SHOPEE AFFILIATES

SHOPEE AFFILIATES
KLIK GAMBAR GABUNG SEKARANG JUGA

JURNAL PENDIDIKAN HOLISTIK


PENDIDIKAN HOLISTIK MENURUT PERSPEKTIF AL-GHAZALI DAN IBN MISKAWAYH

Wan Hasmah Wan Mamat
Zulfahmi

Email:

Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
Kuala Lumpur, Malaysia

Abstrak
Pendidikan holistik merupakan suatu falsafah pendidikan yang memberi penekanan kepada individu untuk berusaha mendapatkan identiti, makna dan matlamat hidup melalui hubungan dengan masyarakat, persekitaran dan nilai-nilai spiritual. Oleh itu, kajian ini bertujuan melihat pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh secara holistik berkaitanmatlamat dan amalan pendidikan. Kajian ini juga menganalisa persamaan dan perbezaan kedua-dua pemikiran dalam segala aspek sebagai tumpuan pendidikan holistik. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini adalah pendekatan inkuiri melalui analisis falsafah menggunakan analisis interpretasi, induktif-deduktif dan perbandingan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara umum al-Ghazali dan Ibn Miskawayh menggariskan matlamat pendidikan holistik. Mengikut kedua-duanya bahawa dalam mendidik harus berteraskan matlamat kebahagiaan (al-sa’adah) di dunia dan akhirat, keutamaan (al-fadhail) dari segi akhlak, kebaikan (al-khairat) dalam setiap amalan dan kesempurnaan (al-kamal) dalam pencapaian. Namun, kedua-dua pemikiran mempunyai persamaan dan perbezaan yang ketara. Kedua-dua tokoh memandang bahawa pendidikan bagi jiwa insan mesti mengawal dan menekankan kuasa ilmu, kuasa amarah, kuasa nafsu dan kuasa adil. Secara holistik kuasa itu berhubungkait dengan aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani. Sedangkan dari segi perbezaan, Al-Ghazali membincangkan keempat-empat kuasa tersebut secara ‘dalaman’ dan mendalam dengan fungsi dan tugasnya. Sementara Ibn Miskawayh menjelaskan secara ‘luaran’ dan perilaku yang muncul dari kuasa tersebut. Berdasarkan perbandingan pemikiran kedua-dua tokoh ini, model pendidikan holistik berteraskan kuasa ilmuuntuk melahirkan kebijaksanaan (hikmah), kuasa amarahuntuk mengawal keberanian (syaja’ah), kuasa nafsuuntuk mengawal diri (iffah) dan kuasa adiluntuk keseimbangan (‘adl) antara hubungan vertikal dengan Tuhan dan hubungan horizontal dengan makhluk. Berdasarkan analisis, satu model cadangan pendidikan holistik boleh diimplementasikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kata kunci: Pendidikan holistik, al-Ghazali, Miskawayh, Matlamat




PENDAHULUAN
Melalui pendidikan manusia dapat mempelajari semua konsep dan pelbagai aspek dalam kehidupan demi menjaga hidup manusia. Manusia boleh membentuk satu tamadun yang stabil dan sempurna melalui pendidikan holistik yang bertumpu pada akhlak mulia. Sejarah telah menyaksikan bahawa antara sebab yang membawa kemusnahan dan kehancuran sesuatu bangsa ialah akibat daripada kerakusan manusia dan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan serta akhlak dalam kehidupan (Asmawati Suhid, 2009). Ianya menjadi satu idea pemikiran bahawa pendidikan perlu sepanjang kehidupan manusia agar tamadun dapat menjaga kelestarian moral dan akhlak manusia seutuhnya. Pada hakikatnya pandangan tentang akhlak (Sembodo Ardi Widodo, 2003), tidak terhad pada susunan hubungan manusia dengan manusia lainnya, tetapi ianya mengawal hubungan manusia dengan segala perkara yang terkandung dalam kehidupan dan lebih dalam lagi mengatur hubungan antara manusia dengan Tuhannya.
Pendidikan sebenarnya bersifat holistik iaitu memberi penekanan kepada tiga domain utama iaitu kognitif, afektif dan psikomotor (Muhamad Suhaimi Taat, 2012). Beliau menekankan tidak semua manusia yang berjaya atau boleh dikatakan sangat berjaya dalam karier yang diceburi dalam hidup ini bergantung pada keupayaan kognitif semata. Jika dilihat orang-orang yang berjaya samada di dalam atau di luar Negara, ramai yang berjaya adalah mereka yang hebat dari aspek afektif dan psikomotornya. Sebagai contoh seperti ahli muzik, ahli sukan dan pelbagai ahli dalam bidang-bidang yang tidak terlalu menekankan kepada aspek kognitif.
Tumpuan kognitif, afektif dan psikomotor adalah pada akhlak yang tidak boleh dipisahkan dari ajaran Islam namun dalam pelaksanaan pendidikan harus diarahkan untuk membina tingkah laku yang luhur dan membina moral bangsa. Pandangan ini dikukuhkan oleh Al-Jamil (1992), yang mengatakan “Islam mengajarkan kehidupan yang dinamik dan progresif, menghargai akal fikiran melalui pengembangan ilmu pengetahuan, bersikap seimbang dalam memenuhi kebutuhan jasmani dan rohani, sentiasa mengembangkan kepedulian sosial, berakhlak mulia dan sikap-sikap positif yang lainnya” (hlm. 11-12). Namun, dalam amalan umat Islam hanya berlaku untuk membayar kewajiban dan menjadi simbol ketaqwaan. Implikasi daripada ibadah yang bertujuan untuk kepedulian sosial kurang diberi penekanan. Dalam pandangan Fadlil Yani Ainusyam (2007), kalangan masyarakat telah salah memahami simbol-simbol agama, agama lebih dimaknai sebagai penyelamat dalam konteks individu dan bukan penyelamat dalam konteks sosial. Perkembangan pendidikan harus selari dengan keperluan semasa samada keperluan beragama ataupun keperluan untuk hidup.
Dalam era globalisasi sekarang ini terjadi pelbagai isu akhlak dan moral dalam semua kalangan masyarakat (Ismail Ibrahim, 1996). Menurut beliau isu peradaban dan akhlak tidaklah merupakan persoalan dalam kalangan remaja sahaja, persoalan ini sebenarnya merupakan persoalan yang menyeluruh yang melibatkan hampir semua golongan masyarakat. Media yang begitu jelas memaparkan berita tentang rasuah, kecurian, jenayah seksual, salah laku pendidik dan pelajar di sekolah-sekolah yang berlaku di Malaysia, Indonesia dan negara Islam yang lain. Menurut Imran Effendy (2003) agama, institusi pendidikan dan persekitaran adalah memainkan peranan yang penting bagi mengatasi persoalan dan isu akhlak yang meresahkan semua pihak.
Huraian di atas menjadi suatu pemikiran yang mesti dibincangkan untuk perkembangan ilmu dan mencari jalan yang sesuai dengan perkembangan manusia dalam era globalisasi yang sangat berpengaruh kepada tingkah laku, etika dan akhlak. Tingkah laku, etika dan akhlak pada amnya adalah sebagai modal dalam pembangunan moral bangsa. Justeru, pendidikan memainkan peranan sebagai jatidiri menunjukkan peribadi yang mulia dalam erti sebenarnya. Perbincangan di atas menjelaskan bahawa sejak awal peradaban Islam mahupun peradaban manusia sehingga sekarang persoalan dan isu pendidikan terus dibincangkan dari semasa ke semasa. Oleh itu kajian ini juga berhasrat mengkaji pemikiran ahli-ahli falsafah mengenai pendidikan holistik untuk mencapai maklumat yang sesuai dengan isu-isu semasa.

PERNYATAAN MASALAH
Perbincangan di atas menunjukkan pentingnya pendidikanholistik dalam pembinaan modal insan. Oleh itu, kajianinicoba meneroka, membandingkan dan menganalisa pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan holistik. Perbandingan tersebut mengambil kira asas falsafah dari segi matlamat dan konsep pendidikan. Oleh itu kefahaman terhadap kedua tokoh dalam pendidikan harus benar-benar difahami. Sepertimana penekanan Anderson (1998), untuk mengembangkan kefahaman pendidikan iaitu dengan menjelaskan konsep pendidikan, kepercayaan, pendapat dan andaian. Contoh, analisis falsafah pendidikan mencuba untuk memahami soalan-soalan seperti: apakah konsep pendidikan? Bagaimana matlamat yang ingin dicapai dalam pendidikan? Apakah persamaan konsep pendidikan daripada pandangan mereka? Apakah perbezaan konsep itu pula? Dari soalan-soalan tersebut dapat dilihat persamaan dan perbezaan pemikiran tentang konsep akhlak yang dibincangkan oleh al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Pelbagai kajian yang telah dijalankan antara pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh. Azizah Zakaria (2004) mengkaji tentang beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali. Dalam kajiannya itu beliau merumuskan bahawa etika al-Ghazali adalah suatu etika yang menyeluruh. Tumpuan kajian Azizah hanya kepada etika al-Ghazali dalam aspek keilmuan (intelek) tanpa menyentuh aspek yang lain. Mohd Rusli Hussain (2003) pula mengkaji perbandingan pemikiran antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun dari segi pembangunan insan secara terperinci. Beliau menyimpulkan bahawa al-Ghazali telah membincangkan pembangunan aspek dalaman amat sesuai untuk dijadikan sebagai asas yang penting dalam merangka dan menjalankan program pembangunan insan dari pelbagai aspek seperti aspek rohani, hati, jiwa dan akal. Kekurangan dan kelemahan al-Ghazali berbanding Ibn Khaldun dalam mengaitkan manusia dengan unsur luaran. Bagaimana persamaan dan perbezaan itu boleh berlaku? Apakah punca persamaan dan perbezaan itu? Apakah persamaan dan perbezaan juga berlaku dalam pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh?
Pemikiran falsafah akhlak Ibn Miskawayh dibincangkan oleh Mohd Jais Anuar Ahmad (2003). Beliau membincangkan tentang pemikiran Ibn Miskawayh mengenai ketokohannya dalam menghuraikan falsafah akhlak secara terperinci. Pemikiran falsafah akhlak telah dicorakkan melalui gabungan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang pernah beliau lalui. Selain itu, terdapat juga kajian yang dilakukan oleh Mohd Sullah (2010), yang membandingkan konsep pendidikan akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibn Miskawayh yang memfokuskan kepada pendidikan akhlak dari aspek karya, hakikat manusia dan konsep pendidikan akhlak daripada kedua-dua tokoh.
Perbincangan terhadap beberapa kajian yang telah dijalankan di atas terlihat jelas bahawa al-Ghazali dan Ibn Miskawayh adalah dua ahli falsafah yang kerap membincangkan tentang pendidikan dalam pelbagai perspektif. Abubakar Aceh (1982) dalam Sejarah Filsafat Islam mengkategorikan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aliran moral dan akhlak. Oleh itu, kedua-dua pemikiran dikaji dari segi pendidikan holistik dalam beberapa aspek kajian iaitu intelek, emosi, jasmani dan rohani.

OBJEKTIF DAN PERSOALAN KAJIAN
Berdasarkan pernyataan masalah yang dikemukakan di atas, maka kajian ini dijalankan untuk mencapai objektif berikut:
1.      Meneroka pendidikan holistik menurut perspektif al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
2.      Menganalisa persamaan dan perbezaan pendidikan holistik menurut al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Persoalan kajian
1.      Apakah pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan holistik?
2.      Apakah persamaan dan perbezaan pendidikan holistik menurut al-Ghazali dan Ibn Miskawayh?


METODOLOGI
Penyelidikan ini menggunapakai pendekatan inkuiri dengan kaedah analisis falsafah (Kneller, 1971; Wingo, 1974; Anderson, 1998; Koetting & Malisa, 2004; & Abdul Khobir; 2007). Analisis terhadap pemikiran kedua-dua tokoh menggunakan analisis falsafah dengan mengikuti tiga kaedah analisis: interpretasi, induktif dan deduktif, serta perbandingan(Anton Bakker & Achmad Charris Zubair, 1989).
Interpretasi dijalankan untuk mendapatkan konsep dan maklumat yang dimaksudkan oleh kedua tokoh tentang pendidikan holistik. Hasil interpretasi dirumuskan secara induktif dan deduktif bagi memperjelas fikiran utama yang ingin dicapai. Analisis induktif dan deduktif pula diketengahkan secara perbandingan bagi merumuskan pandangan kedua-duanya dalam pendidikan holistik.
Data kajian tentang pemikiran al-Ghazali hanya melibatkan kepada tiga karya beliau yang berkaitan dengan pendidikan iaitu Ihya’ Ulum al-Din, Ayyuha al-Walad, dan Mizan al-Amal. Manakala pemikiran Ibn Miskawayh merujuk kepada salah satu karangannya iaitu Tahdhib al-Akhlaq dan dua buku karangan sarjana awal tentang Miskawayh iaitu The Refinement of Character dan The Ethical Philosophy of Miskawayh.Apa-apa yang terkandung di dalam karya tersebut yang berkaitan dengan pendidikan holistik dianalisis secara mendalam.
Setiap isi kandungan dikaji berdasarkan unsur yang terkandung dalam senarai semak. Senarai ini merupakan instrumen utama yang menjadi pedoman dalam menjalankan proses penganalisisan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh. Unsur yang terkandung dalam senarai semak sebagai berikut:
1.      Aql (akal)
2.      Nafs (jiwa)
3.      Qalb (hati)
4.      Roh (ruh)
Semua unsur tersebut berkaitan dengan proses pendidikan dan sebagai pedoman untuk mengkategorikan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan holistik.

DAPATAN KAJIAN
Biografi al-Ghazali
Al-Ghazali dengan nama lengkapnya ialah Abu Hamid bin Muhamad bin Ahmad al-Ghazali at-Thusi telah dilahirkan pada pertengahan abad kelima Hijrah (450 H/1059 M) di daerah Thus di negeri Khurasan (A Hanafi, 1969; Osman Khalid, 1993). Bapanya tergolong orang yang sangat sederhana sebagai pemintal benang, tetapi mempunyai semangat agama yang tinggi dan mengharapkan anaknya menjadi ulama yang selalu memberi nasehat kepada umat. Mengikut setengah riwayat namanya disebut sebagai ‘al-Ghazzali’ yang dikaitkan dengan pekerjaan bapanya sebagai pemintal benang (A Hanafi, 1969; Osman Khalid, 1993; Hasyimsyah Nasution 1999). Penisbahan namaal-Ghazali terdapat dua pendapat iaitu al-Ghazali dengan menggunakan satu huruf zdinisbahkan kepada tempat kelahirannya, sedangkan al-Ghazali dengan menggunakan dua huruf z dinisbahkan dengan pekerjaan ibu bapanya sebagai pemintal wol. Kerana itu sebutan ‘al-Ghazzali’ adalah panggilan penduduk Khurasan kepadanya (Abdul Kholid, et al. 1999).
Al-Syami daripada Basri Ibrahim (2001) dan A Hanafi (1969) berpandangan bahawa al-Ghazali telah menulis puluhan buku yang diperkirakan mencapai 300 buku yang meliputi pelbagai bidang ilmu, antaranya: Teologi (Ilmu Kalam), Hukum Islam (Fiqh), Tasawuf, Tafsir, Akhlak dan lain-lain. Karya-karya besar al-Ghazali dapat dilihat seperti: Maqasid al-Falasifah (tujuan-tujuan para failasuf), Tahafut al-Falasifah(kekacauan fikiran para failasuf), Mi’yar al-Ilm (kriteria ilmu), Ihya Ulum al-Din (menghidupkan ilmu-ilmu agama), Al-Munqidz min al-Dhalal(penyelamat dari kesesatan), Ayyuha al-Walad (wahai anak), Mizan al-Amal (timbangan amal), Misykat al-Anwar (lampu yang bersinar banyak) dan banyak lagi yang lain. Sebahagian besar buku-bukunya itu ditulis dalam bahasa Arab dan yang lainnya ditulis dalam bahasa Parsi. Oleh itu, kerana keluasan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki al-Ghazali (dlm. M Syarif, 1994), beliau diisytiharkan sebagai Bukti Islam (hujjah al-Islam), Perhiasan Agama (zain al-din) dan mujaddid.
Biografi Ibn Miskawayh
Nama lengkapnya adalah Abu Ali Ahmad bin Muhammad Ya’kub Miskawayh (Ansari, 1964). Beliau berkata bahawa Ibn Miskawayh hidup dalam period sejarah Islam yang bercirikan aktiviti cergas, saintifik, pencapaian intelek yang besar dan pelbagai penciptaan sastera briliant. Di pihak lain terjadinya krisis ekonomi, perpecahan politik dan perilaku sosial serta moral yang terjejas. Keadaan di atas mengikut Ansari (1964) bahawa moral mempunyai dua sumber inspirasi. Satu adalah luaran yang berasal dari keadaan sosial dan ekonomi. Kedua adalah dalaman yang terletak dalam ideologi asas dan agama. Setakat sebagai tafsiran intelektual Al-Quran dan Hadith, penggubalan peraturan yang mengawal kehidupan biasa dan pembangunan sains lain.
Ibn Miskawayh lahir pada tahun 325 H/936 M di Ray, Persia dan wafat di Asfahan 421 H/1030 M (Ansari, 1964; Hasyimsyah Nasution, 1999; Abuddin Nata, 2003; Sirajuddin Zar, 2007). Pendidikan dan kehidupan awal Miskawayh hanya melihat kenikmatan harga diri kaum bandar. Bapanya tidak memberi perhatian yang lebih kepada pendidikan dan latihan anaknya itu. Bapanya meninggal manakala Miskawayh masih muda, akibatnya dia telah ditinggal sepenuhnya dalam penjagaan dan pengawasan ibunya. Kerugian tidak boleh diperbaiki bapanya cacat perkembangan moral, dia menguncup tabiat jahat sezaman dengan beliau, tabiat ini yang tidak diinginkan oleh Miskawayh (Ansari, 1994). Perkiraan Ansari (1994) mungkin ibunya yang membantu Miskawayh untuk melengkapkan pendidikan peringkat pertama. Hari-harinya Miskawayh seperti biasa mempelajari al-Quran, tatabahasa, sastera, tradisi, fiqh, sejarah, khususnya mempelajari bahasa Arab, aritmetik dan geomatry rendah. Oleh itu, Miskawayh tidak menemukan kesulitan menyelesaikan pendidikannya sebagai subjek ini dalam kelas di masjid dan di rumah golongan bangsawan.
Karya-karya Miskawayh itu membuatnya dikenali sebagai pemikir Islam yang produktif. Beliau telah menghasilkan banyak kertas kerja, tetapi hanya sebahagian kecil yang masih ada, seperti al-Fauz al-Akbar (kemenangan besar), al-Fauz al-Asgar (kemenangan kecil), Tajarib al-Umam (pengalaman bangsa-bangsa; sejarah banjir besar bertulis 368 H/979 M), Uns al-Farid (Keseronokan tolok bandingan; koleksi anekdot, puisi, peribahasa, dan aforisme), Tartib as-Sa’adah (mengenai akhlak dan politik), al-Mustafa (yang dipilih; pemilihan puisi), Jawidan Khirad (Koleksi pepatah), al-Jami’(tentang jamaah), as-Siyar (tentang peraturan hidup), Kitab al-Asyribah (minuman) dan Tahdhib al-Akhlaq (pembinaan akhlak). (M Syarif, 1994; Hasyimsyah Nasution, 1999; Ensiklopedi Islam, 2005).
Matlamat Pendidikan Menurut al-Ghazali dan Ibn Miskawayh
Apabila menelaah matlamat pendidikan dalam kehidupan, yang menjadi objek adalah manusia itu sendiri iaitu perilaku dan tingkah laku manusia. Matlamat pendidikan selaras dengan matlamat hidup manusia dalam membina tamadun bangsanya. Berdasarkan analisis falsafah menunjukkan bahawa al-Ghazali menggariskan seorang yang menuntut ilmu hendaklah mencari keutamaan jiwa dan kebahagiaan dunia dan akhirat (al-Ghazali, 1980;22-23, 1964; 180). Keutamaan jiwa adalah matlamat pendidikan dalam aspek rohani dan jasmani sedangkan kebahagiaan dunia dan akhirat adalah matlamat pendidikan secara holistik. Ilmu harus bermanfaat bagi kehidupan dunia, jangan sampai manusia menjadiseperti sabda Rasulullah dalam sebuah hadith:
Manusia yang paling dahsyat menerima seksaan pada hari kiamat adalah orang yang berilmu tetapi tidak diberikan manfaatnya oleh Allah dengan ilmunya itu (Riwayat Muslim).
Sebahagian ahli pendidikan Islam berpendapat akhlak adalah hasil dari pendidikan dan ada juga yang berpendapat akhlak merupakan matlamat yang ingin dicapai melalui pendidikan. Matlamat yang ingin dicapai dalam pembentukan akhlak adalah pembersihan jiwa dari kekotoran jiwa (al-Ghazali, 1967;12). Prinsipnya bahawa matlamat pendidikan secara holistik adalah membersihkan jiwa dari segala yang dapat mengotori jiwa samada mengerjakan perbuatan yang baik dan menjauhi perbuatan yang buruk.
Ibn Miskawayh merupakan seorang pengarang yang telah mempersembahkan kitab terawal dalam falsafah akhlak dalam bentuk yang sistematik (Dwight, 1953; ix). Bahkan beliau memberikan pujian kepada Miskawayh sebagaimana yang tertulis: “This is the most important book on philosophical ethics in Muslim literature” (Dwight, 1953; 122). Analisis interpretasi menunjukkan bahawa Miskawayh telah menggariskan metod-metod yang konsisten dalam merealisasikan matlamat pendidikan. Bukan sahaja merumuskan teori dan praktikal tetapi telah meletakkan kedua-dua unsur tersebut sebagai suatu cabang disiplin ilmu.
Pendedahan pemikiran dalam pendidikan oleh Ibn Miskawayh bermula dengan perbincangan manusia dan jiwanya. Kerana menurut Miskawayh jalan untuk mencapai kesempurnaan ialah dengan mengenal jiwa. Miskawayh menyebutkan bahawa jiwa mempunyai tiga kuasaiaitu kuasa berfikir (al-quwwah al-natiqah) yang berpusat pada organ tubuh yang disebut otak. Kuasa nafsu syahwat (al-quwwah al-syahwiyyah) disebut sebagai kuasa binatang dan organ tubuh yang digunakannya disebut hati. Kuasa amarah (al-quwwah al-ghadhbiyyah) yang disebut kuasa binatang buas dan organ tubuh yang digunakannya disebut jantung (Miskawayh, 1961;19, Zurayk, 1968;15, & Ansari, 1964;87). Analisis berdasarkan senarai semak bahawa ketiga-tiga kuasa tersebut berkait erat dengan pendidikan holistik iaitu mencakup aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani.
Merujuk dalam Ihya’ Ulum al-Dinbahawa al-Ghazali (1967;63-68) menerangkan dua akhlak, akhlak yang baik dan buruk. Akhlak yang baik, yang mana Rasulullah sebagai teladan yang paling utama. Baginda menunjukkan jalan agama yang lurus sebagai buah dari perjuangan ketaqwaan dan latihan bagi hamba-hamba Allah. Akhlak yang buruk yang dapat merosak hati dan menyakiti jiwa. Individu yang tahu tujuan hidupnya, maka dia memfokuskan diri pada matlamat itu sehingga dia mencapainya, Miskawayh menamakannya dengan ‘orang yang baik dan bahagia’. Sebaliknya individu yang menjejaskan diri dari matlamat hidupnya maka dia disebut sebagai ‘orang yang keji dan sengsara’ (Miskawayh, 1961; 14 & Zurayk, 1968; 11).
Dalam pendidikan holistik mesti diberi tumpuan untuk mencapai akhlak yang baik dan mengelak akhlak yang buruk sebagai matlamat utama. Kerana kedua-duanya wujud dalam keadaan zahir dan batin kerana manusia terdiri dari jasad yang dapat dilihat dengan mata dan manusia juga dari ruh dan nafs yang boleh dilihat dengan mata hati. Pengertian tersebut diperkukuhkan oleh Osman (2000) dan Harun Din (2001), mereka menjelaskan akhlak iaitu sebagai kebaikan bentuk rupa dan kebaikan akhlak. Kebaikan bentuk rupa merupakan keindahan zahir yang bersifat luaran. Sedangkan kebaikan akhlak adalah keindahan batin yang bersifat dalaman.
Matlamat tersebut amat berharga dan merupakan nilai-nilai murni yang sejajar dengan hakikat dan ciri kemanusiaan yang menjadi subjek kekhalifahan.Al-Ghazali dan Ibn Miskawayh menekankanbahawa matlamat pendidikan adalah untuk membentuk generasi yang berakhlak mulia danmempunyai jiwa yang bersih secara menyeluruh (holistik). Pendidikan akhlak menekankan prinsip-prinsip moral Islam kerana menurut Syed Ali Ashraf (1992;156), “moral education is intrinsically bound to religious assumptions”. Dengan berorientasikan prinsip-prinsip moral Islam, pendidik berusaha membentuk anak didik dengan persiapan moral supaya mereka berkomitmen dengan akhlak Islam dimana sahaja mereka berada.
Berdasarkan huraian di atas menunjukkan pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dari segi matlamat pendidikan adalah berteraskan kesepaduan aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani. Selain matlamat pendidikandari segi akhlak, analisis juga menunjukkan beberapa pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam ajaran dan asas pembentukan akhlak sebagai matlamat utama pendidikan holistik.
Ajaran Tentang Kebahagiaan (al-sa’adah)
Dalam membicarakan tentang kebahagiaan al-Ghazali (1964) berpandangan bahawa manusia dapat memperoleh kebahagiaan yang kekal tanpa ada kehancuran, kelazatan tanpa kesulitan, kegembiraan tanpa kesusahan, kekayaan tanpa kefakiran, kesempurnaan tanpa cacat, kemuliaan tanpa kehinaan iaitu dengan mencari kebahagiaan akhirat. Sementara Ibn Miskawayh menyatakan Kebahagiaan adalah kebaikan yang berhubungkait dengan seseorang atau orang lain, bersifat relatif dan tak pasti. Berbeza mengikut orang yang mengusahakannya, tetapi kebaikan mutlak tidak ada perbezaannya (Miskawayh, 1961; 78, Ansari, 1964; 70, & Zurayk, 1968; 69).
Al-Ghazali menekankan bahawa individu yang kurang sempurna akalnya telah memutuskan untuk menempuh jalan sempurna tetapi kerana kebodohan mengakibatkan ia lemah mencari kebahagiaan. Ibn Miskawayh juga memberi penekanan bahawa kebahagiaan sangat bergantung kepada usaha individu, ertinya kebahagiaan yang dirasakan seseorang dengan orang lain adalah berbeza mengikut usahanya. Kedua-duanya melihat kebahagiaan tergantung kepada usaha masing-masing individu. Interpretasinya bahawa usaha sebagai salah satu proses pendidikan holistik untuk mencapai matlamat kebahagiaan.
Berdasarkan analisis senarai semak didapati bahawa akal yang tidak sempurna menunjukkan intelek yang tidak sihat, sehingga ia tidak berkemampuan untuk berfikir mencari kebahagiaan. Mengikut Abdul Fatah (1998), unsur intelek yang cerdas otaknya, tunduk beramal untuk akhirat, sedangkan unsur intelek yang lemah otaknya, suka mengikuti perkara-perkara yang tercela. Kesenangan yang didapati di dunia adalah sementara waktu. Namun, kenikmatan akhirat adalah bentuk kebahagiaan yang kekal.
Al-Ghazali (1964) menggariskan empat golongan manusia dalam menghadapi akhirat: Pertama, golongan orang-orang yang berkeyakinan adanya padang mahsyar, syurga dan neraka. Kedua, golongan teologi Islam daripada ahli falsafah yang berkeyakinan realiti kelazatan adalah tidak wujud kecuali boleh dikesan wujud benda yang nyata. Ketiga, golongan yang mengingkari adanya kelazatan yang dapat dirasai oleh deria samada dengan jalan yang nyata atau jalan khayalan. Keempat, golongan majoriti orang-orang hodoh dan kurang akal serta tidak tergolong dalam kelompok orang-orang yang berfikir (1964; 182-185).
Secara induktif dan deduktif empat golongan ini adalah objek pendidikan untuk memberikan tumpuan fikiran pada matlamat akhir iaitu alam akhirat (rohani). Justeru itu pendidikan holistik mesti mengambil kiraaspek rohani dalam bentuk dan pemahaman yang mantap untuk mencapai kebahagiaan. Sebagaimana pernyataan al-Ghazali bahawa usaha yang sungguh-sungguh (mujahadah) merupakan usaha mengubati jiwa (rohani) dengan tujuan membersihkannya untuk memperolehi kebahagiaan (sa’adah). Justeru itu, yang menolong untuk mencapai kebahagiaan adalah ‘amal sholeh’ (al-Ghazali, 1964; 196). Tumpuan aspek rohani dalam ajaran kebahagiaan mengikut al-Ghazali adalah pada kesucian jiwa sehingga membentuk akhlak batiniah yang mulia.
Berdasarkan Analisis didapati bahawa Miskawayh dalam merumuskan lima kebahagiaan: Pertama, kebahagiaan yang terdapat pada kondisi sihat badan dan kelembutan deria. Kedua, kebahagiaan yang terdapat pada pemilik keberuntungan, sahabat dan yang sejenisnya. Ketiga, kebahagiaan kerana termasyhur di kalangan orang-orang yang memiliki keutamaan dan sentiasa berbuat kebajikan. Keempat, kebahagiaan yang ada pada seseorang yang sukses dan mewujudkan semua cita-citanya dengan sempurna. Kelima, kebahagiaan dapat diperoleh apabila seseorang cerdas dan cermat dalam berfikir dan memberikan pendapat serta lurus keyakinannya. (Miskawayh, 1961;83, Ansari, 1964;72, & Zurayk, 1968;72).
Kelima-lima golongan di atas adalah wujud matlamat pendidikan secara menyeluruh dalam aspek jasmani,emosi, rohani dan intelek berasaskan petunjuk agama. Aspek jasmani diperkukuhkan oleh Ibn Sina (980-1037M) bahawa dalam jiwa manusia terdapat jiwa haiwan yang menyerap melalui lima deria sehingga dapat memperoleh kebahagiaan. Aspek emosi dan rohani sebagai keseimbangan dalam berbuat keutamaan dan kebajikan. Manakala aspek intelek mengikut M Abduh (dlm. Ali Zawawi, 1999) adalah potensi yang membezakan manusia dari makhluk-makhluk lainnya. Sehinggalah cita-citanya dapat diwujudkan dengan keyakinan dan sempurna.
Ajaran Tentang Keutamaan (al-fadhail)
Kebahagiaan dapat dicapai dengan mensucikan jiwa dan menyempurnakannya. Manakala menyempurnakan jiwa mestilah dengan usaha untuk mencapai seluruh keutamaan. Al-Ghazali dan Ibn Miskawayh mengemukakan keutamaan yang penting menerusi akhlak, yang dirumuskan dalam empat kuasa atau kekuatan asas.
Kuasa pertama adalah kuasa berfikir (rasional), Miskawayh menyatakan apabila aktiviti jiwa berfikir tetap pada laluannya dan mencari pengetahuan yang benar maka jiwa berfikir dapat mencapai keutamaan sikap bijaksana (al-hikmah) (Miskawayh, 1961; 20, Ansari, 1964; 88 & Zurayk, 1968; 15). Kebijaksanaan (hikmah) adalah kebaikan ilmu tercapai melalui kuasanya untuk mengetahui dan membezakan antara dua perkara, seperti benar dan bohong dalam perkataan (al-Ghazali, 1964; 233, 1967; 69). Beliau menekankan kekuatan ini sebagai punca akhlak yang baik. Interpretasi dari kedua-dua pemikiran bahawa matlamat pendidikan holistik memberi tumpuan dalam aspek intelek adalah keutamaan untuk mencapai kebijaksanaan (hikmah).
Analisis intepretasi juga menunjukkan bahawa al-Ghazali dan Ibn Miskawayh menyatakan dalam diri individu terdapat kuasa amarah. Ibn Miskawayh merumuskan apabila aktiviti kuasa amarah mematuhi arahan kuasa berfikir dan tidak bangkit pada masa yang tidak sesuai atau terlalu bergelora, maka akan mencapai keutamaan sikap berani (al-syaja’ah) (Miskawayh, 1961; 20, Ansari, 1964; 88 & Zurayk, 1968; 15). Al-Ghazali berpandangan bahawa keberanian (al-syaja’ah) adalah keutamaan dari kuasa amarah. Kebaikan amarah ialah apabila mengecut dan mengembang selaras dengan kehendak hikmah. Kebolehan mengurus amarah dikatakan baik dan berani. Apabila amarah melampaui had dikatakan pengacau, tetapi apabila amarah itu lemah dikatakan penakut (al-Ghazali, 1964; 266, 1967; 69).
Matlamat pendidikan holistik berasaskan kuasa amarah adalah keutamaan dalam menguruskan emosi agar tidak melampau dan bersikap berani sesuai dengan petunjuk syarak. Mengikut Muhammad Wahyuni Nafis (2006) bahawa aspek emosi dicetuskan oleh fikiran rasional dan akal dapat membaca realiti emosi serta membuat penilaian secara naluri terhadap realiti emosi. Pendapat ini selari dengan pandangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh.
Selain dua kuasa di atas, terdapat kuasa nafsu dalam jiwa manusia. Miskawayh menjelaskan apabila aktiviti jiwa haiwan dikendalikan oleh jiwa berfikir, tidak berlawanan dengannya dan tidak lemah dalam melawan kehendak hawa nafsu maka jiwa berfikir akan mencapai keutamaan kawalan diri (al-iffah) (Miskawayh, 1961;20, Ansari, 1964;88, & Zurayk, 1968;15). Kebaikannya apabila berada di bawah arahan hikmah. Kebolehan mengurus nafsu dikatakan baik dan suci. Apabila nafsu melampau dikatakan jahat, tetapi jika nafsu kurang (lemah) dikatakan beku (al-Ghazali, 1964;269, 1967;80).
Mengikut Ibn Sina (980-1037M) dalam Harun Nasution (1979), berdasarkan analisis senarai semak aspek jasmani, bahawa dalam jiwa (nafs) terdapat jiwa tumbuhan yang memiliki tiga daya: daya makan, daya tumbuh, dan daya membiak serta jiwa haiwan yang memiliki daya penggerak dan daya menyerap. Pendapat ini juga diperkukuh oleh Muhammad Wahyuni Nafis (2006), apabila jiwa tumbuhan seimbang maka memberikan kehidupan yang sihat dan kekuatan tubuh yang cemerlang. Sebaliknya apabila jiwa tumbuhan tidak seimbang maka dapat melahirkan sifat hiperaktif dan rasa malas yang luar biasa. Intinya matlamat yang harus dicapai dalam pendidikan holistik adalah keutamaan dalam mengawal aspek jasmani agar tetap sihat (baik & suci) secara lahiriyah dan batiniyah.
Berasaskan ketiga-tiga kuasa tersebut dan hubungkait antaranya sehingga wujud kuasa adil yang menyempurnakannya iaitu keutamaan sifat adil (al-adl) (Miskawayh, 1961; 20, Ansari, 1964; 88 & Zurayk, 1968; 16). Kuasa adil sebagai titik tengah untuk menjaga keseimbangan antara seluruh keutamaan. Kuasa adil mengawalselia nafsu dan amarah dibawah arahan akal dan syarak. Jika berlaku perbuatan melampau maka ia dikatakan zalim. Al-Ghazali menggariskan bahawa keutamaan adil merupakan suatu keadaan yang teratur sesuai dengan ketentraman yang sebenar (al-Ghazali, 1964; 272, 1967; 70).
Analisis interpretasi bahawa matlamat pendidikan holistik dalam kuasa adil adalah keutamaan dalam mengawalselia aspek rohani yang seimbang untuk mencapai kesucian dan kecerdasan rohani. Al-Ghazali dan Ibn Miskawayh juga menghuraikan empat unsur berlawanan daripada empat keutamaan iaitu kebodohan (al-jahl), kerakusan (al-Syirh), pengecut (al-jubn) dan kezaliman (al-jawr). Empat perilaku hina tersebut merupakan penyakit jiwa dan menimbulkan banyak kepedihan dan kesengsaraan. Justeru itu, manusia mesti mengawal empat keutamaan untuk menolak empat keburukan menerusi hakikat kecerdasan rohani. Kedua-duanya jugamengetengahkan empat kuasa dengan empat keutamaan yang merupakan akhlak yang utama (ummahat al-fadhail) (Miskawayh 1961; 29, Zurayk, 1968; 22, al-Ghazali, 1964; 286,& 1967; 80).
Kuasa-kuasa itu membolehkan manusia untuk sedia mengamalkan perilaku yang terpuji dalam mencapai matlamat pendidikan holistik yang bertumpu pada empat kuasa yang digariskan oleh al-Ghazali dan Ibn Miskawayh untuk mencapai empat keutamaan: keutamaan bijaksana (hikmah), berani (syaja’ah), kawalan diri (iffah) dan keutamaan adil (‘adl).
Ajaran Tentang Kebaikan (al-khairat)
Jalan mendapatkan kebahagiaan dan keutamaan seperti pembahasan sebelumnya adalah melalui perbuatan yang baik. Kebaikan mana-mana tempat selalu baik, tetap dan tidak berubah. Oleh itu, pendidikan holistik mengambilkira segala kebaikan yang mesti diajarkan dalam proses pembelajaran.
Menurut Miskawayh, kebaikan yang dibenarkan adalah tujuan daripada sesuatu perkara dan merupakan tujuan terakhir (Miskawayh, 1961; 78, Ansari, 1964; 71, & Zurayk, 1968; 69). Namun sesuatu yang bermanfaat untuk mencapai tujuan itu disebut juga dengan kebaikan. Pendidikan holistik sebagai kebaikan dalam membentuk moral dan personaliti insan. Justeru itu menanamkan matlamat kebaikan dalam pendidikan holistik adalah sangat penting.
Manusia secara mutlak sangat menginginkan kebaikan dan berusaha mengetahui hakikat tujuan akhir yang menjadi tujuan kebaikan. Setiap tingkatan kebaikan bertujuan menuju kepada Allah dan tidak berpaling selain daripada-Nya (Miskawayh, 1961; 79). Analisis deduktif mendapati bahawa Miskawayh merumuskan kebaikan sebagai berikut:
a)                    Al-syarifah iaitu kebaikan kerana zat yang diperolehi melalui hikmah dan akal.
b)        Al-mamduhah iaitu keutamaan yang diusahakan dengan baik dan dipersiapkan untuk sesuatu yang berlaku.
c)        Al-nafi’ah iaitu sesuatu yang diinginkan bukan untuk zatnya tetapi alat untuk mewujudkan kebaikan itu.
(Miskawayh, 1961;80, & Zurayk, 1968;70).
Dari segi yang lain pula, beliau membahagi kebaikan kepada tujuan (ghayah) dan bukan tujuan (laisat bi ghayah). Kebaikan dari segi tujuan (ghayah) disebutkan dengan sempurna (tammah) seperti kebahagiaan. Sedangkan kebaikan yang bukan tujuan (laisat bi ghayah) seperti pengobatan, pendidikan dan latihan (Miskawayh, 1961;80, & Zurayk, 1968;70). Tujuan-tujuan itu merupakan kenikmatan rohani kerana tujuannya adalah menuju kepada Allah.Manakala mengikut Al-Ghazali, juga terdapat tiga penggerak kebaikan duniawi:
a)      Al-targhib dan al-tarhib(Dorongan dan pencegahan).
b)      Raja’ al-mahmudah(Harapan pujian yang baik).
c)      Thalab al-fadhilah wa kamal al-nafs(Keinginan mencapai keutamaan dan kesempurnaan jiwa).
(al-Ghazali, 1964;287)
Ketiga jalan tersebut dapat dilalui manusia dengan berbeza-beza dalam kebaikan, kerana tidak ada kelainan dan perbezaan antara kebaikan duniawi dan kebaikan ukhrawi kecuali proses yang lambat dan cepat. Justeru, kebaikan itulah menjadi harapan setiap orang yang berakal, samada di dunia dan akhirat (al-Ghazali, 1964;289). Analisis induktif mendapati bahawa tiga penggerak kebaikan itu bertujuan mencapai kecerdasan rohani, ertinya rohani yang cerdas boleh menggerakkan jiwa mencari kebaikan-kebaikan untuk kesempurnaan diri.
Pendapat al-Ghazali pula bahawa semua orang berharap untuk kebaikan dirinya, tetapi mengapa sebahagian orang malas melakukan kebaikan itu? Apakah dengan itu kebaikan dapat diperoleh? Ataukah ia harus bermalas-malas sehingga kebaikan akan datang begitu sahaja? Perkara yang boleh menyimpang dari usaha kebaikan dan amal baik adalah rasa malas dan melalaikan (al-Ghazali, 1964; 290). Beliau menjelaskan, manusia yang melalaikan usahanya untuk mendapatkan kebaikan kerana bodoh dan dikalahkan oleh keinginan nafsu sebagai kesenangan jasmani.
Huraian daripada al-Ghazali dan Ibn Miskawayh secara interpretasi menunjukkan bahawa kebaikan mutlak adalah kebaikan rohani dan kebaikan darurat merupakan kebaikan nafsu syahwat. Sedangkan kebaikan yang disepakati manusia adalah kebaikan akal (intelek). Mengikut pandangan kedua-duanya maka pendidikan holistik harus menitikberatkan kebaikan rohani dan kebaikan akal serta mengawal kebaikan nafsu syahwat secara menyeluruh.
Ajaran Tentang Kesempurnaan (al-kamal)
Setiap manusia menginginkan kesempurnaan dalam hidupnya, sama ada sempurna fizikal mahupun sempurna rohani. Apabila kesempurnaan diperolehi seseorang individu maka individu tersebut memperoleh kebahagiaan yang hakiki. Al-Ghazali menggariskan kesempurnaan itu secara menyeluruh dalam lima bahagian.
Kesempurnaan yang paling utama mengikut al-Ghazali adalah kesempurnaan mendapatkan kebahagiaan akhirat. Kesempurnaan itu tidak dapat dicapai kecuali dengan adanya kesempurnaan kedua. Al-Ghazali menyebutnya dengan kesempurnaan bagi keutamaan jiwa (al-Ghazali,1964; 294). Seperti yang telah disebutkan sebelumnya iaitu keutamaan akal, keutamaan kawalan diri, keutamaan berani dan keutamaan adil.
Kesempurnaan ketiga iaitu keutamaan yang ada pada badan iaitu kesihatan badan, kekuatan badan, keelokan badan dan panjang umur. Keempat adalah kesempurnaan luaran pada manusia iaitu harta, keluarga, kemuliaan, dan keluarga mulia. Semuanya dilengkapi oleh kesempurnaan kelima iaitu taufiq dari Allah, melalui hidayah Allah, pimpinan Allah, kebaikan dari Allah dan kekuatan dari Allah (al-Ghazali,1964;294). Analisis induktif dan deduktif mendapati bahawa pemikiran al-Ghazali tentang kesempurnaan adalah matlamat yang harus diwujudkan dalam pendidikan holistik bagi membentuk pelajar yang sempurna sesuai pandangan al-Ghazali.
Melalui pendidikan holistik manusia dapat menentukan arah penciptaannya sebagai khalifah dengan sempurna. Dengan kewujudan substansi inilah manusia dapat memperoleh tingkatan yang tinggi. Analisis interpretasi mendapati bahawa pembahasan Miskawayh dalam wacana kedua (al-makalah al-tsaniah) menyatakan:
Kesempurnaan manusia ada dua macam, kerana dua kekuatan yang dimilikinya: fakulti teoritikal (‘alimah) dan fakulti praktikal (‘amilah). Fakulti yang pertama manusia cenderung kepada berbagai macam ilmu dan pengetahuan dan yang satu lagi cenderung kepada mengatur perkara-perkara (Miskawayh, 1961; 43).
Berdasarkan petikan di atas bahawa kesempurnaan manusia itu terdapat dalam dua perkara iaitu teoritikal (al-‘alimah) dan praktikal (al-‘amilah). Kesempurnaan teoritikal merupakan kecenderungan manusia yang berpunca kepada pelbagai ilmu dan pengetahuan. Manakala kesempurnaan praktikal adalah kecenderungan manusia dalam mengamalkan ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya secara bersepadu (Miskawayh, 1961; 43, Ansari, 1964; 79 & Zurayk, 1968; 36). Interpretasinya kedua-dua kesempurnaan itu adalah berhujung pada sempurna rohani untuk memperoleh darjah yang tinggi dan mulia.
Majoriti manusia memikirkan kesempurnaan berarti memikirkan matlamat hidup. Menerusi pendidikan holistik matlamat kesempurnaan adalah tujuan akhir yang mesti dicapai. Kerana pada akhirnya hakikat manusia adalah kesempurnaan iaitu mencapai kenikmatan spiritual (rohani) iaitu manusia meninggalkan kesenangan materi yang fana, demi mendapatkan kesenangan yang berkekalan.
Perbincangan dan Perbandingan
Pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan telah mengetengahkan samada ilmu dunia atau akhirat dengan pelbagai isu yang mencabar. Analisis perbincangan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam pendidikan holistik telah mendapati pelbagai konsep yang boleh diberi tumpuan utama dalam menggubal arah pendidikan secara menyeluruh. Dari segi matlamat kedua-dua tokoh menekankan bahawa tujuan akhir kehidupan manusia adalah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, oleh itu manusia mesti mempraktikkan amalan-amalan kebaikan untuk mencapai matlamat itu.
Secara terperinci matlamat pendidikan holistik daripada pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh, membincangkan tentang kebaikan (al-khair), keutamaan (al-fadhail), kebahagiaan (al-sa’adah) dan kesempurnaan (al-kamal). Keempat matlamat ini mesti diambilkira secara sepadu dan berterusan dalam mewujudkan pendidikan holistik yang berkesan. Analisis juga menunjukkan bahawa matlamat tersebut berhubungkait dengan aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani. Perbincangan al-Ghazali dan Miskawayh tidak menghuraikan secara spesifik tentang aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani dalam ajaran tentang kebahagiaan, keutamaan, kebaikan dan kesempurnaan.
Persamaan dan Perbezaan Pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh
Kajian ini telah mendapati bahawa konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh terdapat dalam aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani. Hasil analisis falsafah tentang pendidikan holistik al-Ghazali dan Ibn Miskawayh menunjukkan persamaan dan perbezaan yang ketara.
Secara amnya persamaan pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh menunjukkan bahawa dalam jiwa insan terdapat kuasa ilmu, amarah, nafsu syahwat dan kuasa adil. Semua kuasa itu berkaitan dengan aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani. Sedangkan dari segi perbezaan, Al-Ghazali membincangkan keempat aspek tersebut secara ‘dalaman’ dan mendalam dengan fungsi dan tugas setiap aspek.Sementara Ibn Miskawayh menjelaskan secara ‘luaran’ dan perilaku yang muncul dari aspek tersebut.
Secara khasnya pendidikan holistik daripada pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskwayah mendapati persamaan dalam masing-masing aspek kajian. Aspek intelek mendapati beberapa persamaan bahawa hakikat akal ialah memperoleh pengetahuan secara semulajadi dan pengetahuan yang diusahakan. Akal juga memiliki dua kekuatan iaitu: teoritikal (‘alimah) dan praktikal (‘amilah). Akal merupakan asas dari intelek, oleh itu pengetahuan intelek berfungsi membezakan kebaikan dan keburukan. Unsur akal juga memiliki kuasa ilmu untuk mencapai keutamaan bijaksana (hikmah) sebagai tingkat intelek yang sempurna.
Manakala persamaan pemikiran al-Ghazali dan Miskwayah dalam aspek emosi bahawa unsur hati sebagai pusat bagi emosi terdapat kuasa amarah yang substansinya adalah mendengarkan bisikan-bisikan dan godaan setan. Justeru itu, manusia harus berkebolehan menguruskan kuasa amarah untuk mencapai keutamaan berani (syajaah). Kedua-dua tokoh juga menekankan bahawa keutamaan berani adalah patuh kepada arahan kuasa ilmu.
Begitu pula persamaan pemikiran al-Ghazali dan Miskawayh dalam aspek jasmani bahawa unsur jiwa mempunyai kuasa nafsu syahwat yang patuh mengikuti arahan kuasailmu, maka melahirkan keutamaan kawalan diri (iffah).Keutamaan kawalan diri (iffah) adalah mengawal perilaku hati jasmani dari pengaruh nafsu syahwat antara melampaui had dan kurang syahwat.
Persamaan pemikiran al-Ghazali dan Miskwayah dalam aspek rohani mendapati bahawa unsur jiwa (rohani) sebagai elemen pembentukan akhlak batiniyah.Jiwa (rohani) juga sebagai sumber bagi ilmu dan mencari ilmu untuk menjadikan jiwa mulia.Matlamat yang ingin dicapai dalam pendidikan rohani adalah pembersihan jiwa dari kerosakan jiwa.Prinsip pendidikan holistik dalam aspek rohani adalah untuk kebaikan dan kesempurnaan hakiki. Kerana aspek rohani sebagai penyeimbang kepada aspek intelek, emosi dan jasmani dengan wujudnya kuasa adil (al-quwwah al-‘adalah).
Sedangkan dari segi perbezaan secara garis besar menunjukkan konsep akhlak al-Ghazali dalam beberapa kitab karangannya lebih banyak menyebutkan sumber Al-Quran dan al-Hadith berbanding Ibn Miskawayh yang hanya beberapa persoalan sahaja yang merujuk kepada Al-Quran dan al-Hadith tetapi lebih kepada penalaran akal dan pendapat ahli falsafah Yunani.
Secara khasnya pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh mendapati beberapa perbezaan dalam masing-masing aspek.Pendidikan holistik dalam aspek intelek tidak mendapati banyak perbezaan. Pemikiran al-Ghazali tentang akal lebih mendalam yang mengandungi unsur hati. Beliau membahagi akal kepada empat tingkat yang digolongkan menjadi dua: akal gharizi (naluri semulajadi) dan akal muktasab(pengetahuan yang diusahakan). Sementara Ibn Miskawayh hanya membincangkan kekuatan akal dari proses berfikir (‘akil), dan objek yang difikirkan (ma’kul) sehingga dapat membezakan kebaikan dan keburukan.
Sementara dalam aspek emosi juga tidak mendapati banyak perbezaan melainkan hanya beberapa perkara sahaja. Al-Ghazali menghuraikan definisi hati secara dalaman dari segi letak dan unsur yang terkandung di dalamnya. Berbeza dengan Ibn Miskawayh yang hanya menghuraikan perbuatan yang lahir dari hati yang boleh merosak dan membersihkan hati. Ibn Miskawayh juga tidak menyebutkan unsur yang wujud dalam hati, tetapi beliau hanya menyebutkan akibat-akibat yang lahir dari hakikat hati sehingga merosak hati. Sedangkan al-Ghazali menyebutkan unsur yang wujud dalam hati dan menghuraikan fungsi dari pasukan-pasukan hati.
Sedangkan dalam aspek jasmani mendapati perbezaan bahawa Al-Ghazali menghuraikan nafsu syahwat sebagai kenikmatan jasmani dengan terperinci dari sifat-sifat, hakikat dan zatnya secara ‘dalaman’. Namun, Ibn Miskawayh juga menghuraikan nafsu syahwat sebagai kenikmatan jasmani tetapi beliau tidak menghuraikannya secara ‘dalaman’. Beliau hanya menghuraikan tindakan secara ‘luaran’ dalam aspek jasmani.
Miskawayh berpendapat dalam jiwa (nafs) terdapat jiwa haiwan dan menjelaskan perilaku-perilaku yang lahir darinya serta tidak menghuraikan kekuatan yang wujud dalam jiwa haiwan. Beliau juga menyebutkan bahawa jiwa (nafs) memiliki jiwa tumbuhan dan menerangkan kekuatan yang wujud di dalamnya. Berbanding dengan al-Ghazali yang menjelaskan bahawa dalam jiwa (nafs) terdapat jiwa haiwan dan tumbuhan. Kedua-duanya mempunyai kuasa sebagai penggerak dan penemu. Menurut beliau juga bahawa dalam jiwa tersebut wujud tentara-tentara hati, yang zahir dan yang batin dengan pelbagai fungsinya.
Perbezaan dalam aspek rohani bahawa pandangan al-Ghazali menerusi unsur ruh dihuraikan secara ‘dalaman’ dan mendalam baik dari segi pengertian, sumber dan bahagiannya. Manakala Ibn Miskawayh hanya menghuraikan unsur ruh hanya dari segi hakikatnya sahaja. Al-Ghazali juga berpendapat bahawa jiwa dengan kuasa Allah dapat dihancurkan tetapi Allah tidak melakukannya. Sementara Miskawayh menyatakan bahawa jiwa tidak hancur apabila berpisah dengan jasad. Beliau juga menyebutkan bahawa dalam jiwa rohani wujud penggerak kebaikan iaitu: Al-Syarifah (kebaikan), Al-Mamduhah (keutamaan) dan Al-Nafi’ah (manfaat). Berbeza dengan wujud penggerak yang disebutkan al-Ghazali, beliau menyebutkan penggerak kebaikan iaitu: al-Targhib dan al-Tarhib (Dorongan dan pencegah), Raja’ al-Mahmudah (Harapan pujian) dan Thalab al-Fadhilah wa Kamal al-Nafs (Keinginan mencapai keutamaan dan kesempurnaan jiwa).
Mengikut al-Ghazali pula bahawa jiwa rohani menjadi sempurna apabila mendapatkan lima kebajikan: kebajikan ukhrawiyah, kebajikan jiwa, kebajikan badaniyah, kebajikan urusan luar, dan kebajikan taufiq dari-Nya. Sedangkan menurut Miskawayh bahawa kesempurnaan jiwa rohani diperoleh segi ilmu dan mengamalkan ilmu itu.
Model Pendidikan Holistik Menurut al-Ghazali dan Ibn Miskawayh
Berdasarkan analisis pandangan al-Ghazali dan Miskawayh telah didapati pelbagai matlamat pendidikan holistik. Pemikiran kedua-dua tokoh menunjukkan konsep pendidikan yang integrasi dan bersepadu.Kesepaduan pemikiran kedua-duanya boleh digubal sebagai model pendidikan holistik sesuai dengan pendidikan semasa yang mengambilkira segala aspek.
Pendidikan yang baik, kebaikannya berkekalan kerana kebaikan tidak berubah-ubah. Pendidikan yang buruk, keburukannya dapat diubah dengan pelbagailangkah kerana matlamat hidup manusia bukan untuk keburukan dan kekurangan jiwa. Sebaliknya matlamat hidup manusia adalah untuk kebaikan dan kesempurnaan jiwa.Berdasarkan perbincangan al-Ghazali dan Ibn Miskawayh menerusi matlamat pendidikan dalam segala aspek sehingga dibentuk model pendidikan holistiksecara integrasi. Rajah 1 menunjukkan model pendidikan holistik yang berhubungkait dengan aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani.
Rajah 1
Model Pendidikan Holistik Secara Integrasi


Dalam rajah 1 menunjukkan bahawa roh (ruh), jiwa (nafs), hati (qalb) dan akal (‘aql) merupakan pusat bagi aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani. Keempat-empat unsur tersebut boleh melahirkan perilaku-perilaku dalam aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani melalui anggota deria yang menggerakkan dan melaksanakan gerak. Model pendidikan holistik tersebut dapat diimplementasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Mendidik dan mengajar individu yang diberi tumpuan kepada keutamaan bijaksana (hikmah) untuk menentukan pilihan dalam membezakan kebaikan dan keburukan. Menggalakkan keutamaan berani (syaja’ah) untuk melakukan apa yang seharusnya dilakukan supaya membentuk emosi yang seimbang, tidak mengecut dan tidak melampaui batas. Pembentukan dan pembinaan individu juga bertumpu pada kawalan diri (iffah) dari pengaruh-pengaruh nafsu yang merosak jiwa dan akhlak. Serta menanamkan keutamaan adil (‘adalah) dalam hubungan vertikal dengan Allah serta hubungan horizontal dengan makhluk samada manusia mahupun haiwan dan tumbuhan.
Model pendidikan yang diterapkan dengan memberikan penekanan kepada empat kuasa asas, iaitu kuasa ilmu, kuasa amarah, kuasa nafsu syahwat dan kuasa adil untuk melahirkan empat keutamaan, iaitu keutamaan hikmah, keutamaan berani, keutamaan kawalan diri dan keutamaan adil. Seluruh keutamaan tersebut mempunyai sifat dan bahagian masing-masing yang boleh digubal dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran secara sepadu dan selari menerusi latihan, pembiasaan, mujahadahdan berterusan yang bermula sejak kanak-kanak.
Membina dan menerapkan seluruh keutamaan kepada individu dengan selari dan sepadu boleh mencapai matlamat yang sebenar. Hasil dari analisis pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh bahawa pendidikan holistik berteraskan matlamat kebahagiaan (al-sa’adah) di dunia dan akhirat, keutamaan (al-fadhail) dari segi akhlak, kebaikan (al-khairat) dalam setiap amalan dan kesempurnaan (al-kamal) dalam pencapaian.

PENUTUP
Berdasarkan analisis perbandingan pemikiran konsep akhlak al-Ghazali dan Ibn Miskawayh serta penerapannya dalam pendidikan Islam dari persamaan dan perbezaan menerusi aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani sebagai tumpuan utama pendidikan holistik.
Kajian ini telah mendapati bahawa pemikiran al-Ghazali dan Ibn Miskawayh secara umum membincangkan cara-cara mendidik insan menjadi individu yang mulia. Hasil analisis falsafah tentang pendidikan holistik al-Ghazali dan Ibn Miskawayh menunjukkan bahawa kedua-duanya membincangkan tentang matlamat pendidikan holistik yang berteraskan matlamat kebahagiaan, keutamaan, kebaikandan kesempurnaan adalah sebagai matlamat utama yang harus dicapai. Seluruh matlamat pendidikan holistik tersebut diberi tumpuan menyeluruh kepada aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani.
Secara amnya persamaan konsep akhlak antara al-Ghazali dan Ibn Miskawayh dalam aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani menunjukkan bahawa dalam jiwa insan terdapat kuasa ilmu, kuasa amarah, kuasa nafsu syahwat dan kuasa adil. Pendidikan bagi jiwa insan mesti mengawal dan menekankan kuasa-kuasa itu secara keseluruhan. Secara holistik kuasa itu berhubungkait dengan aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani. Sedangkan dari segi perbezaan, Al-Ghazali membincangkan keempat aspek tersebut secara ‘dalaman’ dan mendalam dengan fungsi dan tugas setiap aspek.Sementara Ibn Miskawayh menjelaskan secara ‘luaran’ dan perilaku-perilaku yang muncul dari aspek tersebut.
Berdasarkan perbandingan persamaan dan perbezaan kedua-dua pemikiran, model pendidikan holistik berteraskan kuasa ilmu untuk melahirkan kebijaksanaan (hikmah), kuasa amarah untuk mengawal keberanian (syaja’ah), kuasa nafsu untuk mengawal diri (iffah) dan kuasa adil untuk keseimbangan (‘adl) antara hubungan vertikaldengan Tuhan dan hubungan horizontal dengan makhluk. Model pendidikan holistik boleh diimplementasikan dalam pengajaran dan pembelajaran sesuai dengan isu-isu pendidikan semasa.



RUJUKAN
Abubakar Aceh. (1982). Sejarah Filsafat Islam. Jakarta: Ramadhani Sala.
Abdul Fatah Hasan. (1998). Pemikiran Keseluruhan Otak; dalam pengurusan pendidikan dan kaitannya dengan kecerdasan emosi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Abdul Khobir. (2007). Filsafat Pendidikan Islam Landasan Teoritis dan Praktis.Pekalongan: STAIN Press.
Aisyah Syati. (1969). Maqal fi al-Insan, Dirasah Qur’aniyah. Kairo: Darul Ma’arif. Terj. oleh Ali Zawawi (1999). Manusia Dalam Perspektif Al-Quran. Jakarta: Pustaka Firdaus.
Al-Ghazali. (t.t.). Ihya Ulum al-Din. Juz 5, Beirut, Libanon: Dar al-Ma’arif.
Al-Ghazali. (1967). Ihya ulum al-Din. Juz 1, Qahirah: Mu’assah al-Halabi wa Syarikah li al Nasyri wa at-Tauzi’.
Al-Ghazali. (1967). Ihya ulum al-Din. Juz 3, Qahirah: Mu’assah al-Halabi wa Syarikah li al Nasyri wa at-Tauzi’.
Al-Ghazali. (1964). Mizan al-Amal. Oleh Sulaiman Dunya. Kaherah: Dar al-Ma’arif.
Al-Ghazali. (1980). Ayyuha al-Walad al-Muhib. Oleh Abdullah Ahmad Abu Zinah. Dar al-Syuruq.
Anton Bakker & Achmad Charris Zubair. (1989). Metodologi Penelitian Filsafat.Yogyakarta: Kanisius.
Anderson, G. (1998). Fundamentals of Educational Research. New York: Falmer Press.
Asmawati Suhid. (2009). Pendidikan Akhlak dan Adab Islam Konsep dan Amalan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Azizah Zakaria. (2004). Penghayatan terhadap beberapa aspek dalam falsafah etika al-Ghazali: Kajian di kalangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Disertasi. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Harun Din. (2001). Manusia dan Islam. Jilid 2. Selangor Darul Ehsan: Dewan Pustaka dan Bahasa.
Ibn Miskawayh. (1398). Tadhib al-Akhlaq wa Tathhir al-A’raq. Beirut: Mansyurah Dar al-Maktabah al-Hayat.
Ibn Miskawayh. (1398). The Refinement of Character. Terj. oleh Constantine K. Zurayk (1968). Beirut: American University of Beirut.
Imran Effendy Hasibuan. (2003). Pemikiran Akhlak Syekh Abdurrahman Shiddiq al-Banjari.Pekanbaru: LPNU Press.
Kneller, G.F. (1971). Foundations of educations. New York: John Wiley and Sons, Inc.
Koetting, J. R., & Malisa, M. (2004). Philosophy, research, and education. In D. H. Jonassen (Ed.), Handbook ofresearch in educational communications and technology (2nd ed., pp. 1009-1020). Mahwah, NJ: Lawrence Erlbaum Associates.
M Abdul Haq Ansari. (1964). The Ethical Philosophy of Miskawaih. India: The Aligarh Muslim University Press.
Mohd. Rusli Hussain. (2003). Pembangunan Insan: Kajian Perbandingan Antara al-Ghazali dan Ibn Khaldun. Disertasi. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd Jais Anuar Bin Ahmad. (2003). Metod Pembinaan Sahsiah Diri: Satu Analisis Terhadap Pemikiran Falsafah Akhlak Ibn Miskawayh Menerusi Kitab Tahdhibul Al-Akhlaq. Disertasi.Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Mohd. Sullah. (2010). Studi Komparasi Konsep Pendidikan Akhlak Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ibnu Miskawaih. Kertas Projek. Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim. Malang.
Muhammad Wahyuni Nafis. (2006). Yakin Diri 9 Jalan Cerdas Emosi dan Cerdas Spiritual. Jakarta: Hikmah.
Wingo, M. (1974). Philosophy of education: An intoduction. Lexington, MA: D. C. Heath.


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "JURNAL PENDIDIKAN HOLISTIK"

Posting Komentar