associates.
M Abdul Haq Ansari. (1964). The Ethical Philosophy of Miskawaih. India: The Aligarh Muslim University Press.
Mustafa Dib Bugha.(1997). Nidham al-Islami fi al-‘Aqidah wa al-Akhlaq wa al-Tashri’.Damsyik: Dar al-Mustafa.
Mu’jam Wajiz. (2000).Mesir: Kementerian Pendidikan dan Pengajaran.
Mohd. Hussain Rusli. (2003). Pembangunan Insan: Kajian Perbandingan Antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun. Disertasi. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd Jais Anuar Bin Ahmad. (2003). Metod Pembinaan Sahsiah Diri: Satu Analisis Terhadap Pemikiran Falsafah Akhlak Ibn Miskawayh Menerusi Kitab Tahdhibul Al-Akhlaq. Disertasi. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd. Nasir Omar. (1986). Falsafah Etika: Perbandingan Pendekatan Islam dan Barat. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Perdana Menteri.
Muhammad Sayyed Naim.(1996). Fi al-Ilmi al-Akhlaq, Syirkah al-Tibaáh al-Fanniyah al-Muttahiddah.
Mohd.Sullah.(2010). Studi Komparasi Konsep Pendidikan Akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibnu Miskawaih.Kertas Projek.Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim. Malang.
Muhammad Wahyuni Nafis.(2006). Yakin Diri 9 Jalan Cerdas Emosi dan Cerdas Spiritual.Jakarta: Hikmah.
Miqdad Yaljan. (1973). Al-Ittijah al-Akhlaqi fi al-Islam, Kaherah: Maktabah al-Khanaji.
Sidi Gazalba.(1978). Ilmu Islam III. Kuala Lumpur: Offset Bumikita.
Wingo, M. (1974).Philosophy of education: An intoduction. Lexington, MA: D. C. Heath.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "JURNAL PERBANDINGAN PEMIKIRAN KONSEP AKHLAK FALSAFAH ISLAM DAN BARAT DALAM ASPEK ROHANI"

Posting Komentar